Jumaat, 7 Mac 2025

Kehidupan Yang Penuh Misteri

Antara penulis kegemaran saya perihal sains adalah Carl Sagan. Seperti mana-mana penulisan, pasti ada idea yang kita setuju dan tidak setuju, begitu jugalah dengan penulisan Sagan. Antara buku awal beliau yang saya baca dan masih mengesani saya adalah Pale Blue Dot. Saya suka bagaimana Sagan meninjau keluasan alam dan membuat kesimpulan bahawa ia patut menjadikan manusia lebih humble. Alam kosmos ini sebenarnya penuh dengan misteri. Beliau menulis dalam bukunya Cosmos:

"Every aspect of Nature reveals a deep mystery and touches our sense of wonder and awe....those with the courage to explore the weave and structure of the Cosmos, even where it differs profoundly from their wishes and prejudices, will penetrate its deepest mysteries.

Alam memang mendalam misterinya. Apabila manusia yakin alam itu leper, alam membuktikan ia berbentuk sfera. Apabila manusia yakin alam ini bersifat statik, alam menunjukkan bahawa dirinya bahkan berkembang. Misteri alam sentiasa mencabar keyakinan manusia.

Seperti alam, hidup juga penuh misteri. Kini saya sudah berada di pertengahan 30-an. Misai juga sudah tumbuh dengan lebatnya. Ada teman yang mengatakan misai saya serupa tentera Jerman, ada juga kata misai saya macam P. Ramlee. Usia saya juga menyebabkan kini saya selalu pergi ke hospital bagi memantau kesihatan.

Pada 23 Februari 2025 di hospital, penjaga kaunternya adalah orang yang sangat muda. Malah saya yakin dengan 'ainul yakin dia lebih muda dari saya. Ketika mendaftar di kaunter, saya ditanya:

"Adik ni duduk Sungai Petani ka?"

Persoalan ini sangat menganggu fikiran saya, benarkah saya ditakdirkan kelihatan muda seperti adik-adik di usia ini? Ini menguatkan lagi keyakinan saya, seperti kata Sagan, alam ini memang misteri.

Tiada ulasan: