Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Oktober 2022

Apakah pendidikan di Malaysia mempunyai masa depan?


Sekitar pertengahan bulan Oktober 2022 heboh di alam maya di Malaysia perihal seorang cikgu yang lantang mengkritik dasar pendidikan negara yang mendapat surat sepertinya beliau bakal ditamatkan perkhidmatan. Saya pada mulanya tidaklah begitu tertarik dengan isu ini, namun sahabat saya Hilmi Azhari telah menarik saya into the scene perihal isu pendidikan yang sedang bertiup kencang pasca pembubaran parlimen ketika itu. Jadi disini saya mahu tulis sedikit pandangan saya perihal pendidikan.

Saya menulis bukanlah sebagai seorang pakar, jauh sekali pengkaji akademik dalam bidang pendidikan. Tulisan ini adalah penelitian rakyat marhaen dan pandangan layman sahaja. Penulisan saya berdasarkan pengalaman sendiri belajar di Malaysia dari tadika sampai sekolah menengah, melihat ibu saya yang menjadi guru, pengalaman pergi tuisyen, juga pengalaman beberapa kali menjadi cikgu ganti di sekolah rendah dan menengah.

Pertama sekali, saya merasakan perspektif perihal pendidikan itu perlu dibetulkan dahulu sebelum kita bahaskan dengan ilmiah silibus pelajar tahun satu. Pendidikan bukan hanya sekolah dan cikgu. Termasuk juga pendidikan apa yang ibu bapa buat dengan anak-anak di rumah. Apa yang mereka sembangkan di dalam kereta dan di meja makan. Setiap video Blippi, Ryan Toys Review, Cocomelon, My little pony - semua video yang anak-anak tonton di masa senggang, itu adalah pendidikan.

Jadi jika perspektif kita pendidikan hanya cikgu dan sekolah, pertama sekali salahkanlah diri kita sendiri. Mungkin ada yang mengatakan, "tapi saya kerja shif, mana sempat nak tengok anak-anak". Sama ada kita sempat atau tidak, ia tetap tidak mengubah faktanya. Dunia ini bukan kisah kita sempat atau tidak, dunia juga tak ambil port perasaan dan fikiran kita, ia tetap juga akan berjalan sesuai dengan fitrah dan sunnahnya.

Baik, selepas kita betulkan perspektif ini, bolehlah kita masuk ke dalam maudhuk utama kita. Selepas kita bermuhasabah, berasa bersalah, dan insaf, bolehlah kita mencari kesalahan orang lain pula. 

Untuk menjawab soalan yang telah kita posit, saya telah melakukan sebuah literature review (LR) dengan menggunakan ibu jari saya dan men-scroll timeline di Facebook. Walaupun metodologi LR ini tidak tidak digunakan oleh sarjana di simposium antarabangsa, saya merasakan metodologi ini telah diterima pakai oleh masyarakat awam secara umumnya. Saya dapati terdapat tiga school of thought atau mazhab utama dalam persoalan ini.

Yang pertama adalah golongan yang agnostik terhadap sistem pendidikan negara. Ada yang tidak percaya pada pemikiran sahaja, mereka tetap menghantar anak ke sekolah. Ada yang bersifat absolut, dalam pemikiran dan aksi. Mereka akan homeschooling anak-anak atau hantar anak bersekolah di luar negara. Menteri pun ada yang hantar anak sekolah di luar negara, bukan rakyat biasa sahaja.

Yang kedua adalah mazhab moderat, mungkin juga boleh dikatakan reformis. Mereka merasakan ada di sini dan di sana masalah dalam sistem pendidikan tetapi ia bukanlah menuju kehancuran. Sistem pendidikan bagi mereka perlu ditambah baik, bukan digulingkan dan dibina semula from scratch. Golongan ini adalah golongan kebanyakan, mereka sedar tiada satu bentuk pendidikan yang sempurna.  

Yang ketiga adalah mazhab happy-go-lucky dan follow-the-flow. Mazhab ini merasakan biarlah masalah ini diselesaikan oleh ahlinya. Mereka yang mencari kesempurnaan adalah mereka yang ditipu oleh fatamorgana dunia. Mereka hanya mengikut sahaja apa sistem yang ada.

Saya kira perbahasan semasa isu ini bertiup kencang, ia bukanlah berlegar akan soal pendidikan sangat. Namun dipengarusi emosi. Ia lebih menjurus kepada perasaan marah terhadap ketidak-adilan yang berlaku kepada seorang guru. Jadi saya melihat isunya adalah isu kebebasan mengkritik di kalangan penjawat awam, tidak dibahaskan secara mendalam isu fundamental pendidikan itu. Itulah sebabnya saya tidak berapa berminat, kerana ia hanya bersifat emosional, reaksionari dan terarah kepada individu yang mempunyai pengaruh di media sosial. Saya lebih berminat akan isu fundamental, bukan perihal peribadi.

Pandangan saya perihal sekolah adalah ia merupakan satu institusi berstruktur. Tentu sahaja jika ia berstruktur, ia tidak akan dapat bersikap adil kepada semua murid. Apa yang saya maksudkan ini? Mana-mana organisasi yang terbentuk, ia pasti akan cuba menghapuskan sifat individualiti manusia dan cuba mencapai satu bentuk keseragaman. Bukan sekolah atau pendidikan sahaja. Jika kita masuk mana-mana organisasi, pasti akan berlaku perbezaan, dan hanya satu keputusan diterima untuk dilaksanakan. Ada cadangan yang akan ditolak. Ini adalah fitrahnya. Dalam berorganisasi kita akan mengorbankan individualiti, jika tidak tidak akan wujud organisasi. Sekolah juga adalah satu organisasi.

Jadi sekolah tidak akan dapat membentuk silibus yang unik bagi setiap pelajar. Setiap pelajar berbeza dari segi kemampuan dan kefahaman. Jadi jika kita mempunyai 1000 pelajar, tidak logik untuk membangunkan 1000 silibus yang sesuai bagi setiap pelajar. Disini timbulnya peranan satu standard silibus. Di sini juga timbulnya peranan guru yang mengetahui kemampuan setiap pelajarnya, dan menggunakan teknik berbeza bagi tahapan yang berbeza. 

Soal penggubalan silibus yang terlalu tinggi. Saya kira silibus itu memang perlu dikemaskini setiap tahun. Zaman berubah, teknologi berubah, dan manusia juga berubah. Jika silibus tidak berubah, pendidikan kita akan menjadi dysfunctional. Namun jika diubah, ada yang akan mengkritik ia terlalu tinggi, jika tidak diubah ada yang akan kritik "bila kita nak maju?". Tapi tabiatnya begitu, teknologi menjadikan manusia lebih pandai (ada sesetengah pendapat pemikir), oleh itu memang wajar ada kenaikan bagi setiap generasi. 

Akhir sekali adalah perihal beg pelajar yang berat. Saya kira dalam aspek ini ada sesuatu yang tidak disentuh oleh mana-mana pengulas dan pemikir yang saya baca. Rata-rata mencadangkan penghapusan buku teks atau buku teks disimpan di sekolah. Namun saya fikir disini ada juga peranan ahli dalam bidang material sciences. Mereka boleh melakukan kajian bagaimana untuk menghasilkan buku weightless, bukan lagi buku berat seperti sedia ada.

Ahad, 9 Oktober 2022

Lemoi Praaq


Buku ini bagi saya istimewa, bahkan mungkin terlalu istimewa. Orang kata, siapa makan aiskrim dia yang terasa manis. Buku ini adalah catatan seorang guru, saya juga pernah menjadi guru satu ketika dahulu, jadi catatan ini memang sangat terasa manisnya. Menjadi guru pada anak-anak kecil sebenarnya menjadikan kita lebih dari seorang guru, kita juga menjadi ibu dan bapa mereka, dan kadang kala menjadi teman dan sahabat. Bagi saya profesyen guru sangat menyeronokkan dan membahagiakan (walaupun penat!). Kerana dikebanyakan masa kita bersama anak-anak kecil yang suci dan murni hatinya. Amat susah kita mahu mengasingkan perasaan, sekejap sahaja pasti terbit rasa sayang pada anak-anak murid. Berhenti menjadi guru juga adalah pengalaman yang sangat emosional. Berbalik kepada buku ini, kadang saya merasakan ada dikotomi dalam pendidikan kita. Disebelah sana kita sibuk hendak menggabungkan pendidikan dengan AI dan IR4.0. Pendidikan digital dan virtual. Kita mahu mem-Finland-kan pendidikan kita. Manakala disebelah lain adalah anak-anak yang berjalan 2 jam dari kampung di dalam hutan untuk ke sekolah, meredah hutan, bukit, dan sungai. Dengan peralatan dan pakaian sekolah yang sangat dhaif. Jangankan Finland, mahu pastikan mereka hadir 5 hari seminggu pun satu struggle atau "praaq" (perang). Jangankan internet, lampu elektrik pun tiada. Cikgu Bungo Lale, disebalik semua kesusahan ini membawa keluar kisah-kisah bersama anak-anak orang asli dari suku Lemoi ini untuk ditelusuri oleh kita. Membaca kisah mereka membuatkan kita terharu, terinspirasi, tergelak, dan kadang kala sedih. Sedih kerana kita masih lagi terkebelakang dalam pembangunan pendidikan anak-anak luar bandar. Saya yakin, hal ini bukan hanya berlaku pada anak-anak Lemoi, tetapi banyak lagi kawasan-kawasan luar bandar, pos-pos orang asli di semenanjung, Sabah, dan Sarawak, yang masih struggle untuk mendapatkan akses pendidikan dan keperluan hidup yang lain. Itu belum kita perhalusi pendidikan anak-anak tanpa negara yang tidak dipedulikan untung nasib mereka. Moga banyak lagi catatan pengalaman guru di kawasan pedalaman seperti ini dikeluarkan, dikomersialkan, dan diarus perdanakan. Tidaklah kita duduk sedap sahaja dalam kelas-kelas virtual, bersembang tentang sekolah-sekolah elit seperti MRSM dan SBP, tanpa kita sedari sebenarnya masih banyak anak-anak kita yang tercicir pendidikan mereka. Tanggungjawab mendidik mereka bukanlah tanggungjawab guru seperti Cikgu Bungo Lale sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab kita semua. Langkah pertama adalah mengetahui kewujudan mereka, jika tahu pun tidak bagaimana kita mahu harapkan masyarakat akan bertanggung jawab membantu mereka.

Ahad, 10 Oktober 2021

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Pendidikan


Pada bulan Oktober 2021, seorang ahli parlimen muda dari Muar, Johor mencadangkan agar subjek-subjek universiti seperti Pengajian Malaysia, TITAS, Hubungan Etnik, Etika, dan Falsafah ditukar dari wajib kepada elektif. Menurut beliau subjek seperti ini tidak memberi nilai kepada mahasiswa dan memanjangkan tempoh pengajian. Mahasiswa perlu segera dihantar ke industri untuk mendapatkan pengalaman dan menjadi kompetetif. Cadangan beliau ini membuatkan saya terfikir perihal pengajian saya sendiri pada satu ketika dahulu.

Saya dahulu diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di Rusia dalam bidang kejuruteraan (tempoh pengajian adalah selama 5 tahun termasuk setahun foundation). Antara perkara pertama yang saya perhatikan di Rusia adalah sangat sukar untuk bertemu dengan orang muda yang gemuk atau obest (no body shaming intended).
Walaupun saya mengambil jurusan kejuruteraan. Terdapat banyak subjek wajib yang tiada kena mengena dengan kejuruteraan. Antaranya ekonomi, marketing, falsafah, sejarah, ekologi, ergonomik, informatik. Mungkin ada kena mengena secara sipi-sipi dan tidak secara langsung, tetapi ia bukanlah subjek kejuruteraan.
Walaupun tidak berkenaan, subjek-subjek ini adalah antara subjek yang saya minati. Kerana ia membantu saya berfikir. Dari kelas ekonomi sebagai contoh, saya mengenali Adam Smith dan bukunya The Wealth of Nation (dalam bahasa Rusia tajuk buku ini adalah "Bogatstva Narodov"). Perbahasan tentang "the invisible hand" akhirnya menyebabkan saya mencari buku Smith selepas tamat belajar, dan membacanya kulit ke kulit untuk cuba memahami diskusi ekonomi tentang apa yang dimaksudkan dengan "tangan ghaib" yang mengawal pasaran.
Berbalik kepada pemerhatian pertama saya tadi. Apabila mula kuliah, saya mendapati, setiap semester setiap pelajar wajib lulus subjek yang bernama "fizkultura" dalam bahasa Melayu mungkin boleh disebut sebagai "Budaya Fizikal" jika diterjemah secara literal. Secara kontekstual, setiap semester pelajar wajib lulus subjek pendidikan jasmani. Kewajipan ini bukan sahaja kepada "grashdan" (pelajar warganegara Rusia) tetapi juga kepada "inostranets" (pelajar antarabangsa seperti kami).
Walaupun bagaimanapun, pelajar antarabangsa punya pilihan. Jika tidak mahu berlari ditengah salji bersama "Ruski" (orang Rusia), tidak mahu lenguh tangan berlatih di gym, mereka dibenarkan memilih sukan yang lebih mudah. Pelajar Malaysia banyak memilih untuk menyertai kelab billiard (sukan seperti snooker) untuk tidak berpeluh. Walaupun fizkultura ini mencabar, saya tetap menikmatinya, saya masih ingat pensyarah yang juga merupakan jurulatih saya bernama Kleshev. Semasa berjoging di kesejukan musim sejuk, beliau sentiasa memberi kata semangat pada saya.
"Begi! Cherez ni magu!" jerit beliau dengan wajah yang bengis (beliau tak pernah senyum atau ketawa seingat saya). Dalam bahasa Kedah maksudnya "hang kena laghi jugak, walaupun tak larat". Kadangkala, Kleshev akan memberi syarahan ringkas perihal kenapa perlu bersukan dan kaitannya dengan kehidupan. Sebagai contoh, jika kita berlari di belakang, kita harus sentiasa bertanya kepada diri mengapa kita tidak di depan bersama orang lain. Jadi aktiviti sukan dan latihan fizikal ini bagi saya sangat bernilai sehingga ke hari ini. Kesannya pasti tidak sama jika ia hanya disebut dalam bilik kuliah sahaja. Pandangan hidup bagi saya, adalah bukan untuk sekadar kita menjadi economic animal, tetapi hidup dengan lengkap dari sudut akal, jasmani, dan rohani. Mungkin sebab wajibnya fizkultura ini menyebabkan sangat sukar untuk berjumpa orang muda yang gemuk di sana.
Saya kira begitulah pendidikan, bukan sekadar akal. Termasuk juga budaya dan kesihatan. Namun terpulanglah kepada kita untuk memilih, apa yang dimaksudkan dengan pendidikan kita. Sekadar mahu menyediakan robot ke kilang dan pejabat, atau membina insan.

Ahad, 4 Oktober 2020

Membaca Memoir Tara Westover: Harga Sebuah Pendidikan


Membaca memoir Tara Westover, Educated merupakan pembacaan selingan saya ketika membaca dengan perlahan tulisan klasik Jean-Jacques Rousseau, The Social Contract. Memoir ini lebih ringan dibaca berbanding tulisan Rousseau, setiap buku tidak sama, ada yang memperkatakan perihal falsafah dan pemikiran, perlu dibaca dan ditekuni dengan perlahan, ada juga buku berbentuk penceritaan yang boleh dibaca dengan lebih laju. Sebab itu saya tidak percaya akan pembacaan laju hanya untuk mengumpul berapa banyak buku yang dibaca setiap bulan. Laju atau perlahan bergantung kepada jenis pembacaan, dan apa yang kita hajati dari pembacaan.

Memoir Westover ini merupakan kisah hidup beliau. Bagaimana beliau dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan agama Kristian Mormon, namun di awal memoirnya beliau membuat disclaimer bahawa ia bukan buku perihal Kristian Mormon, kerana tidak semua Kristian Mormon berpegang dengan agama mereka seperti keluarga mereka. Bab-bab awal bukunya berkisar tentang ayahnya yang tidak mempercayai kerajaan, tidak percaya akan institusi pendidikan negara dan juga institusi kesihatan awam. Bagi ayahnya sekolah kerajaan adalah usaha kerajaan untuk menjauhkan anak-anak dari Tuhan, ayahnya mengeluarkan abang-abangnya dari sekolah, manakala adik-adiknya dan Tara sendiri tidak bersekolah. 

Malah kelahiran mereka juga tidak didaftarkan, oleh kerana ketiadaan sijil lahir, empat orang adik-beradiknya termasuk beliau tidak wujud di sisi kerajaan, mereka ada secara fizikal tanpa punya identiti rasmi. Ibunya mula memfailkan permohonan untuk mendaftar apabila abangnya Luke memerlukan lesen memandu, namun ia merupakan proses yang panjang kerana ibunya, neneknya, ayahnya semua mempunyai tarikh yang berbeza tentang bila dia dilahirkan. 

Bagi ayahnya mendapatkan rawatan di hospital dan berjumpa dengan doktor adalah berkerjasama dengan perancangan syaitan dan Illuminati. Saya merupakan seorang yang tidak berapa selesa dengan luka, darah, (sebab itu saya tidak masuk ke dalam bidang perubatan) jadi penulisan beliau berkenaan dengan hal-hal ini sedikit mengerikan saya, ia sangat grafik bagi saya, mungkin tidak grafik bagi orang yang mempunyai tolerance yang lebih tinggi. Bagaimana mereka adik beradik terluka, terbakar kaki, kemalangan kereta, semuanya diubat sendiri menggunakan rawatan homeopathic dan herbalism yang dibuat oleh ibunya tanpa ke klinik atau hospital.

Namun ini tidak bermakna mereka tidak mendapat pendidikan langsung. Pada mulanya ibunya melakukan home-schooling kepada mereka, namun selepas beberapa ketika ibunya berhenti. Tetapi ini tidak mematikan minat anak-anaknya dalam mencari ilmu. Proses pembelajaran dalam keluarganya menurut Tara seluruhnya merupakan usaha sendiri. Mereka boleh belajar apa sahaja yang mereka boleh ajarkan pada diri sendiri. Beliau sendiri melihat kesungguhan adik beradiknya yang lain belajar dan membaca. Abangnya Tyler meminta untuk bersekolah semula ketika dia berumur 13 tahun, dia bersekolah semula, kemudian ayahnya mengeluarkannya sekali lagi. Tetapi imaginasi Tyler telah ditangkap, beliau berazam untuk belajar sendiri, abangnya Tyler mengumpul duit untuk membeli buku trigonometri, dia meminjam buku kalkulus dari gurunya kerana tidak mampu membeli sendiri, dan gurunya mengatakan mustahil untuknya menguasai kalkulus sendiri, Tyler menjawab "berikan saya buku itu, saya fikir saya boleh!". Apabila Tyler punya kereta sendiri, Tara melihat bagaimana Tyler meninggalkan keluarga mereka.

Melihat Tyler meninggalkan keluarga, memilih kecintaan kepada pendidikan lebih dari cintanya kepada keluarga menanam satu biji benih dalam diri Tara, benih "ingin tahu", benih ini tidak memerlukan apa-apa, hanya masa dan kebosanan yang diperlukan untuk ia tumbuh sendiri. Selepas pemergian Tyler, Tara cuba untuk meniru gaya Tyler belajar, dia mula membaca buku-buku yang ada di rumahnya, kebanyakannya berkenaan dengan agama Kristian Mormon, ada kalanya dia tidak begitu memahami apa yang dibaca, tetapi bagi beliau ini adalah skil yang sangat penting, iaitu kesabaran membaca teks yang kita belum boleh fahami.

Ayahnya begitu mengimani bahawa hari pengakhiran bakal tiba tidak lama lagi, ketika mereka masih kecil, ketika keluarga lain juga percaya akan teologi yang sama, keluarga mereka bukan sekadar percaya, tetapi mereka membuat persediaan. Setiap hari mereka membotolkan makanan, mereka menyimpan minyak di tangki rahsia di bawah tanah, menyimpan emas, semuanya dilakukan untuk bersedia menghadapi hari akhir yang bapanya percaya akan tiba tidak lama lagi. Namun akhirnya ayahnya sedar bahawa hari akhir yang ditiliknya tidak datang.

Abangnya Tyler meyakinkan Tara bahawa dia harus keluar dari rumahnya dan bersekolah, Tyler mencadangkan bahawa dia memulakan pelajaran di Bringham Young University (BYU) yang menerima pelajar yang tidak bersekolah, asalkan mereka berjaya melepasi ujian ACT. Tara belajar sendirian, cuba mencari masa disamping berkerja dengan ayahnya sehinggalah dia berjaya dan diterima masuk ke BYU. Di BYU beliau mula melihat dunia sebenar, bukan lagi dunia sekecil kehidupan lamanya, beliau mula membuat perbandingan antara kepercayaannya dengan realiti sebenar. Walaupun ayahnya pada mulanya tidak percaya akan pendidikan formal dan tidak mahu Tara menyambung pengajian, Tara masih merekodkan ada ketikanya ayahnya membantunya, memberi kata-kata semangat, dan memberi sedikit wang. Belajar pada ketika itu bukan merupakan perkara yang mudah kerana beliau turut bekerja untuk membayar yuran, sewa, dan menanggung kos sara hidup. Ketika itu beliau sedar akan kuasa wang terhadap pendidikan, adanya wang membuatkan seseorang boleh berfikir tentang perkara lain selain wang. Dengan wang seseorang itu dapat fokus pada pelajaran tanpa perlu berfikir akan komitmen-komitmen kewangan lain. "Curiosity is a luxury reserved for the financially secure" tulis beliau.

Antara watak yang penting dalam memoir Tara adalah abangnya Shawn. Beliau muncul dipertengahan memoir ini, Shawn pada mulanya merupakan abang yang baik, yang rapat dengat Tara. Namun dia juga merupakan seorang yang ganas yang selalu membuli (atau mungkin menderanya) secara fizikal. Shawn bukan sahaja memberi kecederaan fizikal pada adiknya (dan kemudian isterinya sendiri) dia juga meninggalkan kesan psikologi terhadap Tara dengan bahasa-bahasa kasar yang beliau ungkapkan kepadanya. Shawn merupakan antara sebab berlakunya perpisahan antara Tara dan keluarganya. Namun ada juga ketikanya Shawn menjadi penyelamat buat Tara, memastikan keselamatannya semasa bekerja di kilang besi juga memberikannya wang untuk belajar.

Melihat keadaan Tara, rakannya Robin membantu beliau untuk mendapatkan pertolongan, dia memastikan Tara mendapat kaunseling dari seorang Bishop yang meyakinkannya untuk mendapatkan bantuan keewangan. Tetapi beliau menolak, kerana dia belum boleh melepaskan keyakinan-keyakinannya, ketidakpercayaannya kepada kerajaan. Namun akhirnya dengan bantuan Robin dan Bishop tersebut, Tara mendapat geran untuk belajar, kini dia tidak perlu lagi bergantung kepada keluarganya atau berkerja, mindanya kini bebas untuk berfikir dan belajar.

Kesan pendidikan dan pembesaran mereka sekeluarga dirasai sehingga mereka dewasa, abangnya Tyler sebagai contoh, walaupun sudah keluar dari kepompong keluarga mereka, menyambung pelajaran hingga ke peringkat PhD dan menjadi saintis, masih melihat dunia melalui paranoia ayahnya, tidak mengimunisasikan anaknya sehinggalah dipujuk oleh isterinya bertahun-tahun sebelum berjaya. Paranoia ayahnya bukanlah tidak mempunyai sandaran langsung, ketidakpercayaan ayahnya kepada kerajaan sebagai contoh berpunca dari kisah benar seperti pembunuhan keluarga Weaver di Ruby Ridge, juga insiden pembunuhan di Waco oleh pihak kerajaan. 

Ketika ayah dan ibunya datang ke Cambridge semasa beliau menyambung pengajian PhD, beliau diberi pilihan sama ada untuk menerima “pengampunan” dari ayahnya dan “disucikan” dari dosa-dosanya. Tetapi beliau akhirnya menolak, kerana penyerahan itu membawa makna dia akan mengkhianati pendidikannya. Usahanya selama ini untuk melihat dan merasai kebenaran lebih dari “kebenaran” yang dikatakan oleh ayahnya, dan menggunakan kebenaran itu untuk membina pemikirannya sendiri.

Tara berpendapat kebolehan menganalisa pelbagai idea, pelbagai sejarah, pelbagai perspektif hidup, pelbagai pendapat, adalah paksi utama dalam proses pembinaan diri. Pelajaran, pembacaan, pemikiran, dan pengembaraan telah mentransformasikan dirinya menjadi individu baru. Tara kini tidak lagi pasti sama ada dia masih lagi sebahagian dari keluarganya. Pada penghujung memoir beliau, Tara menceritakan bagaimana transformasi pendidikan menyebabkan beliau terputus hubungan dengan keluarganya. Dia tidak dapat lagi menyerahkan pemikirannya untuk dikawal dan ditentukan oleh ayahnya. Hanya beberapa orang abangnya dan makciknya masih berhubung dengan beliau.

Membaca memoir ini memberi kesan yang kuat berkenaan dengan kuasa ilmu terhadap pemikiran seseorang. Bagaimana Tara, seorang anak perempuan yang miskin dan berfikir mengikut apa yang ditentukan oleh ayahnya berubah dengan bantuan pendidikan. Menjadi individu tersendiri, yang mempunyai fikiran sendiri, mampu dan berani membuat keputusan sendiri. Ia adalah satu pengalaman perjalanan pendidikan yang begitu mencabar, ia memberi kita gambaran tentang nilai harga sebuah pendidikan, dan dalam kes ini, harganya adalah keluarganya sendiri.

Proses pendidikan adalah proses menjadi individu sendiri, ia boleh dinamakan dengan pelbagai nama seperti transformasi, metamorfosis, kesilapan atau pengkhianatan. Tetapi bagi Tara ia adalah pendidikan. “You could call this selfhood many things. Transformation. Metamorphosis. Falsity. Betrayal. I call it an education” tulis beliau.


Khamis, 16 Julai 2020

PPSMI: Diskusi bersama Wern Han



Pada 16 Julai 2020 sekitar jam 12 petang, saya berkesempatan untuk berdiskusi dengan Wern Han salah seorang ahli kumpulan GE-Global di Facebook. Beliau berkongsi pautan berita dari Malaysiakini tentang jawapan menteri pendidikan, Radzi Jidin di Parlimen yang menyatakan bahawa program PPSMI tidak akan dihidupkan semula, dan pengajaran tulisan Jawi akan diteruskan.

Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri. Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60 tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.

Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru. Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan, ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia, dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji polisi pendidikan negara.

Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan. Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap Malaysia?

Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26, dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland (Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia, Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di tempat kedua.

Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han, pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi. Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia. Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?

Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.

Selasa, 14 Julai 2020

Belajar Sepanjang Hayat


Dalam buku tulisan Iltizam Iman yang bertajuk 'Menolak Perintah' ada diperbahaskan soal-soal pendidikan. Saya sangat gemar perbahasan tersebut. Terutamanya persoalan-persoalan falsafah pendidikan, seperti mengapa kita belajar? Adakah belajar sekadar menghafal? Adakah ijazah sekadar tiket untuk masuk ke alam pekerjaan?

Ya, betul. Banyak yang kita boleh kritik tentang sistem pendidikan, malah kritik itu boleh pergi ke dasar, fundamental pendidikan, bukan sekadar cabang atau teknik mendidik. Dan kita juga boleh buat kesimpulan yang berbeza. Ada yang menyimpulkan bahawa pendidikan formal itu memandulkan potensi berfikir secara kritis, lalu meninggalkannya dan mencuba pendidikan alternatif sendiri seperti homeschooling. Ada juga yang menyimpulkan bahawa, ya, memang bermasalah, oleh itu pendidikan perlu diteruskan dirumah sesudah sekolah dan universiti, sekolah tidak boleh di harap penuh, ia perlu disambung oleh ibubapa di rumah.

Terserah kepada kita untuk membuat kesimpulan berdasarkan kefahaman dan gaya fikir kita. Ya teknologi hari ini telah merevolusikan tentang cara kita memandang pendidikan. Jimmy Wales pengasas Wikipedia dalam wawancara oleh Aljazeera, dalam hujahnya mempertahankan kegunaan Wikipedia yang dituduh tidak akademik, membawakan kisah Jack Andraka yang mencipta idea diagnosis test untuk pancreatic cancer hanya dengan menggunakan Google dan Wikipedia. 

Teknologi membolehkan kita belajar apa sahaja yang kita mahu dalam beberapa saat sahaja. Ingin tahu apa itu Kalam Cosmological Argument yang dipelopori semula oleh William Lane Craig? Kita boleh tonton sahaja di Youtube. Ingin belajar tentang konsep fundamental breach dalam undang-undang yang sekarang dianggap telah outdated, kita boleh baca kes mahkamah Photo Production v Securicor dengan mencari di Google.

Dalam erti kata lain, teknologi memberikan kita cara untuk belajar apa yang kita mahu belajar. Bukan kita belajar apa yang kita disuruh untuk tahu, apa yang disuruh kita untuk belajar. Namun saya secara peribadi beranggapan, institusi formal masih ada nilainya, dan masih ada pentingnya. Terutamanya dalam mengabsahkan pengetahuan seseorang dalam sesuatu bidang. Walaupun tidak bererti takpa pengabsahan itu bermaksud seseorang itu tidak tahu.

Selepas habis sarjana muda dahulu, saya menyambung pengajian pasca-siswazah. Ternyata ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Kita bukan sahaja belajar tentang metodologi untuk belajar, metodologi untuk bertanya, saya juga dapat fahami bahawa belajar itu satu proses masa yang panjang. Walaupun dalam institusi formal kita diberi masa untuk melengkapkan pengajian, ada bidang-bidang yang memerlukan masa untuk ditekuni. Dan saya tidak berjaya menghabiskan pengajian.

Memasuki alam pekerjaan, belajar secara formal merupakan satu cabaran besar. Kita bukan sahaja perlu mencari titik keseimbangan untuk masa bersama keluarga, isteri dan anak-anak. Kita juga perlu mencari keseimbangan terhadap masa kita untuk pekerjaan, masyarakat, diri sendiri, hobi, dan seribu satu perkara yang lain. Namun walaupun kini telah tua, saya harap perasaan untuk menuntut ilmu itu kekal muda.

Antara sebab saya bekerja di syarikat saya adalah falsafahnya yang mendorong pekerja melanjutkan pengajian. Pada mulanya dahulu, pekerja yang menyambung pengajian di bayar yuran mereka, ini bagi saya merupakan satu insentif yang baik. Walaupun sudah jauh dari institusi akademik, kita boleh meneroka ilmu di institusi-institusi professional. Walaupun sijilnya tidaklah setaraf dengan sijil akademik, tetapi ilmunya tetap dihargai di dalam bidang industri. Ilmu itu bukan milik institusi akademik sahaja. Namun jauh disudut hati saya, jika berjaya menyelesaikan pengajian professional, saya ingin menyambung pengajian yang tertangguh, menjadi murid semula walaupun telah tua.

Biarlah mati ketika sedang menuntut ilmu, barulah perpatah "tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad" itu terlaksana.

Ahad, 31 Mei 2020

Keperluan Kepada Pendidikan Seksual



Jika siapa yang pernah membaca buku saya, mereka akan mendapati kritikan saya terhadap sistem pendidikan. Ya, saya setuju, tidak boleh kita longgokkan semua pendidikan di bahu sekolah, kerana sekolah mempunyai banyak limitasi. Jadi kritik terhadap pendidikan itu bersifat umum. Antara perkara yang saya pernah kritikkan, sesuatu yang saya rasa hilang dari sistem pendidikan kita adalah mendidik manusia menjadi ahli keluarga dan masyarakat, pendidikan kita terlalu berfokus kepada melahirkan pekerja, graduan mahu segera dipasarkan, graduan dan pasar tidak dapat dipisahkan.

Tanpa menafikan kepentingan untuk berkerja, yang merupakan inti utama dialektik materialisma Marx, iaitu manusia memerlukan keperluan-keperluan material untuk hidup, kita juga tidak dapat menafikan bahawa manusia itu bukan sekadar tercipta untuk bekerja. Selepas habis 8 jam bekerja dia akan pulang kepada keluarga dan masyarakat, dia menjadi ‘ahli masyarakat’. Marx sendiri sedar akan perkara ini, sebab itu dia menulis manusia perlu bebas bukan sekadar menjadi pekerja. Kata Marx, manusia perlu bebas “memburu di pagi hari, memancing di tengah hari, menjaga lembu sebelah petang, dan menjadi pengkritik selepas makan malam”.

Selain pendidikan menjadi ahli masyarakat, pendidikan mengurus kewangan, yang hilang dari silibus kita, pendidikan seksual juga hilang dari silibus kita. Saya bukanlah seorang advocate untuk pendidikan seksual di sekolah, tetapi bagi saya pendidikan itu perlu dilalui sebelum ahli masyarakat mendirikan rumah tangga. Ya, kita ada kursus kahwin sebelum berkahwin, tetapi setelah melaluinya saya rasa ia tidak cukup untuk mendidik ahli masyarakat kita.

Pendidikan seksual juga merupakan taboo dalam masyarakat, saya tidak dapat bayangkan ibu bapa mengajar anak mereka perihal seksual dalam masyarakat kita. Saya yakin ia perlu diajar oleh pihak ketiga. Namun jika pihak ketiga itu adalah pornografi dan bahan-bahan yang merosakkan, masyarakat kita (lebih spesifik anak muda kita) akan mendapat kefahaman yang salah tentang persoalan seksual. Membantu masyarakat mengurus konflik seksual rumah tangga dengan tertib dan mengikut lunas syariat.

Sebab itu kita memerlukan satu pendidikan yang selamat, tidak lucah, mengikut syariat Islam, bagi memenuhi keperluan ilmu baik untuk yang akan berumah tangga atau belum berumah tangga. Seorang sahabat berkongsi kepada saya salah satu bentuk pendidikan yang disediakan oleh seorang ahli kaunselor yang bertauliah dengan harga yang sangat murah. Saya merasakan usahanya sangat baik untuk mengisi salah satu kotak kosong pendidikan dalam masyarakat kita. Saya yakin dengan penerangan beliau, beliau meminta bantuan saya mempromosikannya agar lebih ramai mendapat manfaat.

Saya sertakan linknya disini bagi mereka yang memerlukan. Jangan risau, privasi anda dijamin selamat, dan kandungan pendidikannya selari dengan kajian psikologi sains moden dan bernaung di dalam syariat Islam.

Moga-moga ia membantu ahli masyarakat yang memerlukan ilmu ini agar terbina masyarakat yang aman, bahagia, dan sejahtera. Insha’Allah ameen.