Selepas habis SPM, Muaz call aku, dia cerita bahawa dia diterima masuk ke program latihan bersama Perodua di Rawang, dia minta tolong untuk hantar dia ke Rawang kerana dia tak tahu macam mana nak ke sana dan tiada transport. Aku pun kata, datanglah ke rumah aku di KL dari Perlis, nanti aku hantar ke sana. Padahal masa itu aku belum berbincang dengan ayah lagi hendak pinjam kereta. Bila tanya ayah, dia kata dia hendak guna kereta pergi kerja. Jadi aku menghantar Muaz ke Rawang menaiki teksi sahaja.
Beberapa tahun selepas itu aku mula bekerja di Pulau Pinang. Muaz pun bekerja di bengkel Perodua di Pulau Pinang. Aku kembali berhubung dengan Muaz secara aktif, dan hantar kereta padanya untuk diservis. Biasa kalau hendak servis kereta, Muaz akan datang ke pejabat aku di sebelah pagi, petang dia akan hantar semula. Aku pun tidak hantar lagi kereta ke bengkel lain.
Kadang-kadang kalau aku serabut dan banyak masalah hidup. Aku akan ajak Muaz pergi makan nasi kandar. Muaz akan mendengar masalah hidup aku, dan aku mendengar masalah hidup dia. Dia akan bagi cadangan yang tidak masuk akal dan solusi yang tidak dapat selesaikan masalah. Kami akan gelak bersama. Walaupun masalah tidak selesai, sekurang-kurangnya aku dapat gelak dengan kawan-kawan. Hidup memang keras, dengan kawan-kawan sekurang-kurangnya kekerasan itu dapat dikongsi bersama.
Muaz kemudian berhenti dari Perodua dan berkerja di bengkel sendiri. Pada tahun 2021, Muaz ditimpa kemalangan dan meninggal dunia. Sedih hatiku kerana hilang seorang sahabat yang boleh aku kongsikan masalah kehidupan dan gelak bersama. Di bulan Ramadan ini, aku mendoakan sahabatku Muaz bin Mat Isa diberikan Allah keampunan dan nikmat yang melimpah ruah di alam sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan