Sabtu, 15 Oktober 2022

Catatan Baitul Muslim 59: Mendidik Melalui Ugutan


"Abi, seronoklah kelas taekwondo"
kata anakku, ketika berjalan apabila aku menjemputnya pulang dari sekolah.

"Memang seronok, tapi kalau pergi taekwondo tak buat kerja rumah lepas ni takde kelas taekwondo!" jawabku dengan nada marah.

Anakku yang baru mahu membuka topik untuk bersembang dengan ayahnya terus terdiam. Aku dapat merasakan bahawa responku telah membunuh perasaan teruja yang baru mahu terbit dalam hatinya. Sekejap sahaja perasaan bersalah meresap masuk ke dalam jiwaku. Entah kenapa aku berkelakuan begitu, mungkin perasaan marah semalam masih aku simpan. Maklumlah selepas sekolah terus ke kelas taekwondo kali pertama, malamnya penat dan liat untuk menyiapkan kerja sekolah. Jadi, rasa marah malam semalam terbawa-bawa ke hari seterusnya. Aku kongsikan adegan itu kepada isteri, beliau menasihatkanku meminta maaf pada anak, takut-takut dia akan berhenti bercerita dan berkongsi kisah dengan ibu bapa.

Aku terfikir juga. Dahulu aku ingin sekali bersembang dengan anak kecil ini. Tetapi apabila kini dia sudah boleh berfikir, bercakap, dan bercerita, aku lebih banyak marah dari mendengar. Aku terperangkap dalam dua dikotomi, satu adalah untuk menghargai perasaan dan emosi anak, mendengar cerita-ceritanya. Dua, mendidik dan mendisiplinkan anak agar dia sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya. Kadang dua perkara ini bercampur, dan aku terlebih marah dari mendengar.

Aku merasakan teknik aku mendisiplinkan anak memang penuh dengan ugutan. "Tak buat ini tak boleh ikut balik Kuala Lumpur". "Tak ikut cakap tak boleh pergi jalan-jalan". "Tak buat itu tak dapat aiskrim". Semuanya ugutan. Hingga aku melihat, anak-anak pun mengikut caraku dalam kelakuan mereka. Contohnya apabila bermain dengan adik, si kakak akan berkata "kalau adik tak ikut, kakak tak nak bagi"

Walaupun kedengaran "mendidik melalui ugutan" itu sangat negatif, aku merasakan bahawa ianya merupakan salah satu pendekatan dalam pendidikan. Ia boleh dilihat dan dijenamakan dengan lebih positif, iaitu kita meletakkan syarat kepada anak-anak sebelum dia mendapat sesuatu. Cuma sukar dilakukan adalah memastikan anak itu memahami, bahawa kita mahu mendidik bukan mengugut. Kerana level mereka sekarang mungkin belum dapat memahami niat kita. Mereka hanya melihat perkara-perkara yang dekat dengan mereka. Jadi senang sekali keadaan ini menyebabkan mereka merasakan bahawa kita selalu sahaja mahu memarahi mereka. Ditambah dengan fitrah bapa yang lebih senang marah dari menerangkan sesuatu kepada anak-anak. Mungkin satu hari nanti mereka akan faham, apabila level pemikiran mereka meningkat, namun mungkin ketika itu rasa kasih sayang sudah tidak ada. Jadi, walaupun susah, kita perlu juga berusaha membuatkan mereka faham.

Watak tegas dalam keluarga sebenarnya pada fikiran saya perlu ada. Kerana tidak semua masa pendidikan itu berkesan dengan penerangan. Namun perlu ada pengimbang. Jika ayah marah, ibu perlu memujuk dan menerangkan pada anak. Jika ibu marah, ayah perlu memujuk dan menerangkan pada anak. Tidak boleh kedua-duanya marah tanpa ada tempat anak itu berpaut. Dan saya kira, ibu bapa memang sukar untuk menentukan apakah cara didikannya itu benar, dia cuma hanya mampu berharap anak-anaknya memahami bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikannya.

Ada juga pandangan dalam pendidikan anak-anak bahawa kita perlu juga kadang-kala mengecewakan mereka. Contohnya jika kita memberi satu syarat, dan mereka tidak memenuhi syarat tersebut, kita tegas melaksanakannya. Contohnya tidak dibenarkan ikut berjalan-jalan. Pertama, objek yang hendak dicapai adalah mereka memahami bahawa kita benar dalam kata-kata, we mean our words. Oleh itu selepas ini mereka akan mengambil serius apa yang dikatakan. Kedua, agar mereka sedar memang dalam hidup ini tidak semua perkara yang mereka ingini mereka boleh dapat. Gembira dan kecewa adalah sebahagian dari hidup.

Cuma semarah mana pun kita pada anak-anak, janganlah dihilangkan kasih sayang. Contohnya, semarah mana pun kita pada anak, jika setiap kali ke sekolah kita mencium pipi mereka, perkara ini tetap perlu terus dilakukan. Agar mereka faham, marah itu marah kerana sayang.

Tiada ulasan: