Memaparkan catatan dengan label Liberalisme. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Liberalisme. Papar semua catatan

Jumaat, 10 September 2021

Ulasan Buku The Retreat of Western Liberalism Tulisan Edward Luce

 

Buku bertajuk The Retreat of Western Liberalism tulisan Edward Luce ini pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2017, sejurus selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat. Sebahagian besar dalam permulaan buku ini apabila dibaca kedengaran seperti Luce sedang membebel perihal kemerosotan ekonomi Eropah. Namun banyak juga apa yang diperkatakan oleh Luce bagi saya merupakan perkara yang elok direnungi dan difikirkan.

Buku ini merupakan analisa beliau perihal fenomena kemerosotan kepercayaan Eropah terhadap sistem Demokrasi Liberal sedia ada, buku ini ditulis sebagai amaran kepada mereka yang mempercayai sistem ini agar berbuat sesuatu supaya sistem ini dapat bertahan dan berterusan. Analisa beliau dalam satu aspek, seperti ingin melihat kembali thesis Francis Fukuyama yang menyatakan Demokrasi Liberal berupakan sistem terakhir dalam dialektik falsafah politik manusia. (5) Antara contoh besar yang beliau bawakan adalah kemenangan Donald Trump dan juga Brexit sebagai bukti bahawa Politik Populism kini semakin mendapat tempat untuk menggantikan Demokrasi Liberal di dunia.

Hari ini pelbagai negara merasakan mereka tidak perlu berkiblatkan Eropah untuk maju. Bagi mereka, sejarah kegemilangan mereka kini sudah kembali, dan Demokrasi Liberal pula yang bakal menjadi sejarah. (8) Bagi Luce, sejarah belum lagi berakhir. Sejarah adalah pengulangan peristiwa kejayaan dan kegagalan manusia, tidak ada satu cara untuk menyusun bagaimana masyarakat perlu disusun dalam sesebuah negara. “Hanya terdapat satu cara” untuk menyusun masyarakat menurut Luce adalah ideologi agama. (11) Ditambah dengan kegagalan Arab Spring untuk membuahkan demokrasi, “adakah Tuhan Eropah iaitu Demokrasi Liberal telah gagal?” tanya Luce. (12)

Menurut beliau, apa yang menyebabkan sistem Demokrasi Liberal kekal relevan adalah kemampuannya memberikan perkembangan ekonomi. Apabila buah-buah perkembangan ekonomi ini hilang, sistem ini akan mula roboh. (13) Seperti kata-kata terkenal Barrington Moore Jr. "no bourgeois, no democracy”. Dalam sejarah, eksploitasi kolonial Eropah memberikannya kelebihan dari sudut ekonomi. Syarikat India Timur British sebagai contoh memusnahkan industri textile India bagi memberi ruang kepada industri sama di Lancashire. Industri porcelain China diganti dengan syarikat-syarikat Eropah. (22) Pada pandangan Luce, walaupun beliau mengiktiraf rompakan Eropah ke atas Asia melalui projek kolonial, apa yang menyebabkan Eropah berjaya dari sudut ekonomi menurut beliau adalah kehebatan teknologi mereka. (23) Beliau juga menyentuh bagaimana projek kolonial Eropah membawa century of humiliation kepada China, tema yang dibahaskan dengan panjang oleh Robert D. Kaplan dalam bukunya. (23)

Namun untuk melihat masa depan, kita tidak boleh bergantung kepada ahli ekonomi. Ahli ekonomi sering kali meramalkan pertumbuhan ekonomi yang akhirnya tidak terjadi. (27) Cara kita membaca nombor ekonomi juga sering kali membawa kepada kesimpulan yang salah. Penggunaan purata sebagai contoh, sering kali membawa kepada bacaan yang tidak bermakna. Secara puratanya manusia mempunyai 1.9 kaki setiap orang kerana terdapat manusia yang hanya mempunyai satu kaki. Contoh lain adalah jika Mark Zuckerberg memilih untuk tinggal di kampung kita, kita boleh katakan secara purata, ahli kampung kita adalah jutawan. (30)

Menurut Adam Smith dalam The Theory of Moral Sentiments, sistem kapitalisma hanya boleh berfungsi dengan berkesan apabila adanya kepercayaan pada satu sama lain. Tanpa kepercayaan dalam masyarakat, kos untuk berniaga akan meningkat. (38) Sifat skeptik oleh Amerika yang memimpin dunia terutamanya dibawah Trump menjadikan sistem kapitalisma tidak lagi efisien. 

Luce juga mengutarakan kebimbangannya perihal sistem meritokrasi Amerika Syarikat yang kini bergantung pada keturunan. Kejayaan anak-anak, juga kebolehan mereka untuk menjadi kaya bergantung kepada siapa ibubapa mereka. Bidalan moden kini berbunyi “jika anda ingin menjadi bijak dan energetik, langkah paling penting adalah memilih ibubapa yang betul”. (44)

Luce juga mengkritik kelab elit antarabangsa seperti Forum Ekonomi Davos yang baginya sudah tidak lagi memahami denyut nadi masyarakat biasa. Forum ini hanya mengeluarkan buzz words seperti thought leadership dan disruptive thinking tanpa memaknainya. Bagi Luce, demokrasi bukanlah penyelesaian untuk semua masalah. (69) Sama ada kita suka atau tidak, masyarakat hari ini merasakan identiti mereka lebih dekat pada negara berbanding identiti global. Globalisasi tidak serasi dengan demokrasi. Kita tidak boleh dalam masa yang sama mahukan demokrasi, determinasi nasional dan globalisasi ekonomi, satu daripadanya harus digugurkan. (72)

Selepas membahaskan bagaimana ekonomi dan globalisasi merencatkan demokrasi. Edward Luce kemudian melihat kesan projek demokrasi di seluruh dunia. Penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah antara isu yang mencalarkan imej liberal demokrasi. Demokrasi tidak boleh dipaksakan menggunakan senapang menurut beliau. (81) China, walaupun bersifat autokratik, tidak mempunyai niat dan usaha untuk menyebarkan model politik mereka ke seluruh dunia, malah misi Beijing sekarang adalah counter-revolution. China pada sudut pandang dunia lebih menghormati diversiti tamadun yang ada di dunia. (85)

Dengan kemenangan Trump melalui peti undi, penyokong liberal demokrasi di China berada dalam keadaan dilema. Walaupun mereka membenci Trump, mereka tidak boleh mengatakan rakyat mengundi presiden yang salah. Pengakuan ini akan menyebabkan mesej mereka untuk menjual demokrasi ala Barat di tanah air mereka semakin kedengaran kelakar. Jika undi rakyat silap mengapa harus mereka diberikan hak mengundi? (86) Bagi Luce, konsep “rakyat” adalah satu ilusi, fiksyen yang kita reka sendiri. Jika kuasa itu benar-benar ada pada rakyat, ke mana kuasa itu pergi? (87)

Ketidakpercayaan kepada sistem liberal Barat bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat antarabangsa, ia turut berlaku dalam masyarakat Eropah sendiri. Terutamanya apabila blok politik kiri mereka yang memperjuangkan “multiculturism” lebih dari perjuangan mengangkat ekonomi golongan proletariat. Melabelkan mereka yang tidak menyokong blok kiri sebagai rasis adalah mudah, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah, kerana masalah utama, iaitu masalah ekonomi, tidak diselesaikan. (99)

Golongan elit yang memimpin blok politik kiri Eropah pada hari ini sebenarnya sudah terpisah dengan semangat golongan proletariat. Golongan elit yang dahulunya disebut Marx sebagai “vanguard” – golongan borjuis yang mempunyai kesedaran, mereka menurut Marx akan mengetuai revolusi. Tetapi malangnya, blok kiri hari ini tidak berminat untuk memperjuangkan ekonomi kelas pekerja, jika Lenin lahir dalam kelas elit kiri Eropah hari ini menurut Luce, beliau akan mengajar cultural studies di universiti elit Sorbonne. (110) Krisis demokrasi liberal hari ini juga merupakan perlawanan yang disebabkan oleh percanggahan antara teori demokrasi asas dan idea liberal yang kompleks. Percanggahan antara kuasa majoriti rakyat melawan kelab elit terpelajar (rule of the expert). Rakyat Eropah sebagai contoh tidak mahu menerima makanan yang diubah genetik (GMO), namun keputusan mereka ini tidak dihormati. Mereka tetap perlu menerima GMO hasil keputusan golongan-golongan pakar dalam organisasi perdagangan dunia (WTO). Suara golongan pakar (expert) mengatasi suara rakyat. Ini bercanggah dengan teori demokrasi asas dimana rakyat majoriti boleh menentukan keputusan bukan golongan pakar. (120)

Walaupun kemenangan sosok populis seperti Trump memberi tamparan kepada sistem liberal barat, apa yang menyebabkan sistem ini masih bertahan (bagi Luce sistem ini hanya berundur tidak roboh) adalah karakter-karakter yang ada dalam sistem, mereka yang percaya kepada nilai demokrasi liberal dan terus mempertahankannya walaupun diancam kehilangan jawatan. Dari pemerhatian ini, bagi Luce apa yang mempertahankan sesuatu sistem adalah karakter manusia di dalamnya bukan undang-undang atau peraturan. (133)

Bagi Luce, golongan intelektual telah berbincang dengan begitu lama perihal limitasi yang ada dalam sistem yang mengutamakan suara popular. Malah kebanyakan perbincangan ini tidak membawa hujah-hujah yang baru sejak ia diperdebatkan oleh ahli falsafah Yunani Kuno. Bagi Plato, demokrasi akan diperintah golongan samseng (mob) jika pengundi kebanyakannya tidak dapat membezakan antara ilmu dan pandangan (opinion). Bagi Aristotle golongan ilmuan perlu memimpin dengan keizinan golongan majoriti. (137-138)

Buku tulisan Luce ini, walaupun mempunyai banyak pemikiran yang menarik, terdapat juga fakta yang saya kira meragukan. Contohnya beliau mengisahkan bagaimana sekitar tahun 2019, tentera China melancarkan torpedo ke atas kapal perang Amerika USS John McCain. Peristiwa ini tidak terdapat dalam public domain. Sama ada ia tidak pernah berlaku atau Luce mempunyai sumber perisikan rahsia yang tidak diketahui umum. Beliau juga tidak mengemukakan apa-apa referens terhadap dakwaan yang meragukan ini. (152)

Antara buku yang sangat meninggalkan kesan terhadap pemikiran saya adalah Orientalism tulisan Edward Said, sehingga hari ini ia masih saya selaki dan analisa perlahan-lahan. Apabila saya melihat analisa Barat terhadap Timur, Orientalism akan muncul dan menjadi kaca mata saya. Kaca mata ini sekali lagi muncul apabila Luce membahaskan bagaimana sarjana Eropah melihat China. Hegel dan Marx melihat China sebagai “oriental despotism”, social darwinism mengklasifikasikan China sebagai bangsa kasta rendah, bagi Mill China adalah tamadun yang cacat, dan menurut Max Weber China tidak mampu mengembangkan ekonomi kapitalis. Semua pemikir ini mempunyai prejudis walaupun seorang pun tidak pernah menjejakkan kaki ke China. Pemikir baharu, seperti Henry Kissinger lebih berhati-hati dari mengikuti jejak langkah keangkuhan kolonial Eropah, beliau lebih berhati-hati dalam memaksa dunia menerima nilai Barat. Namun ada juga pemikir kontemporari yang masih berfikiran prejudis. Ahli ekonomi, Paul Krugman contohnya, memperlekeh perkembangan ekonomi Asia sebagai fatamorgana, beliau menjangkakan ekonomi Asia akan tersungkur dan hilang seperti mana model yang dibawakan oleh Stalin. Semua ini merupakan pemikiran yang berakar dari idea bahawa Barat mempunyai kehebatan moral yang lebih tinggi berbanding peradaban lain. (162)

Mungkin teori Francis Fukuyama tidak tepat kerana hari ini kita melihat kebangkitan golongan populis yang mempergunakan nasionalisma untuk merebut kuasa. Mereka berjaya naik ke puncak kuasa menggunakan platform demokrasi mengalahkan seteru liberal mereka. Sesuatu keputusan yang baik, terutamanya perihal hubungan antarabangsa memerlukan masa untuk difikirkan. Namun teknologi hari ini memaksa keputusan dilakukan dengan pantas. Ini memberi kelebihan kepada pemimpin populis, kerana mereka tidak perlu berfikir panjang untuk merangka polisi, mereka hanya perlu mengikuti sentimen yang akan membawa mereka naik, bukan kajian atau fakta. Teknologi dalam hal ini meruntuhkan demokrasi. (170) Bagi pemimpin populis, fakta itu adalah rakan mereka jika menguntungkan, jika tidak, fakta adalah musuh. (179)

Edward Luce tidak banyak membicarakan perihal penawar kepada penyakit-penyakit yang menjangkiti demokrasi liberal pada hari ini. Bagi beliau, tugas bukunya adalah untuk membuat masyarakat risau perihal perkembangan yang berlaku, agar mereka sedar akan perubahan ini dan mula menanganinya dengan bijaksana. Antara saranan beliau adalah supaya kita berhenti memburukkan mereka yang mengundi calon populis, jika dari awal kita telah menolak dan melabel mereka dengan buruk, kita tidak dapat memenangi mereka semula. (191) Untuk mengembalikan masyarakat ke pangkuan demokrasi liberal hari ini menurut Luce adalah tidak mengetepikan sebahagian besar mereka. Beliau memberi contoh bagaimana perjuangan membela minoriti mengetepikan majoriti, contohnya polisi yang mengutamakan wanita, etnik minoriti, dan golongan muda yang dalam masa yang sama mengetepikan golongan lelaki kulit putih kelas pekerja. (189) Walaupun tidak banyak idea penyelesaian yang dibawakan, buku ini amat baik dalam menganalisa masalah dan krisis yang ada walaupun ada ketikanya tona penulisannya kedengaran seperti membebel dan sedikit membosankan.

Ahad, 6 September 2020

Berakhirnya Sejarah: Menekuni Adikarya Francis Fukuyama



Antara buku yang sempat saya tekuni sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersempena penularan virus Covid-19 adalah kitab The End of History and The Last Man tulisan Francis Fukuyama. Buku yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1992 ini bagi saya merupakan teks klasik moden dalam lingkungan pemikiran dan falsafah politik. Thesis utama dalam buku ini adalah sistem demokrasi liberal merupakan sistem akhir dalam sejarah evolusi pemikiran falsafah politik, tidak ada sistem baharu yang boleh menggantikannya, dalam erti kata lain ia adalah sistem yang telah sempurna.

Beliau memulakan perbahasannya dengan membicarakan kecurigaan manusia terhadap perkembangan sejarah. Abad ke-20 dipenuhi peperangan dan kekejaman yang tidak pernah dilihat dalam sejarah manusia seperti yang dilakukan oleh Hitler dan Stalin. Kekejaman ini hanya boleh dicapai menggunakan persenjataan moden hasil usaha sains dan teknologi. Ia membuatkan ramai pemikir curiga dan pesimis bahawa perkembangan sejarah akan melahirkan sesuatu yang bermakna. Ketika kemuncak keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Fasis Nazi, masyarakat German merupakan masyarakat yang paling terkedepan dalam bidang pendidikan, budaya, dan sains. Fukuyama menekankan bahawa kemajuan sains dan teknologi hanya akan menyumbang kepada kebaikan manusia sekiranya ia diiringi oleh kemajuan moral dan etika manusia.

Sementara Fasis German menyaksikan kekejaman spektrum kanan politik, spektrum kiri politik yang ekstrem menyaksikan kekejaman rejim totalitarian komunis. Perbezaan antara authoritarian dan totalitarian bagi Fukuyama adalah kebolehan mengawal organ-organ masyarakat, sehingga rejim totalitarian menjadi immune kepada perubahan dan reformasi. Sebagai contoh, bentuk kerajaan despotik lain cuba mengawal gerakan sivil, tetapi kerajaan totalitarian menghancurkan terus gerakan sivil, untuk mengawal masyarakat secara total. Institusi seperti keluarga, agama, persatuan, semuanya dihapuskan dalam usaha untuk menjadikan setiap individu sebagai 'atom' yang hanya bergantung pada kerajaan. Sehingga kepercayaan, sistem nilai, semuanya dikawal kerajaan melalui media dan organ propaganda yang sistematik.

Oleh sebab itu sebahagian pemikir melihat demokrasi sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada pemerintah. Sementara rejim totalitarian dapat mengawal semua organ masyarakat sehingga bencana besar seperti kebuluran juga tidak dapat menggugat kuasa pemerintah kerana rakyat kebanyakan tidak diberi ruang untuk melakukan protes.

Kelemahan Kerajaan Yang Kuat

Demokrasi liberal secara definisinya merupakan kerajaan yang lemah, mengangkat kebebasan individu bermaksud kerajaan perlu menghadkan kuasanya. Hal ini berbeza dengan corak diktator seperti authoritarian dan totalitarian yang boleh memaksa populasi kearah matlamat-matlamat yang ingin dicapai, sama ada pembinaan ketenteraan, pembahagian sumber, atau pemesatan ekonomi. Namun ada masalah pada corak yang dianggap kuat ini. Kelemahan pertama adalah masalah pada paras idea, iaitu legitimasi. Legitimasi merupakan satu persepsi minda populasi, ia tidak wujud dalam ruang realiti fizikal. Setiap kerajaan perlukan legitimasi, tiada corak pemerintahan yang mampu bertahan hanya dengan 'kuasa paksaan' semata-mata. Hitler sebagai contoh, boleh mengerah dan memaksa rakyatnya, namun dia tak mungkin berjaya jika mereka yang berada dalam lingkungan pemerintahannya, pegawai-pegawai atasan kanannya, mempercayai bahawa beliau mempunyai legitimasi. Oleh itu legitimasi perlulah difahami sebagai salah satu bentuk kekuasaan, atau sebab yang memberi kekuasaan. (280)

Dalam sistem demokrasi liberal, pemerintah mendapat mandat dan kepercayaan rakyat, kelemahan kecil biasanya akan dilupakan selepas dikritik, kelemahan besar mungkin dapat diatasi dengan menukar presiden atau perdana menteri. Tetapi dalam corak pemerintahan diktator, yang tidak mempunyai cara untuk mengubah kepimpinan, kelemahan ini akan diikuti dengan kejatuhan rejim tersebut. 

Kelemahan kedua adalah kebejatan ekonomi. Corak pemerintahan diktator mungkin boleh memesatkan ekonomi sehingga ke satu paras, ekonomi berasaskan keluli, perkilangan, dan industri berat misalnya boleh dicapai tanpa memberi banyak kebebasan pada populasi. Namun untuk ekonomi dan teknologi yang kompleks, kawalan ketat pemikiran dan pelan ekonomi berpusat, tidak dapat berdaya saing secara lestari. Pengalaman Soviet dan China sebelum Deng Xiaoping, menyaksikan bahawa kemelesetan ekonomi tidak dapat ditutup dengan organ propaganda selama-lamanya. Walaupun kerajaan totalitarian cuba mengawal pemikiran, namun rakyat Soviet mampu berfikir dan mengetahui mereka ditipu, akhirnya Soviet runtuh dan Deng Xiaoping membuka ekonomi China kepada pasaran antarabangsa.

Pembukaan ekonomi ini bagi Fukuyama, menjadikan China walaupun tidak bergerak menjadi negara demokrasi, masyarakatnya menjadi masyarakat bourgeois, pembukaan ini pada pandangan Fukuyama tidak memungkinkan China kembali kepada polisi ekonomi era Mao. (277)

Di abad baru, pada pandangan Fukuyama, authoritarian dan perancangan ekonomi berpusat ala-sosialis telah gagal meninggalkan hanya satu pandangan yang masih teguh berdiri iaitu demokrasi liberal, iaitu doktrin kebebasan individu dan pemerintahan berorientasikan pandangan popular rakyat. Liberalism dan demokrasi merupakan dua konsep yang berbeza. Politik liberal boleh didefinisikan sebagai corak pemerintahan berdasarkan undang-undang yang menghormati kebebasan hak individu dari penguasaan kerajaan. Namun dalam definisi ini sekali pun, Fukuyama menghadapi kesukaran untuk mentafsirkan 'hak individu', oleh itu beliau mengambil definisi Lord Bryce yang hanya mengiktiraf 'hak individu' dalam beberapa perkara iaitu hak individu dan pemilikan harta, hak beragama, hak berpolitik, dan juga kebebasan media. Disini mungkin kita melihat sedikit tidak kosisten, Fukuyama menolak hak-hak lain seperti hak-hak berekonomi seperti hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan, hak untuk mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan. 

Manakala demokrasi ditafsirkan sebagai hak setiap rakyat untuk mengundi dan mengambil bahagian dalam politik. Dalam definisi ini juga dilihat bermasalah, kerana definisi yang diambil oleh Fukuyama terlalu umum dan tidak mengambarkan situasi praktikal sebenar. Fukuyama melakukan hal ini agar perbahasannya dapat diterima akal oleh itu beliau mengabaikan aspek bagaimana demokrasi boleh dimanipulasikan, bagaimana populism boleh menjadikan demokrasi liberal tidak rasional.

Konsep Sejarah Universal Kemanusiaan

Sejarah universal kemanusiaan bukanlah sejarah penciptaan alam, atau himpunan semua ilmu perihal kemanusiaan, tetapi ia adalah cubaan untuk mencari corak keseluruhan perkembangan manusia yang bermakna. Penulis Yunani Kuno seperti Plato dan Aristotle tidak memberikan demokrasi tempat yang istimewa dalam sejarah, malah mereka berpendapat demokrasi membawa kepada tirani. Beliau memulakan penjejakan terhadap pemahaman sejarah universal ini dari Immanuel Kant, walaupun sejarah penuh dengan peperangan dan kekejaman, Kant berfikir sama ada penguasaan intelek manusia mempunyai perkembangan yang bermakna, contohnya penguasaan matematik yang bersifat kumulatif, tiada seorang manusia yang mampu mencipta semua teori matematik, sebaliknya ia berkembang dari generasi ke generasi. Perkembangan sejarah juga mempunyai penamat, iaitu tujuan, iaitu kebebasan manusia melalui perlembagaan sivil. Persoalan Sejarah Universal oleh itu, cuba untuk menjawab adakah perkembangan sejarah membawa kepada kerajaan republik yang difahami hari ini sebagai demokrasi liberal. 

Pemikiran Kant ini kemudian disambung oleh Hegel yang menyatakan bahawa kesedaran kita sering bergantung kepada keadaan semasa kita. Sistem-sistem nilai kita bergantung kepada keadaan semasa. Boleh jadi apa yang dirasakan baik oleh masyarakat terdahulu, tidak lagi dianggap baik oleh masyarakat kini, ia merupakan satu 'kebaikan yang silap' setelah disingkap sejarah. Dalam sudut ini, Hegel berbeza dengan pandangan ahli falsafah lain dimana beliau merasakan bahawa 'sifat semulajadi' manusia itu berubah malah dicorak oleh mereka sendiri, dalam kata lain, sifat semulajadi manusia adalah untuk menjadi yang tidak sama dengan apa yang ada dahulu. Bagi Hegel sejarah adalah perubahan manusia kepada status kebebasan dan rasional yang lebih tinggi. Proses sejarah adalah bersifat dialektikal, yang mana sistem politik dan sosial sebelum ini mempunyai "konflik dalaman" yang menyebabkan ia runtuh dan diganti oleh sistem baru yang lebih sempurna, masyarakat liberal dianggap telah mencapai tahap tertinggi dan menutup perbahasan dialektik ini.

Mekanisma yang menggerakkan sejarah

Dalam menjawab persoalan adakah sejarah mempunyai tujuan perjalanan, iaitu sejarah beredar dalam satu gerakan yang sama ke satu titik akhir, Fukuyama membawakan mekanisma yang menggerakkan sejarah kepada satu arah, arah yang rasional. Mekanisma ini adalah metodologi sains yang membawa kepada kelahiran ilmu sains moden. Sains moden terbina secara kumulatif, seorang pelajar fizik hari ini mungkin mengetahui teori fizik yang lebih maju dari Isaac Newton, disebabkan dia lahir pada zaman yang terkemudian. Selepas lahirnya sains moden, ia tidak dapat diterbalikkan, manusia tidak boleh berpatah balik dari progress sains, tiada ahli politik yang dapat memansuhkan mana-mana teori sains. Oleh itu kemajuan sains moden merupakan mekanisma yang dapat menerangkan pergerakan sejarah dalam satu arah, kepada satu titik akhir.

Kemajuan sains moden telah melahirkan sistem hidup baru, kehidupan konsumerisma juga letupan perkembangan ekonomi yang memberikan impak negatif pada alam sekitar. Kemajuan ini tidak semestinya membuatkan manusia gembira, ia menjadikan manusia mengejar produk-produk dalam siri kitaran tanpa henti, apabila produk baharu dapat dibeli, ada produk baharu lain yang dicipta, menjadikan manusia mengejar dan terus mengejar tanpa puas. Dalam menekuni masalah ini, Fukuyama membawakan pemikiran Rousseau bahawa untuk gembira manusia perlu keluar dari kitaran kemahuan ini dan hidup bersama alam sebagai sebahagian dari alam. Namun, bagi Fukuyama walaupun kritikan Rousseau ini begitu mendalam menusuk kemajuan sains moden, ia mungkin akan mewujudkan gerakan untuk menyelamatkan alam sekitar, tetapi ia tidak akan membawa masyarakat keseluruhannya kembali kepada kemajuan pre-industri.

Dalam soal penjagaan alam sekitar, Fukuyama menyatakan bahawa kedua-dua sistem ekonomi, baik kapitalis mahupun sosialis mempunyai rekod yang sangat buruk terhadap alam sekitar. Demokrasi, pada pandangan beliau, merupakan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah alam sekitar, demokrasi lebih pantas bertindak balas terhadap pelanggaran yang merosakkan alam. Ini kerana demokrasi berteraskan suara rakyat, dan rakyat bukan sahaja mahukan manfaat-manfaat ekonomi, tetapi alam yang baik untuk didiami. Kerajaan berteraskan demokrasi akan mengagihkan kos pemuliharaan alam sekitar ini dengan baik antara populasi dan syarikat perindustrian supaya tiada pihak perlu menanggung beban yang tidak dapat mereka tanggung. Dalam hal ini, kerajaan menjadi penyelaras bagi memastikan ekonomi berkembang dalam masa yang sama alam sekitar dipelihara.

Diktator Dengan Polisi Yang Baik

Persoalan sama ada ekonomi yang baik bergantung kepada sistem politik yang bebas atau demokratik merupakan tema kajian yang telah lama wujud dalam bidang politik-ekonomi. Acemoglu dan Robinson dalam buku mereka Why Nations Fail membincangkan perkaitan ini, dimana mereka membawakan thesis pembangunan ekonomi bergantung kepada sistem politik yang terbuka dan demokratik. Tetapi ada sebahagian ahli ekonomi yang menolak thesis ini, antaranya Ha-Joon Chang dalam bukunya 23 Things they Don't Tell You About Capitalism, Chang memberi contoh bagaimana General Park Chung-hee menggunakan pemerintahan diktatornya untuk memodenkan Korea Selatan hingga menjadi salah satu dari Harimau Asia.

Fukuyama dalam bukunya juga membicarakan bagaimana demokrasi kadangkala menjadi penghalang kepada polisi progresif ekonomi. Beliau memberi contoh kegagalan mereformasikan pemilikan tanah di Filipina oleh Aquino selepas jatuhnya pemerintahan diktator Marcos (120). Hal ini kerana polisi ini akan merugikan ahli-ahli legislatif yang memiliki tanah yang banyak. Dalam hal ini Fukuyama menyatakan pemerintahan diktator lebih baik kerana ia boleh memaksa perubahan progresif ini dan membantu memodenkan masyarakat seperti yang dilaksanakan Amerika ketika mereka menjajah Jepun dan melaksanakan reformasi pemilikan tanah. Jika diktator menggunakan kuasanya untuk melaksanakan hal ini, bagi Fukuyama, tidak ada sebab untuk menganggap ia sebagai polisi yang tidak baik untuk ekonomi moden.

Jika hanya ekonomi yang menjadi ukuran, Fukuyama menyatakan bahawa model politik yang paling sesuai adalah adalah gabungan antara ekonomi yang liberal dan politik yang authoritarian, model ini digelar "bureaucratic authoritarian state" atau "market oriented-authoritarianism". Terdapat banyak data-data yang membuktikan kejayaan sistem ini dalam memacu ekonomi seperti German dibawah pemerintahan Imperial, Jepun dibawah Meiji dan banyak lagi. Pada era 60-an sebagai contoh, negara demokratik seperti India berkembang sebanyat 2.1 peratus, manakala negara dengan pemerintahan diktator seperti Korea Selatan berkembang sebanyak 5.2 peratus (123).

Sebab mengapa ini berlaku adalah sangat mudah. Negara-negara demokratik perlu membuat keputusan ekonomi dengan mengambil kira tekanan politik dari pengundi yang sentiasa mahu melindungi ekonomi jangka pendek mereka walaupun ia tidak baik untuk jangka masa panjang. Dalam masa yang sama, kerajaan diktator boleh memaksa pelan ekonomi jangka masa panjang tanpa perlu takut akan tekanan politik, dalam kata lain rakyat terpaksa menanggung kesukaran jangka pendek untuk kelestarian polisi jangka masa panjang. 

Contoh paling dekat dengan kita mungkin adalah perlaksanaan cukai GST, walaupun ia digunakan oleh hampir majoriti negara didunia, GST akhirnya dikalahkan di Malaysia. Ia mungkin mempunyai kesan buruk jangka pendek seperti kenaikan harga barang secara tiba-tiba, sistem peringkat awal yang mengelirukan, dan lain-lain. Tetapi dalam jangka masa panjang negara akan mempunyai dana yang cukup untuk menanggung belanja manfaat sosial rakyat, perkembangan sistem kesihatan dan pendidikan, juga dana pembangunan. Polisi-polisi baik tetapi tidak popular ini mudah dikalahkan dengan pilihanraya. Tetapi China sebagai contoh, dapat memaksa polisi dengan mudah, polisi satu anak sebagai contoh, merupakan sebahagian polisi China dalam membangun ekonomi, walaupun ia mempunyai banyak kelemahan dari segi harga kemanusiaan yang perlu dibayar, sepertimana yang dibincangkan dan dikritik hebat oleh Mei Fong dalam bukunya One Child: The Story of China's Most Radical Experiment, polisi ini berjaya dilaksanakan dan China mengubah nasib 850 juta rakyatnya yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan. 

Membicarakan perkara seperti ini mungkin akan menyebabkan rasa tidak selesa. Kita mudah dilabel tidak demokratik atau pencinta diktator. Tetapi dengan tidak membicarakannya kita akan menjadi tidak jujur, kita akan gagal melihat sudut kelemahan pemerintahan yang ada, kita akan gagal memahami limitasi sistem pemerintahan yang kita pilih. Dan apabila kita gagal memahami, kita akan gagal mencari solusi yang betul, atau lebih buruk, kita akan melaksanakan polisi yang salah yang membawa lebih banyak kerosakan.

Menolak Pengulangan Sejarah

Fukuyama menolak konsep pengulangan sejarah seperti yang digambarkan oleh Aristotel dan Plato, walaupun peristiwa yang seakan sama seperti perperangan akan berlaku, Fukuyama tidak menerima sejarah itu sendiri sebagai satu pusingan (seperti teori ketamadunan Ibnu Khaldun), sebaliknya beliau berpendapat sejarah mempunyai satu arah tujuan, ia bergerak kepada satu titik akhir. Hujah yang diberikan beliau adalah metodologi yang dipunyai oleh manusia moden dalam mengekalkan kemajuan dan cara fikir yang telah ada - alat tersebut ialah sains moden. Bagi Fukuyama, sains moden membolehkan manusia memelihara sistem sosial,politik, dan ekonomi yang telah berkembang pada hari ini. Jika berlaku perang atau bencana, sains moden akan dengan cepat membantu dunia membina semula sistem ini dalam masa yang singkat.

Namun saya berfikiran, dari sudut falsafah, Fukuyama seperti melawan hujahnya sendiri, diakhir buku ini Fukuyama memberi satu paradoks yang meruntuhkan sendiri konsep beliau. Fukuyama meminjam dari Hegel dan Kojeve bahawa kelahiran kontrak sosial manusia adalah dari pertarungan yang disebut "battle for pure prestige" dimana akhirnya manusia terbahagi kepada kelas pemerintah dan diperintah. Namun apabila struktur sosial ini berevolusi, manusia sampai kepada titik demokrasi liberal dimana semua manusia dianggap sama, satu struktur sosial yang egalitarian. Keadaan ini menyebabkan manusia bosan dengan kehidupan biasa menyebabkan mereka memulakan semula pertarungan. Ini merupakan paradoks pemikiran Fukuyama, disatu perenggan dia menolak konsep pengulangan sejarah, di perenggan yang lain dia menceritakan bagaimana konsep beliau boleh menyebabkan sejarah berulang.

Menyerang Haiwan Ekonomi dan Teori Modernisasi

Bagi Fukuyama, Teori Modernisasi tidak dapat menerangkan sepenuhnya perkembangan sejarah. Asas teori ini adalah dengan menganggap manusia sebagai economic animal, haiwan ekonomi yang hidup bermotifkan nafsu keinginan dan juga rasionaliti. Jika teori ini benar, dan manusia sememangnya secara semulajadi merupakan haiwan ekonomi, maka seharusnya masyarakat yang berlainan budaya berevolusi dengan bentuk yang sama. Tetapi kita melihat setiap masyarakat berubah dalam bentuk dan keadaan yang berbeza.

Oleh itu teori ini bagi beliau mempunyai limitasi, dan tidak dapat menerangkan secara penuh proses sejarah. Sejarah merakamkan pelbagai peristiwa yang tidak rasional seperti peperangan, hal ini bercanggah dengan teori yang mengatakan manusia sebagai makhluk yang sentiasa membuat keputusan secara rasional. Walaupun setiap negara menempuh jalan yang berbeza untuk mencapai kemodenan, Fukuyama berhujah bahawa apabila mereka sudah sampai ke destinasi, iaitu kemodenan, mereka mempunyai persamaan yang besar, iaitu berbentuk liberal demokrasi dengan sistem ekonomi kapitalis.

Falsafah Perkembangan Sejarah

Untuk menjawab persoalan apa yang menjadi enjin yang menggerakkan sejarah, Fukuyama kembali kepada persoalan asas dalam falsafah perkembangan sejarah. Beliau kembali semula kepada Hegel yang berpandangan motor yang menggerakkan sejarah bukan pengetahuan sains moden atau perkembangan kemahuan manusia, tetapi sifat asas manusia yang berkehendakkan akan pengiktirafan "the struggle for recognition"

Perkembangan ini bersifat dialektik, dari sudut falsafah, untuk kita menentukan sama ada demokrasi liberal merupakan sistem akhir, kita perlu meneliti sama ada dalam proses dialektik ini, adakah sistem ini mempunyai percanggahan, yang menyebabkan ia gagal dan diganti dengan sistem baru yang lebih sophisticated. Percanggahan falsafah ini perlu dibezakan dengan "masalah-masalah" yang wujud dalam semua sistem seperti  inflasi, jenayah atau masalah dadah, sebaliknya percanggahan adalah satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dalam sistem secara dalaman yang menyebabkan ia runtuh sendiri. Contohnya menurut Marx, keadaan kaum buruh yang terus ditindas dalam sistem kapitalis merupakan "percanggahan" yang melahirkan revolusi. Jika dari suduh falsafah, manusia telah benar-benar menganggap bahawa sistem demokrasi liberal sebagai sistem yang memuaskan dan dapat menyelesaikan sifat asas manusia yang berkehendakkan pengiktirafan, maka ia boleh dikatakan sebagai sistem akhir.

Bagi Fukuyama, dialektik non-materialist Hegel lebih tepat dalam menggambarkan apa yang memotivasikan manusia dalam perkembangan sejarah, baginya dialektik materalis Marx tidak menggambarkan keseluruhan kehendak manusia. Beliau memberi contoh Sepanyol, Korea Selatan, Taiwan yang semuanya mengecapi kemakmuran dari segi kekayaan material. Tetapi ini tetap tidak memuaskan hati mereka selagi mereka tidak diiktiraf dengan kebebasan, maka kita dapat fahami revolusi gerakan liberalisasi dunia hari ini berlaku bukanlah dalam sudut pandang ekonomi atau material sahaja.

Untuk memahami pergelutan untuk pengiktirafan ini, kita perlu dahulu melihat sifat asas manusia. Iaitu manusia sebagai manusia, dan ditanggalkan identiti lain yang merupakan produk dari persekitaran mereka seperti seseorang itu merupakan warga negara Malaysia, atau seorang beragama Buddha. Ini adalah konsep manusia pertama, manusia pertama itu bukanlah manusia pertama dalam sejarah, sebaliknya manusia yang telah ditanggalkan semua sifat-sifat lain yang merupakan produk dari masyarakat sekelilingnya. Bagi Hegel manusia itu tidak mempunyai sifat asas, manusialah yang mencipta sifat-sifatnya sendiri, dan bagi Hegel manusia itu berbeza dengan haiwan, manusia juga sama seperti haiwan dalam kehendak-kehendak fizikal mereka seperti makan, kehendak seksual, kehendak untuk terus hidup. Tetapi manusia punya satu kehendak yang berbeza, manusia mahu kehendak manusia lain, satu perkara yang tidak material. Ini tidak berlaku dalam alam haiwan, tiada lembu yang mahu diiktiraf sebagai lembu paling handsome atau cantik.

Kehendak yang tidak material ini bagi ahli falsafah lain seperti Hobbes merupakan sumber peperangan dan kesengsaraan manusia, disebabkan manusia ingin pengiktirafan, mereka bertarung dan berlawan untuk perkara yang tidak masuk akal seperti pingat dan bendera. Apabila manusia bebas tidak punya penguasa, mereka akan bertarung sesama sendiri menimbulkan anarki, penyelesaian kepada anarki ini adalah dengan menubuhkan satu bentuk kerajaan, dimana manusia bersetuju akan satu kontrak sosial dimana kerajaan menjaga hak mereka untuk hidup, dalam masa yang sama mereka bersetuju untuk menyerahkan hak-hak mereka dibawah satu undang-undang.

Dalam falsafah Hobbes, hak untuk hidup merupakan hak fundamental. Lebih dari itu, kerajaan liberal tidak mempunyai apa-apa usaha untuk mempromosi apa-apa bentuk cara hidup, dalah hal ini kerajaan bersifat neutral. Namun keadaan ini melahirkan masyarakat bourgeois yang pentingkan diri dan ini tidak bertentangan dengan falsafah Hobbes, mengapa mahu bersusah payah menolong orang lain jika hak kita hanya untuk kelansungan dan keselesaan hidup individu? Falsafah ini juga sukar menjustifikasikan kenapa rakyat perlu menyertai tentera dan mati untuk negaranya, lebih baik dia melarikan diri bersama keluarganya kerana nyawa adalah yang paling utama. (160)

Untuk manusia berkorban nyawa untuk sebuah bendera memerlukan falsafah yang lebih besar dari falsafah Hobbes, hal ini ada pada falsafah Hegel. Menurut Fukuyama, apa yang disebut Hegel sebagai "the struggle for recognition" itu merupakan satu konsep yang lebih klasik dari Hegel, ia boleh disamakan dengan apa yang dipanggil thymos oleh Plato.

Dalam memahami falsafah perkembangan sejarah, Fukuyama turut terpaksa menyerang sekolah fahaman politik realism, sekolah yang diasaskan oleh Nicollo Machiavelli. Realism atau realpolitik atau power politik menganggap bahawa sifat manusia yang suka berperang dan berkonflik, bersifat imperial dan menjajah, merupakan sifat manusia yang tidak dapat diubah. Machiavelli menerapkan strategi bertindak mengikut keadaan realiti, bukan anggapan yang dibatasi moral. Bagi Fukuyama, fahaman ini silap kerana hakikatnya semua aspek kehidupan manusia berubah dan berevolusi, ini termasuk agama, keluarga, ekonomi, dan politik juga tidak terkecuali. Bagi beliau politik tidak statik seperti yang difahami mazhab realism. (246)

Antara perbahasan falsafah lain yang saya kira sangat menarik adalah pertentangan antara idea kebebasan dan hak sama rata, yang mana kedua-duanya tidak boleh wujud secara mutlak tanpa membataskan antara satu sama lain. Jika kebebasan penuh diberi dalam mengumpul dan memiliki harta, ia akan melahirkan masyarakat dengan jurang kekayaan yang sangat besar. Manakala jika kita mahukan kesaksamaan dalam pembahagian kekayaan kita perlu membataskan kebebasan memiliki harta.

Hak sama rata juga sebenarnya merupakan satu yang mustahil dicapai. Mungkin perkara yang membataskan kesamarataan dari sudut undang-undang, ekonomi, dan budaya boleh diperbaiki. Tetapi ada unsur-unsur semula jadi yang mejadikan individu berbeza, tidak semua manusia boleh bermain piano, atau menjadi saintis fizik memenangi hadiah nobel, ada yang dilahirkan kacak, ada yang dilahirkan cacat. Oleh itu ketidaksamaan itu tetap akan wujud, meski kita berupaya mengatasinya, begitu juga kebebasan mutlak, ia tidak akan dicapai. (290)

Saya ingat perbincangan saya dengan Francis Wolf, beliau berkata bahawa sistem kapitalis hari ini telah banyak berubah, malah banyak perkara dalam sistem kapitalis hari ini diadaptasi oleh idea-idea sosialis. Perniagaan tidak bebas tetapi dibatasi peraturan, setiap negara memberi bantuan sosial pada rakyat walaupun dengan kadar berbeza, dan hampir semua tidak memberi pemilikan harta penuh, kekayaan dicukai dan diagih pada rakyat.

Kelahiran Penguasa-Hamba

Pertarungan pertama antara manusia dalam mencari pengiktirafan melahirkan dua golongan. Satu golongan menjadi penguasa, mereka yang sanggup menggadai nyawa mereka sendiri, mengatasi kehendak biologi mereka untuk hidup, mereka mendapat pengiktirafan. Yang kedua adalah golongan hamba, mereka mengutamakan nyawa mereka seperti yang dinasihatkan oleh Hobbes, mereka sanggup menggadai pengiktirafan dari mengalami kematian. Namun pengiktirafan penguasa dari hamba tidak begitu memuaskan, kerana hamba bukanlah manusia yang sempurna secara sosial seperti manusia lain. Kita akan merasa lebih bangga jika diiktiraf oleh orang yang lebih tinggi status sosial berbanding diiktiraf hamba. Penguasa juga menjadi manusia statik dan tidak bekerja.

Oleh itu sistem penguasa-hamba ini tidak stabil dan punya percanggahan. Penguasa merasakan dia diiktiraf oleh manusia yang bukan benar-benar manusia, sedang hamba tidak merasakan mereka diiktiraf sebagai manusia. Oleh itu pengiktirafan universal yang diberikan dalam sistem liberal demokrasi menyelesaikan dilemma ini menurut Fukuyama, menurut beliau liberal menurut Hobbes adalah kebebasan mengejar kepentingan diri yang rasional, manakala bagi Hegel adalah kebebasan mengejar pengiktirafan yang rasional. Perkara penting yang diberikan oleh demokrasi liberal adalah pengiktirafan kepada kebebasan manusia dan pegiktirafan kepada harga diri manusia.

Demokrasi Liberal dan Ekonomi Liberal

Kajian berkenaan dengan kaitan demokrasi dan kebolehupayaan ekonomi merupakan tajuk kajian yang terkenal. Antaranya kajian yang dibentangkan oleh Daron Acemoglu dan James A. Robinson dalam buku mereka yang terkenal Why Nations Fail. Acemoglu dan Robinson berpandangan sistem demokrasi dengan institusi yang kuat akan melahirkan ekonomi yang mapan.

Bagi Fukuyama "no economic rationale for democracy" (205) atau dalam kata lain demokrasi bukan lahir dari ekonomi. Malah politik bersistem demokrasi merupakan proses yang melambatkan perkembangan ekonomi. Pemilihan sistem demokrasi sebaliknya dilakukan bersendirian dalam usaha manusia mencari pengiktirafan. Tetapi menurut Fukuyama ekonomi boleh menyebabkan pemilihan sistem demokrasi lebih digemari. Pertama kerana perkembangan ekonomi akan menaiktaraf sistem pendidikan dan golongan hamba akan lebih terdidik akan konsep penguasa-hamba seterusnya mahu merubah keadaan mereka. Yang kedua adalah perkembangan ekonomi meratakan status sosial manusia, dengan sistem yang lebih egalitarian ekonomi dapat berkembang dengan lebih efisien.

Walaubagaimanapun, Fukuyama tidak dapat lari dari paradoks, walaupun ekonomi tidak merasionalisasikan sistem demokrasi, beliau berpendapat kepesatan industri mempunyai korelasi yang kuat dalam mempertahankan kebebasan masyarakat. Beliau memetik idea bapa kapitalis moden, Adam Smith yang mengatakan bahawa perbezaan kekayaan antara negara bukanlah disebabkan demokrasi, tetapi disebabkan polisi kerajaan yang baik dan buruk. Jika perbezaan polisi dibuang, setiap negara akan mempunyai pertumbuhan ekonomi yang hampir sama. (223)

Antara paradoks Fukuyama yang lain adalah usaha beliau untuk membuktikan bahawa sistem kapitalis perlu dibebaskan dari rigidity, syarikat perlu diberi kebebasan untuk membuang pekerja bagi menjadikan sistem mereka lebih efisien. Namun beliau sendiri melawan naratifnya sendiri dengan membawakan kesungguhan orang-orang Jepun bekerja, mereka bekerja kerana merasa bangga dengan kerja mereka, malah mereka bekerja untuk menjayakan organisasi bukan untuk manfaat sementara seperti gaji. Banyak syarikat Jepun memberi pekerjaan sepanjang hayat, yang jelas berbeza dengan konsep ekonomi liberal Eropah, ia adalah economic nationalism, dan ia tetap berjaya membangun ekonomi yang pesat. Konsep ini menjadi antithesis kepada naratif bahawa jaminan pekerjaan akan menjadikan manusia berasa selamat dan malas bekerja. (232) Masyarakat Jepun, dan kebanyakan masyarakat Asia mengikut Fukuyama sering menganggap mereka merupakan satu entiti yang sama, mereka mengutamakan masyarakat berbanding individu. Konsep individualism Barat sering dianggap asing, kebaikan adalah apa yang baik untuk masyarakat bukan individu.

Rakyat dan Kerajaan

Dalam hal perbezaan antara rakyat dan kerajaan, saya dapati idea Fukuyama mempunyai persamaan dengan idea sejarawan legenda Howard Zinn. Dalam tulisan monumental Zinn A People's History of the United States, Zinn mengungkapkan berkenaan apa yang dikatakan sebagai national interest yang sering digunakan oleh ahli politik untuk mendapat sokongan. Apabila disebut kebaikan nasional, Zinn menyuruh kita bertanya, kebaikan siapa? Hal ini kerana kerajaan sering kali mempunyai kepentingan yang berbeza dari rakyat.

Fukuyama mendalamkan perbahasan ini dengan falsafah. Mengapa sistem demokrasi tidak merebak dan menjadi universal? Fukuyama menjawab soalan ini dengan membentangkan percanggahan falsafah antara rakyat dan kerajaan. Kerajaan adalah objek politik yang dicipta manusia, sedangkan rakyat adalah manusia yang sering kali bersatu atas kesamaan kepercayaan, tentang idea yang sama berkenaan apa itu kebaikan dan kejahatan. Kepercayaan ini datang dari budaya dan tradisi yang berbeza di tempat yang berbeza. "Every people speaks its language of good and evil" kata Nietzsche.

Oleh itu persoalaan berkenaan dengan nilai kebebasan, hak sama rata, merupakan perkara yang dinilai dari neraca budaya bukan teori sains. Untuk sistem demokrasi liberal berfungsi, ia perlu mengharmonikan hubungan antara rakyat dan negara, jika ia bertindak dengan memaksa ia mungkin mencipta rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat, kerajaan mungkin akan berperang dengan rakyat seperti yang kita lihat hari ini di Syria, atau pada masa lalu di Rusia. Revolusi akan tercetus.(213)

Namun faktor budaya sahaja tidak cukup untuk menerangkan sama ada sesuatu masyarakat itu akan cenderung untuk memilih sistem demokrasi. Fukuyama memberi contoh negara-negara yang tidak mempunyai "pra syarat" dari sudut budaya untuk mencapai demokrasi, namun tetap menuju ke arah demokrasi. Contohnya India yang tidak kaya juga tidak mencapai taraf negara industri, namun demokrasi boleh dikatakan stabil di India. Begitu juga negara yang telah lama ditekan dibawah rejim totalitarian dan tidak mempunyai gerakan sivil seperti Rusia, ia juga bergerak kearah demokrasi selepas jatuhnya blok komunis. Banyak lagi negara-negara yang tidak punya tradisi demokrasi seperti di Barat namun tetap memeluk demokrasi. (221)

Dalam membincangkan konsep kuasa, Fukuyama berpendapat kuasa pada zaman ini bukan lagi dinilai melali kekuatan ketenteraan, sejarah memperlihatkan empayar besar melalui proses pengecilan seperti yang berlaku di Britain dan Turki, tetapi ini tidak bermaksud mereka tidak lagi punya kuasa. Jika teori bahasa setiap negara akan sentiasa memaksimumkan kuasa mereka, pasti negara-negara ini masih mengembangkan kuasa mereka, cuma melalui cara berbeza, bagi Fukuyama cara tersebut adalah penguasaan ekonomi. Malah negara-negara hari ini sanggup menoong jiran mereka kerana mereka sedar ekonomi mereka saling berkait, dan kekuasaan ekonomi juga diterjemah sebagai legitimasi domestik, dengan kestabilan ekonomi rakyat lebih percaya akan negara. (257)

American Exceptionalism

Naskah ini bagi saya turut mempunyai anasir-anasir American Exceptionalism, terutamanya apabila Fukuyama meminjam idea-idea dari salah seorang arkitek polisi imperial Amerika, Henry Kissinger. Disebalik idea kebebasan, iaitu kebebasan populasi di negara lain memilih corak pemerintahan mereka, Fukuyama menyatakan bahawa Amerika mempunyai tanggungjawab "menyebarkan demokrasi". (280) Idea ini mungkin kedengaran seperti baik dan rasional, tapi dari sudut praktikal ia menjadi justifikasi perang dan pembunuhan, kita melihat perkara ini berulang kali, kita melihatnya di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan lain-lain negara yang dicampur tangan oleh Amerika.

Manusia Terakhir

Perbahasan moral memerlukan kita untuk melakukan klasifikasikan yang baik dan yang buruk, ini mungkin boleh dilihat sebagai bertentangan dengan prinsip toleransi. Oleh itu "manusia terakhir" di hujung sejarah lebih mengutamakan perbahasan berkenaan kelangsungan dan kesihatan diri, kerana perkara ini tidak kontroversial, mereka lebih selesa mengkritik cara hidup seperti tabiat merokok dari mengkritik kepercayaan manusia lain. Fukuyama menyatakan perkara ini menyerupai manusia pertama Hegel dalam battle of pure prestige yang mengutamakan kehidupan dan rela menjadi hamba. Disini Fukuyama seolah-olah memusnahkan sendiri hujahnya mengenai pengulangan sejarah kerana manusia akhir kembali menyerupai manusia pertama. Manusia terakhir yang hidup di hujung sejarah juga bagi Fukuyama lebih tertarik dengan idea-idea relativism kerana proses sejarah telah menyingkap sifat sebenar kekuasaan dan nilai seperti ketamadunan, agama, etika, moral, kerana mereka telah sedar bahawa ia semua adalah produk situasi tempat dan masa, bukan sesuatu yang bersifat tetap. (306)

Tilikan Fukuyama berkenaan dengan pengakhiran sejarah juga membuat saya ketawa kecil, kerana mungkin sukar diterima akal saya, bagi beliau diakhir sejarah tiada lagi peperangan dan revolusi berdarah, tiada lagi kesenian. Juga tiada falsafah baru kerana falsafah telah sampai ke penghujung proses dialektik Hegel dan mencapai taraf "kebenaran". Melihat keadaan dunia hari ini, kita melihat negara-negara demokrasi liberal-lah antara yang paling bersemangat berperang di negara lain, Amerika, British, Perancis, antara yang terlibat dan campur tangan dengan konflik di Iraq, Afghanistan, Libya, Syria pada hari ini bertentangan dengan tilikan Fukuyama. Dalam soal berakhirnya seni dan falsafah, saya merasakan beliau memandang rendah kebolehan manusia untuk berimaginasi dan berfikir. (311)

Bagi Fukuyama, manusia terakhir masih belum berjaya menyelesaikan "percanggahan" dalam idea liberal demokrasi, percanggahan ini dapat difahami dari kritik-kritik dari Nietzsche tentang bagaimana manusia mampu meletakkan satu quantum nilai pada sesuatu objek dan juga orang lain. Demokrasi liberal menjadikan manusia sama antara satu sama lain, tidak kira dimana juga kita pergi, kesaksamaan ini menjadikan manusia bukan lagi mengabdikan diri kepada mana-mana penguasa tetapi mengabdikan diri kepada aktiviti ekonomi, kepada pengeluaran barangan dan penggunaan barangan. Kepesatan ekonomi menyebabkan peperangan menjadi sesuatu yang tidak diingini. Tetapi sifat manusia itu mahukan cabaran, hidup sebagai hamba tanpa penguasa dirasakan bosan, terlalu biasa dan tidak mencabar. Manusia sentiasa mahukan "idea" untuk dijadikan panduan hidup, yang mana mereka sanggup mati untuknya. Ini adalah "percanggahan" yang belum dapat diselesaikan oleh sistem demokrasi liberal. (314)

Antara kelemahan lain dalam sistem demokrasi menurut Fukuyama adalah sistem yang mengutamakan suara popular itu sendiri, suara popular tidak semestinya baik, ia boleh jadi konservatif atau progresif, terdidik atau tidak. Kesannya, pemimpin dalam demokrasi liberal moden jarang memimpin, sebaliknya mereka sekadar mengurus mood dan sentimen rakyat, jika mereka ingin memaksa sesuatu polisi, dia mungkin terikat dengan pelbagai birokrasi check and balance yang mengurangkan kekuasaannya untuk memimpin. (317)

Selain itu, teori demokrasi liberal juga sukar untuk melahirkan konsep "pengorbanan", demokrasi liberal dikatakan sudah mencapai martabat rasonaliti yang lebih tinggi, sedangkan semangat kecintaan kepada negara adalah berasaskan perkara yang tidak rasional. Dalam teori liberal, menjaga kelangsungan kehidupan adalah perkara yang paling utama, negara wujud bagi manusia meneruskan kehidupan bukan sebaliknya. Ekonomi liberal juga menjadikan manusia tidak lagi hidup dalam komuniti yang erat, sebaliknya sistem ekonomi memerlukan tenaga kerja yang fleksibel, boleh berpindah randah, menjadikan individu seperti atom dan terpisah mengikut keperluan ekonomi. Fukuyama mengatakan bahawa komuniti yang mempunyai "bahasa yang sama tentang apa yang dikatakan baik dan buruk" akan lebih erat, sepertimana yang kita lihat di Asia, namun nilai ini akan bertentangan dengan idea demokrasi liberal. (325)

Manusia terakhir pada Fukuyama boleh menjadi seperti dua keadaan, menjadi manusia yang pentingkan diri dan hanya mengejar kesenangan hidup atau kembali semula kepada perlawanan battle of pure prestige dengan persenjataan moden. (328) Dalam hal ini pembaca akan tertanya-tanya apa gunanya perbahasan beliau tentang pergerakan sejarah ke satu tujuan, penolakan beliau kepada pengulangan sejarah, sekiranya falsafah manusia terakhir beliau akhirnya kembali ke permulaan semula? Ini merupakan kelemahan terbesar yang saya kira ada dalam teori pengakhiran sejarah Fukuyama.

Dalam kata akhir bagi edisi paperback kedua, beliau ada menambah sedikit perihal political Islam, analisis beliau dibuat menggunakan lensa Huntington. Pada beliau penolakan demokrasi di dunia Islam bukan disebabkan Islam tetapi lebih kepada budaya Arab itu sendiri. Penolakan ini berbaur politikal bukan berlandaskan agama. Bagi beliau idea-idea Syed Qutb adalah idea perihal negara dan revolusi, bukan perihal asas-asas agama. 

Kesimpulan

Teori Fukuyama walaupun kedengaran kelakar oleh sebahagian ahli akademik (Edward Said pernah mentertawakannya dalam syarahan beliau), bagi saya mempunyai elemen yang baik untuk difikirkan, walaupun mungkin akhirnya masa akan membuktikan bahawa ia salah, ia tetap mempunyai perbahasan-perbahasan falsafah politik yang sangat meransang pemikiran. Walaubagaimanapun, saya mendapati teorinya mempunyai percanggahan yang serious, terutamanya pada konsep pengulangan sejarah dimana kelihatan seperti Fukuyama berbeza dengan pandangannya sendiri. Buku ini juga mempunyai idea-idea yang dalam, yang akan membuatkan kita merenung, saya sendiri menghabiskan hampir 6 bulan untuk membaca, merenung, menkritik, memahami, dan menghadam apa yang dibicarakan oleh Fukuyama. 


Sabtu, 25 Julai 2020

Manusia dilahirkan merdeka tetapi digari dimana sahaja - Rousseau



Saya masih ingat dahulu ketika menghadiri kelas ekonomi bersama pensyarah saya, Radchenko, beliau sering mengulang sebut frasa “the invisible hand” dalam karya magnum opus Adam Smith, The Wealth of Nation. Pengulangan beliau begitu melekat di fikiran saya, sehingga beberapa tahun selepas tamat pengajian saya mencari buku tersebut dan menghabiskan 8 bulan untuk membaca buku setebal 1,264 mukasurat versi Bantam Classics hanya untuk mencari frasa tersebut.

Baru-baru ini saya bersiar-siar di laman Youtube, melompat dari satu video ke satu video, dari satu syarahan ke satu syarahan, dari satu debat ke satu debat, terjumpa dengan frasa “man is born free and everywhere he is in chains” yang merupakan tulisan Jean-Jacques Rousseau dalam adikaryanya The Social Contract. Seperti karya Adam Smith, saya akan cuba geledah dan cari frasa ini disebalik helaian makalah Rousseau. Jadi apa yang dimaksudkan oleh Rousseau?

Saya tidak tahu maksud sebenar, apa yang dimaksudkan Rousseau secara literal kerana saya belum membacanya, saya sudah memesan naskah tersebut, kebiasaannya buku yang dihantar par avion oleh Royal Mail dari Gloucestershire akan mengambil masa lebih dari sebulan untuk sampai ke Kampung Baru Bakar Arang, Sungai Petani. Jadi saya tidak boleh syarahkan perkara yang saya belum baca, kerana saya tidak mendalami ilmu kasyaf atau ilmu laduni. Tetapi saya ingin coretkan perspektif yang dibincangkan dalam video yang saya lihat di laman Youtube.

Manusia, atau masyarakat yang hidup dalam agama sering kali beranggapan bahawa agama itu mengongkong, membataskan kebolehan dan keupayaan manusia. Mengambil semangat dari Revolution Francaise dengan motto “liberte, egalite, fraternite” ramai yang ingin bebas dari agama, ingin bebas tanpa kongkongan.

Dalam masa yang sama, ada juga manusia yang hidup tanpa pengaruh agama, mereka merasakan bahawa dunia yang berfokus kepada kebendaan dan moral nihilism merupakan satu kongkongan terhadap jiwa, dan memilih untuk keluar darinya dan masuk kedalam agama yang dirasakan membebaskan jiwa. Antara buku yang baik berkenaan dengan hal ini, pada fikir saya, adalah buku tulisan Na’ima Robert bertajuk From My Sisters’ Lips, yang mahu mengetengahkan suara wanita Eropah yang memilih Islam, perspektif mereka sendiri yang bebas dari sebarang paksaan.

Maka disini kita sampai kepada satu kesimpulan bahawa tidak ada keadaan yang membolehkan manusia itu bebas seratus peratus. Pasti ada limit dan kekangan yang akan mengawal mereka, pasti ada undang-undang, baik agama atau sekular yang akan mengikat mereka. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Rousseau apabila beliau menulis “man is born free and everywhere he is in chains”, manusia itu dilahirkan merdeka tetapi dimana sahaja dia berada, dia digari.

Ambil ekonomi sebagai contoh, jika kita mengamalkan sistem kapitalis yang mengutamakan nilai kebebasan kita akan “digari” dari sudut kesaksamaan, dimana yang kaya dibenar mengumpul harta dan berjurang dengan yang miskin. Jika kita mengamalkan sistem komunis yang mengutamakan nilai kesaksamaan, kita akan “digari” dari sudut kebebasan memiliki harta. Begitu jugalah dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan.

Ada orang pernah mengatakan pada saya, mengajar anak-anak perihal agama adalah proses “indoktrinisasi”. Saya bersetuju. Tetapi jika kita tidak mengajar mereka agama, dan mengajar mereka atheism, tidakkah itu akan menjadi indoktrinisasi atheism? Kerana anak-anak itu dilahirkan kosong, bersih, umpama kain putih, terserah kepada ibubapanya untuk mencorakkannya (men-indoktrinisasi-kannya). Jadi kita akan keluar dari satu gari ke gari yang lain.

Selain contoh ekonomi dan pendidikan, manusia akan digari oleh suasana sekelilingnya. Masyarakat, undang-undang, adat, hatta media sosial yang kita rasakan bebas pun punya peraturan dan limitasi. Kadangkala ada hantaran yang dipadam, ada profile yang ditiadakan. Kerana manusia akan sentiasa hidup dalam kongkongan. Hatta jika kita lari dari semua ini, kita siapkan khemah dan beg The North Face kita untuk masuk ke hutan dan jauh dari kongkongan ekonomi, politik, dan sosial, kita masih tidak mampu lari dari “gari” biologi, yang menentukan akhirnya kita akan mati, dan kebebasan kita untuk bergerak, bernafas, berpanca indera, semuanya akan ditarik balik.

Saya tidaklah merasakan saya benar dan tahu semua, seperti yang saya tegaskan, saya tiada ilmu kasyaf atau ilmu sihir. Tetapi pada kira-kira saya yang kurang tahu ini, mungkin dari sentiasa cuba untuk bebas sebebasnya, yang menyebabkan kita bebas dari satu gari hanya untuk digari oleh gari yang lain, mungkin kita boleh mencari kebahagiaan dan ketenangan, mungkin itu lebih bermakna dan diperlukan. Di dalam sejarah, tidak sedikit kita menjumpai insan yang dipenjara jasad tetapi jiwa mereka bebas dan bahagia. Kerana bahagia itu di jiwa, mungkin itu sahaja bahagian manusia yang bebas dari sebarang gari duniawi, yang kekal merdeka selepas kelahiran manusia.

Dan pada ayat Rousseau mungkin kita boleh menambah “man is born free and everywhere he is in chains, except for his soul, which will remain free, if so he choose”.

Sabtu, 16 Mei 2020

Dilema Demokrasi Liberal



Demokrasi tidak semestinya liberal seperti yang dikarang oleh Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom, kerana demokrasi dan nilai liberal merupakan idea yang berbeza. Zakaria menulis bahawa nilai liberal merupakan hasil produk pemikiran Barat yang telah menjadi tradisi mereka sekian lama. Sementara banyak negara-negara lain yang menjadi demokrasi tidak mempunyai tradisi liberal, pemaksaan demokrasi liberal kepada masyarakat juga tidak akan berjaya kerana ia merupakan kerajaan berdasarkan sokongan popular.

Nilai demokrasi yang berteraskan kesaksamaan juga walaupun sering dikahwinkan dengan nilai liberalisme, mempunyai pertentangan dengan idea kebebasan liberal apabila dilakukan dalam sudut praktis. Sebagai contoh, jika kita ingin membentuk masyarakat yang sama rata, kita perlu menghadkan kebebasan individu. Sebagai contoh apa yang dibuat oleh Kesatuan Soviet, dalam mengagihkan kekayaan secara sama rata, kebebasan pemilikan harta perlu dihadkan. Jika kita memberi kebebasan secara sepenuhnya juga, seperti di Amerika sebagai contoh, ini akan menimbulkan masalah kerana manusia akan bebas mengumpul kekayaan dan berbelanja sesuka hatinya, ini akan melahirkan masyarakat dengan jurang antara yang kaya dan miskin membesar dan melebar.

Demokrasi liberal bagi Francis Fukuyama merupakan sistem politik akhir bagi manusia, ia adalah sistem yang telah sempurna dimana tidak akan ada lagi falsafah pemikiran politik baru yang akan menggangtikannya atau menambahbaiknya. Walaubagaimanapun, Fukuyama sendiri mengakui bahawa sistem demokrasi sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada pemerintah.

Pengalaman di Malaysia juga merupakan satu pemerhatian yang menarik, apabila satu kerajaan yang memegang konsep demokrasi liberal menaiki takhta ternyata ia rebah diatas beratnya sendiri. Para pemimpin mengkritik parti komponen sesama sendiri secara terbuka atas nama kebebasan. Perkara ini mudah digunakan oleh pembangkang yang tidak perlu mencipta modal kerana mereka diberi peluru sendiri oleh pihak kerajaan untuk menembak pihak kerajaan. Oleh kerana tiada disiplin dalam hal ehwal kritikan ini, pemerintahan sangat rapuh, malah bercakaran sesama sendiri, saling lemah melemahkan atas nama kebebasan mengkritik. Akhirnya timbul rasa tidak senang hati sesama sendiri, berlaku pengkhianatan sesama sendiri, dan runtuh harapan yang dibina hasil tangan-tangan mereka sendiri.

Walaupun karangan Fukuyama sangat mengasyikkan, disulami pemikiran falsafah dan hujah dialektik yang elegan, sukar untuk diterima thesis beliau apabila kita memandang apa yang berlaku dari sudut praktis.

Jumaat, 3 April 2020

Pengurusan Wabak: Kerajaan Autoritarian VS Demokrasi Liberal


Dalam episod terbaru Last Week Tonight oleh John Oliver, beliau membangkitkan bagaimana lemahnya sistem pemerintahan Amerika untuk menghadapi pandemik yang sedang viral ke seluruh dunia. Falsafah barat yang begitu mengagungkan mengagihan kuasa menyaksikan satu bentuk pemerintahan yang tidak efisien dalam mengurus situasi bahaya.

Buku Fareed Zakaria sangat menarik dibaca dalam memahami kelemahan sistem demokrasi, keadaan ini disebut sebagai "too much democracy". Oliver membangkitkan bagaimana kuasa untuk mengistiharkan perintah berkurung tidak berada di tangan presiden, tetapi gabenor bagi setiap state. Sementara ada gabenor yang mengambil serious dan mengenakan perintah berkurung, ada segelintir gabenor yang masih mengira untung rugi ekonomi dan tidak menguatkuasakan perintah berkurung, hal ini menjadikan situasi bertambah teruk.

Oleh kerana kerajaan yang tidak centralize, pengurusan kesihatan juga tidak diuruskan dengan efisien. Oliver membangkitkan bagaimana setiap state berlawan sesama sendiri dalam "price bidding" untuk mendapatkan alatan kesihatan dari syarikat-syarikat bagi menguruskan wabak di setiap state masing-masing. Di sini kita melihat satu dilemma, adakah nilai Barat berkenaan "pengasingan kuasa" yang bersifat abstrak itu lebih penting atau nyawa manusia yang real itu lebih penting?

Semasa China, sebuah negara authoritarian menguatkuasakan perintah berkurung untuk melawan wabak yang sama, media-media liberal barat seperti The Washington Post, Slate, dan The Atlantic mengejek mereka sebagai authoritarianism, tidak etikal serta melanggar hak asasi manusia. Tetapi China membuktikan mereka begitu efisien mengawal penyebaran wabak.

Kritikan segera dibendung, agar usaha bersama dapat digerakkan, tenaga dapat difokuskan untuk bekerja melawan wabak dari dihabiskan berdebat dan menjawab kritikan. Malah kelengkapan kesihatan begitu efisien disalurkan kepada kawasan yang teruk terjejas. Doktor dan jururawat diterbangkan dari serata China ke kawasan yang terjejas bagi meringankan beban petugas kesihatan, malah hospital baru khas dibina dalam masa yang singkat. Akhirnya China berjaya jauh lebih baik dari Amerika dalam menguruskan situasi wabak yang genting ini, sementara Amerika masih berdebat perihal nilai abstrak, dan mengira untung rugi ekonomi, dalam masa yang sama mengabaikan langkah-langkah pencegahan kritikal.

Apabila kita membaca thesis Francis Fukuyama yang mengatakan liberal demokrasi merupakan sistem yang telah sempurna, dan tidak ada lagi idea sistem pemerintahan yang lebih baik yang akan dapat difikirkan manusia, Fukuyama mengatakan kesempurnaan liberal demokrasi sebagai "berakhirnya sejarah", kita tertanya-tanya benarkah thesis ini? Sistem pengurusan wabak Corona seperti membuktikan sebaliknya.

Akhirnya, mungkin kita boleh bertanya. Apa gunanya nilai abstrak seperti pengasingan kuasa dan demokrasi liberal serta kiraan untung rugi ekonomi jika semua manusia mati?

Sabtu, 16 Mac 2019

Diskusi UniSHAMS: Islam liberal, salahkah?


Maksud & Konsep Ideologi

Ideologi adalah sistem pemikiran atau kepercayaan (belief system) yang mana dengan sistem ini seseorang melihat dunia ataupun kita panggil worldview. Dengan ideologi seseorang itu mentafsirkan aspek-aspek kehidupan seperti agama, politik, ekonomi, susun atur sosial dan lain-lain.

Sebagai contoh dalam aspek ekonomi. Seorang yang berideologi free-market capitalism akan mencorak ekonomi dengan menghapuskan halangan-halangan dalam ekonomi seperti tariff, melonggarkan peraturan, dan sebagainya. Ideologi komunis pula mungkin menghapuskan pegangan harta, dan ekonomi ditadbir dan diurus oleh central-planning. Ideologi sosialis pula mungkin akan menetapkan polisi-polisi untuk mengurangkan jurang pendapatan, menaikkan cukai orang kaya untuk diagih kepada golongan miskin, apa yang disebut sebagai welfare state. Ideologi Islam pula mungkin cuba membina ekonomi tanpa riba, memperkasa sistem zakat sebagai sistem pengagihan harta.

Begitu juga dalam politik, contohnya di Malaysia kita ada parti-parti politik yang berasaskan ideologi. Ada yang ideologi partinya secularisme, ada yang berdasarkan sosialisme, ada nasionalisme, ada juga parti-parti Islam. Mungkin parti Islam di Malaysia kita boleh pecahkan lagi kepada yang ideologinya progresif, dan ada juga yang lebih konservatif.

Walaupun liberal di Malaysia sering dipandang dalam konotasi negatif. Maksud liberal secara umum adalah kebebasan dari perkataan liberty. Dalam Islam sendiri ada nilai-nilai kebebasan, contohnya Islam membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan pada tuhan, ini adalah nilai liberal. Dalam sejarah juga Islam menjadi asas pembebasan dari penjajah, membebaskan manusia dari sifat jahiliyah kepada masyarakat ilmu. Ini semua adalah nilai liberal. Jadi setiap orang mungkin mempunyai definisi liberal yang berbeza.

Liberalisme boleh kita definisikan sebagai ideologi yang berteraskan nilai-nilai seperti hak-hak sivil, demokrasi, sekularisma, kesamaan gender, kesamaan kaum, internasionalisma, kebebasan bersuara, kebebasan agama, dan pasaran terbuka. Tak kesemua nilai-nilai ini bertentangan dengan Islam.

Kesamaan kaum sebagai contoh, tidak bertentangan dengan Islam. Islam datang dan menghapuskan amalan assobiyah kaum kepada kesaksamaan dalam Islam, yang membezakan manusia adalah taqwa. Ada juga nilai yang bertentangan, contohnya kesaksamaan gender. Islam tidak beri kesamaan gender seperti definisi liberal, tetapi Islam memberi keadilan gender yang mana setiap gender ada hak dan tanggungjawab masing-masing yang diiktiraf.

Ideologi tidak bersifat material, jadi melawan ideologi perlu dengan ideologi. Antara buku yang sangat baik dalam membahaskan isu Islam Liberal ini adalah buku tulisan Dr. Ugi Suharto dari UIAM yang bertajuk Pemikiran Islam Liberal – Perbahasan Isu-isu Sentral terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Usaha mengawal perkembangan Islam liberal

Malaysia adalah satu negara yang unik, dimana Islam diiktiraf dalam perlembagaan secara khusus dan terang. Perkara ini sangat penting kerana Islam boleh wujud dalam bentuk institusi, kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mufti, bahkan Menteri khusus untuk agama Islam. Jadi sebarang usaha untuk mengubah Malaysia sebagai negara sekular perlu melepasi halangan besar pertama ini.

Dengan Islam wujud dalam bentuk institusi, Islam dapat dipelihara dengan penguatkuasaan dan ada legal standing, ini berbeza dengan negara jiran kita yang mana Islam tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan. Indonesia sebagai contoh dalam perlembagaannya iaitu Undang-Undang Dasar 1945  (1) tidak menyebut Islam dengan jelas. Ada frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya” dalam preamble asal, tapi kemudiannya dibuang (2). Di Indonesia ada Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang boleh mengeluarkan fatwa (ruling) tetapi tidak legally binding.

Jadi dengan adanya pengiktirafan rasmi dalam perlembagaan dalam Perkara 3 yang menyebut “Islam ialah agama persekutuan” (3), institusi-institusi agama Islam di Malaysia boleh mengawal penyebaran fahaman-fahaman yang bertentangan termasuk fahaman Islam liberal. Majlis Agama Islam Selangor sebagai contoh melalui kerajaan negeri Selangor mewartakan pada tahun 2014 bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam (4), fatwa ini turut mengishtiharkan bahawa Sisters in Islam (SIS) sebagai sesat, yang mana kemudian SIS mencabar MAIS di mahkamah agar fatwa ini dibatalkan (5).

Selain penguatkuasaan institusi agama, di Malaysia juga kita ada pelbagai gerakan Islam yang menentang pemikiran ini menerusi pendidikan, wacana, diskusi dan pelbagai medium lain. Juga institusi pengajian tinggi, universiti, juga memainkan peranan dalam memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Nota:





Ahad, 8 Januari 2017

Wasatiyyah Islam – Antara Liberalisme & Konservatisme di Malaysia



Penulis: Mohammad Kamil B. Hj. Ab. Majid
Penerbit: Pekan Ilmu, 2012

Pertamanya saya ingin mengupas berkenaan dengan konsep buku dan juga susun atur. Buku ini saya kira berkonsepkan ilmiah, dan kadang kala terlalu ilmiah dan tidak berapa sesuai dengan pembacaan awam. Susunan ayat dipenuhi dengan perkataan jargon yang kadang kala tidak di definisikan dan tidak difahami oleh audiens. Jika kita membaca bab dua pula, kita akan dapati ia dipersembahkan dalam bentuk point, dan ada point mempunyai sub-point, dan sub-point pula mempunyai sub-sub-point. Ini menyebabkan pembacaan begitu sukar untuk menjadi satu gagasan kefahaman yang bersambung.

Kemudian proses penerbitan juga dilakukan dengan tergesa-gesa. Proses proofreading dan editing mungkin tidak dilakukan atau mungkin dilakukan dengan tidak teliti. Hasilnya naskah akhir dipenuhi dengan pelbagai kesalahan ejaan. Lebih kritikal saya kira sebagai contoh, pada muka surat 66 dan 67 terdapat perkataan dalam kurungan (masukkan hadis ibadat / contoh). Ini merupakan perkara yang tidak sepatutnya ada dalam manuskrip yang sudah diterbitkan!

Kemudian pada bab-bab seterusnya ada yang ditulis sebahagian nya dalam bahasa Indonesia. Perkara ini lebih menjadikan buku ini apabila dibaca, sangat berceramuk. Walaupun mungkin penulisan ini merupakan gabungan penulis-penulis, seharusnya dari sudut bahasa ia diharmonikan, dan dipilih satu bahasa. Saya rasa cukup sebanyak ini kritikan berkenaan dengan teknikaliti buku ini, saya ingin berbicara berkenaan dengan idea dan isi buku.

Saya merasakan bahawa buku ini mempunyai isi yang baik. Pada bab-bab seterusnya apabila ia ditulis dengan garapan pada perenggan dan bukan dalam bentuk point, ia sangat memudahkan pembacaan dan pemahaman terhadap isi. Saya petik beberapa isi yang saya kira relevan untuk dibincangkan.

Apabila membicarakan konsep wasatiyyah (pg. 55), buku ini mengetengahkan  bahawa Islam mementingkan kepentingan bermasyarakat (societal). Perkara yang dilakukan bersama dinilai lebih baik dalam Islam, sebagai contoh solat diganjari lebih besar apabila dilakukan berjemaah. Perkara ini antara topik yang perlu diperhatikan apabila kita melihat perjuangan yang ditaja oleh barat berkenaan dengan kebebasan individu atau human right. Adakah kebebasan yang diperjuangkan itu baik meskipun apabila ia merosakkan apabila dilihat dalam sudut pandang kemasyarakatan?

Berkenaan soal hudud, pendekatan wasatiyyah seharusnya tidak hanya memfokuskan kepada perlaksanaan hukuman sahaja (pg. 67). Kefahaman berkenaan hukum itu juga penting bagi mengharmonikan nya dalam opinion masyarakat. Usaha untuk menerangkan nya dengan baik perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menandingi opinion barat bahawa ia satu hukuman primitif dan kejam. Kita perlu menjawab kritikan media barat ini dengan rasional dan logikal, agar dapat diterima baik dan menjadi persepsi baik bagi masyarakat. Juga berkenaan prosedur dan tatacara perlaksanaan harus dihuraikan. 

Dalam konsep wasatiyyah juga beliau mengutarakan bahawa tidak semua perkara tradisi atau amalan lama itu perlu dianggap buruk dan out of date (pg. 91). Perkara-perkara yang merupakan kalam ulama silam dan bukan ketetapan qat’i boleh dinilai semula dengan kritis. Agar pengamalan Islam sentiasa segar dan seiring dengan peredaran zaman. Hal ini bertentangan dengan konsep barat yang membuang semua perkara tradisi sebagai tidak lagi berguna serta menghalang kemodenan.

Dalam membincangkan fahaman konservatif beliau menyatakan antara kelemahan fahaman ini adalah kurang menggunakan akal dan metologi ilmiah. Akal dianggap sebagai sumber sekunder yang tidak dapat menyaingi pendapat ulama silam (pg. 105).  Mereka membertahankan semua amalan warisan serta menentang semua agenda permodenan. Perkara ini bertentangan dengan konsep wasatiyyah, dimana ummat Islam seharusnya menerima kebaikan yang ada dalam arus kemodenan secara selektif dan di harmonikan dengan suasana setempat.

Penulis juga berpendapat bahawa demokrasi boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Hadis. Beliau memetik kenyataan Yusuf Qardhawi yang menyatakan demokrasi adalah gambaran daripada agama Islam dan tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Hadis (pg. 148).

Ketika membahaskan berkenaan dengan tokoh liberal di Mesir, pandangan Hassan Al-Masyat telah dipetik yang mengatakan liberal tidak bertentangan dengan Islam (pg. 175). Namun liberal yang dimaksudkan adalah berfikiran bebas, bukan liberal tanpa batasan acuan barat. Tokoh liberal di Mesir seperti Hamed Tahir menyeru agar perkara yang harus diperjuangkan dalam ummat Islam hari ini adalah isu-isu besar seperti keadilan, persamaan dan syura (pg. 191). Hamed Tahir merasakan bahawa Al-Azhar menghalang idea-idea pembaharuan ini. Akibatnya ummat masih membincangkan perkara-perkara kecil yang telah pun dibincangkan zaman-berzaman. Kesyumulan Islam seharusnya diperlihat dari segi praktik, mampu mengupas isu-isu realiti kehidupan, harus keluar dari sekadar menentukan halal dan haram, serta perkara-perkara furuiyyah.

Dalam kesimpulan buku ini, terdapat satu petikan yang menarik perhatian saya:

“Kelas professional Melayu baru yang dilahirkan melalui dasar permodenan dan DEB ini tidak menunjukkan paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektivisme dan saintisme seperti yang diharapkan oleh Mahathirisme.” (pg. 289)

Saya tidak bersetuju dengan kesimpulan ini kerana ia merupakan generalisasi yang tidak berpijak di bumi nyata. Sekiranya kita lihat bidang industri hari ini golongan professional Melayu memainkan peranan yang sangat besar. Malahan kebanyakan GLC hari ini ditadbir oleh golongan professional Melayu. Ia adalah kesimpulan pra matang.


Secara keseluruhan buku ini dari segi teknikal dan editing merupakan buku yang amat menghampakan. Bermula dengan persembahan dalam bentuk point yang sangat mengelirukan, kesalahan ejaan yang begitu banyak, penggunaan istilah yang tidak konsisten, serta percampuran bahasa Melayu dan Indonesia yang menjadikan ia buku yang caca merba. Namun dari segi isi, terdapat perbahasan-perbahasan yang baik seperti perbahasan sejarah liberalisme di barat dalam bab 4. Saya berharap buku ini dapat diperbaiki sekiranya cetakan seterusnya ingin dilakukan.