Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan

Selasa, 5 November 2024

RANDEX 2024: Garden of Knowledge on the Hill

Gambar pertama pasukan Bravo di KL Sentral pada 27/10/2024.

Akhirnya selesai sudah penyertaan saya dalam kursus "Rakan NADMA Disaster Emergency Simulation Exercise (RANDEX 2024)" yang telah berlangsung dari 27-30 October 2024 di Bukit Fraser, Pahang. Walaupun tidak dapat mengikuti kursus hingga ke hari akhir, saya tetap dikategorikan sebagai peserta yang berjaya menamatkan kursus ini dan diberikan sijil. Rezeki!

Pra-Kursus: Misteri Sebelum Simulasi

Sebelum kursus sebenar bermula, peserta telah dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan perlu menyelesaikan beberapa tugasan. Saya telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Bravo dan kami ditugaskan untuk melakukan bantuan Psychological First Aid. Kami perlu melantik ketua, menyusun organisasi, membina sebuah NGO, serta melakukan perancangan awal sebelum hari simulasi sebenar. Kumpulan kami telah memilih nama Soul Support (SOS) Malaysia. Kumpulan kami pada peringkat awal diketuai oleh Hakimi, namun kemudian beliau telah bersilat dan menyerahkan jawatan ketua kepada Hassriq. Peserta juga perlu mengikuti beberapa kursus online sebelum simulasi sebenar, namun disebabkan kekangan masa, saya hanya sempat mengikuti kursus PFA bersama Dr. Pau Kee dan Dr. Ah Boon.

Persiapan ke Randex agak misteri kerana banyak informasi dirahsiakan bagi mengelirukan peserta. Peringatan diberikan agar peserta membawa barangan ala-ala hendak pergi mendaki Gunung Tahan selama 5 hari. Dalam masa yang sama peserta juga dinasihatkan untuk "pack light" ala-ala mahu pergi glamping. Saya juga keliru dengan permainan teka-teki ini, akhirnya saya bawa sahaja apa yang muat dikendong badan dan tangan. Kami diminta untuk berada di KL Sentral pada jam 7 pagi dan tunggu arahan seterusnya di sana. Saya bertolak bersama Wan Yusfi dari Sungai Petani, Kedah sehari sebelum masa berkumpul. Tren kami bergerak jam 6 petang dan tiba di KL Sentral jam 10 malam. Kami bersama beberapa sahabat Haluan Malaysia lain telah bermalam di Cozy Hotel yang berdekatan. Selepas berlabuh dan berehat di hotel, malam tersebut kami makan di kedai mamak ABC One Bistro.

Hari Pertama: 27 Oktober 2024

Perasmian Randex 2024.

Para peserta mula berkumpul di KL Sentral pada jam 7 pagi. Di sini kami mendapatkan beberapa barangan dan arahan asas. Ini juga adalah kali pertama saya bertemu dengan rakan-rakan saya dalam Pasukan Bravo. Walaupun saya merupakan seorang yang pemalu, pendiam dan susah bersembang, saya memaksa diri dan mengambil peluang ini untuk bersembang dan berkenalan dengan rakan-rakan sekumpulan yang baru ditemui. Kami juga ditemani dua orang fasilitator iaitu saudara Khairin dari GPM dan Tuan Faizal dari APM. Kami kemudiannya diberikan tiket KTM untuk ke Kuala Kubu Baru (KKB).

Dari KKB kami menaiki van dan tidak diberi tahu ke mana arah tuju destinasi. Mood misteri nusantaro masih dikekalkan. Untuk menambahkan lagi kebimbangan, saya dipisahkan dari kumpulan dan menaiki kenderaan berasingan. Ada ura-ura mengatakan bahawa situasi serangan pengganas dan tebusan akan dilakukan. Jadi saya kongsikan live location saya kepada ketua kumpulan iaitu Hassriq bagi memastikan jika ini berlaku, sesuatu dapat dilakukan. Namun ternyata ura-ura ini tidak berlaku. Saya asyik bersembang dengan abang driver bernama Syafri, juga dikenali dengan nama samarannya "rokok".

Pada jam 12 tengahari, akhirnya kami tiba di Hotel Wyndham, Fraser Hill. Rupa-rupanya tidur hotel, bukan camping! Penat saya mengusung stove dan gas canister dari Sungai Petani. Hati saya hancur umpama hancurnya hati gadis-gadis yang berpisah dengan kekasih mereka selepas SPM. Namun apakah daya, hidup perlu diteruskan. Setelah berebut-rebut bilik dengan ahli kumpulan terutamanya Asmah yang tidak mahu saya tidur bilik sorang-sorang, saya ditempatkan di bilik bersama Hariz budak Ampang dan juga Aliuddin, seorang pegawai APM. Oleh kerana takut diserbu Jakim kerana tidur sekatil bersama Hariz dan Aliuddin, saya mengambil keputusan untuk bentang toto dan tidur dalam sleeping bag di atas lantai.

Di hotel kami mendapat beberapa taklimat bencana, antaranya dari Reception Deployment Center (RDC) dan Joint Operation and Coordination Centre of ASEAN (JOCCA). Program kemudian telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Abdul Raof bin Zahari yang mewakili Ketua Pengarah NADMA. Pada jam 1 petang bermula taklimat perihal hiraki bantuan kemanusiaan di Asia Tenggara, perkongsian perihal pengurusan hospital lapangan (field hospital), dan juga perkongsian terkini bantuan kemanusiaan di Gaza.

Slot perihal mekanisme pengurusan bencana telah diterangkan oleh En. Fauzie Ismail, saya merasakan slot ini sangat menarik kerana ia menerangkan dengan terperinci hiraki pengurusan bencana di peringkat nasional dan ASEAN. Di peringkat nasional, pengurusan bencana akan mengikut tatakelola yang ditetapkan dalam "Arahan MKN 20", namun arahan ini kemudian telah diambil alih oleh "Arahan NADMA No. 01". Di peringkat ASEAN pula telah diwujudkan Asean Joint Disaster Response Plan (AJDRP) dan juga Emergency Response Assesment Team (ERAT). Mekanisme-mekanisme ini sangat penting bagi memastikan setiap agensi faham akan tanggungjawab masing-masing apabila berlakunya bencana.

Perkongsian perihal hospital lapangan telah diberikan oleh Dr. Arshil Moideen dari UPNM. Perkongsian yang dilakukan berdasarkan pengalaman di lapangan ini bagi saya sangat menyeronokkan dan praktikal. Antara perkara yang ditekankan oleh Dr. Arshil adalah bantuan bencana yang diberikan oleh negara luar pasti mempunyai "hidden agenda", tiada bantuan yang diberikan tanpa adanya objektif dan manfaat. Contohnya bantuan yang diberikan oleh sebuah negara kepada pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh. Bantuan itu mungkin kelihatan ikhlas di luarnya, namun sebenarnya ia dilakukan untuk mengumpul intelligence bagi memastikan pelarian ini tidak masuk ke negara lain. Dalam mana-mana bantuan kemanusiaan, "intelligence" sangat penting bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan tersusun dan mencapai objektif.

Mungkin perkongsian yang paling menarik minat saya adalah dari En. Radzi Jamaluddin yang berjaya memasuki Gaza dari sempadan Rafah pada bulan Mei 2024. Beliau telah mengetuai pasukan doktor untuk memberi bantuan kesihatan di Hospital Kuwait di Gaza. Antara konsep yang beliau perkenalkan adalah 3A iaitu "Accept, Adjust, Adapt". Dalam situasi bencana, kita harus menerima hakikat bahawa situasi akan sentiasa berubah, oleh itu, respon dan perancangan kita juga akan berubah. Ini adalah hakikat yang perlu diterima dan disesuaikan. Bukan sahaja dalam situasi bencana, tetapi dalam situasi kehidupan harian. Saya ada berjumpa dengan En. Radzi secara peribadi selepas taklimatnya semasa makan tengahari dan berjaya mengorek pelbagai lagi kisah-kisah yang menarik. Beliau menceritakan bahawa rakyat di Gaza tidak bersedih seperti penduduk lain di dunia perihal situasi mereka, sebaliknya kebanyakan orang yang ditemuinya di Gaza masing-masing bersemangat dan yakin bahawa mereka akan menang melawan penjajahan Israel. Kata beliau "keyakinan orang-orang di Gaza terhadap kemenangan sudah sampai ke rahim ibu-ibu mereka". Saya bersetuju dengan pandangan beliau ini, kita sebenarnya perlu menyebarkan naratif perjuangan melebihi naratif kesedihan, inilah yang cuba saya lakukan dengan buku yang saya tulis yang bertajuk Resistance Sudah Berbunga.

Pada sebelah malam sekitar jam 10 malam dilakukan perbincangan kumpulan untuk masing-masing berkongsi biodata dan saling kenal mengenal dengan lebih lanjut. Diskusi juga dilakukan untuk membentuk satu jeritan "war cry". Pada 11 malam pula telah berlaku serangan pengganas dari Nusantaro Freedom Movement (NFM), sekitar 5 orang bersenjatakan senapang telah datang dan meminta duit. Walaupun ini sebenarnya adalah lakonan ala-ala drama bersiri Gerak Khas, namun situasi dilakukan seolah-olah ia adalah kisah benar dan perasaan dramatik dapat dibina. Selepas habis simulasi keganasan ini, ada dirancang operasi berjaga malam untuk keselamatan. Namun disebabkan terlalu penat, saya terus berjuang di alam mimpi hingga ke pagi.

Hari Kedua: 28 Oktober 2024

Meredah hujan menjejaki trail di Bukit Fraser untuk latihan simulasi di Kem Pelarian Karo.

Hari kedua merupakan hari di mana program digabungkan antara kuliah di dewan dan simulasi di lapangan. Setiap kumpulan dibekalkan radio (walkie talkie) dan charger. Sebab sembang di radio macam menarik, saya dengan yakinnya telah melantik diri sendiri menjadi radioman dan melantik saudara Salahuddin menjadi pembantu saya. Namun lama kelamaan, Salahuddin telah memonopoli radio dan saya juga sudah malas bermain radio, jadi saya biarkan Salahuddin sahaja yang mengoperasikan komunikasi radio. Biasanya radio digunakan untuk panggilan mesyuarat oleh AJK program.

Segmen kuliah pagi dimulakan dengan perkongsian dari En. Adiratna Wira perihal keperluan untuk mengumpulkan data dan maklumat sebelum, semasa, dan selepas bantuan bencana dilakukan. Data ini terdiri dari data primer dan sekunder. Data primer biasanya adalah data yang dikumpulkan di lapangan melalui temubual dan juga testimoni mangsa. Data sekunder pula adalah berbentuk laporan agensi dan pihak-pihak lain yang sudah turun di lapangan. Kemudian sesi kuliah diteruskan dengan perkongsian dari Dr. Nor Hafifi yang berkongsi tentang kaedah menguruskan kepimpinan dalam suasana krisis. Antara perkara yang saya ingat dari penyampaian ini adalah keperluan untuk pemimpin mempunyai daya tahan. Dikecam dan diancam itu adalah perkara biasa bagi pemimpin, jika dia tidak mampu tahan, dia tidak boleh memimpin. Pemimpin juga perlu mempunyai kebolehan untuk menginspirasikan pengikutnya, ini bagi memastikan bahawa morale mereka sentiasa berada dalam keadaan yang optimum bagi menyelesaikan misi di lapangan.

Peserta juga didedahkan dengan jenis bencana yang disebabkan oleh teknologi dan tangan-tangan manusia. Bencana yang disebabkan oleh teknologi ini digelar sebagai "Natech" atau nama panjangnya Natural Hazards Triggering Technological Disasters. Saya berpandangan, bencana seperti ini lebih sesuai dikendalikan oleh kerajaan berbanding NGO, ini kerana ia memerlukan kemahiran teknikal tertentu seperti unit Hazmat, biasanya NGO tidak mempunyai kepakaran ini. Pada hari kedua juga diterangkan perihal pengurusan kem pelarian oleh En. Rozalla Iskandar, pengurusan kem pelarian dilakukan dengan menggunakan standard yang ditetapkan oleh The Sphere Handbook. Mangsa bencana di Malaysia kebiasaannya tidak ditempatkan di kawasan khemah, biasanya semasa bencana seperti banjir, mangsa akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah-sekolah yang telah digazetkan sebagai pusat pemindahan.

Team Bravo mendengar kuliah di dewan.

Pada sebelah petang bermulalah latihan simulasi. Oleh kerana keadaan hujan, para peserta perlu bersiap siaga bersama baju hujan dan menjejaki trail mendaki Bukit Fraser. Misi yang diberikan adalah untuk meninjau keadaan Kem Karo di mana para pelarian mula tiba. Pelarian ini pandai juga berlakon untuk sesi simulasi ini, ada yang menjerit-jerit sambil mengunyah rumput, ada juga yang berlari-lari merempuh penjaga kem mereka. Situasi didramatikkan lagi dengan kehadiran pengganas dari puak pemisah yang tidak membenarkan bantuan masuk. Maka peserta terpaksa melakukan negosiasi untuk masuk ke dalam kem pelarian. Selepas tamat simulasi, satu sesi muhasabah telah dilaksanakan di Taman Lady Guillemard di balik celahan bunga-bungaan. Memang romantik tempat yang dipilih, sesuai untuk remaja berjiwa jiwang karat. Tamat simulasi, kami kembali ke dewan hotel untuk berbincang perancangan untuk melaksanakan misi lapangan dalam situasi sebenar. Perbincangan untuk perbentangan ini memerlukan kolaborasi antara kumpulan dan perancangan yang kompleks. Ini menjadikan perbincangan berlaku dengan begitu hangat sehingga ada adegan "gado-gado". Namun sebelum tidur, ahli kumpulan kami saling bermaaf-maafan zahir dan batin ibarat pagi Aidilfitri.

Gambar kenangan Team Bravo di puncak Bukit Fraser.

Pada sebelah malam, kuliah diteruskan oleh Dr. Yusuf Yahaya yang membentangkan etika dalam kerja-kerja kemanusiaan di lapangan. Pelbagai situasi dan dilema telah diketengahkan untuk dibincangkan. Sebelum tidur, peserta dihiburkan dengan slot "media review" di mana sebahagian dari aktiviti-aktiviti sepanjang dua hari ditayangkan semula. Situasi dewan menjadi gawat dan gamat. Kelakar juga sesi ini kerana sebelum ini saya telah dipaksa untuk memberi "press conference". Jadi kelakar juga melihat adengan diri sendiri menjawab soalan-soalan provokasi dan sensasi dari wartawan-wartawan jadian. Sebelum tidur, saya mengajak teman-teman kumpulan untuk solat subuh bersama. Saya merasakan masa malam sudah sangat memenatkan. Jadi selepas subuh, suasananya lebih aman dan damai untuk melaksanakan perbincangan dan perancangan. Malam tersebut Aliuddin memaklumkan akan ada situasi pengganas lagi, namun saya terlalu penat, saya terus menyorok dalam sleeping bag dan berdengkur.

Hari Ketiga: 29 Oktober 2024

Team Bravo mendengar kuliah di dalam dewan.

Selepas solat subuh dalam suasana yang sangat hening dan menenangkan. Saya memulakan hari ketiga dengan bersembang hati-ke-hati bersama Hassriq, ketua kumpulan Bravo. Hanya beliau yang hadir solat subuh berjemaah dari kumpulan kami. Kemudian, saya menghadiri mesyuarat pagi bersama sahabat Haluan. 

Hari ketiga dimulakan secara rasminya dengan perkongsian dari En. Ikram perihal Water, Sanitation, and Hygiene (WASH). Aspek bekalan air merupakan aspek yang sangat penting semasa pengurusan bencana, oleh kerana itu, dalam The Sphere Handbook, aspek ini mendapat perhatian dan ditetapkan beberapa standard perihalnya. Antara aspek kualiti air yang perlu diambil berat adalah turbidity, pH, dan juga kandungan organisma berbahaya seperti E. coli. Kemudian sesi diteruskan dengan perkongsian mobile clinic oleh Dr. Munawwar, beliau telah berkongsi pengalamannya menyediakan bantuan kesihatan semasa banjir besar di Kelantan. Beliau berjaya masuk menggunakan bot ke Dabong, Kelantan yang pada ketika itu terputus hubungan dengan dunia luar. Sesi Dr. Munawwar ini merupakan sesi terakhir yang saya ikuti.

Selepas makan tengahari, saya terkena serangan jantung. Ini merupakan serangan jantung kedua yang saya hadapi selepas kali pertama mengalaminya pada November 2023. Pada awalnya, saya menjalani beberapa ujian bersama doktor lapangan iaitu Dr. Silawati dan Dr. Munawwar. Kemudian, saya telah mendapat rawatan awal susulan di Klinik Kesihatan Fraser's Hill sebelum dikejarkan menaiki ambulans ke Hospital Kuala Kubu Baru. Di hospital, saya merasa sangat bosan, saya juga sedih mengenangkan nasib tidak dapat menghabiskan kursus yang telah saya ikuti selama tiga hari. Oleh itu, saya telah menulis sepucuk surat buat kawan-kawan satu kumpulan saya yang masih berjuang di Randex 2024. Berikut adalah isi surat tersebut.

"To my beloved Bravo comrades at Randex 2024,

We have started a great journey together, its a shame that I can't be there with you at the finishing line, I trust that all of you will complete the journey with flying colors.

Life is a struggle, I have accepted that. But life also have been beautiful and kind to me. I have no quarrel with that. But I do regret the fact that I can't spend more time with you, breaking bread and laughter together. Watching your bright eyes whilst listening to the bit of your life stories and adventures. I hold dear every moment with all of you, I cherished our shallow and deep talks, I value all of them. I also came to love the vibe, walking with all of you on the Fraser Hill under the chilling rain. I am a pluviophile after all.

I will hold deep all the memories we had together close to my heart until the last beat. I cherish all our memories together, the good, and the bad. If I were given a chance, I will repeat Randex in a heartbeat, to be with all of you again.

I came to understand that I have made a great friends and comrades. One that I hope, will last in my fleeting lifetime. As I wrote this letter initially in my mind, I cried a little in the ambulance and make a small effort to hide my boyish tears.

Trust Hassriq, our capable leader, you will be in good hands. Know that Hakimi will always be there, watching, strategizing and assisting. I knew that Azreen will lit the group with her bubbly mood. I knew Syahirah is a small yet confident bright girl with strong opinion. I knew Asmah as a capable and resourceful team member. I knew that Rhody has a great and quiet analytical skills. I knew that Farhan is a man with great commitment to every task. I knew Salahuddin is our right wing radioman always ready to shoulder additional burden. I knew that I found a perfect team, one that needs a small fine-tuning. Bravo holds the right ingredients with a great pool of talent. This team was meant to thrive. I hope that I had contributed something to hold these wonderful souls together. I trust that all of you will shine brighter than the sun!

I trust Datin Azura Ibrahim will care all of you for me and give our team a chance. And Khairin and Faizal will be there, always, to guide. Send my best regards to all of the teacher, instructor, and those angry-rebels with fake guns, they have been a great teacher for me. In our small hall, and in life. Its a shame I cannot attend our session with Dr. Pau Kee and Dr. Ah Boon. But life goes on.

Do not bent or relent, fight until Bravo reach the top. Keep the spirit high, and fight with smiles. Know that the battle of the spirit start first, before the battle of the body. Enjoy the rest of the journey. Always be kind and stay true to your values. I also wanted to take this opportunity to apologize for all of my shortcomings. Before we part ways, I wanted to say sorry if I checked the wrong box or utter a wrong words. I realized, in hindsight, that I wished that some words I should have never uttered. I wish I could be better. I knew this small notes is not a proper way to say goodbye. But I have no intention to quarrel with life. It is as it is.

If the wind blows ever again, and our ship crossed path in this wild ocean of life. I hope to meet a better you. And hope you also can meet a better me. Until then, do take a good care of yourself.

Yours forever Bravo comrade,
Syed Ahmad Fathi
29/10/2024
Bed 13, Ward No. 1, Hospital KKB."


Hari Keempat: 30 Oktober 2024

Majlis penyerahan sijil tamat kursus oleh Datin Azura Ibrahim di wad Hospital KKB.

Walaupun tidak berjaya menamatkan kursus, oleh kerana komitmen dan juga semangat juang saya yang sangat tinggi setinggi Bukit Fraser, Datin Azura Ibrahim telah datang melawat saya di wad hospital dan menyerahkan sijil tamat kursus. Dr. Munawwar juga telah datang menziarahi saya bagi berkongsikan tips-tips rehabilitasi dari perspektif doktor sains sukan. Saya pada mulanya mahu melupakan sahaja dunia aktiviti fizikal dan beruzlah secara permanent menjadi ulat buku yang hidup di dalam gua akademia, namun selepas bersembang dengan Dr. Munawwar, saya berubah fikiran, selepas beberapa bulan berehat, saya akan perlahan-lahan cuba kembali bersukan walaupun dengan intensity yang lebih rendah, saya akan kembali berlari walaupun kini pace sudah tidak dapat menyamai Eliud Kipchoge.

Gambar kenangan bersama Datin Azura dan Dr. Munawwar.

Sekian nota Randex 2024, jika ada rezeki, moga ketemu lagi di lain kesempatan.

Rabu, 17 April 2024

Mengenang Haji Mohamed Noh bin Jaafar

 

Gambar Haji Mohamed Noh bin Jaafar ketika beliau masih muda. Di-scan dari album simpanan keluarga. (undated)

27 Mac 2024 merupakan hari Khamis biasa sahaja, sebahagian dari Khamis di bulan Ramadhan. Saya memang bercadang untuk balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Pagi itu ibu mengkhabarkan bahawa atuk sudah kembali ke pangkuan ilahi. Pada mulanya saya menjangka jenazah akan di bawa pulang ke Bagan Datuk, jadi saya pulang agak lambat. Saya hanya bergegas apabila dimaklumkan atuk akan dikebumikan di Kuala Lumpur. Walaupun kalut, mujur saya sempat tiba dari Sungai Petani, Kedah ke Masjid Ar-Rahimah, Gombak sebelum solat Asar dan sempat menyertai sembahyang jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada atuk.

Menurut Wo (nenek saya), atuk merupakan orang Banjar generasi ke-3 di Bagan Datuk. Atuk tidak biasa melakukan kerja-kerja berat seperti terlibat dalam sektor perladangan kelapa yang terkenal di Bagan Datuk. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk berniaga. Beliau pernah membuka kedai runcit di rumahnya di Kampung Parit Tengah. Atuk juga merupakan seorang yang meminati fotografi, antara kerja seninya adalah mengambil gambar ibu ketika kecil dalam satu gambar, kelihatan seperti ada dua budak perempuan dalam gambar, tetapi sebenarnya budak tersebut adalah budak yang sama (ibu saya ketika kecil). Ibu juga menceritakan dahulu di rumah mereka ada bilik gelap, di mana atuk selalu mencuci gambar-gambar yang ditangkapnya.

Atuk juga merupakan seorang yang beragama dan menjadi imam di surau berdekatan dengan rumahnya. Apabila tiba hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, apabila usianya sudah sedikit lanjut, dia akan menyuruh anak-anaknya membacakan khutbah raya menggantikaannya. Antara yang pernah membaca khutbah raya ini adalah pakcik saya Pakteh dan arwah Oncu Mun. Kemudian, tanggungjawab ini diberi kepada cucu-cucunya iaitu kami adik-beradik. Kerana kami bersekolah di sekolah agama. Perkara ini menjadi bualan setiap kali hari raya oleh saudara-mara dan orang-orang kampung, tentang anak Norizan yang membaca khutbah. Biasanya teks khutbah akan diberikan kepada kami oleh arwah Atuk Ho (nama sebenar beliau adalah Sahar bin Sidin, beliau adalah adik kepada Wo, beliau meninggal dunia pada 23 Januari 2022). Selepas khutbah hari raya, biasanya ada jamuan makan yang disediakan di dalam dulang di Surau Kampung Parit Tengah.

Atuk Ho (Sahar bin Sidin) memeluk saya semasa majlis perkahwinan saya pada tahun 2014.

Seingat saya, arwah atuk juga seorang yang pandai berbahasa Arab. Kerana saya bersekolah di sekolah agama sejak sekolah rendah. Apabila pulang ke kampung, atuk akan bertanya-tanya kepada saya soalan dalam bahasa Arab. Jika saya tidak tahu apa yang beliau sebutkan, maka dia akan menerangkan kepada saya maksud perkataan tersebut. Atuk juga seingat saya rajin bertukang. Sebahagian dari rumah di kampung itu dibuatnya sendiri. Dahulu seingat saya di tepi rumah itu ada semacam satu bangsal yang dibina oleh atuk setinggi dua tingkat. Saya selalu memanjat bangsal tersebut kerana di tingkat atas bangsal tersebut ada buku-buku dan majalah lama yang saya biasa selak-selak apabila balik ke kampung.

Saya tidak sempat melihat kedai runcit atuk. Zaman kanak-kanak saya, apa yang saya ingat adalah atuk dan Wo berniaga makanan di gerai mereka di Bagan Datuk. Di kedai ini, atuk biasa bertugas sebagai pembancuh air. Kadang-kadang kalau pulang ke kampung, segan juga saya mahu order air, sebab atuk yang akan membancuhnya. Patut saya yang pergi bancuh air sendiri. Apabila cuti sekolah yang agak lama, kadang-kadang ibu dan ayah akan menghantar saya pulang ke kampung. Saya masih ingat pada ketika itu naik bas lompat-lompat. Dari Kuala Lumpur ke Medan Gopeng, Ipoh. Kemudian naik bas lain, bas ini akan melalui kawasan estet-estet, dan saya akan turun di Masjid Selekoh Bagan Datuk. Di situ saya akan menunggu Wo datang mengambil saya. Duduk di kampung saya melihat bagaimana Wo akan bangun awal pagi seawal jam 4 pagi untuk masak nasi lemak. Nasi lemak ini, bersama sambal, dan lauk kemudian dimasukkan ke dalam kereta Perodua Kancil untuk dibawa ke gerai, Wo dan atuk akan ke gerai mereka di Pekan Bagan Datuk sebelum subuh. Gerai ini terletak di belakang pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara, Bagan Datuk, namun semasa saya kecil, pejabat ini belum ada. Hari ini gerai ini diambil alih oleh pakcik saya, nama gerainya adalah Wanwaina Corner.

Kubur Mohamed Noh bin Jaafar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423

Begitulah sedikit sebanyak memori yang saya ada perihal arwah atuk. Seminggu sebelum atuk meninggal dunia, saya sempat menziarahinya di Bagan Datuk, pada ketika itu atuk sudah pun lemah di usia 91 tahun. Atuk meninggal di rumah ibu di Gombak dan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ayah saya, iaitu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423.

Al-Fatihah buat Arwah Atuk. Allahummaghfirlahu warhamhu.

Dalam ingatan.
Mohamed Noh bin Jaafar
(04 Januari 1933 - 27 Mac 2024)

Jumaat, 4 Ogos 2023

Catatan MTP Ke-34


Setelah beberapa tahun tidak bertemu mata dengan sahabat-sahabat, akhirnya pada tahun ini saya dapat menghadiri MTP yang diadakan di Bangi Avenue Convention Center. Secara peribadi, saya tidaklah begitu tertarik dengan hal-hal perihal urusan mesyuarat dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih dinantikan adalah pengisian-pengisian jiwa serta bertemu sapa dengan sahabat-sahabat dari seluruh negara. Ternyata MTP kali ini sememangnya mengesankan jiwa bukan sahaja dengan pengisian-pengisian formalnya, tetapi juga dengan perbincangan dan sembang santai dalam lapis-lapis yang terselit sepanjang program.

Antara insan istimewa yang saya temui kali ini adalah Dr. Khairul Anwar, yang merupakan guru saya di UTM pada satu ketika dahulu. Berbual dengan Dr. Khairul sememangnya mengasyikkan, hingga semua orang sudah meninggalkan dewan, kami masih berbual. Antara topik menarik yang kami bualkan adalah perihal bagaimana penyampaian ustaz-ustaz, termasuklah Almarhum Cikgu Abdullah Thaidi yang baru meninggal dunia mempunyai lapis-lapis perasaan. Ini membezakan penyampaian mereka dengan orang lain, dan lapisan ini berjaya menyentuh hati manusia. Lapisan-lapisan perasaan yang ada dalam penyampaian ustaz-ustaz ini tidak dapat ditangkap melalui penulisan. Ini adalah kelebihan memberi penyampaian dalam bentuk oratori, yang tidak dapat diungkapkan melalui kaedah tulisan.

Kami juga berbual perihal apa yang menyebabkan seseorang itu mengikuti gerakan Islam, bagi Dr. Khairul beliau lebih terpengaruh dengan kekuatan pemikiran yang disampaikan. Bukan bergantung pada sosok atau figura. Bagi beliau ini penting, kerana kepimpinan berubah dan berlalu pergi, jika kita melekatkan hati kita pada figura, kita akan berpecah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan. Sebaliknya jika kita bersama atas dasar kefahaman, perubahan figura akan dirasakan sebagai sesuatu yang biasa, dan ia tidak menjejaskan penglibatan kita.

Tetamu yang diundang pada perhimpunan kali ini adalah Prof. Muhammad Nur Manuty, walau pun beliau tidak berapa sihat dan sering berbatuk semasa penyampaian, saya kira penyampaiannya sangat tegas dan bermakna. Beliau menekankan bahawa selain dakwah dan tarbiyah, aspek ilmu tidak boleh dikesampingkan. Beliau memetik kata-kata Almarhum Yusuf Qardhawi bahawa kita perlu "mengheningkan kebangkitan Islam dengan ilmu". Juga antara kalam beliau yang menarik adalah ulasan dari kata-kata Saidina Ali "akhul fiddeen, akhul fil watan, akhul fil insan". Yakni penting untuk kita menjaga persaudaraan kita sesama manusia, bukan sahaja persaudaraan atas nama agama dan negara. Jika kita dapat menggerakkan konsep akhul fil insan, beliau berpandangan bahawa Malaysia mampu menjadi Andalusia baru.

Akhir sekali, yang dinantikan pastilah amanat dan pesanan presiden. Tema perhimpunan kali ini adalah kepimpinan, oleh itu Dr. Abdullah Sudin menekankan aspek kepimpinan sebagai sebuah khidmat kita kepada masyarakat. Masyarakat hendaklah merasai khidmat kita. Jika kita tiada atau mati, masyarakat mestilah merasai kehilangan, itu adalah tanda bahawa khidmat kita berkesan, iaitu kehilangan kita dirasai. Jika aspek ini difahami, kepimpinan tidak akan direbut dan menjadi seperti satu perlumbaan. Masing-masing mahu berebut jawatan. Tetapi apa yang diperlukan adalah masing-masing memberi khidmat kepada masyarakat. Jika ini difahami, maka semua orang mampu menjadi pemimpin kerana kita semua mampu berkhidmat.

Begitulah sedikit sebanyak catatan yang saya rasa berharga untuk dinotakan di blog usang ini. Sekadar menyambung lidah untuk menyebarkan kebaikan. Moga Allah izinkan lagi saya untuk menyambung ukhuwwah bertemu sahabat-sahabat di masa yang akan datang. Dan dalam kesempatan yang singkat dan sedikit itu, mampu saya kutip sedikit mutiara-mutiara hikmah.

Jumaat, 5 November 2021

Mengenang Umar Muhajir bin Ghazali

Gambar bersama Umar Muhajir di puncak Gunung Tahan pada bulan Oktober 2014.

Setelah sekian lama, akhirnya kerajaan membuka sempadan negeri dan aku dapat pulang menziarahi ibu di Kuala Lumpur. Aku dan isteri tidaklah terus pulang selepas pengumuman dari perdana menteri, sebaliknya kami menguruskan dahulu jadual kerja, dan akhirnya memohon cuti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 29 Oktober 2021. Rancangan asal adalah untuk balik ke Kuala Lumpur selama seminggu.

Pada hari Jumaat, 5 November 2021 aku sedang sibuk menyunting sebuah manuskrip di komputer, anak-anak masih tidur. Tiba-tiba Cikgu Norizan Yong menalefon ibuku, ditanya akan keberadaanku di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu ibuku berita duka bahawa teman sekolahku, saudara Umar Muhajir bin Ghazali telah meninggal dunia. Ibuku terkejut dan memberi tahu ku. Segera aku cari talifon bimbit dan membuka grup WhatsApp Batch-13 MATRI. Terlalu leka menyunting, pagi itu aku tidak memeriksa talifon bimbit.

Ada mesej dari Muhammad Radhi Abdul Rahman pada jam 7.19 pagi.

"Sahabat kita, Umar Muhajir telah meninggal dunia, mungkin dalam lepas isyak malam tadi" tulis beliau.

Kemudian, ada mesej pada jam 7.23 pagi yang dipanjangkan oleh Izzat Ibrahim.

"Assalamu’alaikum wbt. Kpd Adik2 Abang yg dikasihi. Pada pagi Jumaat yg mulia ini,  Abang menerima panggilan telefon (jam 5:38pg) drpd Rohana menyampaikan berita yg amat menyedihkan. Ingin diberitau bhw. Muhajir Ghazali telah meninggal dunia semalam (mungkin selepas Isyak) di rumah rakannya di Jitra, Kedah.  Arwah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar utk melalui proses post mortem  kematian. Menurut Rohana, Muhajir jatuh di dalam bilik air. "

Hati saya mula diresapi sedih, benarlah kini, bahawa sahabat saya Umar Muhajir telah tiada. Walaupun emosi tidak mahu menerima, akal rasional memujuk untuk menerima kenyataan. Kenangan bersama Umar terimbau jauh, bermula dari perkenalan di asrama Huffaz di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Asrama yang tersergam di depan ladang getah, wujudnya sayup, apabila angin bertiup gersikan daun-daun pokok getah akan membelai jiwa-jiwa kami, aman.

Dahulu ketika zaman persekolahan, aku selalu juga bertandang di rumah Umar di Arau, Perlis. Rumahnya terletak dalam kawasan sawah padi, ketika sawah padi menghijau, permandangan di rumah beliau sangat menakjubkan. Ketika di tingkatan 4 dan 5, Umar duduk di depan mejaku di dalam kelas, kami duduk dibelah belakang, dari meja kami boleh dilihat Bukit tunjung yang rimbun. Umar merupakan benteng penting bagiku untuk tidur. Biasanya aku akan tidur menyorok di belakang Umar supaya tidak dilihat cikgu di dalam kelas.

Umar antara pelajar yang cemerlang bersamaku ketika SPM. Namun berbeza dengan rakan-rakan lain, beliau tidak memilih untuk memasuki universiti awam. Beliau memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni di One Academy meski pun kami bersama-sama berada di kelas aliran sains, beliau memilih aliran seni selepas sekolah. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi dan videografi. Beliau memilih untuk menggunakan nama Umar Mita sebagai nama penanya di medan seni, nama ini diambil sempena nama Ryoichi Mita (Umar Mita nama Islamnya) yang merupakan orang Jepun pertama yang menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Jepun.

Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, Umar adalah salah seorang sahabat yang sanggup turun dan menghantar saya hingga ke lapangan terbang. Malah beliau menulis di laman blognya Mitaumaru posting yang bertajuk Syed Ahmad Fathi, Dosvidanya! Beliau menulis:

"you've finally made it !
i'm happy for you !
Goodbye my dear friend..
Study well there..
we're gonna miss you here..
Selamat Belajar di Russia !
Dosvidanya !!"

Hari ini, aku pula yang harus mengucapkan selamat tinggal pada beliau. Namun bukan dosvidanya, kerana dosvidanya maksudnya adalah "hingga ketemu lagi" dalam Bahasa Rusia. Perginya Umar hari ini tidak ada lagi kembalinya. Kami tidak dapat bertemu lagi.

Pada bulan Oktober 2014, aku bersama Umar dan sahabat-sahabat lain sempat bersama-sama mendaki Gunung Tahan. Aku masih ingat apabila sampai ke puncak, melihatkan pemandangan yang menakjubkan, Umar berkata:

"MashaAllah, cantiknya macam di syurga!"

Pengalaman ini ada aku catitkan di dalam buku Gunung Tahan Hiking Log. Moga-moga kini Allah menerima sahabatku Umar untuk masuk ke dalam syurga yang sebenar, syurga yang jauh lebih cantik dan indah dari permandangan di puncak Gunung Tahan.

Sahabat kami Amirul Marzuki (lebih dikenali sebagai Aon) menulis kenangannya bersama Umar di Facebook. Umar dahulu sangat pandai berbahasa Inggeris dan menjadi rujukan rakan-rakan. Beliau malah terpilih sebagai pendebat bahasa Inggeris sekolah dan menang pertandingan debat antara sekolah. Aon juga menulis bagaimana dahulu mereka bersama-sama melintas jalan kereta api di Kampung Stesen, Arau, Perlis untuk ke pasar malam sebagai antara kenangan bersama melakukan perkara berbahaya. Selain terkenal dengan videografi dan fotografi, Umar juga meminati sukan lasak seperti rock climbingPassion Umar terhadap fotografi dan rock climbing ini ada didokumentarikan dan diterbitkan oleh Mirrah Syafiqah dan Khairul Ariffin dalam sebuah video yang bertajuk Umar Mita - Making The Move.

Kehilangan Umar Muhajir Ghazali sememangnya meninggalkan kesedihan yang dalam di hati. Seorang sahabat yang baik, kreatif dan sentiasa memberikan inspirasi. Damailah kau Umar di negeri abadi. Umar Muhajir "Sang Penghijrah" telah berhijrah ke alam abadi. Kita juga akan menyusul dan berhijrah ke sana satu hari nanti. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa Umar, menerima semua amal soleh Umar, dan dimasukkan ke dalam syurga.

Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.

Dalam kenangan,
Umar Muhajir bin Ghazali (Umar Mita)
01 May 1990 - 04 November 2021.

Rabu, 24 Februari 2021

Meraikan Kejayaan Kecil: Gunung Tahan Hiking Log Versi Buku

 

Pada tahun 2014, saya bersama sahabat-sahabat berjaya mendaki Gunung Tahan, alhamdulillah semuanya selamat walaupun ada juga kisah-kisah duka lara yang kecil. Pada mulanya saya sekadar tuliskan perihal pendakian ini untuk rekod peribadi sahaja, dalam bentuk PDF dan untuk dibaca teman-teman mendaki.

Namun selepas beberapa tahun, saya rasa elok jika ia dikongsikan dengan pembaca yang lebih luas, jadi saya susun semula untuk diterbitkan secara percuma di Google Play Book. Boleh dibaca secara percuma melalui pautan ini.

Namun selepas beberapa ketika, tetap rasa tidak puas. Kerana naskah itu tidak berdaftar dengan Perpustakaan Negara, tidak punya ISBN, dan tidak direkod dalam katalog penerbitan. Jadi saya mengambil keputusan untuk menjilidkannya sebagai sebuah buku kecil. Bukan untuk tujuan komersil, cukuplah sebagai simpanan peribadi dan koleksi perpustakaan. Bagi saya, tak semua benda perlu kita tulis untuk dijual, ada yang mungkin coretan pengalaman hidup untuk rekod peribadi, dan rujukan bagi interest group yang kecil. 

Hari ini menerima naskah-naskah yang telah siap dicetak. Terima kasih diucapkan kepada SYFE Management yang menguruskan proses penerbitan dan percetakan.

Sedikit maklumat perihal naskah ini:

Judul: Gunung Tahan Hiking Log
Cetakan Pertama: Februari 2021
ISBN 978-967-2496-20-5 
Jumlah muka surat: 94

Ahad, 1 November 2020

Muhasabah Sebuah Kelahiran


Sambutan hari lahir tahun ini dirumah sahaja, biasanya isteri akan belanja makan diluar, tetapi kerana mengenangkan suasana pandemik yang masih belum surut beliau hanya membawa balik ayam goreng 4Fingers dan sekeping pizza untuk dimakan dirumah bersama anak-anak. Sederhana tetapi syukur, masih diberi secebis nafas untuk merasai sebuah kehidupan. Masih dikurnia orang-orang yang menyayangi diri ini.

Sambutan hari lahir bukanlah sebuah tradisi dalam keluarga saya. Kami tidak pernah menyambutnya semasa kecil seingat saya. Malah saya sendiri tiada kesedaran akan bila sebenarnya tarikh kelahiran saya. Ketika di sekolah menengah baru saya mula sedar dan tahu bila tarikh kelahiran saya kerana menyambutnya bersama rakan-rakan sekolah.

Namun kebelakangan ini saya lebih banyak memikirkan soal kematian berbanding soal kelahiran. Mengenang pemergian ayah sekitar 7 bulan lalu, jika dibanding usia pemergian ayah, saya hanya mempunyai baki 30 tahun lagi untuk terus hidup. Bakinya telah saya gunakan, telah saya hidupi, sama ada ia kehidupan yang baik, saya tidak pasti, namun saya kira itulah kehidupan paling baik yang saya boleh hidupi, dengan keadaan hidup yang saya ada. Sekarang saya mempunyai baki 30 tahun sahaja lagi, itupun jika ajal bukan lebih awal, jadi 30 tahun terakhir ini perlu difikirkan mahu diisi dengan apa, sebelum tiba masanya untuk pergi selama-lamanya.

Dahulu semasa kecil saya mempunyai banyak cita-cita, dan cita-cita ini sering berubah dari masa ke semasa, bergantung kepada apa yang saya alami dalam setiap fasa hidup. Saya ingin menjadi mujahideen berjuang membebaskan Afghanistan dari penjajahan Soviet, ingin menjadi saintis, ingin menjadi penternak ayam di kampung, ingin membuka rumah anak yatim dan miskin, dan seribu satu cita-cita lagi. Kini mungkin saya sedar, tidak semua cita-cita itu saya boleh capai, dahulu saya ingin mengubah dunia, di umur 30-an ini saya ingin mengubah diri saya.

Antara target baharu saya ialah untuk menghabiskan pengajian sarjana saya sebelum melangkah ke umur 40-an, alhamdulillah baru-baru ini saya telah berjaya menghabiskan peperiksaan untuk menjadi ahli profesional dalam bidang perkapalan jadi bolehlah saya kembali semula ke sekolah pascasiswazah. Cumanya keadaan semasa kelihatan tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19, penangguhan pengajian di universiti, jadi saya mungkin perlu menunggu dahulu sebelum keadaan menjadi normal semula. 

Ahad, 19 Julai 2020

Balik ke Kuala Lumpur



Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dan pergerakan merentas negeri dibenarkan, saya tidak dapat pulang ke kampung (bandar) di Kuala Lumpur dengan segera kerana perlu menduduki peperiksaan professional. Setelah tamat peperiksaan akhirnya sempat untuk pulang ke bandar halaman untuk menziarahi ibu tersayang.

Menghantar Naskah Buku di Perpustakaan Negara Malaysia

Di kesempatan pulang ini, saya mengambil peluang untuk menyerahkan 5 naskah wajib bagi buku terbaru saya Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Ini selaras dengan peraturan dibawah Akta Penerimaan Terbitan yang mewajibkan serahan 5 naskah di Perpustakaan Negara Malaysia. Semoga buku saya tersebut ada sumbangannya kepada perbendaharaan buku negara.

Ada banyak buku-buku yang bagus-bagus yang ditulis penulis muda Malaysia yang saya baca tidak didaftar dan mendapatkan ISBN. Bagi saya ini satu kerugian kerana ia tidak direkod dan dikatalog oleh PNM untuk rujukan generasi akan datang. Jika menulis, saya kira, elok ia di daftar dan dikatalogkan, agar mudah dirujuk generasi akan datang. Tidak kira sama ada kita rasa buku kita itu bagus atau tidak. Malaysia memberi ISBN secara percuma tidak seperti sebahagian negara lain.

Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.


Kami ingin masuk Perpustakaan Negara hari ini, tapi kanak-kanak masih belum dibenarkan masuk dek kerana wabak Covid-19. Jadi anak-anak bergambar di luar sahaja.

Menghadiri Pembukaan Kedai Buku The Bibliophile

Alang-alang sudah di Lembah Klang, sempat ke perasmian pembukaan kedai buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya. Kedai buku baru yang diusahakan anak muda Kiridaren Jayakumar. Selain membeli buku, saya juga menghantar buku tulisan saya. Selain buku baru Life full of Reading, buku lama saya Berfikir Tentang Pemikiran juga boleh didapati secara eksklusif di kedai beliau.

Buku lama saya ini sudah out-of-print tapi boleh di dapati di The Bibliophile. Hanya ada beberapa naskah terakhir. Buku ini pernah di kritik oleh Benz Ali dari Republik Buku, kata beliau 

"Buku ini agak tepu dengan nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya".

Ia dikritik sekali dalam siri reviu ke-2, tulis Benz:

"Boleh dikatakan aku agak kecewa juga membaca 100 ms pertamanya."

Buku tersebut juga pernah di reviu, oleh Saudara Akmal Sabri, namun ulasan Akmal tidak begitu ganas, mungkin kerana dia mahu menjaga hati saya. Beliau menulis:

"Begitu dangkalnya manusia sebegini. Tidak mengunakan anugerah akal dari Tuhan untuk berfikir, hanya mengikut sahaja. Saya sangat marah ketika membaca komen tersebut. Saya yakin saranan membaca dalam Islam juga bermaksud membaca, menganalisa dan berfikir. Itulah saranan yang pertama dalam Islam dan sangat cocok untuk zaman ini. Owh isu fictional reality juga menarik."

Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran


Selain dari buku saya yang tidak menarik, banyak buku-buku menarik boleh didapati di The Bibliophile. Malam ini saya sempat mendapatkan empat buah buku.

1. No Way Home tulisan Teo Ann Siang
2. Fidel Castro oleh Clive Foss
3. Islam And Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4. The Sejarah Melayu Revisited oleh Ahmat Adam

Banyak lagi buku-buku menarik dalam dan luar negara yang boleh didapati di The Bibliophile. Saya yakin ia akan menjadi tempat bertandang kegemaran buat para pencinta buku!

Menziarahi Pusara Arwah Ayah

Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka.


Pulang kehalaman kali ini benar-benar rasa kelainannya, tiada lagi suara girang ayah yang menyambut kepulangan cucu-cucu. Alhamdulillah berkesempatan bersama ibu, isteri, dan anak-anak untuk menziarahi pusara arwah ayah. Ada satu nafas ketenangan di kubur arwah ayah. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan terima ayah sebagai orang-orang beriman dan beramal soleh.

Sabtu, 18 Julai 2020

Murung



Saya ada satu perasaan yang sangat kuat dengan kenangan. Entah kenapa kenangan bagi saya merupakan sesuatu yang sangat berharga. Perlu disimpan dengan selamat. Jika boleh, diabadikan.

Atau mungkin proses pengabadian kenangan itu memang sifat manusia. Sebab itu manusia mencipta pelbagai alat, pelbagai teknologi untuk mengabadikan kenangan. Jika dahulu, kenangan disimpan dalam bentuk lukisan potret. Kemudian manusia mencipta kamera, alat yang boleh menangkap cahaya dan mengabadikan momen tersebut dalam bentuk gambar.

Pada zaman persekolahan, saya masih ingat. Kami pernah ke USM untuk menyokong pasukan hoki sekolah. Gambar-gambar semasa disana dimasukkan dalam sebuah CD. Kemudian CD tersebut saya tercicir. Segala kenangan pada waktu itu musnah. Saya berasa sangat sedih. Sangat murung, lama juga perasaan itu menghantui jiwa saya, sebelum saya dapat menerima kenyataan itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Apabila menyambung pengajian ke luar negara, saya menyimpan gambar-gambar di dalam hard disk. Ternyata teknologi ini walaupun canggih tapi masih belum matang. Kedua-dua hard disk saya corrupt dan cubaan untuk recover data didalamnya tidak berjaya. Namun tetap saya simpan kedua-dua hard disk tersebut. Mungkin satu hari nanti teknologi baru muncul dan saya boleh recover semula gambar-gambar tersebut. Jika anda membaca tulisan ini, dan tahu cara atau bagaimana untuk recover data dari hard disk yang mengalami mechanical damage, bolehlah bantu saya dengan meninggalkan komen. Anda akan membantu saya menjadi kurang-murung. Saya sedikit bernasib baik kerana sebahagian besar gambar tersebut saya cuci, dan ada dalam bentuk fizikal dalam simpanan album.


Gambar-gambar sekolah saya simpan di dalam CD di almari di rumah. Setiap kali pulang ke rumah saya akan buka almari tersebut dan pastikan CD itu ada disitu. Saya ada juga terfikir untuk copy gambar-gambar tersebut ke dalam hard disk kerana teknologi CD kelihatan bakal berakhir. Manusia kini menyimpan data di dalam pendrive dan hard disk. Komputer baru dihasilkan tanpa CD reader. Namun saya tidak bertindak atas fikiran tersebut. Saya fikir ianya tidak penting sangat kerana tiada siapa yang mengusik CD-CD tersebut. Namun ternyata saya silap.

Selepas pemergian arwah ayah, rumah saya di-renovate. Perabut dikemas dan dialihkan. Dan CD itu termasuk dalam barang buangan. CD itu menyimpan seribu satu kenangan gambar di sekolah dari tingkatan 1 hingga 5. Malah mungkin gambar-gambar keluarga ketika zaman itu, semuanya ada di dalamnya. Ia adalah kenangan hidup yang paling berharga. Gambar-gambar zaman formatif dan nostalgik. Saya tidak sempat mencucinya ke dalam bentuk fizikal, malah sebahagian besar gambar tersebut tidak pernah di upload ke internet.

Kehilangan gambar tersebut sangat memurungkan saya, sehingga saya terpaksa keluar dari rumah, duduk di padang tempat saya bermain bola ketika kecil, dan menulis penulisan ini. Saya cuba sedaya upaya memendamkan perasaan sedih, beraksi biasa bersama keluarga seolah tidak ada apa-apa. Seolah saya tidak sedih. Seolah-olah kenangan itu tidak berharga. Namun ternyata sukar, ternyata minda saya lemah untuk merasionalkan realiti ini.

Teringin balik ke masa lalu, dan bawa CD itu ke tempat selamat. Ingin kembali ke masa lalu untuk pesan agar CD itu tidak diusik. Tidak dibuang, tidak dihilangkan. Walaupun saya sedar ini adalah mainan minda yang tak boleh menyanggah realiti. Realitinya kenangan itu sudah dibuang, mungkin sekarang ia berana dalam timbunan sampah di pusat perlupusan sampah. Mungkin sudah dibakar, mungkin sudah pecah. Mungkin ini semua hanya mimpi. Seribu satu mungkin yang lain.

Untuk apa kesedihan ini? Kenapa manusia dibekalkan dengan perasaan sedih yang membinasakan ini. 

Jika saya menggunakan akal rasional. Satu perkara yang saya boleh belajar dari semua ini. Gambar kenangan lebih selamat jika ia dicuci dan disimpan dalam album fizikal. Berbanding simpanan di dalam bentuk elektronik seperti CD dan hard disk. Namun, sekarang saya tidak rasional, saya emosional. Saya memilih untuk bersedih, saya memilih untuk murung.

Khamis, 11 Jun 2020

Selalu di mimpiku, rindu



Ombak telah menghempas hatiku, 
Laman tidak lagi sama seperti dahulu,
Hatiku masih membawa rindu yang dahulu,
Namun, hanya mimpi tempat kita bertemu.

Selalu di mimpiku.

Aku masih rindu.

Ahad, 10 Mei 2020

Mengenang Abu Asri bin Zailani



Orang kata semakin kita berusia, semakin sedikit kita akan mempunyai kawan baharu. Oleh itu seharusnya kita sentiasa menjaga jalinan yang kita ada dengan sahabat-sahabat yang kita ada. Saya kadangkala, jika teringat pada seseorang sahabat, cepat-cepat saya akan mesej atau talifon, sehingga kadang mereka berasa pelik, mungkin takut saya cuba mempromosikan produk jualan. Bagi saya ia adalah peluang untuk bertanya khabar, bertegur sapa, dan mungkin itu adalah sapaan terakhir. Membelek-belek blog usang saya ini, baru saya sedari saya belum pernah menceritakan pada dunia tentang kisah seorang sahabat yang sangat dekat dengan hati saya namun dia telah pergi jauh, tidak dapat dicapai lagi oleh tangan manusiawi, sudah tidak boleh disapa dan dicanda-candakan. Kata Imam Ghazali "yang paling jauh adalah masa lalu", kini Abu berada sangat jauh dari diri ini, namun senantiasa dia dipeluk oleh ukhuwwah di dalam hati ini. Bulan Ramadhan ini, merupakan bulan yang mulia, moga sedikit coretan ini mengingatkan kembali beberapa manusia yang masih ada di muka bumi perihal seorang manusia yang bernama Abu Asri bin Zailani, dan harapannya sudilah mereka mengirim doa kepadanya yang kini sudah menetap di kampung abadi.

Abu bagi saya lebih dalam hubungannya untuk diungkapkan dengan perkataan "sahabat", kami bermain dan membesar bersama di sebuah kampung tarbawi di hujung utara Malaysia. Kampung yang dilitupi ladang getah dan diteduhkan oleh bukit kecil bernama Bukit Tunjung itu menjadi tempat kami berkenalan, berjumpa, bersahabat, hinggalah tercipta talian darah ukhuwwah antara kami. Walaupun tidak sekelas, kami sangat akrab, saya sejak dari awal lagi memang suka bersahabat dengan teman di kelas sebelah, jika rehat pun saya akan duduk di kelas sebelah, sesi prep sebelah malam pun saya akan berada di kelas sebelah, malah jika "tuang" perhimpunan pun saya biasanya akan menyorok di kelas sebelah. Mungkin jiwa saya tidak begitu mendakap dengan idea bahawa saya adalah "budak kelas sains" atau mungkin sebab kelas sebelah mempunyai stok majalah Kreko, Utopia, majalah dan komik Gempak Starz, juga novel-novel Ramlee Awang Murshid yang mencukupi untuk dibelek, yang merupakan "barang-barang seludup" di zaman persekolahan.

Abu merupakan teman se-talam saya di asrama. Makanan merupakan komoditi yang sangat berharga di asrama, oleh sebab itu biasanya pelajar junior akan menyorokkan biskut-biskut mereka di laci-laci rahsia di dalam locker asrama. Antara keseronokan teman setalam bersama Abu adalah kerana dia mempunyai sebuah cecair hitam ajaib yang mampu menjadikan apa-apa menu yang disediakan oleh medan makan menjadi begitu menyelerakan, hatta ikan termenung pun boleh jadi begitu sedap, cecair ini dinamakan "sambal kicap Johor". Selama saya hidup, tidak pernah lagi saya makan sambal kicap sesedap sambal kicap Johor yang dibawa oleh Abu ke asrama yang dikirim oleh bundanya yang tersayang di Simpang Renggam. Malah ketika saya sudah habis zaman sekolah sekalipun, saya masih meminta sambal kicap dari Abu untuk dibawa ke Rusia. Botol mineral besar berisi sambal kicap Johor Abu merupakan bahan yang paling berharga dalam peti ais saya semasa menuntut ilmu di Saint Petersburg, malah ada rakan-rakan yang datang ke bilik untuk merasai sambal kicap yang Abu kirim pada saya kemudian meminta resepi. Moga-moga sebelum saya mati, saya sempat bertandang ke Simpang Renggam, berjumpa bonda Abu dan merasai sekali lagi kelazatan sambal kicap Johor.

Di asrama, saya dan Abu ada sedikit persamaan, kami berdua bukan orang Utagha, jadi kebanyakan cuti jika kami tidak pergi menumpang kasih dirumah kawan-kawan di Alor Setar atau Sungai Petani, kami akan menghabiskan masa bersama. Antara aktiviti kegemaran kami adalah menyeludup keluar dari asrama untuk mendaki Bukit Tunjung. Zaman itu Bukit Tunjung masih lagi berambut lebat, lengkap dilitupi pohon-pohon hijau, tidak botak seperti hari ini. Kami akan membawa stok megi, air mineral dalam botol, periuk, untuk memasak di puncak bukit. Abu pula membawa tilam asrama! Di gulungnya tilam asrama menjadi silinder, di ikat dan di pikul hingga ke puncak. Selama beberapa tahun tilam itu ada di puncak Bukit Tunjung sebelum ia reput. Pemandangan Perlis dari atas puncak Bukit Tunjung begitu majestik, kami akan duduk berehat, bersembang, bergelak ketawa, dan berkongsi earphone untuk mendengar radio dari radio kecil bernama Palito. Jika cuti panjang kami akan balik ke selatan bersama menaiki tren KTM, kami akan duduk di gerabak tengah yang boleh dibuka pintu, duduk merasai angin berlari di muka berderu-deru sambil melihat permandangan sawah padi yang terbentang seluas saujana. Saya dahulu ada simpan gambar kami duduk disitu, Abu memakai t-shirt hijau Mexico yang saya hadiahkan kepadanya, entah dimana hilang gambar tersebut. Kadang-kala dalam perjalanan balik Johor, Abu akan singgah dan tidur dirumah saya, dan kami meneroka ibukota Kuala Lumpur bersama. Zaman kami bersekolah belum lagi zaman Facebook, saya masih ingat nama Yahoo Messenger Abu iaitu Mr_Adventure.

Satu malam selepas tamat SPM, saya masih ingat kami berjalan berdua dibawah gelap malam di Taman Melati untuk keluar makan, kerana tiada adik-adik junior, warden tidak begitu keras terhadap kami untuk keluar (sebab kalau keras pun keluar juga). Abu seperti biasa, berkain pelikat dan kopiah, kelihatan konfiden, kami selalu mengusik Abu "eh ko ni konfiden je atuk", kerana itu sikapnya yang merupakan anak sulung, dan kerana wajahnya yang kelihatan lebih berusia dari kami, kami beri dia nama timangan sebagai "atuk". Malam itu tamat SPM seolah-olah satu beban batu terlepas dari kepala, terasa begitu bebas, dan dunia terbuka untuk diteroka. Abu berkata malam itu "aku tak nak jumpa korang lepas kita keluar sekolah, lagi 10 tahun baru jumpa balik, baru boleh tengok perbezaan sorang-sorang". Namun Tuhan mempunyai perancangan yang tidak dapat disingkapi makhluk, Abu dipanggil pulang sebelum cukup 10 tahun kami keluar sekolah. Namun aku bersyukur, kerana belum pun 10 tahun kami selalu bertemu.

Tamat persekolahan kami di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) kami berpecah mengejar mimpi dan impian masing-masing. Saya ke luar negara dan Abu menyambung pengajian di Kolej Teknologi Darul Naim, Kelantan. Ketika cuti musim panas, saya pernah pulang ke Malaysia dan menziarahi beliau. Abu begitu teruja hingga membawa saya ke Rantau Panjang, itu pertama kali saya ke Rantau Panjang. Tamat pengajian Abu pulang ke Johor untuk menguruskan perniagaan ayahnya, manakala saya menyambung ijazah di sebuah universiti awam di Skudai. Sering kali jika saya dalam perjalanan dari Skudai-KL atau KL-Skudai, saya akan singgah di Restoran Rni yang diuruskan Abu, kadang kala saya tumpang tidur di kedai atau di rumahnya di Sungai Linau. Abu akan membawa saya melihat lembu ternakannya, pusat sembelihan ayam, dan saya masih ingat menaiki motor bersama Abu pada satu pagi, beliau membawa saya tour melihat ladang sawit dan ladang nenas sebelum kami mencari kedai roti canai. Abu menganggap saya seperti adik beradik, dia tidak pernah berkira apa pun, jika saya mahukan sesuatu pasti dia cuba untuk menunaikan hajat saya. Di hujung-hujung hayatnya beliau kerap menalifon saya untuk bersembang perihal kehidupannya, dia pernah mengajak saya untuk pergi menemaninya memancing di kelong, saya bukanlah seorang kaki pancing, tetapi saya berminat dengan pengalaman baru, namun kami tidak pernah sempat untuk ke kelong bersama.

Seingat saya, perjumpaan terakhir saya bersama arwah Abu adalah pada bulan Mei 2016, di mana kami berkonvoi bersama untuk menghadiri majlis perkahwinan Saiful Islam Izraei dan Azaruddin (Pakdin/ Din Tony). Abu dipanggil pulang oleh Allah dalam sebuah nahas apabila bot yang dinaikinya terbalik di Empangan Semberong, mayat beliau dijumpai oleh skuad selam pasukan Bomba dan penyelamat pada bulan Ogos 2016. 

Terlalu banyak kenangan manis bersama Abu, perasaan kasih berukhuwwah masih membasah sehingga ke hari ini, segala jenaka dan gelak tawanya masih didamba dan dirindukan. Tidak ada album gambar yang dapat membantu mengubati perasaan rindu ini. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya doakan moga Allah merahmati Abu Asri Zailani, memaafkan Abu, dan menempatkan Abu di syurga bersama orang-orang yang beriman. Kira anda membaca cebisan perasaan saya ini, sudilah kiranya untuk menghadiahkan sebuah doa buat sahabat yang sangat saya kasihi dan rindui ini. 

Dalam kenangan, 
Abu Asri bin Zailani.
9 September 1990 - 22 Ogos 2016.


Selasa, 5 Mei 2020

Kerinduan Pada Mereka Yang Telah Berlabuh Ke Kampung Abadi



Semalam entah mengapa saya teringat dan termenung jauh tentang kematian. Satu perasaan gerun tiba-tiba menyusup menggegarkan jiwa. Akan tiba satu masa, saya tidak mampu lagi merasa apa yang saya rasa, membuat apa yang saya mahu, memegang, mencinta, membenci, atau dalam kata lain tidak lagi hidup. Berfikir tentang mati adalah perkara biasa, ia datang dan pergi, kadang kita terfikir tentangnya tanpa apa-apa perasaan, adakalanya saya juga berasa mahu hilang dari dunia ini, tetapi semalam terasa lain. Perasaannya terasa sangat dalam. Apabila difikir secara benar, diguna minda untuk membayanginya, kegerunan yang dibawa mati menyentakkan jiwa.

Banyak kematian disekeliling saya yang sangat mengesani jiwa. Yang paling pertama menggugat jiwa adalah arwah Azri (Muhammad Azri bin Aminuddin, 18 Disember 1991 - 4 April 2016) yang merupakan teman yang sangat saya kasihi. Kami bertemu di Rusia sewaktu belajar dan beliau merupakan junior setahun dari saya. Banyak kenangan dan memori bersama, pernah bersama kembara ke Scandinavia semasa cuti musim panas. Tamat pengajian juga kami sangat rapat bersama, beliau sering berjumpa saya dan berbincang perihal masalah-masalah kehidupannya. Sayang saya terhadap Azri sehingga saya pernah bertanya padanya jika dia sudi bernikah dengan seorang ahli keluarga saya. Gambar profile picture beliau di Facebook yang terakhir adalah gambar ketika beliau datang beraya di rumah saya bersama Rauff, bila saya buka semula ia sangat mengesani hati. Beliau dipanggil pulang Tuhan dalam satu kemalangan, pada ketika itu saya baru mula berkerja di tempat baru, beberapa hari saya murung dibilik sewa. Sampai hari ini saya masih terkilan kerana tidak dapat hadir memberi penghormatan terakhir.

Pemergian arwah Farizul Firdaus (Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie, 02 Mei 1990 - 25 Julai 2019) juga sangat membekas di hati. Kami panggil beliau Pejo, beliau merupakan rakan sebilik saya ketika dalam pengajian di Petersburg. Selain sebilik, beliau juga merupakan rakan sepasukan dalam pasukan bola dan futsal universiti. Teman sebilik dan sepermainan. Alhamdulillah sempat bersama mencandat sotong beberapa minggu sebelum beliau pergi, walaupun pada ketika itu beliau sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat bersembang lama. Saya bersyukur kerana sempat hadir menziarahi keluarganya meskipun tidak sempat bersama menguruskan jenazah beliau kerana jarak Pulau Pinang-Terengganu yang agak jauh, dan kami tiba ketika semuanya telah selesai.

Antara sahabat yang kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam juga adalah arwah Abu (Abu Asri bin Zailani, 9 September 1990 – 22 Ogos 2016). Abu merupakan teman sepermainan di sekolah menengah di MATRI. Walaupun kelas berbeza hampir setiap masa lain saya menghabiskan masa dengan Abu. Masing teringat perjalanan jauh dari Perlis ke KL Sentral, kami menaiki tren KTM, membuka pintu gerabak tengah sambil duduk, bersama menikmati permandangan bendang sambil merasakan angin yang berderu-deru kerana tren bergerak pantas. Saya masih ingat kata-kata beliau satu malam selepas SPM bahawa tidak mahu berjumpa kecuali selepas 10 tahun, beliau mahu melihat perubahan pada diri kami, namun kami sering juga bertemu selepas habis sekolah. Semasa saya menyambung pengajian di Johor, saya sering ke restorannya di Sempang Renggam, selalunya saya akan tidur di sana dalam perjalanan ke Skudai. Pagi-pagi beliau akan membawa saya menaiki motor meneroka ladang kelapa sawit sebelum mencari kedai roti canai. Hampir semua masalah hidupnya, dari keluarga hingga ke percintaan akan beliau luahkan pada saya. Malah beliau sanggup turun ke KL untuk meluahkan perasaan. Pemergian teman sepermainan seperti Abu begitu membekas dihati, seluruh album gambar tidak mampu mengubati rinduku padanya.

Kematian terbaru yang meragut separuh jiwa saya adalah pemergian arwah ayah (Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus, 30 April 1959 – 29 Febuari 2020) pada hujung Februari tahun ini. Secara jujur saya tidak ada rasa ada perkara yang masih 'tertinggal' untuk saya ucapkan pada ayah. Segalanya telah cukup bagi saya, ayah telah menyempurnakan tugasnya di dunia. Anak-anaknya sudah besar, dan dari aspek kerjaya pun ayah telah berpencen. Cuma mungkin saya tidak sempat menyalin sejarah keluarga dari ayah, ayah memang menjaga rapat hubungan keluarga. Hampir semua keluarga sepupu sepapat dia jejaki semula, kenduri anak-anak mereka dia cuba hadir. Kadang kala ayah cerita letak duduk seseorang dalam salah silah keluarga yang saya sendiri tak mampu ingat. Walaupun telah sempurna tugasnya, pemergian ayah membuatkan rasa kehilangan itu cukup nyata. Mengucup wajahnya yang telah sejuk mengalirkan air mata yang tak pernah cukup untuk dicurahkan.

Mungkin benar kematian itu satu tazkirah buat insan, kematian sepatutnya menghidupkan hati yang masih bernyawa agar dia tidak terlupa untuk "hidup" dalam masa yang sama mengumpul bekal untuk berangkat ke kampung abadi.

Dari Allah kita datang, dan kepadanya jua lah kita akhirnya akan kembali.

Isnin, 2 Mac 2020

Ayah: Hari Separuh Jiwaku Mati

Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga.

Sewaktu kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.

Petang itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.

Sekitar jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.

Aku tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.

Sebagai anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.

Apabila sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir, aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal Ayah, Assalamualaikum".

Sekitar jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan sebelum mengharungi ribut esok hari.

Pagi esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur, kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah. "Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2 ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami menghantarnya pulang.

Ketika sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya, kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.

Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128.

Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.

Aku tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar, kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.

Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30 April 1959 – 29 Febuari 2020.