| Menziarahi murabbi, Pakcik Rosdi Baharom di rumahnya di Seberang Jaya pada 14 Mac 2026. |
Setiap orang itu hidup berdasarkan pandangan alamnya. Apa yang dia fahami tentang dunia ini akan membentuk tingkah lakunya, akan membentuk amalnya, membentuk bagaimana dia bergaul dengan masyarakat dan menghabiskan umur hidupnya.
Jika ditanyakan kepada orang, jika mereka melihat matahari dan bulan, apa yang terbayang di minda mereka? Adakah sekadar alam semula jadi? Atau sekadar objek-objek fizik yang beredar sesuai dengan hukum alam? Tetapi jika ditanyakan kepadaku soalan yang sama, aku akan menyatakan bahawa apa yang aku lihat adalah peredaran masa yang pantas. Matahari turun digantikan bulan, kemudian malam digantikan siang. Aku melihat peredaran alam yang pantas ini mewakili peredaran masa yang sangat pantas, dan aku melihat umurku yang berbaki sedikit sahaja yang tinggal. Umur ini ibarat pasir di tepi pantai yang cuba aku genggam, namun ia mengalir turun perlahan-lahan dari celahan jariku.
Peredaran masa yang pantas ini menghantuiku di setiap pandangan. Malah apabila melihat wajah anak dan isteri, pasti timbul soalan di minda, berapa lama lagi masaku yang tinggal bersama mereka? Kita sering merasakan 60-80 tahun masa kehidupan manusia itu satu tempoh hidup yang lama. Walhal jika diukur dengan usia alam yang berbillion tahun ini, umur itu hanya sebesar satu titik mikroskopik. Ibarat jangka hayat seekor nyamuk yang hidup beberapa hari, namun bagi nyamuk, beberapa hari itu panjang, itulah keseluruhan hidupnya.
Maka pandangan alamku ini sering menyebabkan aku sering berlumba dengan masa. Dengan usiaku yang sedikit ini aku perlu gunakan untuk mengisinya sebaik habis. Seproduktif mungkin. Maka apabila sampai masa aku menghembuskan oksigenku yang terakhir, aku mampu tersenyum dan berkata "ya Tuhan, aku telah gunakan semuanya sehabis baik yang aku mampu".
Disebabkan itu aku bersetuju untuk mengambil beberapa tanggungjawab. Bukan kerana aku mahukan jawatan, nama, atau kedudukan. Biarlah ia menjadi mihrabku beramal, mengisi masa-masa yang ada ini melakukan kerja untuk membantu deen Islam tertegak.
Aku juga sedar, aku bukanlah orang yang paling alim dan soleh, kadang kala malu juga untuk ke depan dan bercakap macam bagus. Tetapi aku sering fikirkan, walaupun aku ini tidak bagus, jika deen ini memerlukan kayu-kayu bakar untuk ia bergerak ke hadapan, maka biarlah aku yang menjadi kayu bakarnya. Sekurang-kurangnya aku mempunyai secebis jasa untuk memercikkan perjuangan ini. Aku merasakan itulah sebenarnya yang penting. Jika seseorang itu benar-benar cinta akan sesuatu, dia akan rela menyerahkan dirinya, seluruh hidupnya untuk perjuangan.
Dalam sastera sufi, kecintaan yang sanggup mengorbankan diri boleh dikaitkan dengan kisah Layla dan Majnun, jika di Barat mungkin yang popular adalah kisah Romeo dan Juliet. Namun di kehidupan kita yang sebenar ini, apa yang kita habiskan sehari-hari, itulah sebenarnya lambang kecintaan kita. Jika dihabiskan dengan mencari harta, maka sebenarnya hartalah kecintaan kita. Jika kita habiskan dengan perjuangan, maka itulah cinta kita yang sebenarnya. Namun ini tidaklah bermaksud kepenatan itu tidak datang menjenguk. Selalu ia datang menghambatku. Namun cinta yang lebih besar menyebabkan ia mudah diketepikan. Sehambat mana pun, lama ke lamaan, kecintaan itu akan membawa aku kembali bertaut.
Kecintaan ini berbunga semula apabila aku berkesempatan bertemu dengan murabbi. Perjumpaan yang berjaya mencurahkan minyak pada bara yang kian malap. Perjumpaan yang mengingatkan aku bahawa kita tidak layak meminta kemenangan dari Allah dengan segera, kerana kemenangan itu akan diberikan oleh Allah mengikut timeline-nya, bukan timeline hamba. Kita hanya disuruh berjuang. Berkerja. Matlamat kita bukan kekuasaan politik atau pemerintahan, cukuplah jika diakhirnya nanti kita mampu mengucapkan "aku telah melakukan sesuatu untuk deen". Itu seharusnya sudah menjadi satu kehormatan yang besar buat kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan