Sabtu, 26 September 2026

Selesai Membaca Buku Sejarah NATO


Akhirnya saya selesai menghabiskan bacaan bagi bulan September. Buku Peranan Britain dalam Pembentukan NATO, 1945–1949 karya Norasmahani Hussain membawa pembaca melihat kembali bagaimana North Atlantic Treaty Organization (NATO) terbentuk pada penghujung 1940-an. 

Menariknya, buku ini tidak hanya melihat NATO dari sudut ancaman Soviet seperti yang sering diceritakan dalam sejarah awal Perang Dingin. Sebaliknya, penulis memberi perhatian kepada peranan Britain, khususnya usaha Menteri Luar Britain ketika itu, Ernest Bevin, dalam memastikan Amerika Syarikat terlibat secara lebih langsung dalam pakatan keselamatan Eropah.

Melalui buku ini, kita dapat melihat bahawa pembentukan NATO sebenarnya tidak berlaku dalam keadaan yang mudah. Britain ketika itu baru sahaja keluar daripada Perang Dunia Kedua dengan keadaan ekonomi yang teruk dan beban pertahanan yang besar. Dalam keadaan sebegini, Britain memerlukan Amerika Syarikat sebagai rakan yang lebih kuat untuk membantu menjamin keselamatan Eropah Barat, tetapi pada masa yang sama Britain juga mahu memastikan kepentingan dan pengaruhnya sendiri terus terpelihara.

Bahagian yang menarik ialah bagaimana buku ini memperlihatkan permainan diplomasi dan rundingan di sebalik pembentukan NATO. Ia menunjukkan bahawa setiap negara yang terlibat mempunyai kepentingan dan pertimbangan masing-masing. Jadi, pembentukan NATO bukanlah sekadar cerita tentang negara-negara Barat yang bersatu kerana takutkan Soviet. Ada juga soal ekonomi, keselamatan, pengaruh politik dan kedudukan Britain yang semakin berubah selepas perang.

Buku ini juga membuatkan kita melihat Ernest Bevin dalam perspektif yang lebih luas. Usahanya untuk menarik Amerika Syarikat ke dalam satu pakatan keselamatan bukan sahaja berkaitan dengan ancaman ketenteraan, tetapi juga merupakan sebahagian daripada usaha Britain mencari jalan untuk menghadapi dunia pascaperang yang semakin mencabar.

Secara keseluruhannya, buku Peranan Britain dalam Pembentukan NATO, 1945–1949 merupakan bacaan yang menarik bagi mereka yang ingin memahami sejarah awal Perang Dingin dari sudut yang sedikit berbeza. Buku ini mengingatkan kita bahawa di sebalik sesuatu pakatan besar seperti NATO, terdapat pelbagai kepentingan, rundingan dan percaturan politik yang tidak semestinya kelihatan pada permukaannya. Ia juga membantu pembaca memahami bagaimana Britain cuba menyesuaikan diri dengan perubahan kedudukan kuasa dunia selepas Perang Dunia Kedua.

Agama dan Agamawan di Dua Lembah Berbeza

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam, agama yang mengajar bahawa kita manusia adalah hamba kepada Allah bukan hamba sesama manusia. Agama yang telah ditunjukkan qudwahnya oleh baginda Rasulullah SAW. Islam membawa kebebasan dan kebahagiaan buat manusia di dunia dan akhirat. Agama yang benar yang wajib kita genggam hingga hari akhir kita, panduan sepanjang kehidupan.

Namun kita melihat hari ini, agama dan agamawan itu di dua lembah yang berbeza. Ketika genosida sedang getir di Gaza, antara yang sangat memedihkan hati saya adalah apabila melihat agamawan gagal memandu umat bersatu mempertahankan saudara seIslam kita. Luka pedih itu akan saya bawa hingga saya mati. Ketika sebahagian ulama yang jujur mengeluarkan fatwa jihad bagi mempertahankan nyawa umat Gaza, perkara ini tidak disambut oleh pusat keilmuan umat. Malah mereka berhujah pula menentangnya.

Saya faham pada ketika itu, agamawan bukan sosok yang mewakili agama. Mereka hanya menjaga kepentingan mereka, jawatan mereka, populariti mereka, mereka tiada fikrah untuk melihat umat Islam ini bangkit dan terbela.

Begitu juga suasananya di Malaysia. Agamawan kita belajar hebat, ada yang belajar hingga ke bumi ambiya’. Namun apabila mereka pulang, mereka tidak pun menjadi arus yang membangunkan umat. Sebaliknya mereka hanya menjadi pengajar perkara-perkara fiqh amal ibadat. Mereka bertengkar hal-hal furuk umat. Tiada fikrah untuk membina bangunan umat yang hilang.

Masalah-masalah umat dan bangsa mereka tidak disentuh, takut hilang tauliah. Hilang jawatan. Tidak dijemput ke majlis. Hilang follower. Hilang pangkat dan jawatan. Mereka hanya sentuh hal-hal selamat.
Ketika umat Islam dirasuk rasisme. Hanya segelintir yang menegur. Agamawan yang selama ini berdegar-degar pun sekadar buat teguran umum. Mufti dan pakar hadis pula kongsi pasal hadis jiran bergaduh, walhal ada pelbagai hadis boleh digunakan untuk memperbaiki persaudaraan Islam. Namun merela memilih untuk tidak membela saudara Muslim. Semuanya menjadi puak hanyut, hanyut dalam kebencian dan rasisme.


Ambil contoh gambar di atas, gambar ahli qariah bersama di depan Masjid di Bukit Berangan, Terengganu menyebar kebencian sesama muslim. Masjid sepatutnya menjadi pusat penyatuan umat. Sesiapa boleh masuk ke dalamnya beribadah. Orang Melayu, Rohingya, India, Cina, Arab, Afrika, semuanya sepatutnya boleh masuk ke dalam rumah Allah dan beribadah bersama. Masjid adalah rumah Allah, bukan rumah Melayu. Tapi malang, masjid yang suci pula digunakan untuk menyebarkan benih-benih asobiyah jahiliyah sesama Muslim. Saya tidak nampak seorang pun agamawan menegur perbuatan hina dan jijik begini. Mengapa? Kerana agama dan agamawan berada di dua lembah yang berbeza. 

Mengapa Saya Mempertahankan Saudara Rohingya?

Apabila saya memilih untuk mempertahankan saudara Muslim Rohingya, saya sedar benar jalannya susah, panjang, dan akan dipenuhi cacian, makian, dan ugutan. Saya sudah berfikir panjang dan dalam. Ada kawan-kawan dan keluarga yang sayang pada saya, yang tak sanggup melihat saya dimaki setiap hari. Tapi saya tutup mata dan kata pada mereka, saya yang memilih jalan ini.

Saya tak pernah rasa saya berani atau hero. Saya hanya merasakan bahawa saya melakukan apa yang wajib, iaitu melindungi saudara seakidah saya. Sejak dari awal saya sedar, kempen kebencian dan rasisme ke atas saudara Rohingya ini akan bertukar ganas dan dahsyat, mereka adalah kaum mustad’afin yang tertindas. Tiada negara, tiada siapa yang akan mempertahankan mereka. Mereka dihina, dicaci, difitnah, ditengking, ditangkap, dipukul, dirakam, dimalukan tapi mereka tidak boleh melawan dan mempertahankan diri. Tiada siapa berani membela mereka. Tiada siapa mahu mendengar suara mereka, kisah mereka, dan sudut pandang mereka. Tiada siapa berani membela mereka kerana takut digelar barua, pengkhianat dan terma-terma celaan kosong yang lain.

Ahli agama, NGO Islam, tokoh masyarakat, semuanya tidak berani bersuara. Mereka melihat sahaja golongan gengster, badut, dan penyamun mengembala pemikiran masyarakat masuk ke lembah rasisme yang penuh kehinaan. Maka saya fikir saya perlu buka jalan, agar denai kritikan itu dibuka, sedikit demi sedikit mengumpul suara-suara yang sudi membela saudara kita. Sampai denai itu menjadi arus, yang akhirnya dapat mengalahkan naratif rasisme dan kebencian. 

Saya tiada reputasi untuk dilindungi. Saya tidak kisah jika jemputan acara dibatalkan. Saya tak kisah kalau rumah penerbitan tidak mahu terbitkan buku saya. Saya tak kisah hilang kawan. Kerana bagi saya al-haq itu apa yang dikata oleh Allah dan Rasul, al-haq itu bukan ditentukan oleh sentimen atau komen netizen. 

Tapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana memilih jalan ini. Saya jumpa kawan baru. Saya dapat peluang-peluang baru. Saya jumpa platform baru untuk berbakti. Allah maha adil, dia akan buka jalan jika kita ikhlas.

Saya hanya mahu saudara Rohingya saya dilayan seperti manusia. Saya mahu anak-anak mereka dibenarkan menuntut ilmu menjadi generasi Islam yang cerdas, dan mereka dapat membangunkan semula bangsa dan negara mereka. Supaya bila negara mereka kembali aman, kita mampu pulangkan mereka sebagai generasi Islam yang baru, yang berpendidikan, yang maju, yang hebat. Mereka akan mampu menyumbang untuk kita bersama membina kembali bangunan tamadun Islam yang indah.

Pastilah perjuangan memerlukan bahan bakarnya. Jika kita beriman benar, maka kita akan sentiasa bersedia membayar harganya. Cacian, makian dan ugutan tidak akan melemahkan kita. Kita juga tidak berharap pada terima kasih. Kerana bak kata Macklemore “la shukran ala wajeb”.

Jumaat, 25 September 2026

Mengunyah Madah Ibnu Din Assingkiri

Di Pantai Cherating, Kemaman,
aku menghirup udara yang aman.

Melihat paya bakau yang tenang,
juga kelibat monyet keluar dari sarang,
berpeluh, aku tiba di tepi pusara,
berbatu, dengan nisan yang disaluti lumut purba.

Matahari pagi mula menyimbah,
bulat bentuknya berwarna merah,
ombak laut menyanyi di pantai,
pasir dan cengkerang dibelai-belai.

Embun pagi masih basah,
pagi itu aku makan ditemani ramah,
teman-teman sekerja yang mesra,
semalam bersama melepaskan tungtung di muara.

Menghirup pawana segar di pagi hari,
sambil mengunyah aksara Ibnu Din Assingkiri,
pagi yang indah ini terasa rugi,
jika tidak disulam dengan bait puisi.

“telah kujumpa ranah subur untuk kutanam benih
aksara berbajakan tradisi yang tidak pernah
berhenti menjadi hal-hal terindah. praha meniup
lembut dan buaian pun bernyanyi mengikut rentak
kontemporari. aku pun bermastautin di sini”

Begitu madah Ibnu Din Assingkiri,
aku pula mengucapkan selamat pagi.

Royale Chulan Cherating Chalets,
16 September 2026.

Apakah Tugas Muslim?

Ahmad Paul Keeler.
Ketika dunia hari ini sedang berkecamuk dengan perang dan kebencian. Saya terdengar sebuah podcast yang dikelolakan oleh Paul Williams yang menemuramah Ahmad Paul Keeler perihal pemikirannya berkenaan dengan paradigma Mizan. Saya tertarik dengan ulasan Ahmad Paul Keeler apabila beliau mengulas apakah tugas seorang Muslim itu. Beliau menyebut:

"Tugas kita adalah melakukan apa yang Muslim telah lakukan zaman berzaman, tugas Muslim adalah untuk berdiri dan menjadi saksi kepada kebenaran, dan menjadi pelindung kepada manusia dari ribut kejahatan yang sedang melanda, seperti suatu ketika dahulu di Mekah, di mana nabi kita Muhammad SAW di permulaan, ketika baginda dikelilingi kejahatan, hari ini kita melihat dunia penuh kejahatan yang menghancurkan, dan Islam adalah rumah api yang memberikan cahaya yang terang, yang memberikan kehangatan kepada batu-bata, Islam menyediakan perahu-perahu yang patut kita gunakan untuk menyelamatkan manusia dari ribut, itulah tugas kita, tugas Muslim hari ini."

Bangsa Penulis dan Kepala Degil Mereka

 

Dalam buku saya yang terbaharu, Marginal & Marginalia, saya ada menulis tentang bagaimana seorang penulis itu mempunyai sifat "degil". Perkara ini saya ulas di dalam bab "Tugas Penulis Adalah Untuk Mengalur Sungai Baharu" di mana di dalamnya saya menelusuri sikap Sayyid Qutb, yang walaupun diberikan amaran dan ancaman, tetap setia dengan ideanya. Dalam sejarah idea, saya melihat penulis dengan sifat degil inilah yang banyak mengubah pemikiran. Ideanya akan disanggah semasa zamannya, ditekan, dan dicemuh. Namun selepas mereka pergi, ternyata ideanyalah yang menyuburkan pemikiran umat. Yang membawa pemikiran watan ke arah masa depan yang lebih cerah. Apabila saya membaca riwayat hidup Pendeta Za'ba, saya menjumpai perkara yang sama. 

Saya memang ada beberapa buku karangan Za’ba, tetapi hanya tersusun di rak. Selepas sesi bedah buku bersama Book Surgeon yang membedah pemikiran Za’ba, baru terdetik hendak bertatih membaca perihalnya. Sebelum masuk ke daerah pemikirannya yang lebih kompleks dan dalam. Saya rasa kita perlu memahami latar kehidupan dan zamannya dahulu. Perlu bermula dengan anak tangga yang kecil dulu. Maka saya mula membaca tulisan Norziati Mohd Rosman ini, tajuknya Suluh Pendeta: Riwayat Hidup Za’ba daripada Penerbitan Lalu. Naskah yang santai dan ringkas ini bagi saya sesuai untuk pembaca pemula seperti saya.

Sesi membedah pemikiran Za'ba bersama Book Surgeon di Alor Setar pada 06 September 2026.

Za'ba ternyata seorang penulis dan pencari ilmu yang "degil". Untuk menyambung pengajian, beliau berselisih dengan ayahnya. Apabila beliau mula mengarang dan menghantar rencana tajamnya ke akhbar dan majalah, tulisannya tidak disenangi penguasa kolonial British dan pembesar Melayu. Za'ba tidak dinaikkan pangkat dan gaji walaupun lulus peperiksaan.

Penulisan Za'ba yang kritis ini cuba digunakan oleh RO Winstedt untuk mengalihkannya dari majalah dan akhbar kepada jurnal yang hanya menyentuh soal-soal adat dan budaya semata-mata. Za'ba dialihkan oleh Winstedt untuk menulis di dalam JMBRAS. Beliau juga dipindahkan dari menjadi guru di MCKK ke Kuala Lumpur agar pemikirannya dapat dibendung dari tersebar kepada pelajar Melayu. Semua ini walau bagaimanapun tidak berjaya memadamkan "kedegilan" Za'ba. Tulisan yang kritikal terhadap British tetap beliau hasilkan dan terbitkan (Norziati Mohd Rosman 2026, 32-36). Begitulah degilnya sang penulis!

Maka kepada penerbit dan editor di Malaysia, janganlah aneh jika anda berjumpa dengan penulis yang "degil". Memang sifat bangsa penulis begitu! 

Sabtu, 12 September 2026

Evolusi Seorang Penulis


Penulisan adalah sebuah perjalanan yang panjang. Kita semasa memulakan penulisan mungkin bukan kita yang sama dihujung penulisan. Ranah-ranah idea, ranah pemikiran dan aktivisme akan mengubah diri kita. Kadang ke dalam bentuk yang tidak pernah kita fikirkan. Bagi saya, perkara yang paling penting dalam penulisan ialah kebebasan dan kemerdekaan. Saya paling tidak gemar tulisan saya disunting. Kerana suntingan selalu sahaja menghilangkan emosi, memotong roh, juga mencairkan maksud asalnya yang pekat.

Sejak dari awal saya sedar benar bahawa saya tidak menulis untuk pembaca. Saya bukan seorang penulis yang ingin mengambil hati pembaca, ingin melahirkan bait-bait yang mampu membuatkan manusia terpesona. Itu bukan objek penulisan saya. Saya menulis untuk menyatakan apa yang saya rasakan benar, membela orang yang lemah, memberi suara kepada mereka yang tidak bersuara. Itu adalah fungsi tulisan saya. Satu aksi untuk melahirkan pemikiran yang benar dan ikhlas, bukan mengikut angin selera pembaca. Bukan untuk mengampu sesiapa. Bagi saya penulislah yang harus memandu pemikiran pembacanya. Penulis yang sekadar menulis mengikut kemahuan pembaca adalah penulis yang tidak original dan membosankan. Apatah lagi yang menulis mengikut angin sentimen netizen, itu penulis-penulis yang dungu. Dia hanya akan menulis benda-benda selamat sahaja. Yang seronok-seronok, yang tiada kesan pada masyarakat, yang tidak mampu membawa kepada perubahan, yang tiada cara fikir baharu yang mampu membawa watan kepada tamadun yang lebih tinggi.

Apabila menulis bagi membela saudara-saudara Rohingya yang di maki dan dicaci dengan zalim di Malaysia setiap hari, saya menemui kebebasan baharu. Saya kini tidak lagi menulis untuk menjaga reputasi atau untuk memastikan saya mendapat undangan-undangan ke forum dan wacana. Itu semua tidak ada lagi dalam perkiraan saya. Malah ada juga undangan saya yang dibatalkan, itu lebih membebaskan saya, saya mempunyai masa yang lebih untuk menulis, berfikir dan membaca. Pengalaman ini telah memberi saya kebebasan baharu, samudera yang lebih luas dan merdeka, untuk saya meneroka.

Penulis harus sentiasa berevolusi, jika tidak, dia hanya menjadi burung kakak tua, yang mengulang-ulang benda yang sama, yang membosankan dan tidak mempu mengesani jiwa.