Mengikuti perbahasan baik di Timur mahupun di Barat dewasa ini, kita sering akan berjumpa dengan argumen perkaitan antara agama dan keganasan. Jika tidak keganasan pun, akan dikaitkan dengan kekerasan dan sekatan pada kebebasan manusia.
Walaupun sebenarnya perbahasan ini telah lama ada, saya kira nafas moden diberikan dengan adanya tulisan seperti Clash of Civilization tulisan Huntington. Juga tulisan-tulisan seangkatan dengannya yang bukan sekadar berlegar dalam jurnal akademik, tetapi meresap ke dalam perbahasan umum, siaran media dan juga penggubalan dasar dan polisi negara.
Walaupun pada fikiran saya, agama ini neutral sifatnya. Manusia yang memberi makna dan perwatakan kepada sebuah agama. Oleh itu kita boleh jumpa kekerasan dan toleransi dalam sejarah agama-agama, baik agama Islam, Kristian, malah Buddha sekali pun. Jika kita mahu mengatakan agama itu keras, kita boleh pilih satu segmen sejarah untuk menjustifikasikannya. Begitu juga sebaliknya, terdapat banyak contoh-contoh toleransi yang boleh kita petik dalam sejarah agama.
Beberapa hari lalu saya ada mendengar beberapa syarahan Dr. Yasir Qadhi, saya suka ungkapan beliau perihal perbezaan agama Islam dan sejarah Islam. Katanya:
"The religion is divine, but the history is very human".
Jadi begitulah sifatnya. Jika kita mendengar sejarah dalam khutbah dan kuliah, kebanyakannya akan dipetik sejarah yang baik dan romantik. Tetapi jika kita membaca sendiri kitab-kitab dan sumber-sumber primer dan sekunder, kita akan dapati sejarah itu penuh masalah, perang saudara, pengkhianatan, dan tribulasi. Malah ada dalam titik sejarah Islam dimana kita mempunyai 3 kerajaan khilafah pada satu-satu masa. Umayyah di Andalus, Fatimiyyah di Mesir dan Abassiyah di Baghdad. Tetapi bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil pengajaran pada sisi-sisi yang baik dalam sejarah. Cuma jika kita tidak ceritakan keseluruhannya, pemahaman kita akan menjadi cacat. Kata Hussein Alattas, kita perlu belajar kedua-duanya, ilmu ubat dan ilmu racun.
Berbalik kepada agama dan kekerasan, saya tertarik sekali dengan kupasan Yasir Qadhi perihal kefahaman pada hukum-hukum agama. Beliau mengupas bagaimana fatwa-fatwa almarhum Yusuf Qaradhawi mendahului zaman. Bagaimana pada mulanya pandangan beliau dianggap menyalahi jumhur dan bersifat minoriti, namun lama kelamaan pandangannya menjadi pandangan yang dominan dan dipegang oleh kebanyakan majlis fatwa.
Itulah sifat agama menurut beliau, berubah sesuai zaman. Yasir Qadhi mengkritik orang-orang yang berfahaman terlalu keras dalam ijtihadnya, kerana beliau melihat ahli keluarga mereka sendiri pun tidak dapat mengikuti pandangan agamanya yang keras itu. Baginya tiada guna berkhutbah perihal benda-benda yang keras dan ideal namun tidak praktikal dan tidak dapat dilaksanakan. Bagi Yasir, kekuatan Qaradhawi adalah kebolehannya melihat bagaimana umat Islam moden dapat melaksanakan agamanya dalam dunia yang baharu, tidak lagi hanya terikat pada fatwa silam ratusan tahun yang lampau. Teras-teras agama mengikut Qaradhawi, tetap kekal sebagai thawabit, tetapi hal-hal perihal hukum sentiasa boleh berubah mengikut zaman dalam daerah mutaghayyirat.
Pandangan saya, kekerasan dalam agama, jika pun tidak secara dasarnya, terlihat dan terasa secara persepsinya apabila ia bergandingan dengan kuasa dan politik. Persoalan ini banyak dibahaskan. Tetapi jika kita melihat secara menyeluruh, tidak semua negara beragama itu keras. Suasana di Afghanistan misalnya, sangat berbeza dengan Indonesia. Arab Saudi contohnya, sangat berbeza dengan Turki. Sekali lagi kita melihat, walaupun semua negara ini majoriti penduduknya beragama, corak pemerintahannya sangat berbeza. Disini kita lihat peranan manusia yang memberi makna dan perwatakan pada sesuatu.
Saya melihat negara-negara yang banyak dianggap keras ini proses mereka memasuki dunia moden banyak diganggu oleh kuasa-kuasa besar dunia. Maksudnya, mereka tidak matang secara semulajadi. Tetapi corak pemerintahan mereka banyak dikawal dan ditentukan oleh kuasa luar. Bagi saya ini faktor yang lebih dominan mengapa mereka menjadi keras, bukan kerana agama. Korea Utara misalnya, bukan negara yang kuat beragama (walaupun tidak dipersetujui oleh Christopher Hitchen akan argumen ini). Korea Utara menjadi kerajaan yang keras dan mencengkam banyak bergantung pada faktor luar. Ancaman dan sekatan yang dikenakan menghalang politik mereka matang secara semula jadi. Sebaliknya mereka mengeras untuk survival.
Saya lebih dekat dengan pandangan bahawa agama digunakan sebagai dalil kepada kekerasan. Namun agama itu sendiri bersifat neutral dalam hal ini. Dan agama bukanlah satu-satunya dalil yang digunakan dalam sejarah untuk menghalalkan kekerasan. Sains juga pernah digunakan sebagai dalil, contohnya social darwinism dan eugenics yang digunakan dahulu di German.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan