Khamis, 11 September 2014

Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta'alim



Oleh: Muhammad 'Abdullah Al-Khatib
Terjemahan: Mohd. Nizam bin Mohd. Ali
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar 2008

"Bekerja dan tunggulah detik kemenangan dengan penuh penantian. Kepada Allah lah Yang Maha Berkuasa mengatur segala urusan sebelum dan selepasnya. Pada hari itu kelak kaum Mu'minin bergembira dengan pertolongan Allah kepada siapa yang Dia berikan. Dan Dia lah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang"

Begitulah baris-baris akhir dalam Risalah Ta'lim yang dinukilkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna.

Apa itu fikrah?

Pernah ketika didalam usrah kami seorang ahli bertanyakan soalan ini. Ketika itu saya juga berfikir apakah definisi terbaik yang boleh diberikan bagi fikrah Islam.

Dari sudut bahasa fikrah adalah pemikiran, secara simplistiknya Islam adalah satu cara hidup. Namun disana terdapat pelbagai pemikiran berkenaan dengan cara hidup ini, dan kadangkala terdapat perbezaan, yang jika tidak diurus boleh menimbulkan fitnah yang berpanjangan.

Oleh kerana merasakan pentingnya memurnikan kefahaman mengenai fikrah Islam ini Imam Hassan Al-Banna telah menulis satu risalah yang sangat berharga agar ummat Islam dapat mencapai kesatuan fikrah. Dengan kesatuan ini, ummat Islam dapat meninggalkan perpecahan, saling tuduh menuduh kafir antara satu sama lain, perdebatan yang tidak berkesudahan, perasaan saling membenci dan mampu membangunkan semula kegemilangan ummat.

Penjelasan Imam Hasan Al-Banna dalam isu takfir sangat jelas. Bagi saya ia merupakan satu prinsip yang paling tepat untuk dipegang bagi setiap Muslim, ia kekal relevan sehingga sekarang, di mana pada zaman ini terlalu banyak individu yang menggunakan takfir bagi mematikan hujjah atau pendirian selain mereka. Ia membawa kepada pemikiran statik dan tidak mencambahkan perbincangan sihat dan ilmiah. Namun, kita juga tidak seharusnya bersenang-senang dan mengabaikan individu yang secara jelas meninggalkan Islam. Pendekatan ini adalah paling sesuai terutamanya di zaman ini.
 
Risalah ini sangat berharga terutamanya kepada mana-mana manusia yang mengaku diri sebagai da'ei, ia memberi gambaran asas berkenaan pemikiran Islam sesuai dengan keperluan kontemporari. Risalah ini antara lain menyentuh kepentingan kefahaman yang sahih, keperluan kepada amal, bentuk-bentuk penyelewengan,  serta usaha untuk menyatukan kefahaman ummat Islam dan membendung perbuatan bid'ah.
 
Risalah ini juga mengumpulkan 10 rukun bai'ah yang perlu difahami oleh pekerja Islam. Rukun ini bertujuan untuk menjelaskan kepada setiap pendakwah, dakwah yang bagaimana yang perlu kita bawa dan bagaimana kita bersifat dengan dakwah ini. 10 rukun ini merangkumi:
  1.  Faham
  2. Ikhlas
  3. Amal
  4. Jihad
  5. Pengorbanan
  6. Ketaatan
  7. Thabat
  8. Tajarrud
  9. Ukhuwwah 
  10. Tsiqah
Bagi menjelaskan lagi pemahaman terhadap pemikiran ini, rukun pertama iaitu 'Faham' dihuraikan dengan lebih detail melalui Usul 20, yang merupakan kerangka/asas bagi membentuk aliran pemikiran Islam yang sama serta bertepatan dengan sunnah Rasulullah. Akhir sekali risalah ini, membincangkan beberapa masalah di dalam Fatwa Al-Manar, yang menyentuh isu-isu sensetif seperti ayat sifat, tawassul, pemahaman politik serta peringatan mengenai isu bid'ah. 

1 ulasan:

pedangtertinggi berkata...

"Rukun ini bertujuan untuk menjelaskan kepada setiap pendakwah, dakwah yang bagaimana yang perlu kita bawa dan bagaimana kita bersifat dengan dakwah ini."


Thank you Fathi :)

Kongsi lagi pembacaan buku anta dkt blog, ana dok follow ni.