Ahad, 11 Oktober 2026

Rasisme dan Kemunduran Pemikiran Umat Islam di Malaysia

Melihat pemikiran umat Islam yang dijangkiti rasisme yang kuat terhadap pelarian Rohingya menyebabkan saya menyedari bertapa mundurnya pemikiran mereka. Bayangkan peliknya pemikiran umat Islam di Malaysia. Pemimpin non-Muslim mahu berikan pendidikan pada pelarian yang kebanyakannya adalah orang Islam. Tapi orang Islamnya pula terhegeh-hegeh hendak menafikan pendidikan pada anak-anak umat Islam. Peliknya.

Seorang pengguna Threads dengan akaun 'ruhiyatiidayu' yang mahu pelarian pergi ke sekolah Cina. 

Disuruhnya pula masuk ke sekolah Cina. Bayangkan mundurnya pemikiran orang Melayu. Bila anak-anak pelarian ramai-ramai masuk sekolah Cina nanti mereka ini akan menggelabah sekali lagi, kononnya negara ini tidak martabatkan bahasa ibunda. Kononnya kerajaan mengabaikan bahasa Melayu. Padahal otak mereka yang masih rasis dan mundur. Mereka tidak mampu berfikir panjang. 

Mereka tak pernah fikir kalau pelarian ini belajar bahasa Melayu, apabila pelarian ini balik ke negara asal, atau ke negara ketiga, kita sebenarnya telah menyebarkan bahasa kita. Memartabatkan bahasa Melayu di dunia. Mereka tak dapat fikir semua itu, sebab bila mereka telah menjadi rasis, otak mereka berhenti berfungsi. 

Pemikiran Rasis Loser

Kadang kala, saya kesian tengok geng rasis, mungkin mereka tidak ada pencapaian dalam hidup jadi mereka serang budak-budak. Macam si Piji Nazi dahulu yang jerit-jerit bangga dapat keluarkan budak dari belajar di tadika di Perak. Nampak loser betul, dengan budak-budak tadika sahaja dia berani buli.

Pengguna rasis di Threads yang mula menyerang anak-anak bersekolah di Pasti.
Wujud juga kempen oleh geng rasis pembuli untuk membuli budak-budak yang masuk Pasti, kelakuan yang bagi saya bersifat total loser. Orang lain sibuk fikir macam mana kita nak pastikan umat Islam jadi kuat, boleh bangkit dengan ilmu, untuk bina tamadun Islam yang baharu.

Tapi otak tolol golongan rasis loser adalah hari-hari fikir macam mana nak halang budak-budak mencari ilmu di tadika. Otak mereka berfikir macam mana nak jadikan manusia lain bodoh seperti mereka. Mereka nak pastikan generasi umat Islam terus bodoh dan mundur.

Begitulah rasis loser. 

Agenda Pembodohan Oleh Influencer Tidak Cerdik

Saya melihat agenda pembodohan umat ini semakin hari semakin bertingkat-tingkat kebodohannya. Misalnya, apa kena mengena antara:

1. Warga kita banyak buat jenayah.
2. Oleh itu kita kena nafikan pendidikan untuk pelarian.

Apa kaitannya?

Kenapa influencer dengan logik yang selekeh macam ini pon orang kita terhegeh-hegeh sanjung? Sudah hilangkah kewarasan kita berfikir?

Membersihkan Friendlist

Dahulu saya penat juga fikir macam mana nak buang orang sebab friendlist di Facebook sudah penuh. Alhamdulillah, sekarang, nampak sahaja orang yang asyik share konten-konten rasis, saya akan terus unfriend, supaya boleh approve friend baru

Apa Seterusnya?

Mula-mula kita dipropagandakan untuk membenci pelarian yang merupakan mangsa perang. Kita hina mereka, kita sebarkan kebencian dan rasisme terhadap mereka hari-hari. Kita tutup sekolah anak-anak mereka. Kita berusaha halang mereka masuk tadika dan sekolah kita.

Anwar Ibrahim menyambut penjenayah perang, Min Aug Hlaing pada 7 Oktober 2026.
Kemudian kita sambut ketua junta yang membunuh ribuan manusia dalam jenayah genosida yang menyaksikan berlakunya krisis pelarian terbesar di rantau kita. Kita sambut ketua junta yang tangannya masih merah dengan darah pembunuhan manusia dan sekarang dikehendaki oleh mahkamah antarabangsa atas jenayah genosida.

Kita jerit “free palestine”, hentikan genosida!

Selepas itu muah muah ketua junta penjenayah genosida.

Ironi. What’s next? 

Ahad, 4 Oktober 2026

Untuk Apa Sebenarnya Kita Belajar Tentang Islam?

Kadang saya berasa aneh juga dengan masyarakat kita di Malaysia ini. Kita diajarkan dengan Islam sejak kecil, dididik, diasuh. Kita disuruh mengamalkan kasih sayang, bersaudara, melindungi sesama Muslim. Buku ditulis berkajang-kajang. Dibuat seminar dan wacana Islam sana sini. Dibuat universiti Islam, kolej Islam, institusi kajian Islam, radio Islam, televisyen Islam.

Namun, apabila kita mahu mengamalkan Islam, kita dikatakan menunggang agama? 

Ambil contoh isu pelarian Rohingya, apabila kita tuntut layanan yang selari dengan ajaran Islam kita dikatakan penunggang agama. Bila kita suruh bersaudara sesama Islam, kita dikatakan "idealis". Memang kita ini belajar Islam dari kecil sampai besar untuk difikirkan sahaja tanpa amal? Adakah Islam kita ini dianjurkan berfalsafah sahaja tanpa amalan di lapangan kehidupan?

Aneh sekali.

Ikhlas Akan Menghubungkan Hati

Ada ketika kita takut untuk menyatakan perkara yang benar. Perkara yang benar mungkin tidak popular. Kebenaran mungkin tidak dapat diterima oleh kawan-kawan kita. Kita takut, jika kita ungkapkan apa yang kita rasa benar, kita akan kehilangan kawan.

Tapi sebenarnya kebenaran bukan ditentukan oleh siapa kawan kita. Allah berfirman “alhaqqu min rabbikum”. Maka kita setia dengannya walaupun dunia tidak merestuinya. Kerana akhirnya kita akan bawa amal kita kepada Allah, bukan kepada kawan.

Ikhlas adalah kesetiaan kita pada kebenaran, kita setia walaupun tidak mendapat terima kasih, kita setia walaupun dicaci atau maki. Kita mahu persaksian amal kepada Allah dan Rasul, bukan kepada manusia. 

Tapi sebenarnya takut kita itu tidaklah mempunyai asas yang kuat. Kerana jika kita betul ikhlas, Allah akan temukan kita dengan hati-hati ikhlas yang lain. Jalan perjuangan yang sunyi sebenarnya makin lama akan makin dikuatkan dengan bantuan Allah. Kita mungkin hilang teman lama, tetapi Allah akan kurniakan kita teman yang baharu. 

Apabila kita berani berubah, pemikiran kita akan terbangun. Kita tidak dibelenggu pemikiran totok lama. Kita akan lihat dunia baru, setiakawan baru, dan jalan yang baru. 

Beberapa hari ini saya banyak berjumpa teman-teman baharu, yang bagi saya merupakan udara yang segar. Teman-teman yang setia dengan keadilan dan kemanusiaan. Tidak semua boleh dijadikan cerita, namun harapnya, persahabatan yang bertaut tersimpan catatannya di syurga.

Perjuangan menyatakan kebenaran juga bukan perihal hal sosok diri kita. Ada ketika kita dikritik, membuatkan kita ingin menayangkan amal-amal kita bagi membuktikan benarnya diri kita. Tetapi hal itu jauh benar dari ikhlas. Menunjukkan amal untuk mempertahankan diri, bukan sebahagian dari ikhlas. Sebab kita tidak memerlukan validasi manusia. Kita tidak kisah pun jika orang tidak mengetahui amal-amal kita. Tugas kita hanyalah perlu setia. Setia pada amal dan kebenaran, urusan lain kita serahkan pada Tuhan. 

Sabtu, 3 Oktober 2026

Roh Dalam Sebuah Penulisan

Antara perkara yang saya sentuh dalam buku terbaharu saya Marginal & Marginalia adalah “roh dalam penulisan”. Penulisan yang sedap adalah penulisan yang mempunyai “roh”. Saya menukilkan nasihat guru saya dalam buku tersebut bahawa penulisan yang membekas perlu sentiasa ada roh perjuangan.

Semasa sesi kongsi buku Komkura di Pesta Buku Kedah saya ada memetik sebuah buku ahli sejarah kegemaran saya, Howard Zinn. Buku tulisan beliau, People’s History adalah antara buku awal yang mengubah fikiran saya dalam melihat sejarah. Pada mulanya saya meminjam naskhah di Perpustakaan Georgetown, namun kerana sudah dirasuk ke-best-an buku tersebut saya beli sebuah sebagai bacaan rujukan dan koleksi.

Setelah berlalu beberapa tahun, saya merasakan saya perlu menyuntik semula roh penulisan Zinn ke dalam minda saya. Maka saya mula membaca tulisan beliau A Power Government Cannot Suppress. Walaupun saya sudah tua dan less-idealist, tetap “kick”nya masih ada. Tulisan Zinn masih penuh dengan roh dan semangat perlawanan yang mengesani saya untuk menulis dan melihat sejarah.

Bagi Zinn, jika ahli sejarah hanya mengulang siri-siri kekalahan, ahli sejarah adalah pensubahat dalam menjadikan manusia menerima penindasan. Sebaliknya sejarah perlu ditulis dengan kreatif, bukan bermaksud mencipta peristiwa yang tidak berlaku, tetapi menafsir masa lalu sebagai satu perjuangan yang belum selesai. Yang memerlukan darah dan daging baharu untuk menyambung perjuangan. Bagi Zinn sejarah bukan bidang kita untuk meromantisan masa lalu, tetapi penafsiran sejarah adalah tentang macam mana kita akan mencorak masa depan. Dalam kata lain, sejarah adalah ilmu masa depan. Cara kita membina masa depan bergantung pada apa yang kita tafsirkan berlaku di masa silam.