Jumaat, 7 Mac 2025

Perjuangan Sentiasa Melahirkan Roh Dalam Penulisan

Syed Ahmad Idlan Ammar di USM pada tahun 2023.

Pada 09 Februari 2025, saya sempat berjumpa dengan tuan guru saya, Dr. Azmi Arifin. Untuk berbincang tentang dunia sejarah, kajian-kajian terhadapnya, dan juga persilangannya dengan ideologi, semangat kebangsaan, parti politik, dan suasana semasa. Kajian sejarah bagi saya memang merupakan bidang kajian silang, ia tidak dapat dipisahkan dengan lapangan ilmu lain. Sebab itu muncul sejarah politik, sejarah ekonomi, sejarah sains, dan lain-lain. Semuanya menuntut pengkaji itu mengkaji lebih dari sekadar ilmu-ilmu alat sejarah.

Salah satu perkara menarik dalam diskusi saya semalam adalah apabila guru saya membahaskan tentang apa yang menyebabkan satu kajian itu menarik, mendalam, dan mendasar kupasannya. Setelah beliau meninjau banyak penulis-penulis dan pengkaji sejarah. Beliau menyimpulkan bahawa kajian sejarah yang menarik adalah kajian yang ditulis oleh ahli sejarah yang ada perjuangan dalam dirinya. Ahli sejarah yang memperjuangkan sesuatu.

Perjuangan itu boleh jadi berbentuk ideologi politik tetapi tidak semestinya. Boleh jadi dia berjuang untuk membersihkan sejarah dari campur tangan ideologi politik, atau berjuang melahirkan sejarah yang objektif. Apa pun perjuangan yang dipilih, penulisannya akan menjadi satu kajian yang mempunyai roh. Semangat perjuangannya dapat dirasai dari kajiannya. Kajian yang dilakukan tidak berbentuk halai balai sekadar memenuhi kriteria akademik.

Kajian sejarah yang mendalam adalah hasil tangan ahli sejarah yang mempunyai perjuangan. Perbezaan ketara dapat dilihat dengan ahli akademik biasa yang cari makan, yang menulis sekadar untuk memenuhi tuntutan KPI, mendapat point dan kenaikan pangkat. Walaupun banyak tulisan yang dihasilkan, ia tidak dapat menangkap imaginasi pembaca kerana rohnya tiada.

Tetapi apabila memeluk perjuangan, pastilah ia tidak mudah dan ada harga yang perlu dibayar.

Tiada ulasan: