Sabtu, 3 Oktober 2026

Roh Dalam Sebuah Penulisan

Antara perkara yang saya sentuh dalam buku terbaharu saya Marginal & Marginalia adalah “roh dalam penulisan”. Penulisan yang sedap adalah penulisan yang mempunyai “roh”. Saya menukilkan nasihat guru saya dalam buku tersebut bahawa penulisan yang membekas perlu sentiasa ada roh perjuangan.

Semasa sesi kongsi buku Komkura di Pesta Buku Kedah saya ada memetik sebuah buku ahli sejarah kegemaran saya, Howard Zinn. Buku tulisan beliau, People’s History adalah antara buku awal yang mengubah fikiran saya dalam melihat sejarah. Pada mulanya saya meminjam naskhah di Perpustakaan Georgetown, namun kerana sudah dirasuk ke-best-an buku tersebut saya beli sebuah sebagai bacaan rujukan dan koleksi.

Setelah berlalu beberapa tahun, saya merasakan saya perlu menyuntik semula roh penulisan Zinn ke dalam minda saya. Maka saya mula membaca tulisan beliau A Power Government Cannot Suppress. Walaupun saya sudah tua dan less-idealist, tetap “kick”nya masih ada. Tulisan Zinn masih penuh dengan roh dan semangat perlawanan yang mengesani saya untuk menulis dan melihat sejarah.

Bagi Zinn, jika ahli sejarah hanya mengulang siri-siri kekalahan, ahli sejarah adalah pensubahat dalam menjadikan manusia menerima penindasan. Sebaliknya sejarah perlu ditulis dengan kreatif, bukan bermaksud mencipta peristiwa yang tidak berlaku, tetapi menafsir masa lalu sebagai satu perjuangan yang belum selesai. Yang memerlukan darah dan daging baharu untuk menyambung perjuangan. Bagi Zinn sejarah bukan bidang kita untuk meromantisan masa lalu, tetapi penafsiran sejarah adalah tentang macam mana kita akan mencorak masa depan. Dalam kata lain, sejarah adalah ilmu masa depan. Cara kita membina masa depan bergantung pada apa yang kita tafsirkan berlaku di masa silam.

Tiada ulasan: