Bersekolah di sekolah di dalam kebun getah bernama MATRI sememangnya menimbulkan kesan yang sangat dalam pada diri saya. Kesan yang tidak boleh dipadamkan selama-selamanya. Kesannya paling kuat dirasakan apabila saya sudah keluar dari MATRI, bertapa sebenarnya apa yang saya lalui itu adalah emas dan permata yang tidak dapat ditebus semula.
Pada 5 Mac 2025, saya berkesempatan untuk bersama dalam podcast forum "Nostalgia Ramadhan di MATRI" bersama Ahmad Yusuf Razali, Muhammad Saiful Islam Izra'ai, dan Muhd Ridha sempena peluncuran Tabung Sejuta Barakah MATRI.
Menarik perkongsian yang diberikan oleh Saiful Islam Izra'ai dalam podcast tersebut, bahawa jika diberi pulang untuk mengulang kembali pengalaman di MATRI, beliau ingin duduk lebih dekat dengan para murabbi dan guru yang berada di MATRI. Kerana ianya satu momen beharga yang tidak mampu dibeli semula apabila sudah terlepas.
Juga perkongsian dari Ahmad Yusuf Razali perihal kesan yang diberikan oleh guru-guru dan para staf MATRI pada ketika dahulu. Saya merasakan bahawa generasi saya hari ini merupakan mereka yang mendapat manfaat dari pengorbanan cikgu-cikgu kami dahulu. Apalah sangat fasiliti yang ada, tapi guru-gurunya memberikan pengorbanan luar biasa hingga anak-anak mereka mampu bertebaran ke serata dunia. Mereka berkorban untuk masa depan anak-anak MATRI di dunia dan akhirat. Nasihat-nasihatnya juga bernafas panjang dalam hidup, MATRI seolah-olah satu projek generasi dahulu untuk masa depan.
Teringat kata-kata Ustaz Hadi Othman dalam satu tazkirah selepas subuh:
"Jangan korbankan masa depan akhirat anak-anak".
Masa itu, saya tak faham lagi sebab belum ada anak, namun, lepas berpuluh tahun keluar baru faham. Hebat para murobbi dahulu punya kesan, nasihatnya berjangka hayat panjang.
Terima kasih pasukan ICT MATRI yang membantu menjayakan sembang nostalgia ini. Rakaman forum ini boleh dilihat semula di Youtube Team ICT MATRI. Manakala podcast dalam bentuk audio boleh didengari di Kultura Podcast.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan