Ustaz Dahlan Mohd Zain dan Ustaz Omar Haji Salleh bersama Syed Ahmad Fathi di Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005. |
Saya merupakan pelajar lepasan Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Di sinilah tempat permulaan saya mengenal diri dan belajar. Bukan sekadar belajar ilmu-ilmu akademik, tetapi juga belajar mengenal diri, belajar untuk hidup, belajar berdikari, belajar masak meggi, juga belajar berkawan dan bersahabat. Sepanjang perjalanan hidup, saya rasa sahabat-sahabat yang saya kenali di MATRI adalah yang paling rapat, malah kami masih lagi berukhuwwah sehingga ke hari ini.
Saya masih ingat semasa di Tingkatan 1, ketika baldi, hanger, baju, biskut, telah disusun di dalam locker asrama, ayah meninggalkan saya di sekolah yang terletak di hujung negara ini, MATRI terletak di Perlis. Saya duduk termenung di kantin melihat padang dan memikirkan apalah nasib saya disini. Namun saya tidak menangis, cuma blur.
Namun saya tidaklah ditinggalkan sendirian. Ramai kawan-kawan sekolah rendah saya menyambung pengajian disini. Ada juga geng. Kakak saya juga ketika itu bersekolah di MATRI di Tingkatan 3. Kawan sekolah lama adalah geng awal saya, saya pada mulanya tak berapa bergaul dengan kawan-kawan dari utara. Sebab saya tak berapa faham bahasa mereka pada mulanya, dan mereka pun macam ada puak tersendiri. Tapi lama-kelamaan semua tembok dan dinding cair, kami bergaul tanpa ada lagi rasa kekok, ibarat kangkung, udang, dan nasi yang akhirnya menjadi nasi goreng kampung. Tak ada lagi tembok utara, selatan, barat atau timur. Semuanya adalah sahabat.
Makin lama saya makin selesa disini, malah kalau cuti-cuti pendek pun biasa saya tak balik ke rumah. Namun di MATRI bukanlah semua baik dan indah sahaja, sering apabila kita bernostalgia yang pahit dan manis terangkum semuanya menjadi memori yang indah untuk dikenang. Tetapi, ada juga ketikanya guru-guru juga bertindak diluar batas yang layak bagi mereka, murid-murid yang remaja dan beragam apatah lagi. Namun bagiku itu biasa, sekolah ini adalah sekolah manusia. Guru dan pelajarnya bukanlah malaikat atau dewa-dewi, mereka semuanya manusia biasa dengan segala kelemahan manusiawi.
MATRI sebagai sekolah agama memang menerapkan unsur jati diri Islam dalam setiap pelajarnya. Namun tidaklah bermakna hal dunia ditinggalkan. Saya sendiri mengikuti aliran sains tulen di sekolah. Falsafah ilmu yang dibawa tidak memisahkan Islam dari ilmu dunia. Guru-guru biologi, kimia, dan fizik yang saya sayangi sentiasa mengaitkan ilmu yang diajarkan dengan Islam. Jika kita baca, Al-Qur'an sendiri begitu banyak ayat perihal fenomena alam, tumbuhan, haiwan, hingga ada cendiakawan yang mengatakan ayat perihal alam ini lebih banyak dari ayat-ayat perihal ibadah khusus. Jadi, tidak pelik jika dikatakan bahawa kalam Tuhan menyuruh kita menjadi saintis, kerana saintis tugasnya mengkaji, melihat dan merenung alam.
Falsafah ilmu MATRI tidak membawa bahawa semua pelajarnya perlu menjadi ustaz. Malah banyak lepasan MATRI menjadi golongan professional. Ratusan malahan ribuan, menjadi jurutera di kilang-kilang, menjadi usahawan pemilik toko perusahaan, bekerja di wad hospital, menduduki pejabat tinggi kerajaan, menjadi pengkaji dalam makmal-makmal sains, mengajar di menara gading malah ada yang menjadi artis dan selebriti. Tidak kurang yang kembali berkhidmat sebagai guru di sekolah. MATRI mahu anak-anaknya menjadi duta Islam di penjuru masing-masing.
Mengapa perlu kepada duta Islam?
Sekolah ini dibina oleh orang-orang biasa dengan visi luar biasa. Ada pendirinya bekerja sebagai petani, buruh, pegawai kerajaan dan swasta, juga mahasiswa. Malah pada peringkat awal, di MATRI memang tempat mereka ini bertani bersama. Mereka melihat kerosakan yang berlaku dalam masyarakat, dan merasakan masyarakat yang lebih baik dapat dibina jika anak-anak mereka diasuh dengan didikan Islam. Maka mereka pun berusaha menyemai benih-benih baharu. Meskipun mereka sedar, benih ini akan tumbuh melepasi usia hayat mereka. Dalam kata lain, mereka menanam benih dengan sedar bahawa mereka sendiri tidak akan dapat merasakan buah-buah manis yang bakal tumbuh dari pohon semaian mereka. Mereka beriman dan yakin, usaha mereka ini bakal melahirkan generasi baharu yang lebih baik, generasi yang punya jati diri Islam.
Sekitar 2004-2005 bermula gelombang baharu, iaitu proses nasionalisasi sekolah agama rakyat di Malaysia. Pada mulanya bantuan kepada sekolah agama rakyat dihentikan, kemudian polisi baharu diperkenalkan bahawa sekolah agama yang ingin mendapat bantuan kerajaan perlu duduk dibawah pengurusan kerajaan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). MATRI walaubagaimana pun memilih untuk kekal bebas sebagai sekolah agama rakyat tanpa campur tangan kerajaan meski pun terpaksa berusaha mencari dana sendiri. Namun tidaklah makna ia mengasingkan diri dari pendidikan arus perdana. Ia masih mengikuti kurikulum nasional dan pelajarnya mengikuti peperiksaan PMR (telah dimansuhkan kerajaan), SPM dan STAM.
Pada bulan Julai 2022, saya telah dicalonkan untuk menjadi setiausaha Persatuan Lepasan MATRI (PLM). Saya telah berusaha melobi rakan-rakan se-batch untuk tidak mengundi saya. Walabagaimana pun, melihat semula ke belakang, saya merasakan usaha melobi saya ini memang tempang sejak awal lagi kerana akhirnya mereka tetap juga mengundi saya. Walaupun berat, saya relakan juga hati untuk menerimanya. Saya menganggap ia sebagai medan untuk saya kembali menyumbang tenaga kepada sekolah yang telah banyak mencorak diri saya, saya sudah minum selaut ilmu disini, maka kini tibalah masa saya menyumbang sebutir dua keringat semampu dan seadanya. Walaupun saya sedar, apa yang saya sudah terima tidak mampu saya balas.
Menyertai PLM bererti saya perlu menghadiri mesyuarat di MATRI, dan menyambut amanah, saya hadir ke mesyuarat pertama pada bulan September 2022. Setiap kali saya melepasi pagar MATRI, pasti rasa hati saya membuah sayu dan rindu. Rasa segar hati di sini tak pernah padam. Walaupun setinggi mana saya telah mendaki tangga kerjaya, walau sebanyak mana pangkat dan harta, apabila saya memasuki MATRI, saya akan masuk sebagai anak pelajar kecil. Sebesar mana pun saya di luar, di dalam ini saya akan merasa kecil. Saya akan sentiasa, sampai bila-bila pun, masuk ke MATRI sebagai pelajar, masuk dengan penuh tunduk.
Di sini saya dapat merasakan semula ketenangan hati. Dahulu, semasa di sini, hati-hati kami bersih dan mudah tersentuh. Namun sekian lama keluar, saya merasakan hati saya telah begitu keras. Entah apa yang berlaku, seolah sekelip mata, arus hidup telah membawa lari hati bersih saya. Namun di sini, nyaman, sepertinya saya diberikan hati yang baharu oleh Tuhan. Duduk di musolla MATRI memberikan kesan yang sama pada hati, terasa seperti tidak mahu bangun dan terus sahaja duduk di musolla ini, berdoa kemudian termenung. Melihat bayangan-bayangan kami sewaktu muda di sekolah ini, yang kini sudah semuanya pergi entah ke mana. Saya merasakan, sekarang adalah masa yang sesuai bagi anak-anak MATRI untuk pulang. PKP sudah berakhir, tiba masanya mereka untuk menziarahi sekolah ini, saya pasti, mereka juga akan menjumpai semula hati-hati mereka. Walau sekeras mana, tiba disini, ia pasti berputik dan berbunga semula.
Seperti mengenggam pasir, pasti ia akan mengalir keluar juga dicelah-celah jari. Begitu jugalah kita, sesayang mana pun kita pada kenangan, ia pasti mengalir hilang dibawa sungai masa. Yang tinggal hanyalah nostalgia. Tetapi nostalgia itu dicipta Tuhan bukan sia-sia. Ia adalah satu pesanan yang sangat berkesan buat hati-hati kita, untuk merenung perjalanan hidup, memperelok laluannya, agar tidak kita terlepas dari landasan yang sebenarnya. Maka pulanglah, dalam nostalgia-nostalgia ini, pasti ia akan menyalakan semula hati-hati kita, sebagai bekal untuk mengharungi masa-masa seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan