Sabtu, 22 Jun 2024
Kecintaan Kepada Sastera & Persuratan
Rabu, 17 April 2024
Mengenang Haji Mohamed Noh bin Jaafar
Gambar Haji Mohamed Noh bin Jaafar ketika beliau masih muda. Di-scan dari album simpanan keluarga. (undated) |
27 Mac 2024 merupakan hari Khamis biasa sahaja, sebahagian dari Khamis di bulan Ramadhan. Saya memang bercadang untuk balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Pagi itu ibu mengkhabarkan bahawa atuk sudah kembali ke pangkuan ilahi. Pada mulanya saya menjangka jenazah akan di bawa pulang ke Bagan Datuk, jadi saya pulang agak lambat. Saya hanya bergegas apabila dimaklumkan atuk akan dikebumikan di Kuala Lumpur. Walaupun kalut, mujur saya sempat tiba dari Sungai Petani, Kedah ke Masjid Ar-Rahimah, Gombak sebelum solat Asar dan sempat menyertai sembahyang jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada atuk.
Menurut Wo (nenek saya), atuk merupakan orang Banjar generasi ke-3 di Bagan Datuk. Atuk tidak biasa melakukan kerja-kerja berat seperti terlibat dalam sektor perladangan kelapa yang terkenal di Bagan Datuk. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk berniaga. Beliau pernah membuka kedai runcit di rumahnya di Kampung Parit Tengah. Atuk juga merupakan seorang yang meminati fotografi, antara kerja seninya adalah mengambil gambar ibu ketika kecil dalam satu gambar, kelihatan seperti ada dua budak perempuan dalam gambar, tetapi sebenarnya budak tersebut adalah budak yang sama (ibu saya ketika kecil). Ibu juga menceritakan dahulu di rumah mereka ada bilik gelap, di mana atuk selalu mencuci gambar-gambar yang ditangkapnya.
Atuk juga merupakan seorang yang beragama dan menjadi imam di surau berdekatan dengan rumahnya. Apabila tiba hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, apabila usianya sudah sedikit lanjut, dia akan menyuruh anak-anaknya membacakan khutbah raya menggantikaannya. Antara yang pernah membaca khutbah raya ini adalah pakcik saya Pakteh dan arwah Oncu Mun. Kemudian, tanggungjawab ini diberi kepada cucu-cucunya iaitu kami adik-beradik. Kerana kami bersekolah di sekolah agama. Perkara ini menjadi bualan setiap kali hari raya oleh saudara-mara dan orang-orang kampung, tentang anak Norizan yang membaca khutbah. Biasanya teks khutbah akan diberikan kepada kami oleh arwah Atuk Ho (nama sebenar beliau adalah Sahar bin Sidin, beliau adalah adik kepada Wo, beliau meninggal dunia pada 23 Januari 2022). Selepas khutbah hari raya, biasanya ada jamuan makan yang disediakan di dalam dulang di Surau Kampung Parit Tengah.
Atuk Ho (Sahar bin Sidin) memeluk saya semasa majlis perkahwinan saya pada tahun 2014. |
Seingat saya, arwah atuk juga seorang yang pandai berbahasa Arab. Kerana saya bersekolah di sekolah agama sejak sekolah rendah. Apabila pulang ke kampung, atuk akan bertanya-tanya kepada saya soalan dalam bahasa Arab. Jika saya tidak tahu apa yang beliau sebutkan, maka dia akan menerangkan kepada saya maksud perkataan tersebut. Atuk juga seingat saya rajin bertukang. Sebahagian dari rumah di kampung itu dibuatnya sendiri. Dahulu seingat saya di tepi rumah itu ada semacam satu bangsal yang dibina oleh atuk setinggi dua tingkat. Saya selalu memanjat bangsal tersebut kerana di tingkat atas bangsal tersebut ada buku-buku dan majalah lama yang saya biasa selak-selak apabila balik ke kampung.
Saya tidak sempat melihat kedai runcit atuk. Zaman kanak-kanak saya, apa yang saya ingat adalah atuk dan Wo berniaga makanan di gerai mereka di Bagan Datuk. Di kedai ini, atuk biasa bertugas sebagai pembancuh air. Kadang-kadang kalau pulang ke kampung, segan juga saya mahu order air, sebab atuk yang akan membancuhnya. Patut saya yang pergi bancuh air sendiri. Apabila cuti sekolah yang agak lama, kadang-kadang ibu dan ayah akan menghantar saya pulang ke kampung. Saya masih ingat pada ketika itu naik bas lompat-lompat. Dari Kuala Lumpur ke Medan Gopeng, Ipoh. Kemudian naik bas lain, bas ini akan melalui kawasan estet-estet, dan saya akan turun di Masjid Selekoh Bagan Datuk. Di situ saya akan menunggu Wo datang mengambil saya. Duduk di kampung saya melihat bagaimana Wo akan bangun awal pagi seawal jam 4 pagi untuk masak nasi lemak. Nasi lemak ini, bersama sambal, dan lauk kemudian dimasukkan ke dalam kereta Perodua Kancil untuk dibawa ke gerai, Wo dan atuk akan ke gerai mereka di Pekan Bagan Datuk sebelum subuh. Gerai ini terletak di belakang pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara, Bagan Datuk, namun semasa saya kecil, pejabat ini belum ada. Hari ini gerai ini diambil alih oleh pakcik saya, nama gerainya adalah Wanwaina Corner.
Kubur Mohamed Noh bin Jaafar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423 |
Begitulah sedikit sebanyak memori yang saya ada perihal arwah atuk. Seminggu sebelum atuk meninggal dunia, saya sempat menziarahinya di Bagan Datuk, pada ketika itu atuk sudah pun lemah di usia 91 tahun. Atuk meninggal di rumah ibu di Gombak dan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ayah saya, iaitu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423.
Al-Fatihah buat Arwah Atuk. Allahummaghfirlahu warhamhu.
Mohamed Noh bin Jaafar
(04 Januari 1933 - 27 Mac 2024)
Ahad, 17 Mac 2024
Menziarahi Atuk Yang Sekarang Berumur 91 Tahun
Gambar atuk (Mohamad Noh bin Jafar) menunaikan haji/umrah pada tahun 1994. |
Saya bersama ibu menemani Atuk dan Wo untuk menghantar mereka menunaikan haji/umrah pada tahun 1994. |
Ahad, 7 Mei 2023
Mencari Akar dan Susur Galur: Sejarah Changkat Tin & Anak Keturunan Mat Selan
Masjid Changkat Tin, Tanjung Tualang, Kinta, Perak. Foto bertarikh 02 Januari 1965. Foto dari dalam simpanan Tok Imam, Haji Mohamad Jiplus bin Kulup Md Saman. |
Sejak ayah meninggal pada tanggal 29 Februari 2020, keinginan hati saya untuk menjejaki dan memahami keturunan dan susur galur keluarga semakin kuat. Benarlah kata-kata pujangga yang mengatakan kita akan menghargai sesuatu apabila ia hilang. Juga seperti yang ditulis oleh Rumi dalam puisi-puisinya, bahawa manusia itu selalu sahaja mencari ketiadaan. Arwah ayah dahulu sering menerangkan asal usulnya, jika menziarahi saudara-maranya, akan diterangkan ini siapa, dan bagaimana kami bertali darah dengan mereka. Tetapi saya tidak begitu mengambil perhatian, mungkin saya merasakan ayah akan bersama lama lagi dengan kami, juga saya merasakan hiraki dan simpulan keluarga yang berselirat ini terlalu kompleks untuk difahami. Hinggalah ayah tiada, saya tersentak, baru perhatian saya tiba-tiba tersedar.
Sejak dari itu saya mula mengambil perhatian hal-hal pertalian kekeluargaan. Apabila membuka minda, baru saya sedar sebenarnya seliratan pertalian keluarga ini tidaklah begitu sukar difahami. Jika kita perlahan-lahan mendengar dan memberi perhatian, sebenarnya ia boleh dikecapi akal. Saya mulakan projek menulis sejarah keluarga. Walaupun saya tidak pasti ia boleh dilakukan atau ia boleh disiapkan semasa saya hidup. Jika tidak, paling tidak, bahan-bahannya ada dikumpulkan. Saya mula rekodkan temubual dengan nenek, makcik, dan pakcik yang masih hidup. Malah saya menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia untuk membantu saya dalam projek ini walaupun saya sebenarnya berasal dari bidang kejuruteraan, saya memegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin dari sebuah universiti di Rusia.
Apabila mengetahui sejarah keluarga, saya semakin seronok apabila balik ke kampung. Dahulu balik kampung nak mencari ikan haruan, sepat, dan puyu, tapi hari ini nak bersembang dengan pakcik dan makcik, nak tahu cerita-cerita lama, nak catat agar ia tidak hilang dari memori zaman. Antara benda yang saya mahu lakukan adalah masuk semula ke dalam rumah pusaka di Changkat Tin, bukan hanya kerana memori, tetapi kerana sering dikatakan masih ada dokumen-dokumen keluarga yang tersimpan di rumah lama tersebut.
Haji Mohamad Jiplus (berserban dan berkain pelikat) bersama Andak Jijah (berbaju kurung) berjalan menuju ke sebuah majlis kenduri. Foto circa 1985. |
Pada 23 April 2023, saya maklumkan pada Makchu (Sharifah Salwah) akan perkara ini, saya bagi tahu saya nak singgah dan ambil barang-barang yang masih tersisa. Terus Makchu menalifon Pakyang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Pakyang memberi saya kunci rumah untuk saya masuk. Kami masuk bersama dan menyelamatkan beberapa dokumen, tapi tidak kesemuanya kerana kesuntukan masa pada ketika itu. Antara yang berjaya diselamatkan adalah album-album gambar lama. Albumnya sudah rabak, tetapi gambarnya sebahagiannya masih terpelihara. Saya beli album baharu untuk menjadi rumah baharu gambar-gambar lama tersebut. Sebahagiannya saya scan dan kongsikan bersama keluarga di whatsapp dan facebook.
Teknologi dan media sosial juga membantu menghubungkan saya bersama keluarga terutamanya yang hubungannya sedikit jauh dan berlapis. Apabila saya berkongsi gambar-gambar lama, antara yang dapat saya hubungi adalah Kak Hanie Shaari yang merupakan dua pupu saya yang tinggal di Taman Raia Sentosa, Ipoh. Saya mengambil peluang sempena cuti hari raya untuk berjumpa dengan Kak Hanie. Kemudian dia membawa saya bertemu dengan ayahnya, Shaari bin Pandak Abbas (yang saya panggil Paklang) di Kampung Paya Rengas, Ipoh. Ayahnya adalah anak Opah Mariam. Opah Mariam adalah adik beradik dengan Opah Andak Jijah Mat Selan. Jadi Paklang adalah sepupu kepada arwah ayah.
Banyak juga yang saya sembangkan dengan Paklang Shaari yang pada ketika itu sudah berumur 82 tahun. Juga bersama isterinya, Rokidah binti Alang Ismail (berumur 79 tahun). Menurut Paklang, dia dahulu selalu berkebun bersama Mat Selan yang dahulunya duduk di Bakap, Batu Gajah. Rumah di Bakap tersebut menurutnya sudah roboh. Ibunya, Opah Mariam merupakan anak dari isteri pertama Mat Selan, sama dengan Opah Andak Jijah. Menurut Opah Rokidah, anak pertama Andak Jijah, Jalaluddin kuat menangis semasa kecil, tidak diketahui mengapa, hingga kadang-kala opah perlu membawanya keluar dari rumah supaya atuk dapat tidur. Jalaluddin kemudian berkerja sebagai pensyarah dan meninggal dunia pada usia 40-an. Anak kedua Andak Jijah, Said Nasir, menurut beliau tidak seperti anak pertama, Nasir tidak banyak menangis semasa kecil, Nasir kemudian menyambung pengajian di Kolej Kuala Kangsar. Ditanya perihal Khair, katanya Khair pernah bersekolah di Sekolah Sultan Yusuf. Atuk, Haji Mohamad Jiplus pula menurut mereka pernah mengajar sekolah agama bersama Andak Jijah, namun fakta ini tidak benar-benar dapat dipastikan dan perlu kepada kajian lanjut.
Menurut Syed Azfar (Yop), fakta dari Opah Rokidah berkenaan dengan pendidikan dan pekerjaan anak-anak Andak Jijah ini sedikit berbeza dengan maklumat yang diperolehinya. Menurut Yop, Jalaluddin menyambung pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemudian berkerja sebagai pengarah MARDI. Manakala Nasir pula bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Perkara ini disahkan oleh anak Jalaluddin sendiri iaitu Kak Jasmin yang menyatakan bahawa ayahnya bukan seorang pensyarah tetapi ibunya yang bertugas sebagai pensyarah di UPM. Semasa di sekolah, Jasmin masih ingat dia menulis pekerjaan ayahnya Jalaluddin sebagai Pegawai Penyelidik MARDI, anak-anaknya memanggil beliau sebagai doktor tanah kerana beliau mempunyai PhD dalam soil science. Ini dipersetujui oleh adiknya Nadia Jalaluddin. Menurut Jasmin lagi, jawatan terakhir ayahnya adalah Pengarah Bahagian Promosi Teknologi MARDI, beliau meninggal dunia pada tarikh 11 November 1992 pada usia 46 tahun.
Bersama Shaari bin Pandak Abbas (Paklang), Rokidah binti Alang Ismail dan Kak Hanie. |
Mat Selan merupakan anak ke-4 kepada Ngah Endah (Mat Selan bin Ngah Endah). Antara adik beradiknya yang lain adalah Manan. Manan mempunyai anak yang terkenal, namanya Radhi Manan. Menantu Radhi Manan pernah menjadi menteri besar Perak, namanya Ahmad Faizal Azumu. Antara adik beradik Mat Selan yang lain adalah Opah Wan Puteh dan Andak Jelas. Andak Jelas adalah seorang lelaki yang mempunyai anak bernama Isa namun sudah meninggal dunia, mereka mempunyai sedara mara di Changkat Lalang. Adik Mat Selan yang bongsu bernama Abdul Ghafur, yang sulung bernama Wan Tua. Seorang lagi adik beradik mereka bernama Hitam Ahmad bin Ngah Endah.
Dari perjumpaan ini juga, dapat dikenal pasti anak-anak Haji Mat Selan hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang bernama Fatimah.
2. Mariam
3. Rokeah
4. Ahmad (meninggal semasa berusia 6 tahun)
5. Andak Jijah
6. Ramli
7. Hamidah, dipanggil sebagai Wan Chor
8. Samsiah
Selepas saya bertemu dengan Paklang Shaari, saya ke rumah pusaka di Changkat Tin. Saya memberi salam kepada penyewa di rumah bawah, tetapi tidak bersahut, saya rasa dia tiada di rumah. Kemudian saya pun naik ke atas, rumah atas berhabuk teruk dan agak panas. Pakyang tidak bagi membuka elektrik, takut terbakar, jadi perlu membuka tingkap agar ada cahaya masuk. Saya membawa dua kotak untuk mengisi dokumen-dokumen dan gambar-gambar lama untuk diselamatkan. Kali ini saya berjumpa 3 album gambar baharu, dan banyak dokumen-dokumen lama termasuk dua diari Hj. Mohamad Jiplus. Banyak juga kertas-kertas yang sudah reput dan menjadi seperti tanah. Dalam kepanasan berkerja menyelamatkan dokumen-dokumen yang ada ini, saya teringat tulisan al-Mas'udi yang merupakan ahli sejarah Islam yang digelar sebagai Herodotus Arab. Dalam kitabnya Muruj al-Dhahab wa-Ma'adin al-Jawhar (Lapangan Emas dan Lombong Permata), beliau menyifatkan usahanya menulis sejarah sebagai "usaha menyelamatkan cebisan-cebisan berharga masa lalu dari kemusnahan". Dalam kepanasan, memeriksa dokumen berhabuk selama dua jam itu, saya merasakan saya mempunyai misi yang sama dengan al-Mas'udi, iaitu memelihara cebisan-cebisan sejarah keluarga yang masih ada dari luput dihancurkan masa. Masa menghancurkan semuanya, tiada siapa yang dapat terlepas darinya, manakala sejarah adalah sisa-sisa kecil yang terselamat dari penghancuran itu.
Opah Andak Jijah bersama cucunya Nadia Jalaluddin di ribanya dalam sebuah majlis perkahwinan. Foto circa 1985. Antara gambar yang berjaya diselamatkan dan didigitalkan pada 06/05/2023. |
Selepas dua jam berpeluh dan berhabuk, saya ke Masjid Changkat Tin membersihkan diri sebelum bertandang ke rumah Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) di Kampung Batu 7, Tanjung Tualang. Opah Imah adalah adik kepada Opah Andak Jijah, ibunya bernama Embun. Apabila Mat Selan meninggal dunia, adik beradik mereka pada ketika itu masih kecil, duit yang diterima Embun dari pembahagian faraid tidak banyak, anaknya ramai, 10 beradik. Maka abangnya Ramli Mat Selan mengarahkan adik beradiknya yang merupakan anak Mat Selan hasil perkahwinan dengan Fatimah, masing-masing memelihara adik-adik tiri mereka. Begitulah kisahnya bagaimana Opah Imah duduk di Changkat Tin selama 3 tahun bersama Opah Andak Jijah, semasa itu beliau masih kecil dan bersekolah. Selepas kematian Ramli, mereka adik beradik, duduk semula semuanya bersama ibu mereka, Opah Embun.
Kerana pernah tinggal 3 tahun di Changkat Tin, Opah Imah memang rapat dengan anak-anak Andak Jijah yang pada ketika itu seusia dengannya. Dia masih ingat tidur sekelambu semasa kecil bersama Salwah dan Basri. Juga Karim yang disifatkannya suka bergurau, menurut Opah Imah, Karim suka meniru gaya pengulas bola, dan Karim mempunyai nama panggilan kelakar untuk adik-beradiknya. Semasa Jalaludin pulang dari Kanada, Opah Imah ingat lagi dia dibawa Jalaludin menaiki sport car-nya, dia merasa seronok kerana Jalaluddin menyuruhnya duduk depan bersamanya.
Menurut Opah Imah, Syed Mohd Khair bersekolah rendah di Sekolah Changkat Tin, kemudian di Sekolah Tanjung Tualang dari tingkatan 1 hingga 3 dalam English Medium. Kemudian dia ada fasa peralihan sebelum menyambung dalam bidang sains di Sekolah Sultan Yusuf. Kerana adanya tahun peralihan, Opah Imah sempat bersekolah bersama Khair semasa di tingkatan 5 di Sekolah Sultan Yusuf. Menurut Opah Imah, walaupun ibunya Embun hidup susah, dia tetap memastikan semua anak-anaknya bersekolah hingga habis SPM dengan mengambil upah menoreh getah. Pernah ketikanya rumah mereka putus beras, ibunya Embun ke rumah jiran mahu meminjam beras, namun jiran turut tiada beras, kerana dahulu semuanya hidup susah. Terpaksa mereka berlapar, kadang hanya minum air paip untuk menghilangkan sedikit lapar.
Tidak puas rasanya bersembang bersama Opah Imah, namun hari sudah larut menghampiri maghrib dan saya terpaksa beransur untuk pulang ke Sungai Petani, esok anak-anak mula bersekolah. Saya berfikir saya perlu mengatur satu rakaman temubual bersama Opah Imah, agar sejarah ini dapat direkod dengan lebih sistematik. Moga kesempatan itu nanti akan hadir di masa hadapan.
Gambar kenang-kenangan bersama Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) pada 06 Mei 2023. |
Ahad, 30 April 2023
Balik kampung nak sembang apa?
Gambar nenek saya, Andak Jijah binti Mat Selan. Foto bertarikh Februari 1985 yang dijumpai di dalam album lama dari rumah pusaka di Changkat Tin. Gambar ini telah selamat didigitalkan. |
Saya kira manusia zaman kini mungkin sudah sangat jauh dari akar mereka. Kebanyakan mereka mungkin merupakan manusia baharu, manusia digital yang hidup di alam maya, jika dikeluarkan mereka dari alam digital mereka, mereka mungkin lemas dan tidak tahu bagaimana untuk hidup.
Jika disuruh balik kampung, mindanya akan rungsing. Apa yang mahu dibualkan dengan orang kampung dan saudara yang lama tidak berjumpa? Macam mana nak jawab jika makcik dan pakcik di kampung bertanya soalan yang dirasakan sensitif seperti bila mahu kahwin? Macam mana nak meraikan anak-anak sedara yang balik kampung cakap bahasa Inggeris? Yang ada adalah kerungsingan dalam dirinya apabila terpaksa berpisah sebentar dari dunia digital dan masuk ke dunia realiti di kampung.
Sedang dia tidak sedar, bahawa masa yang ada di tangannya umpama biji-biji pasir yang halus, semakin digenggam, semakin ia mengalir perlahan di celahan jarinya. Semakin lama ia semakin sedikit dan hilang. Begitu jugalah kampung dan orang-orangnya. Mereka tidak sedar, cuti yang ada adalah kesempatan emas untuk mereka mengetahui akar dan sejarah mereka sendiri.
Saya dahulu, seperti anak-anak kecil lain, jika balik kampung memang teruja. Tapi bukan kerana hendak berjumpa atuk, nenek, dan sedara mara. Tetapi mahu meneroka sungai dan parit, mahu mencari ikan haruan, puyu, dan sepat. Di Bagan Datuk, dahulu merupakan kawasan ladang kelapa dan koko, sekarang banyak sudah menjadi sawit, pergi ke rumah sedara mara, yang lebih dikisahkan adalah monyet ditepi rumah, yang menjadi assistant kepada penduduk kampung untuk memetik buah kelapa.
Saya langsung tidak sedar, bahawa saya punya masa yang sedikit sahaja bersama opah dan atuk di kampung. Pernah sekali, arwah ayah suruh bersembang dengan opah, opah saya bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Itu sahaja satu ketika yang saya ingat saya bersembang dengan opah, di mana opah cerita kehidupannya di zaman Jepun, bagaimana mereka survive dan menyorok dalam parit. Masa lain dihabiskan dengan meneroka hutan depan rumah sampai kena gigit tungau dan juga main baling cedok di telaga depan rumah nak tengok ada ikan apa.
Melihat gambar opah di Facebook, adik beliau, Rosimah binti Mat Selan berkata:
"Assalammualaikum. Izinkan opah kongsi gambar kakak kesayangan. Rindu dan tiba-tiba menitis airmata terimbau kenangan waktu kami bersama. Setiap hari raya pasti menziarah ke Changkat Tin. Naik bas ramai-ramai. Kini tinggal memori indah saja".
Menurut sepupu saya, Fairuz Ishmah, banyak cerita yang pernah didengari beliau dari opah, kerana sebelum meninggal, opah tinggal di rumah mereka. Antara yang paling diingati adalah opah selalu membelikan mereka aiskrim dan roti dari orang yang menjual menggunakan motosikal "ting-ting". Opah akan suruh mereka ambil duit dalam botol asam, tempat opah menyimpan duit 5 kupang. Saya suruh Fairuz tulis dan kongsi kisahnya bersama opah, dia kata tak boleh diberitahu, rahsia katanya. Tapi saya syak dia sudah lupa.
Sudah besar baru saya ada kesedaran tentang sejarah keluarga. Tentang bertapa sedikitnya yang saya tahu tentang atuk dan opah sebelah ayah yang kini sudah tiada. Wo (nenek) dan atuk sebelah ibu masih ada, saya sedikit bernasib baik, selalu saya sembang perihal asal usul dengan mereka. Wo datang ke Tanah Melayu dari Kuok, Bangkinang semasa masih bayi, atuk pula orang Banjar generasi ke-3 di Perak. Saya teringin belajar bahasa Kampar dan Banjar dari mereka, selalu balik dengar orang tua-tua sembang saya tak faham. Dari satu aspek sudah luntur sedikit warisan keluarga dalam diri. Tapi jika mahu belajar semua bahasa asal usul, saya juga mungkin perlu belajar bahasa Bugis (opah) dan juga Arab (Yaman).
Kini, jika balik kampung, saya biasanya akan bertanya banyak tentang sejarah keluarga yang ada. Yang saya tidak tahu sebab dahulu hanya sibuk cari ikan puyu dan ikan laga. Kalau ada rezeki, mahu dikumpulkan sejarah keluarga dan dibukukan. Jadi aktiviti balik kampung merupakan peluang istimewa buat saya, peluang untuk mengetahui dan memahami akar kewujudan saya. Saya langsung tak ada masa nak sensetif dengan soalan bila nak kahwin atau kenapa anak orang lain cakap bahasa Inggeris.
Gambar bersama Pak Yang (Zulkilpully) di depan rumah pusaka lama yang penuh nostalgia di kampung Changkat Tin, Perak pada 23 April 2023. |
Cukuplah balik kampung menjadi medan saya lebih mengenali ahli keluarga yang jarang berjumpa, dan tempat untuk saya berteduh untuk menggali akar sejarah keluarga. Raya tahun ini (2023), saya berpeluang bersembang dengan pakcik dan makcik yang lama tak bersua. Juga ada pakcik dan makcik yang sebelum ini tidak dikenali, tetapi alhamdulillah tahun ini dapat berkenalan. Tahun ini juga saya berjaya mendapat kunci dari Pak Yang untuk masuk ke rumah pusaka menyelamatkan bahan-bahan sejarah keluarga yang tersisa. Saya sempat menyelamatkan seplastik buku catatan, surat, dan album gambar lama. Ada banyak lagi bahan yang perlu diselamatkan, selepas ini saya akan datang lagi membawa kotak. Walaupun tak sempat bersembang banyak dengan atuk dan opah dahulu, mungkin dengan menyelamatkan dokumen-dokumen lama ini saya boleh lebih mengenali mereka.
Selasa, 15 Februari 2022
Mengenang Atuk Ho (Sahar bin Sidin)
Sabtu, 4 Disember 2021
Diari Atuk: Kembali Ke Tahun 1972 di Changkat Tin, Perak
Pada 31 Oktober 2021, akhirnya berjaya juga aku pergi menziarahi Mak Yang di Bandar Enstek. Mak Yang merupakan kakak kepada arwah ayah, beliau diserang strok semasa PKP. Sebaik sahaja keluar pengumuman kebenaran untuk merentas negeri, menziarahi Mak Yang merupakan perkara pertama yang bermain di mindaku. Selain menziarah, aku juga punya hasrat menemu bual Mak Yang. Telah lama aku pendam hasrat untuk menggali semula sejarah keluarga di belah ayah yang aku rasakan sampai hari ini aku belum memahami dan mengetahuinya sepenuhnya.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, ketika aku menemu ramah Mak Yang, Pak Yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik. Mungkin beliau melihat kesungguhanku, atau mungkin kasihan pada diriku yang begitu clueless tentang sejarah keluarga. Pak Yang keluar dengan sebuah diari, diari atukku sendiri, Syed Mohd Jiplus. Pak Yang menyerahkan kepadaku diari tersebut. Atuk pendiam orangnya tapi suka menulis. Menurut Mak Yang dan Mak Chu, atuk selalu atuk menulis diarinya di kalendar kuda. Tapi rupanya ada juga dalam bentuk diari buku. Menurut Pak Yang, Kampung Changkat Tin awalnya adalah kampung penempatan orang Melayu, mereka dikumpulkan di situ semasa ancaman komunis. Manakala orang Cina pada waktu itu diletakkan di Kampung Timah. Menurut Pak Yang, atuk dahulu belajar di sekolah pondok, setakat ini tiada siapa yang dapat memastikan di mana, tetapi ada yang mengkhabarkan sekolah pondok tersebut di Kedah.
Balik dari perjumpaan tersebut, lama juga masa berlalu sebelum aku mula membuka dan mengkaji diari atuk. Hasratku adalah untuk menjadikan diari atuk ini sebagai asas kepada penulisan sejarah keluarga. Walaupun belum jelas projek ini akan membawa aku ke mana. Mungkin juga diari ini akan aku taip semula, ditranskripkan ke dalam bentuk digital dan cetak untuk simpanan sejarah dan arkib. Bagi aku ia bukan sahaja penting buat keluarga, tetapi juga sejarah setempat bagi Changkat Tin, Perak kerana atuk merupakan pemimpin tempatan di kawasannya. Beliau merupakan imam masjid dan terlibat dengan banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Changkat Tin. Semua ini ada dirakam dalam diarinya. Proses transkripsi ini telah aku mulakan, dan aku merasakan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan, kerana ada sebahagian tulisan tangan atuk sukar ditafsir, juga sebahagiannya di tulis dalam tulisan jawi. Aku juga berhasrat ingin menuliskan sedikit komentari berdasarkan kefahamanku juga maklumat tambahan dari ahli keluarga lain. Berikut aku kongsikan sedikit penelitian aku berdasarkan progres penulisan buat masa kini.
..............................................................................................................................................................
Nota Suntingan
Diari ini ditulis pada buku diari berwarna merah berkulit keras. Di muka hadapan diari tertulis tahun “1979”, ia merupakan buku diari yang dikeluarkan oleh syarikat PERNAS Trading Sdn. Berhad. Ia pada asalnya ditulis tangan, ada sebahagian tulisan ditulis dengan bersambung dan tidak dapat dipastikan dengan tepat perkataan yang ditulis. Dalam masalah ini, usaha terbaik telah dilakukan untuk menentukan perkataan tersebut dengan mengambil kira bentuk tulisan juga makna dan konteks ayat.
Dari segi aspek bahasa, ejaan asal yang ditulis oleh Syed Mohd. Jiplus dikekalkan bagi menjaga keaslian. Keaslian ini dirasakan penting untuk dikekalkan bagi memberi gambaran bagaimana orang pada zaman tersebut menulis, bahasa yang mereka gunakan, dan juga ejaan yang mereka gunakan. Penggunaan singkatan juga dikekalkan kecuali pada tempat-tempat yang dirasakan perlu dijelaskan untuk mengelakkan kekeliruan, namun pengubahan ini dibuat dengan minimum bagi mengekalkan gaya asal penulis.
Pada setiap bab-bab, sebelum dinyatakan tulisan asal diari, komentar umum diberikan bagi menjelaskan apa yang berlaku pada bab tersebut, pengenalan watak-watak yang disebut, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bab tersebut. Pengenalan awal ini merupakan komentar editor, dan bukan merupakan teks asal yang terdapat dalam diari penulis. Ia diletakkan bagi tujuan memudahkan kefahaman bagi pembaca yang mungkin tidak arif dengan penulis dan tidak mengenali watak-wataknya dengan dekat secara peribadi.
Naskah diari ini disunting oleh cucunda Syed Mohd Jiplus, iaitu Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair. Naskah ini pada asalnya disimpan oleh Encik Zulkilpully (menantu Syed Mohd Jiplus, beliau berkahwin dengan Sharipah Hasnah). Ia diserahkan kepada penyunting pada 31 Oktober 2021 dalam satu perjumpaan ziarah di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Walaupun buku diari ini bertahun 1979, isi kandungannya mengandungi tahun-tahun yang lebih awal. Malah entri terawal dalam diari ini adalah pada tahun 1972. Saya berpandangan ia adalah entri yang telah disalin semula dari catitan beliau di tempat lain. Menurut anak-anak Syed Mohd Jiplus, beliau selalunya mencatat di kalendar kuda di rumah. Besar kemungkinan di hujung tahun catatan ini disalin semula ke dalam diari ini apabila kalendar tahunan bertukar. Teori ini dikuatkan lagi dengan cara penulisan diari, semua entri pada tahun tersebut tersusun, dengan gaya penulisan yang sama, nampak seperti ia bukan ditulis secara harian tetapi sekali gus. Dakwat pen yang digunakan juga sekata, tanpa ada perubahan stail.
Buku ini juga tidak disusun semula dalam bentuk kronologi, sebaliknya mengekalkan susunan asal entri jurnal seperti yang ditulis oleh Syed Mohd Jiplus sendiri.
Tahun 1972
Tahun 1972 merupakan tahun pertama yang dicatatkan dalam diari ini. Namun demikian, ia tidak dicatat menurut kronologi, kerana selepas 1972, tahun seterusnya yang dicatatkan adalah tahun 1971. Ini menguatkan lagi teori bahawa diari ini tidak ditulis secara harian. Sebaliknya disalin semula dari catatan di tempat lain.
Zul yang disebutkan dalam diari pada tahun ini adalah merujuk kepada menantu beliau Zulkilpully yang berkahwin dengan Sharipah Hasnah. Menurut Jasmin binti Jalaludin, cucu kepada Syed Mohd Jiplus, Pak Yang (panggilan kepada Zulkilpully oleh anak-anak saudara) pernah membawanya ke auditorium angkasapuri pada tahun 80-an untuk melihat rakaman Hiburan Minggu Ini. Menurut Jasmin antara kenangan yang tak dapat dilupakan adalah pernah menaiki lif bersama Fauziah Latiff. Jasmin juga menceritakan bagaimana di hujung rancangan RTM, biasanya beliau akan menunggu untuk melihat di bahagian credit untuk mencari nama Pak Yang sebagai jurukamera.
............................................................................................................................................................
Projek ini bukan sahaja merupakan satu projek sejarah buat saya, tetapi ia adalah satu perjalanan mencari diri, menjejaki semula akar diri. Saya tidak pasti bila projek ini bakal siap, malah saya tidak pasti adakah ia boleh disiapkan. Tetapi saya yakin, projek ini mampu memberikan saya satu pengetahuan tentang keluarga, tentang diri, walaupun saya belum tahu, apakah yang saya akan dapat fahami itu. Bagi saya itulah tujuan kembara, projek ini adalah kembara peribadi saya.
Jumaat, 26 Februari 2021
Projek Penulisan Sejarah Keluarga
Atuk sebelah ayah saya bernama Syed Mohd Jiplus, diceritakan beliau merupakan generasi ketiga yang berasal dari keturunan Syed Enden yang berkahwin dengan Alang Kilit. Syed Enden dikhabarkan berketurunan dari Arab, dan berpindah dari Melaka ke Changkat Tualang, Kota Baru, Perak. Itulah riwayat yang diturunkan arwah ayah pada saya. Atuk saya merupakan seorang imam di sebuah Masjid di Changkat Tin, sebuah masjid yang berdekatan dengan rumah di kampung. Menurut kakak saya, Syarifah Nabihah, atuk juga selalu mengayuh basikalnya, kadang-kadang sehingga sampai ke lombong bijih timah tempat dia pernah berkerja. Menurut sepupu saya, Mohd Hazarudin bin Zulkilpully, atuk juga jika makan pasti licin pinggannya, dan apabila selesai, atuk akan tuang air kosong ke dalam pinggan dan menghirupnya sebagai tanda penutup selesai makan. Amalan makan sehingga licin pinggan ini diingati dan diamalkan juga oleh cucu atuk yang lain, iaitu Jasmin Jalaludin.
Menurut Rosimah Mat Selan, beliau pernah tinggal di rumah bersama atuk dan opah selama 2 tahun selepas moyang Mat Selan meninggal dunia, beliau memanggil atuk dengan gelaran Abang Cik. Beliau juga memerhatikan perkara yang sama, bagaimana atuk basuh tangan di dalam pinggan selepas makan dan minum air tersebut. Menurutnya lagi, atuk memang seorang pendiam namun baik orangnya, dia selalu memerhatikan atuk berzikir lama selepas solat. Atuk juga walaupun berkain pelikat, dia akan memakai kasut, bukan capal (selipar).
Menurut Jasmin Jalaludin, sepupu yang saya panggil Kak Min, atuk juga seorang yang suka membaca, kata Kak Min "he was an avid reader" hingga menyebabkan dia tension sebab atuk membaca surat khabar pagi berjam-jam, atuk membaca setiap artikel dalam setiap muka surat. Semasa mereka duduk di Petaling Jaya, Serdang, dan Bangi mereka melanggan dua surat khabar, Utusan dan New Strait Times (NST). Jika atuk sudah mengambil Utusan, Kak Min terpaksa mengambil NST, namun apabila dia sudah habis membaca NST, atuk biasanya belum habis lagi baca akhbar Utusan. Jadi akhirnya Kak Min terpaksa duduk disebelah atuk untuk baca sekali akhbar Utusan. Atuk biasanya akan membentangkan akhbar di atas lantai, jadi Kak Min akan duduk dan baca disebelah bersama atuk.
Kak Min merupakan anak kepada arwah bapa saudara saya yang tidak sempat saya kenali. Pak We yang bernama Jalaludin lahir pada tahun 1946 namun tidak diletakkan "Syed" pada sijil lahirnya. Cerita kenapa tiada Syed pada nama ini disimpan oleh Pak Ngah dan Mak Yang, yang saya perlu kutip nanti. Arwah Opah ada juga menasihati Pak We agak menukar nama di surat beranak beliau, agar cucu-cucunya seperti Kak Min boleh diberi nama Sharifah Jasmin, namun perkara ini sukar dilakukan kerana nama juga perlu ditukar pada kad pengenalan, surat nikah, dan pelbagai dokumen lain. Walaupun begitu, cucu-cucu Opah tetap mencintai nama yang diberikan pada mereka walaupun tiada Syed dan Sharifah.
Nenek saya di sebelah ayah bernama Andak Jijah binti Mat Selan. Saya masih kecil ketika mereka meninggalkan saya, tapi sehingga hari ini saya masih ingat suara nenek dengan loghat Peraknya, saya panggil nenek Opah (bukan Oppa macam peminat K-pop tu). Opah banyak simpan duit syiling bawah katilnya, bila raya Opah keluarkan, Opah akan bagi pada saya dua keping syiling 50 sen lama, bukan syiling 50 sen kecil design baru warna kuning sekarang. Mungkin bagi Opah zamannya 50 sen itu besar nilanya, tapi bagi cucunya yang kecil ketika itu, saya lagi gembira apabila dapat duit raya RM10 dari Mak Kecik, adik ayah yang tak pernah bagi duit raya kurang dari RM10.
Saya masih ingat, kadangkala di rumah Opah di Changkat Tin, saya selalu bermain dengan alat pengupas sabut kelapa, alat ini adalah alat manual disebelah kiri rumah bersebelahan pokok sireh. Seingat saya jiran kami dahulu ada mesin parut kelapa untuk membuat santan. Opah hanya ada alat-alat manual. Dalam kelapa tua biasanya ada kumbul kelapa, sedap dimakan, kumbul kecil biasanya manis, manakala kumbul yang besar biasanya masam. Ada juga orang yang memanggilnya sebagai tombong kelapa. Menurut Opah Imah, orang Perak memanggilnya "gomboy nyoir", yang kecil-kecil comel biasanya sedap dimakan. Namun dizaman moden ini saya pun tidak tahu dimana saya boleh merasa gomboy nyoir ini, seolah-olah semasa kecil dahulu itulah kali terakhir saya memakannya.
Ayah kepada Opah Andak Jijah bernama Haji Mat Selan. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Fatimah yang merupakan bidan kampung dan mereka dikurniakan 8 orang anak. Selepas Fatimah meninggal dunia Haji Mat Selan berkahwin dengan isteri kedua bernama Embun dan dikurniakan 10 orang anak lagi, dari 10 anak ini 9 adalah anak perempuan manakala 1 orang anak lelaki, yang paling bongsu adalah kembar 2 perempuan. Opah Andak Jijah adalah anak dari perkahwinan Mat Selan dengan isteri pertama. Menurut Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan, yang merupakan adik Opah Andak Jijah melalui isteri kedua Mat Selan), Haji Mat Selan pada awalnya berkerja sebagai pembantu kedai, ketika umurnya di hujung 40-an beliau berkerja di kapal korek dalam industri perlombongan bijih timah seperti Atuk Syed Mohd Jiplus. Sekitar tahun 1964-1965 beliau menunaikan haji menaiki kapal laut, perjalanan yang mengambil masa 4 bulan.
Pernah satu ketika, masa balik kampung, ayah suruh saya bersembang dengan Opah, saya waktu tu masih kecil, berbeza generasi, tak tahu nak soal apa. Tapi saya pergi juga pada Opah dan bertanya soalan-soalan budak-budak. Opah menceritakan pengalamannya pada zaman Jepun, bagaimana dia menyorok di parit sawah apabila dengar jet Jepun datang. Atuk pula tak banyak bercakap dengan saya, atuk selalunya berserban dan berkain pelikat. Pagi-pagi biasanya saya tengok atuk akan petik rumput di laman rumah, sebelah telaga di tepi rumah ada satu laman kecil macam padang bola. Rumputnya cantik macam rumput sintetik. Atuk akan bersihkan dari rumput-rumput lain supaya kawasan itu nampak cantik dan sekata dengan sejenis rumput sahaja. Ada juga gambar atuk berbalut tangan bersama kakak saya, saya ingat-ingat lupa momen masa gambar itu diambil, atuk waktu itu patah tangan kerana jatuh panjat pokok ciku depan rumah. Depan rumah selain pokok ciku ada pokok rambutan, masa musim rambutan memang best mengait rambutan depan rumah dengan ayah. Zaman sekarang mungkin tak ramai orang yang ada pokok rambutan dan ciku depan rumah, yang banyak adalah tiang elektrik. Ketika raya biasanya Pak Oteh akan mengetuai projek membakar lemang. Depan rumah juga ada hutan kecil, tempat saya meneroka dengan adik-adik sebelum balik semula rumah atuk dan opah sambil menangis kerana digit tungau! Adik saya, Syed Ahmad Islami biasanya akan standby di depan kipas setelah digigit tungau. Pengalaman digigit tungau ini juga antara yang paling diingati adik saya, Syed Ihsan.
Nenek sebelah ibu saya bernama Hafsah Sidin, yang saya panggil Wo, dalam bahasa Kampar nenek dipanggil "Uwo". Wo berketurunan Kampar dari suku Cheniago, keluarganya berasal dari Kuok, Bangkinang (sekarang di Indonesia). Naik kapal mendarat di Singapura sebelum mengikut jalan darat dan sampai ke Bagan Datuk, Perak. Wo berkahwin dengan atuk, Mohd Noh bin Jaafar yang merupakan anak keturunan Banjar generasi ke-3. Kata Wo, Atuk tak dididik buat kerja kampung. Jadi mereka berniaga untuk menyara hidup. Banyak perusahaan yang mereka buat, buka kedai runcit, kedai gambar, dan akhir sekali kedai makan. Masa kecil bila balik kampung, saya akan tengok Wo bangun awal pagi buat nasi lemak, dan dibawa naik kereta Kancil dari Rungkup Kecil ke kedai berdekatan Jeti Bagan Datuk. Menurut kakak saya lagi, Syarifah Nabihah, dahulu dia selalu membaca surat khabar jawi sambil makan ais kacang di kedai Wo, kebolehannya membaca jawi dipandang hebat dan dipuji satu kampung.
Jeti Bagan Datuk ni banyak memorinya. Terkenal dengan ikan Sembilang dikalangan para pemancing tempatan. Berdekatan jeti dulu ada perpustakaan kecil, saya selalu juga masuk bermain dalam perpustakaan itu, sekarang sudah tiada. Sekarang jeti ini sudah dibangunkan dengan moden oleh Datuk Zahid Hamidi. Ada dataran yang cantik, juga dibina masjid terapung. Kedai Wo diwarisi oleh Pak Teh. Juga berdekatan jeti disebelah dataran ada kedai Soto yang diusahakan oleh Makcik Mam, adik kepada ibu. Jeti ini juga dahulunya boleh membawa penumpang ke Pulau Pangkor.
Kampung di Rungkup Kecil, Bagan Datuk ini pun banyak memorinya. Biasanya antara benda yang saya tunggu-tunggu apabila balik kampung adalah mencari ikan di parit. Di parit sekeliling rumahlah saya mengenali ikan haruan, sepat, puyu, juga ikan mata tiga. Ibu dahulu pernah ajar teknik memancing ikan mata tiga tanpa menggunakan mata kail. Apabila balik semula ke Kuala Lumpur, kereta Nissan Sunny kami biasanya akan ada baldi yang berkocak di tempat kaki seat belakang. Biasanya dalam baldi itu ada ikan haruan dan puyu yang kami berjaya tangkap. Ikan sepat pula senang mati, selalu tak dapat tahan perjalanan dalam baldi dari Rungkup Kecil ke Gombak. Menyedihkan!
Banyak lagi kisah sejarah keluarga yang saya ingin rekodkan dan tuliskan. Banyak juga wataknya yang telah meninggalkan dunia dan tak sempat direkod sejarah mereka. Saya sebenarnya ada projek penulisan untuk menulis semula sejarah dan salasilah keluarga dengan lebih lengkap. Namun saya perlukan bantuan ahli keluarga dalam Facebook ini yang sudi membantu. Projek ini masih jauh perjalanannya, dan saya bertarung dengan masa. Jadi jika ada ahli keluarga, opah, nenek, atuk, makcik, pakcik, saudara, sepupu, adik beradik yang mahu menyertai projek ini, saya amatlah berbesar hati. Agar sejarah ini boleh kita rekodkan dengan baik untuk rujukan masa hadapan. Antara bantuan yang diperlukan:
1. Menjejaki ahli keluarga/teman yang menyimpan cerita/dokumen/gambar/sejarah keluarga.
2. Merekod temuramah berkenaan dengan sejarah keluarga dari ahli keluarga yang telah tua dan masih hidup. Contoh temuramah yang direkodkan boleh ditonton dan didengari disini.
3. Menyiapkan transkrip kepada video temuramah.
4. Identifikasi gambar lama, berkenaan tarikh, nama dan latar tempat.
5. Mendigitalkan gambar lama.
Projek ini masih dalam fasa pengumpulan bahan. Yang mungkin memakan masa 5-10 tahun. Jika tiada yang membantu pun saya tetap akan meneruskannya sebelum saya mati. Cuma mungkin jika dibantu, dan disertai ramai, sejarah itu lebih lengkap untuk kita tinggalkan pada generasi seterusnya. Jadi andai ada ahli keluarga yang membaca dan mahu membantu bolehlah hubungi saya. Atau sudilah kongsikan pada ahli keluarga kita yang lain. Dan berdoalah projek ini berjaya sehingga ke akhirnya.