Alhamdulillah, perjalanan panjang beberapa tahun kini berada di pusingan terakhir. Fikir panjang juga semasa mula-mula mahu mendaftar untuk menyambung pengajian, tapi bila difikirkan, fikir sahaja tidak ke mana-mana, perlu satu tindakan. Jadi akhirnya saya beranikan diri juga untuk hulur satu kaki ke dalam air.
Di pusingan terakhir ini saya rasa macam seluruh tubuh sudah masuk air, tinggal rambut sahaja di permukaan. Bila berada di fasa menulis dissertasi ini rasa kelakar, macam dirasuk. Malam tengah tidur pun mimpi hendak tulis apa. Masa solat tarawikh pun terfikir pasal perenggan yang boleh dibaiki. Ada masa kosong sahaja, terasa bersalah jika tidak sambung menulis. Seolah-olah dissertasi ini telah merasuk diri.
Saya di kesempatan ini ingin memohon maaf kepada rakan-rakan dan saudara-mara andai ada jemputan yang tidak tertunai. Saya juga akan mengurangkan aktiviti luaran seperti ceramah, bengkel, forum dan lain-lain bagi menumpukan lebih masa kepada penulisan pengajian. Juga ada beberapa manuskrip yang saya berhutang pada penerbit, saya mohon maaf kerana akan mengambil masa yang lebih panjang kerana terpaksa mengutamakan urusan pengajian.
Walaupun rasukan ini ada tekanannya, tapi di sudut pandang yang lain, bagus juga kerana tekanan memaksa kita belajar sesuatu. Moga-moga saya diberi kekuatan dan ilham untuk menulis dengan bersungguh-sungguh. Moga Allah terima usaha ini sebagai jariah yang dapat diwakafkan dalam lapangan ilmu. Moga ia juga nanti menjadi ilmu yang bermanfaat dan mengalir dalam khazanah keilmuan umat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan