Saya merasakan sebenarnya saya memang meminati sejarah. Cuma mungkin saya tidak menyedarinya sejak awal. Semasa di sekolah pun, buku teks sejarah tidaklah terlalu membosankan, cepat sahaja saya membacanya. Begitu juga apabila tamatnya zaman universiti. Kata orang zaman universiti sebenarnya tidak pernah tamat, sesudah universiti formal, kita memasuki universiti kehidupan. Di zaman universiti kehidupan ini, secara tidak sedar, diet pembacaan saya banyak berlegar dalam buku-buku sejarah. Sama ada buku yang membahaskan sejarah peristiwa atau pun buku yang membahaskan falsafah sejarah.
Antara buku awal yang saya baca dan menyebabkan saya terus jatuh cinta pada sejarah adalah buku A People's History of the United States tulisan Howard Zinn. Berbeza dengan buku-buku sejarah lain yang menekankan elemen patriotik, Zinn memaparkan sejarah bukan dari sudut pandang penguasa atau raja, tetapi orang kebanyakan, bangsa buruh, bangsa peribumi dan juga hamba. Tulisan Zinn ini membuka mata saya perihal bagaimana sejarah boleh ditulis untuk kita menjadi kritikal dan meniupkan roh perjuangan dan perlawanan dalam diri.
Saya terus menjadi pengikut setia Zinn. Hampir kesemua video-video syarahan dan ucapan beliau, sejak dari usia muda hingga ke tua saya tonton dan ulang tonton. Malah video perdebatan beliau semasa membantah perang Vietnam juga saya sentiasa ulangi. Kerana ia begitu mengujakan, menginspirasikan, dan yang lebih penting, mengajak manusia untuk berfikir menggunakan akal yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Tidak lama kemudian, saya membeli sebuah lagi buku beliau bertajuk A Power Governments Cannot Suppress.
Buku sejarah lain yang saya kagumi adalah tulisan Barbara Tuchman bertajuk The Guns of August. Walaupun Barbara bukanlah seorang ahli sejarah, namun tulisan beliau sangat mementingkan sumber dan penulisan beliau sangat terperinci. Antara aspek kegemaran saya perihal penulisan Barbara adalah kebolehan beliau menulis sejarah dalam bentuk mikro. Buku beliau ini hanya memfokuskan pada satu bulan sahaja iaitu bulan pertama semasa Perang Dunia Pertama, Ogos 1914. Ini adalah corak penulisan yang sangat menarik, iaitu melihat peristiwa yang besar hanya pada satu titik kritikal sahaja.
Selain Howard Zinn, sejarawan kegemaran saya yang lain adalah Ilan Pappe, sejarawan keturunan Yahudi. Beliau seperti anak-anak Israel yang lain, dididik dengan sejarah Israel versi Zionis. Produk dari pendidikan sejarah ini adalah kelahiran generasi baharu yang pro pada ideologi Zionis. Namun apa yang membuatkan saya hormat kepada Pappe adalah keberanian beliau untuk menukar fikiran apabila berdepan dengan bukti-bukti baharu. Pemikiran beliau berubah apabila beliau melanjutkan pengajian peringkat PhD di bawah Albert Hourani. Hourani bukan merupakan sejarawan biasa, dia merupakan nama besar dalam bidangnya. Karyanya yang terkenal adalah A History of the Arab Peoples. Apabila melihat sendiri dokumen-dokumen arkib dalam kajiannya. Pappe mengubah fikiran, baginya bukti-bukti yang ada tidak lagi mampu mempertahankan ideologi Zionis atau sejarah yang ditulis dengan naratif ini.
Bagi Pappe, apa yang berlaku pada tahun 1948 bukanlah Nakbah seperti yang dianggap oleh orang Palestin. Ia juga bukan sejarah penubuhan negara seperti yang dikatakan oleh Israel dan pendokongnya. Bagi Pappe, 1948 adalah satu jenayah pembersihan etnik secara terancang, dan nama penjenayah-penjenayah ini diketahui dan wajar didakwa di mahkamah antarabangsa. Saya membaca karyanya dengan linangan air mata, bukunya bertajuk The Ethnic Cleansing of Palestine. Pappe kemudian terkenal sebagai penulis sejarah revisionist dan juga sebagai sejarawan baharu (new historian) sebaris dengan Avi Shlaim dan Benny Morris.
Sejarawan lain, yang berani menukar pemikirannya apabila berdepan dengan bukti-bukti baharu adalah Bart Ehrman, seorang pakar dalam bidang kajian Kitab Perjanjian Baharu. Ehrman pada asalnya merupakan seorang kristian evangelikal fundamentalis yang mempercayai Kitab Bible tidak mempunyai sebarang kesilapan. Beliau mula mengkaji dengan lebih dekat, malah beliau belajar menguasai bahasa Yunani Kuno bagi memahami perubahan yang berlaku pada teks yang dikajinya sepanjang zaman. Beliau akhirnya sampai kepada keputusan bahawa Kitab Perjanjian Baharu yang ada pada hari ini adalah kitab manusia yang ditulis oleh tangan-tangan manusia. Pengembaraan intelektual beliau ini ada dirakamkan dalam bukunya yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why.
Dalam menekuni sejarah Islam, saya pernah membaca buku yang bertajuk Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past tulisan Firas Alkhateeb. Firas bukanlah nama besar dalam bidang sejarah, beliau merupakan guru sejarah di Amerika Syarikat dan merasakan sejarah Islam tidak banyak didedahkan pada murid di sana, oleh itu beliau menulis buku ini. Sebagai orang yang membesar di Malaysia, dan bersekolah di sekolah agama sejak sekolah rendah, kebanyakan isi buku beliau adalah pengulangan apa yang dipelajari dalam subjek Sirah. Cuma apa yang menarik dalam penulisan Firas adalah beliau tidak menyembunyikan sejarah yang buruk dalam sejarah Islam. Kedua-duanya ditonjolkan. Saya kira ini adalah perspektif yang penting, agar kita tidak melihat sejarah Islam sebagai sejarah yang romantik. Sebaliknya ia adalah sejarah manusia. Seperti yang dikatakan oleh Yasir Qadhi yang merupakan seorang ahli teologi di Amerika Syarikat bahawa Islam sebagai agama itu suci, tetapi sejarah Islam adalah sejarah manusia (the religion is devine, the history is human).
Dari penulisan peristiwa sejarah ini, sedikit demi sedikit, minat saya mengalir masuk ke dalam sungai baharu iaitu falsafah sejarah. Ini merupakan satu dimensi yang lain dan berbeza. Jika peristiwa sejarah perdebatannya adalah objektif, daerah falsafah sejarah ini adalah daerah subjektif yang dipenuhi dengan perbahasan abstrak dan spekulasi.
Antara buku yang saya baca perihal falsafah sejarah adalah tulisan Francis Fukuyama yang bertajuk The End of History and the Last Man. Sejarah yang dibahaskan oleh Fukuyama dalam buku ini adalah sejarah politik. Fukuyama banyak meminjam idea-idea dari Hegel dan Kojeve perihal sejarah dunia. Gagasan pemikiran yang dibawakan adalah sejarah itu mempunyai halatuju, atau dalam kata lain ia mempunyai permulaan dan pengakhiran. Fukuyama mengetengahkan idea bahawa demokrasi liberal adalah bentuk politik terakhir manusia, ia adalah sistem politik yang telah lengkap dan tidak akan ada lagi sistem politik yang lebih baik darinya. Ini yang dimaksudkan beliau sebagai titik akhir sejarah, titik akhir itu tidaklah bermakna tidak ada lagi peristiwa-peristiwa baharu sejarah yang bakal terjadi.
Namun idea Fukuyama ini ditolak oleh banyak sarjana. Malah dalam wacana-wacana umum idea ini sering diperolok-olokkan. Sarjana seperti Edward Said dan John Mersheimer contohnya menolak idea ini. Penulisan-penulisan politik terkini juga tidak menerima idea Fukuyama, contohnya tulisan Edward Luce dalam bukunya The Retreat of Western Liberalism. Saya kira kelemahan idea Fukuyama ini adalah kegagalan beliau untuk melihat bahawa demokrasi itu boleh mereput (decay). Kadangkala ia mereput menjadi populisma dan bentuk-bentuk yang lain.
Falsafah yang banyak mencorak sejarah terutamanya sejarah moden adalah falsafah yang dibawa oleh Karl Marx terutamanya idea dialektik materialisma. Idea ini bukanlah asli dari Marx seperti yang ditulis oleh Paul D’Amato dalam bukunya The Meaning of Marxism. Marx meminjam idea dialektik Hegel dan mengembangkannya ke dalam idea perkembangan sejarah berdasarkan ekonomi. Bagi Marx, pengeluaran hasil material dari Kapitalisma akan menatijahkan perubahan masyarakat kepada Komunisma. Hasil material ini akan diagihkan secara sama rata dalam masyarakat baharu dan menghapuskan sebarang perbezaan kelas dalam masyarakat.
Idea Marx ini sangat berpengaruh sehingga menatijahkan eksperimen sosial-politik terbesar dalam sejarah bermula dengan Revolusi Bolshevik sehinggalah tertubuhnya Kesatuan Soviet. Namun eksperimen ini dilihat gagal dengan runtuhnya Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Anak Stalin sendiri melarikan diri ke Amerika Syarikat kerana tidak tahan dengan corak pemerintahan Soviet yang begitu mencengkam. Kisah ini dirakam dalam buku yang ditulis oleh Rosemary Sullivan bertajuk Stalin's Daughter: The Extraordinary and Tumultuous Life of Svetlana Alliluyeva.
Penulisan sejarah tidak dapat lari dari ahli sejarah yang menulis sejarah. Malah apa yang ditulis oleh ahli sejarah, itulah sejarah. Sejarah bukan apa yang berlaku pada masa lampau tetapi apa yang berlaku pada masa lampau yang telah dipilih untuk diceritakan oleh ahli sejarah. Apabila berakhirnya era kolonialisma. Bangsa-bangsa yang sebelum ini dijajah mula mempunyai kesedaran baharu perihal sejarah mereka. Mereka tidak mahu lagi bergantung pada pensejarahan yang ditulis oleh sejarawan kolonial. Gerakan ini mendapat nafas penting dengan terbitnya buku Orientalism tulisan Edward Said. Said mengkritik keras penulisan-penulisan Barat perihal Timur yang baginya penuh prejudis dan sterotaip. Penulisan beliau akhirnya melahirkan kesedaran baharu tentang bagaimana untuk menulis sejarah, dan keperluan untuk lebih kritikal dalam menggunakan sumber catatan Barat perihal masyarakat Timur.
Namun semua ini tidak berjaya menolak saya untuk menjadi pelajar sejarah. Walaupun saya telah banyak membaca buku-buku sejarah juga perbahasan falsafahnya, ia hanya menjadikan saya sebagai pembaca buku sejarah, bukan pelajar sejarah secara formal. Apa yang menolak saya untuk masuk ke dewan kuliah sejarah adalah perkara yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan