Memaparkan catatan dengan label Matri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Matri. Papar semua catatan

Selasa, 1 Ogos 2023

MATRI: Tentulah masih tersisa sedikit rindu

Gambar saya pada tahun 2003 di MATRI semasa tingkatan satu.

Saya mendaftarkan diri dan memulakan pengajian di MATRI 20 tahun yang lalu. Terasa begitu sekejap 20 tahun itu berlalu pergi. Bagi saya, sebesar mana pun saya, setinggi mana pun saya, sejauh mana pun saya pergi, apabila masuk semula ke pagar sekolah ini, saya tetap merasa kerdil, kecil, dan rendah. Tetap masuk menunduk, seperti budak kecil berbaju raihan hijau 20 tahun yang lalu. Apabila pulang ke kampung lama saya ini, saya akan sentiasa masuk sebagai seorang pelajar, yang kecil dan sederhana. Kehidupan mungkin telah membawa saya jauh ke ceruk-ceruk dunia, tetapi apabila pulang di sini, saya sentiasa merasakan bahawa saya akan menjumpai semula hati saya. Seolah-olah ia telah tertanam di sini, setiap kali pulang pasti hati terasa redup, sedikit hiba, rindu dan bahagia.

Walaupun infrastrukturnya berubah, begitu juga orang-orang yang mewarnai sekolah ini telah berubah, saya merasakan ruhnya masih ada, masih segar jika kita memberinya peluang, jika kita mahu kembali memeluk rindu, MATRI sentiasa membuka dakapannya untuk semua anak-anaknya, siapa pun mereka hari ini. Tentulah saya merindui guru-guru dan teman-teman sepermainan saya dahulu di sini. Sebahagian dari guru-guru saya, ramai yang sudah tiada. Saya doakan Allah merahmati guru dan murobbi saya yang telah pergi mendahului saya. Moga Allah merahmati Cikgu Desa Senawi, Teacher Basimah, Teacher Embun, Cikgu Bakar, Cikgu Yahya Ismail, Cikgu Zainuddin, Ummi Halimaton, Ustaz Dahlan Mohd Zain dan lain-lain. Terasa begitu sekejap Allah pinjamkan mereka untuk bersama saya.

Hari ini saya hadir atas dasar kerinduan kepada suasana tarbiyah di sini. Saya dilahir dan dibesarkan di ibu kota di Kuala Lumpur. Pertama kali ditinggalkan oleh ibu dan ayah di kampung dalam kebun getah di Perlis ini 20 tahun yang lalu, saya masih ingat saya selalu termenung. Tidak seperti banyak kawan-kawan saya yang selalu menangis rindu mahu balik rumah. Saya selalu termenung dan berfikir "apa yang akan aku buat dan lalui di kampung kebun getah ini". Ternyata, keputusan ibu dan ayah ini meninggalkan kesan yang begitu besar dalam diri anak kecil ini. Setelah 20 tahun, saya merasakan pengalaman bersekolah di sini sangat berharga dan tidak dapat ditukar ganti.

Walaupun tidak ramai sahabat-sahabat sepermainan saya yang dapat hadir, saya memahaminya. Anak-anak MATRI yang keluar sudah ada hidupnya yang sendiri. Mereka bukan lagi anak-anak kecil yang pakai baju dua lapis dengan baju hijau raihan di luar. Mereka sudah beranak pinak, sudah menjadi orang-orang besar dalam masyarakat, sibuk dengan aktiviti harian kehidupan. Untuk memberi sedikit masa, sehari dua untuk kembali ke sekolah tua ini terasa begitu sukar. Apalah lagi yang ada di sekolah tua dan usang ini untuk mereka. Tapi saya positif, saya merasakan pasti dalam setiap hati mereka tersisa sedikit rindu, dan jika ada usaha-usaha untuk memercikkan dan menggali semula kerinduan itu, satu hari nanti mereka akan pulang juga. Pulang ke sekolah tua ini untuk seketika.

Antara kebahagian saya pulang ke sekolah di dalam kebun getah ini adalah bertemu semula dengan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Dahulu semasa tingkatan satu di Dorm Huffaz, pagi-pagi biasanya akan kelihatan ustaz mengayuh basikal sambil tersenyum berpesan kepada kami untuk mengulang hafazan. Selepas subuh biasanya ustaz akan memberi tazkirah pendek. Antara kata-kata ustaz yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah "jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Bagi ustaz itulah sebabnya ibu dan ayah menghantar anak-anak ke MATRI.

Di Wacana Persatuan Lepasan MATRI, ustaz kelihatan gembira dapat bertemu dan bercakap dengan anak-anaknya yang kini sudah keluar dari sekolah. Kata ustaz seronok dapat bercakap, walaupun kepala tak berapa nak betul disebabkan makan ubat yang kesannya sedikit kuat. Kami melihat ustaz gembira menjadi lebih gembira. Antara pesanan ustaz adalah untuk anak-anak MATRI adalah agar mereka menghargai peluang hidup, perlu terus belajar dan menuntut ilmu. Ustaz berpesan bahawa jangan disebabkan kita miskin, kita berhenti menuntut ilmu. Bagi saya pesan-pesan ini sangat berharga, sangat dekat dan membekas di hati. Sangat menggembirakan dapat mendengar nasihat setelah 20 tahun berlalu. Ustaz menceritakan kisahnya semasa zaman belajar, hidup miskin, mengail ikan untuk makan, tapi tidak mematahkan semangatnya untuk belajar. Ustaz sangat suka membaca buku, peluang dapat membaca buku digunakan sebaiknya disebabkan keadaan tidak berduit menyebabkan dirinya sukar membeli buku. Tapi alhamdulillah, ustaz belajar jauh. Sampai diberi rezeki oleh Allah untuk makan nasi di rumah Sheikh Yusuf Qaradhawi.

Ustaz juga berpesan bahawa anak-anak MATRI perlu menjadi insan yang barr'un (baik). Mesti baik dalam segala aspek. Baik dari segi makanan, pakaian, dan keterampilan. Baik kepada ibu bapa, anak isteri, guru, dan sahabat. Juga baik dari segi akhlak, pendidikan juga sumbangan pada masyarakat. Tetapi baik sahaja tidak mencukupi, perlu juga menjadi orang yang taqiyyun, bertakwa kepada Allah. Kebaikan yang dilakukan perlulah dihubungkan dengan Allah. Perlu menjaga aspek-aspek Islam dan syariat. Mungkin pesanan ustaz yang paling berbekas di hati adalah "jangan putuskan hubungan dengan kawan-kawan MATRI". Anak-anak MATRI yang keluar ini pelbagai sifat dan jenisnya. Bagi ustaz kita perlu sentiasa meraikan sahabat dan teman, berkawan dan berlapang dada. Mengeratkan kembali ukhuwah, kerana tanpa ada jalinan dan kasih sayang hati, kita tidak mampu menjadi satu kesatuan untuk memberi kebaikan pada masyarakat.

Pesanan-pesanan ustaz ini memang masuk meresap ke dalam hati saya sebagai anak kecil, saya masih lagi menganggap saya adalah pelajar di MATRI ini, datang untuk menuntut ilmu dan hikmah. Banyak lagi sebenarnya perasaan-perasaan yang hendak ditintakan, cinta yang ingin diluahkan. Rindu dan nostalgia ini sememangnya manis, akan saya kenang sehingga mati. Namun jika berpeluang, ingin saya ulangi beribu-ribu kali lagi jaulah singkat seperti ini. Kembali mengubat jiwa, membasuh hati dengan siraman air rindu. Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahibah Persatuan Lepasan Matri (PLM)  yang menganjurkan program wacana pada kali ini. Moga Allah beri rezeki lagi pada kita untuk bertemu di masa hadapan, jika tidak, saya berdoa Allah menemukan kita semula di syurga nanti.

Catatan sempena Wacana PLM.
Musolla MATRI, Perlis.
23 Julai 2023.

Isnin, 3 Oktober 2022

MATRI: Terima Seluas Lautan Memberi Hanya Sebutir Keringat

Ustaz Dahlan Mohd Zain dan Ustaz Omar Haji Salleh bersama Syed Ahmad Fathi di Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005.

Saya merupakan pelajar lepasan Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Di sinilah tempat permulaan saya mengenal diri dan belajar. Bukan sekadar belajar ilmu-ilmu akademik, tetapi juga belajar mengenal diri, belajar untuk hidup, belajar berdikari, belajar masak meggi, juga belajar berkawan dan bersahabat. Sepanjang perjalanan hidup, saya rasa sahabat-sahabat yang saya kenali di MATRI adalah yang paling rapat, malah kami masih lagi berukhuwwah sehingga ke hari ini.

Saya masih ingat semasa di Tingkatan 1, ketika baldi, hanger, baju, biskut, telah disusun di dalam locker asrama, ayah meninggalkan saya di sekolah yang terletak di hujung negara ini, MATRI terletak di Perlis. Saya duduk termenung di kantin melihat padang dan memikirkan apalah nasib saya disini. Namun saya tidak menangis, cuma blur.

Namun saya tidaklah ditinggalkan sendirian. Ramai kawan-kawan sekolah rendah saya menyambung pengajian disini. Ada juga geng. Kakak saya juga ketika itu bersekolah di MATRI di Tingkatan 3. Kawan sekolah lama adalah geng awal saya, saya pada mulanya tak berapa bergaul dengan kawan-kawan dari utara. Sebab saya tak berapa faham bahasa mereka pada mulanya, dan mereka pun macam ada puak tersendiri. Tapi lama-kelamaan semua tembok dan dinding cair, kami bergaul tanpa ada lagi rasa kekok, ibarat kangkung, udang, dan nasi yang akhirnya menjadi nasi goreng kampung. Tak ada lagi tembok utara, selatan, barat atau timur. Semuanya adalah sahabat.

Makin lama saya makin selesa disini, malah kalau cuti-cuti pendek pun biasa saya tak balik ke rumah. Namun di MATRI bukanlah semua baik dan indah sahaja, sering apabila kita bernostalgia yang pahit dan manis terangkum semuanya menjadi memori yang indah untuk dikenang. Tetapi, ada juga ketikanya guru-guru juga bertindak diluar batas yang layak bagi mereka, murid-murid yang remaja dan beragam apatah lagi. Namun bagiku itu biasa, sekolah ini adalah sekolah manusia. Guru dan pelajarnya bukanlah malaikat atau dewa-dewi, mereka semuanya manusia biasa dengan segala kelemahan manusiawi.

MATRI sebagai sekolah agama memang menerapkan unsur jati diri Islam dalam setiap pelajarnya. Namun tidaklah bermakna hal dunia ditinggalkan. Saya sendiri mengikuti aliran sains tulen di sekolah. Falsafah ilmu yang dibawa tidak memisahkan Islam dari ilmu dunia. Guru-guru biologi, kimia, dan fizik yang saya sayangi sentiasa mengaitkan ilmu yang diajarkan dengan Islam. Jika kita baca, Al-Qur'an sendiri begitu banyak ayat perihal fenomena alam, tumbuhan, haiwan, hingga ada cendiakawan yang mengatakan ayat perihal alam ini lebih banyak dari ayat-ayat perihal ibadah khusus. Jadi, tidak pelik jika dikatakan bahawa kalam Tuhan menyuruh kita menjadi saintis, kerana saintis tugasnya mengkaji, melihat dan merenung alam.

Falsafah ilmu MATRI tidak membawa bahawa semua pelajarnya perlu menjadi ustaz. Malah banyak lepasan MATRI menjadi golongan professional. Ratusan malahan ribuan, menjadi jurutera di kilang-kilang, menjadi usahawan pemilik toko perusahaan, bekerja di wad hospital, menduduki pejabat tinggi kerajaan, menjadi pengkaji dalam makmal-makmal sains, mengajar di menara gading malah ada yang menjadi artis dan selebriti. Tidak kurang yang kembali berkhidmat sebagai guru di sekolah. MATRI mahu anak-anaknya menjadi duta Islam di penjuru masing-masing.

Mengapa perlu kepada duta Islam?

Sekolah ini dibina oleh orang-orang biasa dengan visi luar biasa. Ada pendirinya bekerja sebagai petani, buruh, pegawai kerajaan dan swasta, juga mahasiswa. Malah pada peringkat awal, di MATRI memang tempat mereka ini bertani bersama. Mereka melihat kerosakan yang berlaku dalam masyarakat, dan merasakan masyarakat yang lebih baik dapat dibina jika anak-anak mereka diasuh dengan didikan Islam. Maka mereka pun berusaha menyemai benih-benih baharu. Meskipun mereka sedar, benih ini akan tumbuh melepasi usia hayat mereka. Dalam kata lain, mereka menanam benih dengan sedar bahawa mereka sendiri tidak akan dapat merasakan buah-buah manis yang bakal tumbuh dari pohon semaian mereka. Mereka beriman dan yakin, usaha mereka ini bakal melahirkan generasi baharu yang lebih baik, generasi yang punya jati diri Islam.

Sekitar 2004-2005 bermula gelombang baharu, iaitu proses nasionalisasi sekolah agama rakyat di Malaysia. Pada mulanya bantuan kepada sekolah agama rakyat dihentikan, kemudian polisi baharu diperkenalkan bahawa sekolah agama yang ingin mendapat bantuan kerajaan perlu duduk dibawah pengurusan kerajaan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). MATRI walaubagaimana pun memilih untuk kekal bebas sebagai sekolah agama rakyat tanpa campur tangan kerajaan meski pun terpaksa berusaha mencari dana sendiri. Namun tidaklah makna ia mengasingkan diri dari pendidikan arus perdana. Ia masih mengikuti kurikulum nasional dan pelajarnya mengikuti peperiksaan PMR (telah dimansuhkan kerajaan), SPM dan STAM.

Pada bulan Julai 2022, saya telah dicalonkan untuk menjadi setiausaha Persatuan Lepasan MATRI (PLM). Saya telah berusaha melobi rakan-rakan se-batch untuk tidak mengundi saya. Walabagaimana pun, melihat semula ke belakang, saya merasakan usaha melobi saya ini memang tempang sejak awal lagi kerana akhirnya mereka tetap juga mengundi saya. Walaupun berat, saya relakan juga hati untuk menerimanya. Saya menganggap ia sebagai medan untuk saya kembali menyumbang tenaga kepada sekolah yang telah banyak mencorak diri saya, saya sudah minum selaut ilmu disini, maka kini tibalah masa saya menyumbang sebutir dua keringat semampu dan seadanya. Walaupun saya sedar, apa yang saya sudah terima tidak mampu saya balas.

Menyertai PLM bererti saya perlu menghadiri mesyuarat di MATRI, dan menyambut amanah, saya hadir ke mesyuarat pertama pada bulan September 2022. Setiap kali saya melepasi pagar MATRI, pasti rasa hati saya membuah sayu dan rindu. Rasa segar hati di sini tak pernah padam. Walaupun setinggi mana saya telah mendaki tangga kerjaya, walau sebanyak mana pangkat dan harta, apabila saya memasuki MATRI, saya akan masuk sebagai anak pelajar kecil. Sebesar mana pun saya di luar, di dalam ini saya akan merasa kecil. Saya akan sentiasa, sampai bila-bila pun, masuk ke MATRI sebagai pelajar, masuk dengan penuh tunduk.

Di sini saya dapat merasakan semula ketenangan hati. Dahulu, semasa di sini, hati-hati kami bersih dan mudah tersentuh. Namun sekian lama keluar, saya merasakan hati saya telah begitu keras. Entah apa yang berlaku, seolah sekelip mata, arus hidup telah membawa lari hati bersih saya. Namun di sini, nyaman, sepertinya saya diberikan hati yang baharu oleh Tuhan. Duduk di musolla MATRI memberikan kesan yang sama pada hati, terasa seperti tidak mahu bangun dan terus sahaja duduk di musolla ini, berdoa kemudian termenung. Melihat bayangan-bayangan kami sewaktu muda di sekolah ini, yang kini sudah semuanya pergi entah ke mana. Saya merasakan, sekarang adalah masa yang sesuai bagi anak-anak MATRI untuk pulang. PKP sudah berakhir, tiba masanya mereka untuk menziarahi sekolah ini, saya pasti, mereka juga akan menjumpai semula hati-hati mereka. Walau sekeras mana, tiba disini, ia pasti berputik dan berbunga semula. 

Seperti mengenggam pasir, pasti ia akan mengalir keluar juga dicelah-celah jari. Begitu jugalah kita, sesayang mana pun kita pada kenangan, ia pasti mengalir hilang dibawa sungai masa. Yang tinggal hanyalah nostalgia. Tetapi nostalgia itu dicipta Tuhan bukan sia-sia. Ia adalah satu pesanan yang sangat berkesan buat hati-hati kita, untuk merenung perjalanan hidup, memperelok laluannya, agar tidak kita terlepas dari landasan yang sebenarnya. Maka pulanglah, dalam nostalgia-nostalgia ini, pasti ia akan menyalakan semula hati-hati kita, sebagai bekal untuk mengharungi masa-masa seterusnya.

MATRI & Tempat-Tempat Nostalgia

Musolla MATRI, September 2022.

Setiap kali aku pulang ke MATRI, aku pasti bernostalgia. Ke mana pun mataku memandang, pasti ada memori yang berputar semula. Masakan tidak, 5 tahun hidupku aku habiskan disini. Hampir kesemua pelusuk MATRI telah aku tinjau, panjat, dan siasat. Cuma mungkin tempat yang tidak aku singkapi adalah aspuri. Pada hujung September 2022, aku pulang semula ke MATRI, kerana ada perlawanan bola sepak persahabatan bersama alumni, juga bagi menghadiri mesyuarat Persatuan Lepasan MATRI (PLM). Sekali lagi memoriku berputar, aku bernostalgia.

Musolla MATRI

Selain menjadi tempat kami berteduh mendengar ijtima'am, musolla juga antara tempat yang paling senang dan nyenyak tidur. Semasa tingkatan 1, kami akan ke musolla untuk kelas hafazan, di sudut kiri depan bersama Ustaz Rosli. Teringat satu hari, aku tertidur semasa hafazan, sedar-sedar kawan-kawan kelas sedang duduk dalam bulatan sambil membaca Surah Yasin dengan aku tidur ditengah.

Di musolla juga tempat perhimpunan sekolah diadakan. Paling tidak boleh dilupakan adalah semasa tingkatan 3, satu perhimpunan khas tergempar telah diadakan, sampai hari ini aku masih ingat tarikhnya iaitu 13 Julai 2005. Pada hari itu telah berlangsung public canning, di mana aku dan rakan-rakan dirotan dan disaksikan oleh satu sekolah. Jadi bukan hari kecemerlangan sahaja aku naik pentas, public canning pun naik nama. Kesalahannya adalah keluar asrama tanpa kebenaran warden. Tukang rotannya adalah Sir Abduh Zainal Abidin. Ada seorang senior mengambil gambar aku dirotan pada hari itu, sehingga hari ini gambar itu masih aku simpan.

Tasik Melati

Tasik ini adalah tempat rekreasi yang paling dekat dengan MATRI, kalau jogging jaraknya 1.5 km, kalau naik motor jaraknya 3 minit. Semasa tingkatan 1, disini kami membuat kajian lapangan perihal tumbuhan air dalam subjek Kajian Tempatan dibawah seliaan Cikgu Nabilah Abdul Halim. Kami juga pernah ke Tasik Melati bersama Almarhum Cikgu Desa Senawi dimana beliau menganjurkan permainan matematik ala-ala explorace.

Namun yang paling tak boleh dilupakan adalah mandi di Tasik Melati. Di MATRI dahulu selalu ada masalah air. Di dorm huffaz, jika habis air, biasanya kami akan gunakan air telaga yang dipam oleh mesin, namun air telaga ini agak payau dan berbau. Pernah satu hari tidak ada air di MATRI. Kami dikejutkan sebelum subuh dan berjalan kaki dari MATRI membawa baldi, cebok, syampoo, sabun, dan tuala ke Tasik Melati dan mandi air tasik di sana. Habis mandi jalan balik ramai-ramai untuk memulakan sesi persekolahan. Begitulah nostalgia dan kenangan.

Ahad, 6 Mac 2022

Reunion Gen-13 MATRI: Memutar Semula Memori


Alhamdulillah setelah berbulan-bulan bermesyuarat akhirnya diberi keizinan oleh Allah untuk bersama turun dalam reunion bersama sahabat-sahabat persekolahan di Teluk Senangin, Perak pada 25-17 Februari 2022. Kali terakhir berkumpul mungkin sekitar 2017. Tahun ini memang rasa perbezaannya, jika sebelum ini hanya riuh rendah bersembang sesama sendiri, kali ini riuh rendah dengan anak-anak masing-masing yang sedang membesar. Seronok melihat anak-anak dapat main bersama. Dulu bapak-bapaknya yang bermain bersama.

Persahabatan di sekolah saya kira satu fenomena yang unik. Setelah kita dewasa, kita jarang mencipta persahabatan baharu. Sebaliknya kita akan mencari semula sahabat-sahabat lama. Sahabat-sahabat yang bersama kita masa kita tak punya apa-apa, yang ada hanyalah kasih sayang sesama sendiri. Dengan teman-teman persekolahan biasanya kita boleh bersembang dan bergurau dengan terbuka (walaupun kadang-kadang ada juga yang merajuk), keterbukaan ini kadang-kadang dengan keluarga sendiri pun kita tak dapat lakukan. Dengan sahabat yang kita kenal, percaya dan sayang, kita boleh bercerita semua benda.

Antara persoalan yang sering timbul dalam pertemuan ini adalah "kenapa nak buat reunion?" , "apa tujuannya?". Jika ditanyakan saya sendiri, berjumpa kawan-kawan lama itu satu peluang untuk saya merasai semula kemanisan memori masa lalu, tenggelam dalam sahabat-sahabat lama memberi saya peluang untuk merasa diri saya yang dahulu. Atau dalam kata lain, berjumpa dengan diri sendiri yang lebih muda, yang masih remaja, suci (?), dan keanak-anakan. Juga memberi saya peluang untuk membuka semula hati saya, bercerita perkara-perkara yang mungkin susah atau tak dapat saya ceritakan pada orang lain. Bagi saya, itulah harganya. 

Mengenangkan banyak sahabat-sahabat saya yang saya hargai telah tiada, saya merasakan ia satu peluang yang lebih mahal. Selalu terbayang difikiran saya mungkin ini kali terakhir saya melihat senyum mereka dan mendengar ketawa mereka. Ketua batch kami, Radhi berkata selepas subuh pada hari ketiga, "Jika seseorang itu sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit untuk sesuatu, sesuatu itu pasti ada nilainya". Begitulah. Bagi saya nilainya sangat besar, satu nilai yang bukan material. Segala penat lelah, kesakitan (sakit kaki) itu akan berlalu. Tetapi kenangan dan amal soleh yang dikumpul bersama akan kekal. 

Ketika negara dan dunia ditimpa dan diliputi pelbagai isu, kerehatan sebentar ini sememangnya saya perlukan. Setelah dua tahun bersarang dirumah, udara segar dan angin laut sememangnya satu vitamin kesegaran. Walaupun sedih meninggalkannya dan kembali kepada rutin harian namun itulah hidup, tiada yang kekal. Ibarat ombak yang hilang setelah menghempas pantai.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat kerana memberi peluang untuk kita duduk bersama satu kali lagi. Memutar semula kenangan dan mencipta kenangan yang baharu. Terima kasih juga kepada pengarah program Muhammad Radhi yang bertungkus lumus menjayakan program. Terima kasih pada tuan rumah Ikhwan Zulkifli yang menyediakan penginapan yang selesa dan makanan yang sedap, juga pada Amin Roseli yang menyumbang pelbagai kepakaran teknikal dalam mengurus duit juga menyediakan baju program. Seterusnya pada semua sahabat-sahabat yang namanya terlalu panjang untuk disebut satu persatu.

Moga kalian dalam jagaan Allah selalu. Jumpa lagi dalam next reunion pada tahun 2024 di Johor.

Rabu, 10 November 2021

MATRI: Mencari Hati Yang Hilang

Gambar bersama Arwah Ustaz Dahlan Mohd Zain pada Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005. Turut berada di dalam gambar Ustaz Omar Haji Salleh, Pakcik Ghazali, Ustaz Nasrul Islam Darus, dan Ustaz Abdul Hakim.

Kadang kala aku tak tahu sama ada aku telah tempuhi jalan yang benar. Adakah aku sudah hidup sehidupnya? Menggunakan hidup yang satu ini sebaiknya? Adakah aku telah buat yang terbaik, atau sebenarnya ada yang aku boleh tingkatkan? Kita memang disuruh menghisab diri sebelum dihisab.

Aku sering merasakan kini bahawa hidup ini terasa begitu rutin dan kering. Entah bila kali terakhir hati ku tersentuh dan menangis berkenaan dengan apa-apa pun. Apa sahaja yang datang dalam hidup, aku terima dan hadapi dengan rasional. Telah jauh aku melayari kehidupan, hingga ke ceruk yang tidak pernah dilalui orang, bertemu dengan bermacam jenis manusia. Namun dalam pelayaran ini, terasa seperti hati ku tertinggal entah di mana.

Sungguh benar kematian itu satu tazkirah yang menggegarkan.

Kematian pertama yang menggegarkan jiwaku adalah pemergian arwah Abu Asri Zailani pada tahun 2016. Aku dan Abu lebih dari kawan. Sudah seperti adik beradik. Kadang, baju juga kami kongsi, ada bajuku yang aku beri pada Abu semasa di asrama. Dia juga ada memberikanku baju. Keluargaku mengenali Abu kerana selalu datang ke rumah, begitu juga keluarganya mengenaliku. Ujian kehidupan yang beliau lalui tidak sama sepertiku. Ujiannya jauh lebih berat. Pemergian Abu menggoncangkanku sehingga ke akar jiwa.

Namun setelah berlalu sungai masa, jiwaku kembali hanyut dibawa arus kehidupan. Hingga aku kehilangan pula sahabat lagi, yang pergi pada usia yang begitu muda. Semasa zaman puncaknya, jiwa bersama getarannya berjaya menggetarkan jiwa-jiwa manusia dengan karyanya. Pemergian sahabatku Umar Muhajir sekali lagi menggoncangkan jiwaku, fikiranku murung berhari-hari, pemergiannya memaksa aku kembali ke tempat jiwaku ditatang, Perlis. Seolah jika aku tidak kembali ke sana, aku tidak dapat lagi meneruskan kehidupan ini.

Pada mulanya aku tidak mahu pergi. Kerana pada ketika itu aku punya urusan keluarga di Kuala Lumpur, aku tidak rasa aku akan sempat untuk bersama menyempurnakan jenazahnya jika pun aku bergegas untuk ke Perlis. Di tambah dengan anak-anak kecil yang perlu diurus, ia semakin menyesakkan keadaan. Tetapi kemudian teman karibku Hilmi Azhari (Aloi) menghantar mesej:

"Nak mai perlis kee"

Mungkin itu hebatnya mempunyai teman-teman rapat yang istimewa, mereka seolah-olah dapat membaca ribut fikiranku meski tidak bertentang mata. Aku pulang ke Sungai Petani dan menyelesaikan urusan anak-anak. Mesej ringkas itu tidak ringkas bagiku. Apa yang aku tafsirkan adalah "oh kawan, marilah ke mari, mari bersama kita berbicara, bertukar kata untuk melawan duka, detik sedih ini kita tidak boleh bersendiri, jiwa perlukan jiwa lain untuk berkongsi dan berbagi" bukan soalan "nak mai Perlis kee" yang aku tafsirkan dari mesej itu. Bagiku ia bukan satu mesej yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang jauh menusuk dalam.

Hari itu aku menangis sendirian di dalam kereta seperti anak kecil. Pasti buruk muka lelaki tua menangis, tapi biarlah, hanya Tuhan yang melihat, air mata turun tanpa izin. Isteri dan anak-anak pun tiada dalam kereta, jadi aku tidak perlu berlakon untuk sesiapa. Aku boleh menangis sepuas hati.

Menangis sering dikaitkan dengan kelemahan. Kita perlu sentiasa tabah, kuat, senyum walaupun tidak gembira. Namun aku merasakan menangis ada gunanya buat manusia. Menangis adalah fitrah, seperti bayi yang keluar dari perut ibu, suara pertamanya adalah tangisan, tiada yang ketawa. Bagi aku bila kita menangis, sujud penuh kekerdilan di hadapan Tuhan, ada satu perasaan yang membebaskan timbul dalam jiwa. Menangis juga merupakan pesanan Tuhan buatku. Aku sudah berlayar terlalu jauh hingga hatiku sudah tawar dalam merasa. Atau mungkin hatiku telah mati. Kemampuan untuk menangis menyedarkanku bahawa aku masih punya hati, walaupun hati yang sakit ia masih mampu merasa dan aku masih mampu menangis.

Aku juga merasakan bahawa kini aku perlu menumbuhkan daun kehidupan yang baharu. Aku kuat merasakan bahawa kini aku berada di fasa pasca-rasionalisma. Dahulu aku sering cuba untuk merasionalkan semua perkara, semua perkara harus diuji dengan rasional. Namun aku kini merasakan itu merupakan satu perkara yang memenatkan. Aku cuba merasionalkan hidup hingga aku terlupa untuk hidup. Terlupa untuk menikmati dan merasai setiap saat.

Aku tidaklah mengecam orang yang mahu merasionalkan semua perkara. Jika mereka mampu dan mahu, terserahlah pada mereka. Mungkin mereka akan berjaya dan dapat menyumbang sesuatu pada ilmu dan intelek manusia. Mungkin juga akhirnya tidak berjaya. Namun apa yang pasti, ia memerlukan pelaburan masa dan usia yang besar. Sedang aku merasakan lebih baik aku laburkan usiaku untuk hidup dari cuba setiap masa untuk merasionalkan hidup. Kini perasaan itu semakin kuat, aku tidak berjaya merasionalkan kematian insan-insan yang aku sayangi. Mengapa mereka perlu pergi dahulu sebelumku? Tiada rasional yang berjaya aku jumpai. Akhirnya, aku pasrah, ia tidak dapat dirasionalkan, ia hanya boleh diterima dengan sabar dan redha.

Perasaanku juga kuat mengatakan bahawa aku perlu mencari hatiku semula pada fasa pasca-rasionalisma ini. Kata Imam Ghazali, hati itu perlu dicari pada tiga tempat, dalam bacaan Al-Qur'an, dalam solat, atau dalam mengingati mati. Jika tidak jumpa pada ketiga-tiga tempat ini, kita harus memohon pada Allah untuk hati yang baru. Aku kuat merasakan bahawa aku memerlukan hati yang baharu. Walaupun hatiku masih boleh menangis, getarannya tidak seperti dahulu.

Jika ada satu tempat untuk aku mencari semula hatiku, tempat itu adalah di musolla MATRI. Musolla MATRI mungkin kelihatan seperti binaan kayu biasa. Binaannya bukanlah sebuah karya seni arkitek moden. Namun, untuk anak-anak MATRI seperti aku, ia menyimpan sesuatu memori yang sangat signifikan, sangat penting, sangat halus, sangat seni dan sangat mendalam. Di sini, hati-hati kami pernah hidup dan membunga, hati-hati kami pernah merasai kebahagiaan jiwa. Aku pun tak dapat mentafsir apa yang membuatkan jiwaku merasakan musolla MATRI ini begitu istimewa, firasatku kuat mengatakan mungkin ia adalah berkat keikhlasan murobbi, guru-guru, dan ustaz-ustaz yang mengajar kami. Jadi, mungkin jika ada anak-anak MATRI yang sama sepertiku, ingin mencari hati yang hilang, aku akan menasihatkan mereka untuk pulang ke musolla kayu ini.

Sampai sahaja aku di Perlis, aku bertanya Aloi sempatkah jika aku ingin solat zohor di musolla MATRI? Katanya sempat, maka itulah tempat pertama yang aku tuju sebelum menziarahi pusara arwah Umar Muhajir di Arau, Perlis. Sampai di musolla, segala memori terurai, disini kami pernah solat dahulu, tempat kami menghafal Al-Qur'an dan mendengar tazkirah. Disini juga aku selalu tidur, dan yang tak mungkin aku lupakan, disini juga aku dirotan di hadapan seluruh warga sekolah semasa di tingkatan 3, pengalaman yang menjadikan aku manusia. Di sini juga tempat aku berdoa dan menangis, tempat aku ber-qiyamullail. Doaku hari itu:

"Ya Allah, Ya Tuhan yang memiliki hati, kurniakan kepadaku hati yang baru, hati yang hidup dan bersih seperti aku di tingkatan satu!"

Pulang dari perjalanan spiritualku dari Perlis. Aku bertekad untuk cuba menjadi insan yang baru. Aku menyelak-nyelak Al-Qur'an peribadiku. Merenung ayat-ayatnya. Aku harap, apabila tiba masaku untuk pergi, nanti Tuhan akan berkata padaku:

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku".

Allahumma, amin.

Jumaat, 5 November 2021

Mengenang Umar Muhajir bin Ghazali

Gambar bersama Umar Muhajir di puncak Gunung Tahan pada bulan Oktober 2014.

Setelah sekian lama, akhirnya kerajaan membuka sempadan negeri dan aku dapat pulang menziarahi ibu di Kuala Lumpur. Aku dan isteri tidaklah terus pulang selepas pengumuman dari perdana menteri, sebaliknya kami menguruskan dahulu jadual kerja, dan akhirnya memohon cuti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 29 Oktober 2021. Rancangan asal adalah untuk balik ke Kuala Lumpur selama seminggu.

Pada hari Jumaat, 5 November 2021 aku sedang sibuk menyunting sebuah manuskrip di komputer, anak-anak masih tidur. Tiba-tiba Cikgu Norizan Yong menalefon ibuku, ditanya akan keberadaanku di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu ibuku berita duka bahawa teman sekolahku, saudara Umar Muhajir bin Ghazali telah meninggal dunia. Ibuku terkejut dan memberi tahu ku. Segera aku cari talifon bimbit dan membuka grup WhatsApp Batch-13 MATRI. Terlalu leka menyunting, pagi itu aku tidak memeriksa talifon bimbit.

Ada mesej dari Muhammad Radhi Abdul Rahman pada jam 7.19 pagi.

"Sahabat kita, Umar Muhajir telah meninggal dunia, mungkin dalam lepas isyak malam tadi" tulis beliau.

Kemudian, ada mesej pada jam 7.23 pagi yang dipanjangkan oleh Izzat Ibrahim.

"Assalamu’alaikum wbt. Kpd Adik2 Abang yg dikasihi. Pada pagi Jumaat yg mulia ini,  Abang menerima panggilan telefon (jam 5:38pg) drpd Rohana menyampaikan berita yg amat menyedihkan. Ingin diberitau bhw. Muhajir Ghazali telah meninggal dunia semalam (mungkin selepas Isyak) di rumah rakannya di Jitra, Kedah.  Arwah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar utk melalui proses post mortem  kematian. Menurut Rohana, Muhajir jatuh di dalam bilik air. "

Hati saya mula diresapi sedih, benarlah kini, bahawa sahabat saya Umar Muhajir telah tiada. Walaupun emosi tidak mahu menerima, akal rasional memujuk untuk menerima kenyataan. Kenangan bersama Umar terimbau jauh, bermula dari perkenalan di asrama Huffaz di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Asrama yang tersergam di depan ladang getah, wujudnya sayup, apabila angin bertiup gersikan daun-daun pokok getah akan membelai jiwa-jiwa kami, aman.

Dahulu ketika zaman persekolahan, aku selalu juga bertandang di rumah Umar di Arau, Perlis. Rumahnya terletak dalam kawasan sawah padi, ketika sawah padi menghijau, permandangan di rumah beliau sangat menakjubkan. Ketika di tingkatan 4 dan 5, Umar duduk di depan mejaku di dalam kelas, kami duduk dibelah belakang, dari meja kami boleh dilihat Bukit tunjung yang rimbun. Umar merupakan benteng penting bagiku untuk tidur. Biasanya aku akan tidur menyorok di belakang Umar supaya tidak dilihat cikgu di dalam kelas.

Umar antara pelajar yang cemerlang bersamaku ketika SPM. Namun berbeza dengan rakan-rakan lain, beliau tidak memilih untuk memasuki universiti awam. Beliau memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni di One Academy meski pun kami bersama-sama berada di kelas aliran sains, beliau memilih aliran seni selepas sekolah. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi dan videografi. Beliau memilih untuk menggunakan nama Umar Mita sebagai nama penanya di medan seni, nama ini diambil sempena nama Ryoichi Mita (Umar Mita nama Islamnya) yang merupakan orang Jepun pertama yang menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Jepun.

Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, Umar adalah salah seorang sahabat yang sanggup turun dan menghantar saya hingga ke lapangan terbang. Malah beliau menulis di laman blognya Mitaumaru posting yang bertajuk Syed Ahmad Fathi, Dosvidanya! Beliau menulis:

"you've finally made it !
i'm happy for you !
Goodbye my dear friend..
Study well there..
we're gonna miss you here..
Selamat Belajar di Russia !
Dosvidanya !!"

Hari ini, aku pula yang harus mengucapkan selamat tinggal pada beliau. Namun bukan dosvidanya, kerana dosvidanya maksudnya adalah "hingga ketemu lagi" dalam Bahasa Rusia. Perginya Umar hari ini tidak ada lagi kembalinya. Kami tidak dapat bertemu lagi.

Pada bulan Oktober 2014, aku bersama Umar dan sahabat-sahabat lain sempat bersama-sama mendaki Gunung Tahan. Aku masih ingat apabila sampai ke puncak, melihatkan pemandangan yang menakjubkan, Umar berkata:

"MashaAllah, cantiknya macam di syurga!"

Pengalaman ini ada aku catitkan di dalam buku Gunung Tahan Hiking Log. Moga-moga kini Allah menerima sahabatku Umar untuk masuk ke dalam syurga yang sebenar, syurga yang jauh lebih cantik dan indah dari permandangan di puncak Gunung Tahan.

Sahabat kami Amirul Marzuki (lebih dikenali sebagai Aon) menulis kenangannya bersama Umar di Facebook. Umar dahulu sangat pandai berbahasa Inggeris dan menjadi rujukan rakan-rakan. Beliau malah terpilih sebagai pendebat bahasa Inggeris sekolah dan menang pertandingan debat antara sekolah. Aon juga menulis bagaimana dahulu mereka bersama-sama melintas jalan kereta api di Kampung Stesen, Arau, Perlis untuk ke pasar malam sebagai antara kenangan bersama melakukan perkara berbahaya. Selain terkenal dengan videografi dan fotografi, Umar juga meminati sukan lasak seperti rock climbingPassion Umar terhadap fotografi dan rock climbing ini ada didokumentarikan dan diterbitkan oleh Mirrah Syafiqah dan Khairul Ariffin dalam sebuah video yang bertajuk Umar Mita - Making The Move.

Kehilangan Umar Muhajir Ghazali sememangnya meninggalkan kesedihan yang dalam di hati. Seorang sahabat yang baik, kreatif dan sentiasa memberikan inspirasi. Damailah kau Umar di negeri abadi. Umar Muhajir "Sang Penghijrah" telah berhijrah ke alam abadi. Kita juga akan menyusul dan berhijrah ke sana satu hari nanti. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa Umar, menerima semua amal soleh Umar, dan dimasukkan ke dalam syurga.

Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.

Dalam kenangan,
Umar Muhajir bin Ghazali (Umar Mita)
01 May 1990 - 04 November 2021.

Sabtu, 19 Jun 2021

Dunia Tidak Lagi Seperti Dulu: Perginya Cikgu Abu Bakar Hamid

 

Gambar Cikgu Abu Bakar Hamid bersama saudara Abdullah Afifi dari laman Facebook Abdullah Afifi.

Pada 18 Jun 2021, laman Perlis FM memberitakan bahawa:

"Abu Bakar Hamid atau Lebih dikenali sebagai DJ Bakar Hindustan  (Mantan DJ Perlis FM) telah meninggal dunia pada Subuh tadi. Di fahamkan jenazah beliau akan dikebumikan di Mata Ayer, Perlis. Semoga diampunkan segala dosanya diterima segala amal kebajikannya serta moga ditempatkan beliau dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah."

Menurut Sheera, anak kepada Cikgu Bakar, beliau menghidap darah tinggi dan kencing manis, pada hari kejadian Cikgu Bakar diserang stroke. Menerima perkhabaran sedih ini, bahawa Cikgu Bakar telah kembali ke rahmatullah amat meruntun hati kecil saya. Selain seorang DJ, beliau adalah seorang guru, Cikgu Bakar akan datang bertemu kami para pelajar di sebelah petang di Ma'ahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) untuk mengajar subjek Pendidikan Seni Visual.

MATRI tidak ada cikgu khas untuk subjek Seni Visual, jadi Cikgu Bakarlah yang mengisi kelompongan ini dan membuat kelas bersama kami secara separuh masa. Kebiasaannya Cikgu Bakar akan datang membawa sedikit cucur udang sebagai penarik buat kami para pelajar. Kerana beliau tahu pada sebelah petang kami suka bermain dan bersukan. Jadi, kadang kami tak mai kelas seni beliau sebab hendak bermain bola di padang.

Tangan Cikgu Bakar memang berseni, kami biasa akan meneka-neka apabila dia mula mewarna kertas menggunakan berus air. Takda siapa boleh teka apa yang dia lukis, tapi makin lama, makin banyak warna yang dia tambah, kami semua kagum, wow. Beliau juga banyak berjenaka dengan kami disamping perwatakan rockers beliau dengan rambut yang panjang menyebabkan kami cepat mesra. Senior saya, Siddiqi, mendengar berita ini berkongsi:

"Bulan ini, kisah kesedihan kedua. Pemergian seorang 'guru' dalam bidang kesenian. Lukisan pertama Cikgu Bakar yang saya paling ingati adalah air sirap di dalam bungkusan plastik. Lukisan yang menjadikan kami dahaga, betul-betul nampak macam air sirap walau hanya 5 minit disiapkan. Cikgu Bakar sesekala ajarkan Bahasa Hindustan. Baginya Hindustan adalah bahasa pertamanya dan Bahasa Melayu adalah bahasa keduanya. Katanya dia lebih banyak gunakan Bahasa Hindustan semenjak dari kecil lagi. Semoga Allah SWT tempatkan Cikgu Bakar dikalangan hambanya yang soleh dan dimasukkan ke Syurganya."

Saya yang tidak berseni ini pun berjaya mendapat pangkat A2 dalam subjek Seni Visual semasa SPM berkat didikan penuh kemesraan dari beliau. Walaupun saya tidaklah bekerjaya dalam bidang seni visual, tetapi bakat seni kadang kala ada juga datang apabila melukis dan mewarna bersama anak-anak di rumah. Sampai hari ini saya masih simpan berus seni visual saya dahulu, water color saya telah buang sebab dakwatnya sudah keras setelah berbelas tahun disimpan.

Cikgu Bakar juga merupakan guru seni buat kakak saya, Syarifah Nabihah. Kakak saya sering mengikuti kelas seni Cikgu Bakar di tingkatan 4 dan 5 tetapi tidak mengambilnya sebagai subjek peperiksaan SPM. Saya dahulu juga tidak yakin untuk menduduki subjek Seni Visual semasa SPM, maklumlah tangan tak berseni. Tetapi Cikgu Bakar memujuk, katanya tidak mengapa, dia akan membantu projek SPM saya. Seingat saya, projek saya dahulu untuk SPM adalah membuat arca trofi dengan skulptur orang sedang bermain skateboard. Ibu saya juga masih ingat saya ada membuat arca di belakang rumah ketika cuti. Alhamdulillah keputusan boleh dikatakan cemerlang walaupun tiada bakat. Cikgu Bakar merupakan satu-satunya cikgu yang bertukar kad dengan murid menurut kakak saya, kad ini masih disimpan oleh beliau.

Kad Cikgu Bakar yang disimpan oleh kakak saya, pesan cikgu "Hidup jangan jadi sate!"

Antara pelajar lain yang rapat dengan Cikgu Bakar adalah junior saya, saudara Abdullah Afifi, beliau berkongsi:

"Innalillahi wainnailaihirojiun. Telah perginya Cikgu Bakar yang sangat aku sanyangi. Cikgu Bakar mengajar kelas Pendidikan Seni Visual di MATRI, Perlis. Setiap 2 bulan sekali aku akan call dia tanya khabar. Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang yang beriman."

Saya pernah juga call beliau dahulu beberapa tahun selepas keluar sekolah, sebelum beliau menukar nombor, setelah beberapa tahun keluar sekolah ternyata beliau masih mengingati suara saya, anak muridnya. Beliau mengungkapkan kerinduan untuk bertemu semula semua anak-anak muridnya. Saya ada menerima berita beliau sakit dan cuba mencari nombor talifon beliau, saya cuba hubungi tempat kerja beliau yang lalu, namun tidak berjaya. Tidak sempat untuk bersembang buat kali terakhir.

Antara pelajar-pelajar Seni Visual MATRI tahun 2006-2007 bersama-sama saya adalah Saiful Islam Izraei, Abdullah Affan Nashiron, Huzaifah Zarullail, Ikhwan Mahadzir, Umar Muhajir, dan Najmi Abdul Rahim. Affan kini sudahpun menjadi cikgu seni, beliau berkongsi:

"Kisah Cikgu Bakar adalah kisah seorang guru yang bukan cikgu. Jika tidak kerana cikgu, mungkin saya tidak menjadi cikgu seni hari ini. Terima kasih cikgu. Al-Fatihah."

Sama-sama kita utuskan doa buat cikgu kita yang telah pergi. Hilang satu lagi permata yang mustahil untuk dicari ganti, yang pernah mengisi kehidupan kita. Setiap kali menerima berita pemergian guru, hati saya sering termenung dan bergumam "dunia ini sudah tidak lagi seperti dahulu".

Khamis, 27 Mei 2021

Catatan Ijtima' Am MATRI: Dari Tahun 2003 Hingga 2007

 

Alhamdulillah, projek peribadi kedua tahun ini berjaya disiapkan. Pada awal tahun lepas saya terjumpa semula buku catatan ijtima' am saya. Terimbau kenangan di sekolah. Buku ini ada dua nasib yang boleh menimpanya, dibiarkan lusuh dan hilang ditelan masa, atau ditaip semula, direkod dan diterbitkan dalam naskah buku agar boleh dirujuk generasi akan datang. Saya memilih pilihan kedua, dan perlahan-lahan menaip semula setiap malam - selama hampir setahun. Alhamdulillah pada 21 Mei 2021 ia selamat diterbitkan bersama Daerah Tarbiyah.

Naskah ini adalah sebahagian dari sejarah sekolah, sejarah bahan tarbiyah, juga sejarah MATRI sendiri. Buku-buku politik, ekonomi, sosial orang lain boleh tulis, tapi buku-buku perihal sekolah dan sejarahnya, kita sendiri yang kena menulisnya. Harap usaha kecil ini dapat menambah sedikit koleksi sejarah sekolah. Buku ini diterbitkan untuk simpanan peribadi, simpanan Perpustakaan Negara dan perpustakaan MATRI. Buku ini juga merupakan bukti bahawa saya tidak tidur semasa propgram ijtima' am di MATRI dahulu.

Terima kasih kepada Ustaz Yazid Noh kerana sudi menintakan sedikit kata aluan.

Ahad, 18 April 2021

Perjalananku Ini: Sebuah Naskah Nostalgia Menggetar Jiwa

Sebenarnya memang terlalu banyak buku yang saya mahu baca, entah sempat entah tidak dihabisi semua sebelum saya meninggal dunia, ada sebahagiannya yang saya sudah beli 5-6 tahun yang lalu, namun masih belum dibuka plastiknya. Namun kehadiran buku kecil bertajuk "Perjalananku Ini: Himpunan Puisi SukaDidik" yang ditulis oleh Annaky Abolmujahid ini mengusik jiwa kecil saya.

Pertamanya kerana ia ditulis oleh guru saya yang banyak mencorak kehidupan saya. Kedua, kerana naskah ini bagi saya secara peribadi, merupakan genre buku yang paling dalam di hati saya. Genre buku yang merupakan sebahagian dari korpus sejarah sekolah tercinta iaitu Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Yang ketiga, ia adalah koleksi puisi gurindam jiwa, yang tentulah enak dinikmati sambil menghirup secawan kopi dan terbang dalam kenangan. Jadi buku ini berjaya memotong barisan dalam senarai bacaan saya.

Walaupun ia bukanlah buku perihal sejarah definitif dan autoritif berkenaan sejarah MATRI (kita belum punyai naskah seperti itu setakat ini, menunggu siapa yang berani menyambut obornya), ia mempunyai kaitan erat dengan MATRI, pelajarnya, murobbinya, dan aktivitinya, jadi ia bolehlah diletakkan sebaris dengan naskah-naskah yang pernah ditulis sebelum ini perihal MATRI seperti Murobbiku tulisan Hilal Asyraf dan Sejarah Awal Matri tulisan Ghazali Saad.

Buku ini berkonsepkan nasihat yang diberikan melalui genre puisi. Walaupun puisi boleh terjatuh kedalam daerah yang sukar difahami oleh penerimanya, ia tetap diteruskan begitu oleh penulis. Beliau mengiktiraf masalah ini tetapi meneruskannya kerana bagi beliau nasihat itu tidak boleh diberi dengan gelojoh. Beliau lebih meminati gaya imejan, yang membawa anak didiknya bersiar-siar menikmati keajaiban alam sebelum isi nasihat itu meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa mereka. Ia bukan seperti naskah puisi biasa, naskah puisi biasa terus terjun pada bait-bait aksara sambil pembaca terpaksa meneka makna dan latarnya. Dalam naskah ini, sebelum pembaca dihidangkan dengan bait aksara, diceritakan dahulu latar peristiwa, watak dan tempat dimana lahirnya puisi-puisi ini. Jadi pembaca boleh membaca tanpa meneka latar puisi tersebut dan menjadikan pembacaan lebih mudah difahami.

Latar buku ini adalah program SukaDidik yang merupakan misi pendidikan yang dijayakan oleh pelajar lepasan Matri di Sabah selepas mereka menamatkan peperiksaan STAM. Penulis merupakan pendidik dan koordinator misi ini, yang dirangka sebagai medan amali bagi anak didiknya selepas mereka mengutip mutiara-mutiara di Matri. Di medan inilah mereka perlu menyebarkan mutiara yang sudah diterima, jauh masuk ke jiwa-jiwa di dasar perdalaman Sabah.

Misi sukarelawan ini dilaksanakan di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang merupakan institusi alternatif pendidikan bagi masyarakat Sabah yang ketinggalan dari sistem pendidikan arus perdana. Mereka tercicir kerana taraf hidup, jarak ke sekolah, kemudahan, juga masalah ketiadaan dokumen kewarganegaraan. Antara lokasi mereka menyumbang bakti mendidik masyarakat setempat adalah seperti di Kampung Tandoan, Kampung Hidayat, Pulau Mabul, Kampung Tagupi Laut, Kampung Paman Hutan, Simuning, dan Kampung Langkabong. Puisi-puisi di helaian awal juga menggambarkan kegusaran penulis meninggalkan anak-anaknya di pedalaman Sabah kerana kawasan ini merupakan kawasan keselamatan (ESSZONE).

Mungkin bagus kiranya untuk saya memetik satu bait puisi dari naskah yang kemas ini, sekadar untuk memberi gambaran kepada kita keindahan lantunan bahasanya.

"Belumpun habis secangkir bicara
saatnya sudahpun tiba
melepaskan ke dunia nyata
membawa risalah mulia;
merawat buta aksara,
membanteras jahil agama
membebaskan minda terpenjara."

Banyak lagi bait-bait yang mengasyikkan, namun tidak bolehlah saya muntahkan semua disini kerana boleh menyebabkan saya terjatuh ke lembah pelanggaran hak cipta. Anda perlu dapatkan sendiri naskah ini untuk menghayati bait-bait aksara yang digarap dengan indah. Selain membicarakan subjek misi pendidikan di Sabah, dalam naskah ini juga kita dapat mengenali penulis dengan lebih intim. Contohnya bagaimana penulis mengimbau pengalaman beliau sendiri membaca dan menghayati puisi tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam kolum Pabila Hujan Turun di dalam Dewan Sastera. Disini kita dapat kenali bahawa penulis sememangnya peminat bahan-bahan sastera.

Antara pesan yang saya kira berbekas di hati saya sepanjang membaca adalah puisi Hujan dan Kemarau, dalam puisi ini kita diingatkan akan sentiasa mengambil jalan tengah. Tidak terlalu jumud sehingga berlakunya kemarau, tidak juga terlalu ekstrem dalam berlepas-lepasan sehingga ditenggelami banjir. Walaupun nasihatnya khusus kepada pendidik, ia juga boleh diaplikasikan kepada kehidupan kita rakyat biasa.

Apabila penulis membicarakan bahawa pendidik nilainya tinggi, dan untuk mencapai ketinggian nilai itu ada tenaga yang perlu dikorbankan, ada usaha yang perlu dilakukan dalam mendaki untuk mencapai ketinggian. Hanya orang yang sampai ke puncak sahaja dapat menikmati keindahan permandangan. Bait-bait ini mengingatkan buku yang pernah saya tulis, bertajuk Gunung Tahan Hiking Log, saya dapat merasai maksud yang digarap penulis. Teringat saya pada cabaran dan keperitan mendaki Gunung Tahan, namun apabila tiba dipuncak, melihat buana luas terbentang indah diselimuti kabus, terasa manisnya kejayaan, segala penat lelah hilang seperti mimpi semalam.

Saya juga sangat terkesan membaca bagaimana sukarelawan yang berbaki disana bergaul dengan masyarakat dan anak didik sehingga tumbuh perasaan kasih dan sayang. Apabila tiba saat pulang, ada yang merayu untuk tinggal lebih lama. Saya juga pernah menjadi pendidik sebentar beberapa kali dalam hidup dan menyelami perasaan ini. Ya, apabila kita bersama anak-anak murid, melihat mereka belajar dan menjadi insan yang lebih baik, ia membungakan bahagia, sungguh kerjaya pendidik adalah kerjaya yang penuh percintaan. Saya sendiri dahulu menangis apabila berhenti menjadi cikgu. Saya ada membeli naskah Lemoi Praaq yang ditulis oleh Cikgu Bungo Lale perihal pengalaman beliau mengajar anak-anak orang asli Lemoi, saya kira naskah tersebut merupakan naskah yang baik untuk menyambung pembacaan perihal indahnya menjadi warga pendidik.

Maka penulis menulis dalam puisi Gurindam Rasa Hati, "andai jelma rasa sedih, itulah fitrah orang berkasih", begitu menusuk bait ini.

Sebelum saya mengakhiri ulasan saya terhadap naskah istimewa ini, saya ingin berkongsikan sebuah lagi tema yang berjaya saya kutip dalam makalah ini. Iaitu perihal minda yang dibiasakan berfikir tentang ilmu dan pendidikan pastilah tidak sama dengan minda yang hanya disuap hiburan-hiburan ringan. Seperti jasad yang banyak berehat, pasti tidak sama dengan jasad yang kuat bersukan dan beriadah. Tema ini dibicarakan penulis diakhir naskah dalam bahagian penutup. Apabila dibaca, ia seakan pesanan buat diri ini, apakah kita banyak bekerja dan menyumbang, atau sekadar berehat-rehat, memilih kerja-kerja yang senang dan mudah sahaja. Tentulah ia memerlukan satu muhasabah yang panjang.

Naskah ini bagi saya bukan sahaja indah, ia juga penting dalam erti memelihara sejarah persuratan akan sekolah yang kita semua semat di hati. Ia pastilah lebih penting dan indah buat sukarelawan yang pernah sendiri turun dan berbakti di sana. Semoga kita akan dihadiahkan lebih banyak naskah dalam genre ini, yang memelihara kisah, peristiwa, dan sejarah kita. Namun, sebelum kita diberikan hadiah-hadiah seterusnya, haruslah kita menikmati naskah yang telah tersedia ini. Penulis menutup makalah ini dengan baris akhir "doakan untuk penerbitan seterusnya", maknanya ada sinar cahaya bahawa kita akan diberkati dengan karya penulis di masa akan datang.

Ahad, 26 Julai 2020

Perginya Teacher Embun Menghadap Ilahi



Hari ini menerima khabar duka bahawa Teacher Embun, guru di MATRI dahulu telah kembali menghadap pencipta, meninggalkan dunia yang fana. Teacher Embun di khabarkan meninggal dunia jam 06.50 petang pada 26 Julai 2020. Teacher Embun dikhabarkan terkena serangan jantung dan dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia.

Saya secara peribadi tidak pernah mempunyai kelas secara langsung bersama Teacher Embun, tetapi saya sentiasa ingat kelibat Teacher Embun di depan bilik guru perempuan setiap pagi mengurus dan membahagikan surat khabar ke kelas-kelas. Surat khabar ini merupakan sumber kami mendapat berita sukan dan mengetahui prestasi kelab Liga Inggeris dan kedudukan mereka dalam tangga liga. Saya juga masih ingat Teacher Embun pernah membawa saya bersama rakan-rakan ke rumah beliau disebelah jalan di tepi bendang, kami membantu beliau mengemaskan rumah pada ketika itu.

Satu persatu guru dan murobbi MATRI dipanggil pulang menghadap Tuhan. Semakin hari kami anak-anak MATRI bukan sahaja semakin jauh dari MATRI dari sudut masa, tetapi kami turut berjauh dan berpisah dengan guru-guru yang mendidik kami.

Semoga Allah merahmati Teacher Embun binti Abdullah, semoga Teacher tenang berehat disana.

Allahummaghfirlaha warhamha.

Khamis, 2 Julai 2020

MATRI: Sekolah Kecil

Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek
Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)/Gambar Kredit: Faiz Malek.


Baru-baru ini mendapat berita bahawa ustaz yang disayangi, Ustaz Abdul Hadi Osman mendapat anugerah sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2020. Mendengar sesi temuramah yang diadakan oleh JPN Perlis di rumah ustaz di Kampung Tunjung sangat menggamit memori. Ustaz Hadi adalah ustaz yang banyak memberi sentuhan pendidikan peribadi kepada saya, terutamanya ketika di tingkatan satu. Ustaz sering solat subuh berjemaah bersama kami jika dia tidak mempunyai kuliah luar, sebelum kami dilepaskan untuk sarapan biasanya ustaz akan bagi sedikit tazkirah 2-3 minit. Antara peringatan yang saya masih ingat sehingga ke hari ini adalah apabila ustaz menyebut "Jangan kita padamkan masa depan akhirat anak-anak kita". Walaupun pada ketika itu saya masih belum berkahwin atau mempunyai anak, pesanan itu entah kenapa, melekat sehingga ke hari ini dalam kotak memori.

Ustaz juga seorang yang suka membaca, antara tips membaca yang pernah dikongsi oleh ustaz adalah baca sedikit sebelum tidur, dua tiga helai muka surat pun mencukupi, lama-lama akan habis satu buku dibaca. Antara pesanan lain ustaz, yang saya ingat diberikan ketika program Pelajar Lepasan MATRI (PLM) adalah perlunya pelajar MATRI berkahwin dengan pelajar MATRI supaya ibubapa yang mempunyai kefahaman Islam yang sama dapat meneruskan melahirkan generasi seterusnya yang berfikrah dengan fikrah Islam yang jelas. Pada ketika mendengar nasihat itu saya tersenyum didalam hati, walaupun dahulu saya pelajar ustaz yang nakal, sekurang-kurangnya nasihat ustaz yang ini saya laksanakan.

MATRI ini sekolah yang kecil, duduk pula dalam kebun getah di negeri yang hujung di utara Malaysia. Ketika sekolah-sekolah lain sibuk melahirkan pelajar untuk dipasarkan di pasaran kerja, sekolah kecil ini mengambil pendekatan yang berbeza. Sekolah kecil ini tidak mengejar untuk melahirkan robot-robot untuk dipasarkan ke industri, tetapi melihat masalah masyarakat yang ada dan beriltizam untuk melahirkan "manusia". Manusia dalam erti kata sebenar, sesuai dengan fitrah serta kemampuannya. Bukan manusia yang menjadi haiwan ekonomi tanpa ada nilai-nilai manusiawi.

Saya masih ingat, antara subjek yang saya kira tidak ditawarkan di sekolah lain adalah subjek "Pendidikan Jiwa", pada ketika itu diajar oleh Sir Rosdi Baharom yang lebih mesra dengan panggilan Pakcik Rosdi. Merupakan graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang teknologi mineral, beliau juga pernah menuntut di Imperial College dan University of Leeds. Kelas ini biasanya disusun sebagai kelas pertama di awal pagi sebelum kelas-kelas lain, waktu yang paling segar dan produktif. Sesiapa yang pernah mengikuti kelas, ceramah, bengkel, atau forum bersama Pakcik Rosdi mereka akan tahu bertapa tona suara beliau, ekspresi muka, juga pesona oratori beliau begitu meresapi jiwa. Buku yang digunakan sebagai silibus pada ketika itu adalah antaranya In the Early Hours tulisan Khurram Murad. Oleh kerana pendidikan jiwa itu sangat membekas di hati saya, saya dapat mengingati buku tersebut, dan selepas keluar universiti dan sudah punya duit sedikit saya cari semula buku itu, akhirnya berjumpa naskahnya di Kinokuniya KLCC.

Kerana buku itu terlalu istimewa bagi saya, saya membawa buku itu berjumpa Pakcik Rosdi setelah bertahun-tahun keluar dari sekolah kecil ini. Di helaian pertama beliau menconteng pada buku tersebut "Semoga Allah SWT mensucikan hati enta dan memilih enta sebagai perindu Syurga". Buat doa itu saya ucapkan "Ameen". Buku Khurram Murad ini memang targetnya adalah pembangunan jiwa, dan melihat syurga sebagai tempat yang harus kita fokus untuk tuju. Antara bab-bab awal dalam helaian naskah tersebut adalah langkah pertama ke syurga. Khurram Murad menulis:

"The first step in self development, then, is to concentrate single-mindedly on Paradise. Indeed, the one who is unsure of his destiny in life, torn between this world and the Next, like one standing with his feet in two separate boats - will be thrown off balance."

Walaupun sekolah kecil ini berusaha melahirkan "manusia", ini tidak bererti produk keluarannya "mandul" dalam industri atau tidak berdaya kerja. Malah saban tahun, anak-anak dari sekolah kecil ini dipetik oleh institusi-institusi pengajian tinggi, baik dalam dan luar negara. Tidak sedikit yang menjadi doktor, usahawan, tokoh masyarakat, guru, yang kembali menyumbang bakti pada pembangunan negara. Saya masih ingat ketika mendapat tawaran biasiswa menyambung pengajian ke St. Petersburg, ketika sesi temuduga, calon lain semua ber"coat" dan bertali leher, sijil-sijil mereka tebal dalam file kulit keras, sementara saya hanya berbekal file plastik RM3 untuk mengisi sijil, itupun tidak penuh. Ketika minggu induksi, masing-masing menyebut nama sekolah mereka, dari maktab rendah sains, sekolah berasrama penuh, sekolah sains, setiap kali itu pelajar lain akan menyebut "wow". Tiba giliran saya, saya sedikit gugup untuk menyebut nama sekolah kecil saya, tiada "wow" yang saya terima, yang ada cuma soalan "sekolah apa? MATI?". Tapi Alhamdulillah, walaupun dari sekolah kecil, meminjam skrip Ustaz Hadi "Allah kasihan pada saya", saya diizin menamatkan pengajian dengan kelas kepujian paling tinggi, satu-satunya pelajar lelaki yang berjaya mendapat kelas kepujian tertinggi dalam batch saya. Itu semua bukan kerana kebijakan saya, tetapi kurnia Tuhan yang mengasihi. 

Hari ini "sekolah kecil" saya mungkin sudah tidak kecil lagi dari sudut pembangunannya, pelajar baharu mungkin tidak merasa mandi air telaga payau yang dipam oleh generator seperti zaman saya dahulu. Kecemerlangan sekolah telah menarik minat penyumbang awam dan swasta dan sekolah semakin terbangun infrastrukturnya. Harapan kecil saya, se-gah manapun bangunan baru yang dibina, harapnya matlamatnya tetap sama, harap sekolah kecil ini terus melahirkan "manusia" untuk dipulangkan kepada masyarakat kita.

Semoga Allah mengasihani guru, ustaz, cikgu, warden yang setia mendidik kami ketika kecil. Allahumma ameen

Jumaat, 29 November 2019

Redupnya Musolla MATRI



Entah bila kali terakhir aku menangis, selepas 12 tahun meninggalkan MATRI rasanya hatiku sudah begitu keras, jika dibaling batu sekali pun batu itu yang akan pecah bukan hatiku. Tetapi malam yang panjang ini aku menangis, menangis panjang. Aku cuba berhenti tetapi ia tidak mahu berhenti. Mataku semakin panas, dan pipiku semakin basah. Ah tidak boleh begini, gumam hatiku dan membelok masuk ke Hentian Simpang Pulai. Berhenti menenangkan diri. 

Ada perkara yang mengusik jiwaku malam ini. Satu perasaan yang telah lama hilang pergi namun hari ini dia kembali. Ia datang tatkala aku menerima mesej berkenaan dengan Ustaz Omar Haji Salleh yang kini terlantar di Wad 502, Tingkat 5, UiTM Private Specialist Centre, Sungai Buluh. "Siapa ada masa ziarah, ziarahlah, sebab ustaz rindu melihat wajah-wajah anak-anak lepasan MATRI". Aku menangis lagi, kali ini lebih sesak. Masihkah sempat datang berziarah, mengucup tangan menuturkan senyuman.

Teringat guru-guru yang kebanyakannya telah pergi. Pergi membawa amal dan pengorbanan mereka kepada pencipta. Teacher Basimah dengan suaranya yang begitu lembut mendidik, Cikgu Zainudin dengan seni pertukangan di bengkel kemahiran hidup, Ummi Halimaton dengan kelas Bahasa Melayunya, Ustaz Dahlan dengan seni khatnya, Cikgu Desa Senawi dengan kelas matematik juga lawatan ke Tasik Melati, mereka semua sudah tiada lagi. Tiada lagi nasihat dan pesan, tiada lagi teguran dan kasih sayang, mereka telah pergi meninggalkan anak-anak mereka. Dan sekolah ditengah-tengah ladang getah itu menjadi saksi amalan mereka dihadapan Tuhannya.

Aku tidak pernah belajar secara formal bersama Ustaz Omar, namun nasihat dan mutiara kata beliau masih lagi aku simpan kemas dalam buku nota Ijtima' Am selama 5 tahun di MATRI sehingga ke hari ini. Tatkala nostalgia duduk bersila di dalam redup musolla datang mengusik jiwa, tiada hati keras yang mampu menahan keredupan itu, keredupan yang meresap kedalam jiwa, menghidupkannya semula. 

Musolla MATRI merupakan tempat yang paling istimewa, sekiranya MATRI mempunyai jantung, musolla adalah jantungnya. Disitulah kami anak-anak MATRI bermain, belajar, duduk, berdiri, malah berbaring. Musolla bukan sahaja tempat kami solat 5 waktu, disitu kami berhimpun, disitu kami mengulang hafazan, disitu kami berhalaqah, disitu tempat kami membesar. Di musolla juga kami mencari tempat untuk meyambung tidur apabila katil mula diketuk-ketuk Ustaz Mahadzir di awal dini subuh. Di musolla itulah Uztaz Omar akan berkhutbah, menyediakan anak-anak muridnya untuk dihantar keluar ke dunia, membawa kata dan risalahnya, menjadi penyambung lidah menyampaikan nasihat-nasihatnya. Ustaz Omar mungkin tidak mengajar kami di dalam bilik darjah, dia tidak mengajar kami menjadi robot di pejabat, dia tidak sediakan kami untuk menjadi hamba harta dan kerjaya, tetapi dia mengajar kami untuk menjadi sebenar-benar manusia.

Anak-anaknya kini sudah berpuluh generasi, bertebaran di seluruh pelusuk dunia entah ke mana. Namun. Namun dimana pun mereka, setinggi mana pun mereka berada, sebesar mana pun pingat yang mereka bawa, se-gah manapun piala akademik yang mereka cipta, jauh di dalam sudut hati mereka ada suatu sudut yang redup, yang ditinggalkan oleh guru-guru mereka. Agar mereka tidak pernah sesat selama-lamanya. Jika anak-anaknya menyelidiki jiwa mereka, mereka akan jumpa sudut redup itu, seredup musolla yang pernah mereka bersama. Masuklah ke dalam keredupan itu semula dan hidupkanlah semula jiwa. Moga ia akan menunjukkan mereka jalan bertemu guru-guru mereka, sebelum mereka pergi selamanya.

Sabtu, 2 Februari 2019

Maka rindu pun datang mengusik



Air mata pun gugur
Mengenang tarbiyah yang pernah subur
Dalam diri yang dahulunya nakal
Di musolla ini kami menyalin bekal.

Aku pulang bukan sebagai dewasa
Tetapi anak remaja yang ingin mengulang masa
Merasai semula belaian jiwa
Dari murabbi yang kini sudah tiada.


Belasan tahun aku telah pergi
Membawa diri mencari erti
Hari ini anakmu pulang kembali
Berharap dapat mengulangi.


Namun aku sedar sungai sudah mengalir
Air yang hanyut tidak akan hadir
Tinggal kisah dan laman pusara
Menunggu anak-anak pulang semula.

Hari ini kita diberi peluang
Untuk bersama merindui yang telah hilang
Teman, rakan, dan cikgu
Semua disini di ketika dahulu.

Dan mungkin bila nanti
Kita kan bertemu lagi.


Wacana PLM 1-3 Februari 2019
MATRI, Perlis. #epiccomeback

Isnin, 11 Disember 2017

Anak-anak MATRI pulanglah



Wajahnya kian pudar, 
kulitnya tidak lagi muda segar,
rambutnya putih, 
suaranya perlahan sayu merintih.

Langkahnya perlahan,
matanya kian kabur melihat permandangan,
usia sudah melebihi persaraan,
menunggu hari bersama di pusaraan.

Namun langit disini masih biru,
tiang-tiangnya masih lagi berdiri tanpa ragu,
angin nya masih nyaman membelai jiwa,
suasana sepi memanggil anak-anaknya,
yang pernah membesar disini pada suatu ketika,
bermandikan air kolah dan telaga,
Tiadakah lagi ada secebis rasa cinta untuk kembali bersama?

Sibuk. 

Pentingnya dunia sehingga tidak sempat memberi sesaat dua,
Dahulu menaiki bas sekarang sudah berkereta,
Tetapi tidak juga ada waktu yang sempat, 
Tempat ini seolah sudah terlalu asing untuk kembali berehat.

Untuk kembali duduk penuh sopan,
Untuk sujud di musolla yang penuh kenangan,
Untuk kembali melihat senyuman,
Untuk kembali hidup berteman.

Tanah ini telah melahirkan ribuan manusia,
Terus mencetak generasi dengan pelbagai usia.

Ada yang cerah ada yang gelap,
Ada yang bersinar ada yang malap,
Ada yang hidup ada yang gugur,
Ada yang masih berjuang ada juga yang telah tersungkur.

Anak-anak MATRI, pulanglah

Siapa pun kau hari ini, 
Disini masih setia menanti,
Merindui petah bicaramu,
Merindui keazaman mu menuntut ilmu.


Pulanglah sebentar mengubat rindu,
kembali ke langkah asal mu.

Pulanglah dengan senyuman di hati, 
memeluk erat segala memori. 

Kemanapun kau telah terbang pergi, 
siapa pun kau hari ini,
bumi ini setia menerima kau kembali,
pulanglah selalu ke laman tarbiyah ini. 

Anak-anak MATRI, pulanglah.

Reunion Batch 13 MATRI 
9 & 10 Disember 2017
"10 Tahun dalam memori"