Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anak. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Oktober 2020

Catatan Baitul Muslim 38: Anjing Bernama Pep-Po


Ketika anak saya yang pertama berusia dua-tiga tahun, cerita kegemarannya adalah Inside Out, mungkin itu cerita kegemarannya kerana dia tidak didedahkan dengan cerita lain. Animasi yang diterbitkan pada tahun 2015 ini mengisahkan perihal seorang budak berumur 11 tahun yang bernama Riley, peningkatan umur, juga perubahan keadaan hidupnya (berpindah dari Minnesota ke San Francisco mengikut ayahnya yang bertukar kerja) memberi kesan kepada emosinya. Animasi itu menceritakan bagaimana emosi Riley bertindak balas dan bagaimana dia berubah ke proses yang lebih matang. 

Tentu sahaja anak saya ketika itu tidak memahami plot dan makna cerita ini. Jika saya menonton bersamanya, dia akan bertanya kepada saya setiap minit "abi kenapa macam ini?" "kenapa macam tu?". Dia menontonnya sebagai sebuah kartun. Dalam animasi tersebut, ketika Riley masih kecil, dia mempunyai teman imaginari (imaginary friend) bernama Bing Bong yang merupakan haiwan campuran kucing, gajah, dan dolphin. Babak Bing Bong berkorban untuk emosi gembira Riley mungkin babak yang paling sedih dalam animasi ini - isteri saya menangis ketika kami tonton bersama ketika kami baru berkahwin.

Ada sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Child Development yang ditulis oleh Gabriel Trionfi dan Elaine Reese berkenaan dengan kanak-kanak yang membesar dengan teman imaginari. Hasil kajian mereka, 48% kanak-kanak dari sampel kajian didapati mempunyai teman imaginari, teman ini boleh jadi diimaginasikan sebagai manusia atau haiwan. Kajian mereka mendapati anak-anak yang mempunyai teman imaginari mempunyai skil naratif yang lebih baik, mereka dapat menceritakan sesuatu dengan konteks yang lebih kaya, dan mereka mendapati hal ini lebih jelas pada anak yang pertama.

Saya berpendapat, hasil pemerhatian saya, anak pertama lebih cenderung akan hal ini, dia akan selalu mengajak saya untuk play pretend, contohnya menganggap tikar sebagai sungai, anak kedua masih diawal usia bayi jadi kecenderungan ini belum kelihatan. Anak pertama saya juga mempunyai seekor anjing mainan yang dibinanya dari set mainan blok dan dinamakan Pep-Po, kadangkala dia akan membawa Pep-Po tidur bersamanya, mengajak saya menyambut hari jadi Pep-Po, selain hari jadi teddy bear-nya. Walaupun sebagai seorang ayah, kadangkala sukar juga saya untuk lakonkan watak-watak mainan beliau apabila diajak bermain kerana saya sudah dewasa dan keluar dari fasa ini, saya akan cuba juga untuk bermain dengannya, play pretend, kerana satu hari nanti anak jaya juga akan keluar dari fasa ini.

Rabu, 23 September 2020

Catatan Baitul Muslim 37: Tidak Lagi Menoleh Ke Belakang

Saya masih ingat, anak kami yang pertama duduk bersama pengasuh dari 6 bulan sehinggalah dia berumur 4 tahun, pada umur 4 tahun baru Amni masuk ke tadika. Anak kami yang kedua agak berbeza, kerana ada sedikit masalah tidak dapat bersama pengasuh hingga ke umur 4 tahun. Pada umur setahun lebih, Idlan mula masuk ke taska. Taska ini sama dengan tadika kakaknya, jadi mudah untuk dihantar bersama pada pagi hari, tidak perlu lagi singgah ke dua lokasi. Selain memudahkan urusan logistik, taska juga lebih stabil kerana urusan menjaga anak-anak dilakukan oleh beberapa guru, jika seorang sakit masih ada guru lain yang boleh mengganti, berbeza dengan pengasuh, jika pengasuh tidak sihat, sama ada ibu atau bapa perlu mengambil cuti.

Kami mula menghantar Idlan pada bulan Mac 2020, namun beberapa hari selepas itu satu negara ditutup bersempena dengan penularan wabak Covid-19, kami mula menghantar semula pada bulan Mei. Bagi isteri pelbagai segi difikirkan, adakah anak kecil dapat membiasakan diri di tempat baharu? Namun pada perspektif bapa mungkin yang berbeza hanya tempat menghantar, mungkin bapa tidak mempunyai deria emosi yang begitu kuat seperti wanita.

Pada mulanya memang Idlan menangis setiap pagi, ketika mahu diserahkan kepada cikgu dia akan memeluk kuat sambil menangis, sampai cikgu terpaksa menariknya dari saya. Mungkin yang paling menyentuh hati adalah gelagatnya apabila diambil pulang sebelah petang, dia akan melompat dan berlari dengan penuh kegembiraan sambil menjerit "Abi! Abi!". Saya kira ini merupakan antara nikmat menjadi seorang ibu atau ayah, apabila melihat manusia lain begitu menghargai diri kita, begitu berharap pada kita, itulah kegembiraan yang diberikan oleh anak-anak. Cuma mungkin keinginan mereka untuk bersama ibu bapa itu kadang kala terasa begitu kuat hingga menyebabkan ibu bapa berasa mereka tidak mempunyai kebebasan untuk menyendiri. Namun pasti, satu hari nanti, apabila anak-anak mula membina hidup mereka sendiri, ia akan menjadi saat-saat indah yang dirindui dan digenangi air mata.

Selepas 4 bulan sahaja dihantar ke taska, kini dia tidak menangis lagi. Saya teringat pada satu hari pada bulan September saya tidak mendukungnya hingga ke pintu taska, tetapi membiarkan dia sendiri berjalan. Dia tidak lagi perlukan cikgu untuk mengambilnya, malah pagi itu dia masuk sendiri, saya mengintai ke dalam taska, dia sudah tahu kemana dia perlu pergi di dalam, malah sedikit pun tidak menoleh lagi ke belakang, dua tiga kali saya memanggil namanya baru dia menoleh, dan melambai sambil mengucapkan "bye bi!".

Begitulah pantasnya anak-anak membesar. Hanya dalam 4 bulan sahaja anak-anak boleh beradaptasi di tempat baru. Dalam sekelip mata, mereka akan masuk sekolah, universiti, bekerja dan berkeluarga. Jadi sebelum kelipan mata itu tiba, eloklah kita rasai saat-saat manis mereka membesar ini dengan penuh penghargaan dan kebahagiaan. 


Isnin, 17 Ogos 2020

Catatan Baitul Muslim 35: Bersembang Dengan Anak Kecil

Saya masih ingat ketika Amni masih kecil, saya selalu merenung pada anak matanya yang berwarna hazel, dan berharap didalam hati agar dia segera pandai bercakap, kerana ada banyak perkara yang saya mahu bualkan bersama. Tetapi apabila dia sudah besar dan pandai bercakap kadangkala saya lupa akan hasrat hati saya ini pada suatu ketika dahulu.

Sering kali apabila mood saya tidak baik, atau dalam keadaan stress, otak saya cepat mengklasifikasikan apa yang keluar dari mulut anak-anak sebagai satu "bunyi bising" yang menganggu. Kadang kala soalan yang berulang-ulang itu seolah-olah boleh menjadikan ibubapa gila. Amni mempunyai habit untuk bertanya soalan "kenapa?" walaupun kadangkala soalan itu kedengaran tidak betul atau tidak masuk akal. Dan apabila dijawab, dia akan mengulang semula jawapan itu dan memasukkan "kenapa" dihujung, dijawab diulang, dijawab diulang, ad infinitum.

Namun kali ini, ketika usianya 5 tahun dia mempunyai habit bertanya yang baru, "kalau tak?". Ya, selalunya soalannya itu tidak logik. Dia akan bertanya, esok hari apa? Apabila dijawab "Isnin" dia akan soal "kalau tak Isnin?". Ia mudah membuatkan kita sebagai ibubapa rimas, namun kadangkala kita mempunyai salah faham pada usia mereka ini. Logik belum dikuasai mereka. Jadi dunia terbentang luas untuk mereka terokai, boleh dicuba yang logik atau tidak, ibubapa yang sudah berfikiran secara logik tidak mampu memahami "penerokaan soalan anak kecil ini".

Tulisan ini mungkin sebagai catatan pada diri saya untuk sentiasa bersemangat menjawab soalan-soalan yang tidak logik dari anak kecil. Mungkin mereka bukan mahukan jawapan yang logik, mereka mahu bersembang dengan ibubapa mereka. Apa sahaja jawapan yang diberikan tidak mengapa, mereka ingin rasa diiktiraf, jika kita menjawab, kita mengiktiraf kewujudan mereka, ada orang dewasa yang mengiktiraf kebolehan mereka berkomunikasi. Dengan menjawab kita mengiktiraf mereka.

Menjawab juga saya kira dapat membantu "cetusan ingin tahu" yang wujud dalam diri mereka. Jika jawapan yang mereka terima hanya menyuruh mereka untuk diam, mungkin ini akan mematikan "cetusan ingin tahu" ini yang merupakan enjin manusia untuk meneroka daerah ilmu.

Malam ini Amni keluar dari bilik tidur, seolah dia belum mengantuk walaupun orang lain semua telah tidur kecuali saya. Saya katakan bahawa saya ingin Solat Isya' dan dia mengatakan bahawa dia mahu menemani saya solat. Habis solat kami bersembang berkenaan dengan "hari", dia bertanya kenapa hari berulang-ulang, selepas habis selasa, rabu, khamis, jumaat, sabtu, ahad, isnin, selasa balik. "Round and round?" katanya. Sekali lagi saya terus memakai kanta logik, dan cuba menerangkan konsep "minggu", satu minggu ada 7 hari, walaupun saya tidak pasti sama ada dia dapat fahami atau tidak. Kemudian dia minta dibaca buku dinosaur sebelum dia masuk ke bilik tidur semula.

Selasa, 28 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 33: Mengisi Tangki Emosi



Sebagai ibu bapa, kadangkala kita rasa bersalah jika kita menghantar anak-anak ke tadika. Kita merasakan sepatutnya kita yang menjaga dan mendidik mereka. Jika kita cuti, kita berasa bersalah jika anak-anak tidak bercuti bersama dan duduk di rumah bersama. Mungkin perasaan ini lebih kuat dalam kalangan ibu berbanding bapa.

Dalam buku Jamie Glowacki yang membicarakan perihal menguruskan anak-anak, beliau ada membicarakan soal 'tangki emosi' satu teori dimana yang penting dalam hubungan ibu-anak bukan jumlah masa yang diluangkan bersama, tetapi kualiti masa yang diluangkan bersama. Dalam kata lain, tiada guna kita meluangkan 2 jam bersama anak-anak tapi sepanjang 2 jam tersebut fokus kita adalah pada talifon bimbit. Sebaliknya 10 minit lebih berharga jika ia 100 peratus fokus terhadap anak-anak dan aktiviti mereka.

Dalam teori tangki emosi ini, masa berkualiti dengan anak-anak adalah masa kita mengisi tangki emosi anak-anak. Apabila tangki ini sudah penuh, anak-anak dengan sendirinya tidak kisah jika dia dibiarkan main berseorangan kerana dia telah merasa mendapat perhatian yang cukup.

Satu perkara lagi yang perlu diingati oleh ibu bapa adalah kesihatan mereka sendiri, baik kesihatan fizikal mahupun emosi. Kerana keluarga itu tidak bermakna tanpa ibu bapa, tidak lengkap, dan tidak akan wujud. Oleh itu perlu kepada ibubapa untuk mendapat rehat yang cukup, baik fizikal atau emosi agar mereka boleh menjalankan tangungjawab mereka dengan berkesan. Oleh itu seharusnya tidak perlu ada rasa bersalah jika ibubapa mengambil cuti dan menghantar anak-anak ke sekolah dan tadika. Masa ini perlu digunakan untuk berehat, setelah anak-anak pulang, ibubapa akan lebih segar dalam mengisi tangki emosi anak-anak.

Di dalam zaman moden ini, dalam keadaan kedua ibubapa keluar mencari rezeki, mustahil kita mampu membesarkan anak-anak tanpa bantuan orang lain. Bagi saya secara peribadi, memang anak merupakan tangungjawab langsung ibu bapa, tetapi dalam masa yang sama masyarakat termasuk guru di tadika dan sekolah juga punya tangungjawab kepada anak-anak kita, kerana akhirnya anak-anak ini akan keluar dan hidup di dalam masyarakat.

Rabu, 1 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 31: "Kakak suka dua orang"



Sejak Amni pandai bercakap, banyak kata-katanya yang sangat mendalam, walaupun mungkin pada seorang anak kecil apa yang diungkap itu sekadar perasaannya yang spontan, tapi buat ibubapa, bait kata itu masuk lebih jauh dan tenggelam lebih dalam. Contohnya ketika dia bertanya "Abi dah solat ke belum?" pada anak kecil mungkin itu sekadar pertanyaan berdasarkan pemerhatiannya dengan kebiasaan. Tapi bagi orang dewasa ia adalah soalan yang mendalam, perihal bagaimana kita menjaga komitmen ibadah, hubungan kita dengan Pencipta, serta keadaan dan kesihatan iman.

Selepas tamat tempoh pengurungan ini, ketika di hujung bulan Jun 2020, Malaysia masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan, cuma ia sudah dilonggarkan kepada kawalan "bersyarat" dan kini dalam kawalan "pemulihan", rasminya disebut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dahulu sebelum "dikurung" saya selalu membawa Amni dan Idlan menaiki feri atau ke kolam renang di hujung minggu. Tetapi apabila dunia diserang virus corona baharu yang disebut sebagai COVID-19 ini, perkara tersebut sudah tidak dapat dilakukan atas sebab berjaga-jaga. Jadi yang boleh dilakukan adalah menaiki motor ketika petang, juga berlari-lari di padang yang kosong ketika petang.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang berderu ketika diatas motor, sering kali menyebabkan Idlan yang berumur dua tahun tidur di atas motor. Agak sukar dan berbahaya mengendali motor dengan satu tangan, kerana satu tangan lagi perlu memegang Idlan agar dia tidak jatuh terlentok.

Ketika sedang naik motor, Amni yang berumur lima tahun mengajak saya pergi ke padang. Saya katakan boleh, nanti kita singgah di padang. 

"Nanti Abi patah balik ambil Ummi dulu" katanya lagi.

Saya menjelaskan bahawa Ummi-nya hari ini pulang kerja lambat, jadi kita boleh ke padang tetapi bertiga sahaja bersama adik.

"Tak nak, kakak suka ada dua orang dewasa, kakak nak pergi padang dengan Kakak, Adik, Abi, Ummi" terangnya lagi.

Lalu akhirnya kami pusing-pusing sahaja menaiki motor tidak ke padang, Idlan seperti biasa tidur dipertengahan jalan. Kata-kata anak kecil ini buat saya terfikir akan fitrah manusia yang merasakan keluarganya lengkap jika ada ibu dan ayah. Saya sendiri ketika itu sudah kehilangan ayah, kata-kata Amni sedikit mengusik perasaan saya bertapa saya merasakan keluarga saya sendiri sudah tidak lengkap. Namun itu realiti kehidupan yang saya harus terima.

Dahulu sebelum Amni pandai bercakap, saya teringin bersembang dengannya, selepas dia sudah pandai bercakap, kadang-kadang terasa penat menjawab soalan-soalannya. Semuanya kenapa. Kenapa burung terbang? Kenapa awan biru? Kenapa Abi kerja? Jika dijawab pun akan disambung lagi dengan kenapa yang lain. Kenapa kena cari duit? Kenapa kena makan? Jika lama sangat biasanya akhirnya saya akan jawab "entah". Saya sedar jawapan itu bukan jawapan yang terbaik untuk menggalakkan anak berfikir, itu adalah jawapan untuk mematikan pertanyaan. Tetapi kadang-kala, kita sebagai manusia biasa juga tewas pada teori yang kita pegang, tewas pada prinsip yang kita jaga, ketika realiti kepenatan menjalari hidup seharian. 

Cuma mungkin kita kena selalu memperingatkan diri agar terus kuat untuk bersembang dan berbual dengan anak-anak, perkara kecil dimata kita tetapi sebenarnya besar di dalam hati anak-anak. Kita jika tidak bercakap dengan anak, kita masih boleh bersembang dengan rakan-rakan di Whatsapp, Facebook, dan media sosial yang lain. Tetapi anak kecil, jika ibubapanya tidak mahu bersembang dengan mereka di rumah, dengan siapa mereka boleh bersembang? Dengan dinding? Dengan teddy bear?

Dialog-dialog dengan anak ini sekejap sahaja Tuhan pinjamkan kepada kita, ia adalah nikmat yang sementara. Apabila mereka mula berkawan di sekolah nanti, jika kita tidak selalu bersembang dengan mereka, mereka pun tidak ingin lagi bersembang dengan kita. Kerana mereka sudah punya kawan-kawan lain yang sudi mendengar keluh-kesah mereka. Yang sama tahap pemikiran dengan mereka. Disini kita perlu sedar, media sosial itu tidak kemana pun sebenarnya, apabila kita sudah tua nanti bukan media sosial yang akan kita rindui, tetapi hiruk pikuk anak-anak yang pulang beraya bersama cucu-cucu kita. Jadi, sepenting manapun komen dan like yang kita tagih itu, berpada-padalah.



Isnin, 29 Jun 2020

Catatan Baitul Muslim 30: Novel & Memarahi Anak


Saya gemar membaca, buku yang saya baca kebanyakannya bersifat non-fiksyen, amali dan realiti. Saya kurang berminat untuk membaca novel-novel perihal perasaan dan hati kerana saya tidak memberi kepentingan yang berat pada perasaan, apa yang penting adalah fakta yang praktikal. Tetapi sampai satu ketika, saya merasakan pandangan ini silap. Novel boleh mengajar banyak perkara perihal kemanusiaan kepada manusia. Walaupun ia adalah cebisan imaginasi penulis, tetapi tentulah penulis sendiri menulis dari getusan hatinya, jadi ia tetap tidak dapat lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Melainkan kita ada novel yang seratus peratus ditulis komputer menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Antara novel-novel yang saya minati adalah tulisan Khaled Hosseini, karyawan dari Amerika yang lahir di Afghanistan. Terutamanya karya beliau The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Ia mengangkat nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Dari perspektif ibubapa, novel ini memberi satu kesan tentang bagaimana kita melihat anak-anak dibawah didikan kita. Mereka bukanlah sekadar manusia kecil yang perlu diurus, didisiplinkan, dan dilengkapkan dengan pelbagai informasi. Tetapi mereka punya perasaan, sifat-sifat manusia yang perlu diraikan oleh ibu bapa.

Saya teringat satu teguran baru-baru ini yang tular di Facebook berkenaan dengan manusia yang suka membaca ini kadangkala menjadi "manusia buku", dia gagal memahami sifat kemanusiaan yang kompleks dengan emosi dan perasaan. Segalanya perlu mengikiut buku, dia menjadi "book wise" tetapi tidak "street wise". Walaupun kritik itu bagus, saya kira kesimpulannya bukanlah kita perlu kurangkan pembacaan, tetapi kita perlu juga kayakan pembacaan berkenaan ragam manusia, karya-karya yang mencemaskan perasaan, menimbulkan kesedihan, mengelegakkan kemarahan, bukan hanya karya perihal fakta-fakta yang kering dari sebarang unsur kemanusiaan. Saya berpendapat kita boleh menjadi "street wise" dengan bersosial dengan masyarakat tanpa perlu "mengorbankan" pembacaan.  

Saya minat kata-kata dalam buku tulisan Jamie Glowacki bahawa sebanyak manapun buku-buku "pakar" yang kita baca, apabila menguruskan anak kita sendiri, tiada yang lebih "pakar" berbanding kita sendiri. Kerana kitalah yang duduk 24 jam dengan mereka, kita yang main dengan mereka, makan dengan mereka, mandi dan tidur dengan mereka. Jadi jika nasihat "pakar" tidak berkesan, jangan kita terlalu rigid, sebaliknya timbangkan cara-cara lain yang berkesan dengan anak kita.

Pengalaman saya membesarkan anak, 2 tahun pertama biasanya merupakan tahun-tahun yang membahagiakan, kerana kita belum masuk ke dalam fasa mendisplinkan anak. Mereka ketika ini masih belum boleh membina ayat untuk bertutur dalam menyampaikan kehendak-kehendak mereka. Selepas tahun ini berakhir, kita mula memasuki fasa kita sering memarahi anak. Dalam fasa ini kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan, walaupun kita mungkin dapat apa yang kita mahu mereka lakukan dengan memarahi mereka, kita perlu ingat akan sampai satu masa kemarahan kita tidak lagi akan memberi kesan kepada mereka. Disini perlunya penerangan dan pendidikan.

Jangan salah sangka, saya berpendapat "marah" ada tempatnya dalam pendidikan. Sekiranya anak itu tidak pernah dimarahi dari kecil hingga dewasa mungkin dia tidak akan berjaya memahami apa itu baik dan buruk, mereka juga tidak dapat faham sifat-sifat manusia yang kompleks, atau mungkin dia merasakan dia boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya. Namun, marah itu perlu digunakan dengan berhati-hati, jangan sampai kasih sayang terpadam. Marah harus segera diikuti dengan kemaafan dan penerangan. Dan ibubapa juga perlu berani meminta maaf pada anak-anak mereka jika mereka terlebih marah, atau marah kerana nafsu dan ke-ego-an. 

Seorang ayah itu, ego-nya lebih tebal dari seorang ibu. Ibu sifatnya lebih tebal dengan kasih sayang, selalu membenarkan diri terluka untuk melihat anak dan suami bahagia. Namun saya kira, setebal manapun ego seorang bapa, selepas memarahi anaknya pasti tebit rasa kekesalan, walau sebesar zarah, pasti timbul rasa kasihan apabila melihat anaknya menangis kesedihan. Walaupun kadangkala egonya mengatasi zarah-zarah tersebut. Maka perlulah seorang bapa itu selalu bertanya pada hatinya, untuk apa ego itu? Wajarkah ia diberi kemenangan dengan mengorbankan kasih-sayang diantaranya dan anak-anak?

Mendidik anak itu satu seni yang sukar, tiada satu formula yang sesuai untuk semua anak-anak. Pasti ada kelainan, pasti ada perubahan terhadap cara untuk menghadapi anak-anak yang berbeza. Membentuk manusia ini tidak semudah membentuk tepung yang sudah diuli, kerana manusia itu kompleks dengan emosi dan perasaan. Maka ibu bapa perlu mencari jalan yang seimbang, menanam disiplin dalam masa yang sama menyiram dan memastikan kasih-sayang terus subur. Terlebih marah, anak akan merasakan seolah dia hidup dalam keluarga diktator tanpa kasih sayang, terlebih sayang menjadikan mereka manusia yang hidup tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Jalan sederhana ini juga tidak dijamin mudah dan selesa, ia dijamin penuh dengan dugaan dan airmata. Namun hasilnya, insha'Allah, bahagia.

Sabtu, 9 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 28: Pluviophile



Pada musim pandemik ini, ketika sekolah dan tadika ditutup, baru ibu bapa merasai apa yang dirasai oleh guru-guru dan cikgu-cikgu disekolah. Masa bersama anak-anak dari pagi sehingga ke malam tujuh hari seminggu. Anak-anak merupakan sumber kebahagiaan rumah tangga, wajah suci tulus mulus mereka ketika tidur membuatkan hati yang keras menjadi lembut, membuatkan hati yang marah merasa sayang. Namun ada ketika mereka menjerit, menangis sepanjang hari, berkelakuan nakal, sehingga menyebabkan ibu bapa boleh menjadi separuh gila. Itulah lumrah membesarkan anak-anak, namun haruslah kita sedar, apa yang kita rasakan beban hari ini akan menjadi memori dan kenangan indah disatu masa depan, dimana mereka sudah besar dan keluar dari rumah kita, kita akan menangis merindukan masa-masa mereka masih ringan, mudah didukung dan digomol pipi.

Semasa Amni masih kecil sekitar dua tahun, saya masih ingat kadang-kala jika umminya penat dan ingin berehat, saya bawa dia keluar untuk melihat hujan. Kami akan duduk bersama merenung air hujan yang turun berderu-deru dari langit, jika dia menangis melihat hujan akan membantu dia berhenti menangis. Ketika itu Amni belum boleh bertutur, maka kami pun sekadar duduk merenung bersama, mungkin kami sama-sama menyukai bau yang dibawa oleh hujan, juga musik rintik-rintik hujan bersama suhu yang menenangkan.

Idlan juga seperti mempunyai minat yang sama, apabila mendengar bunyi hujan dia akan menyebut "shaea" berulang-ulang kali dan berlari ke pintu mengajak saya keluar. Shaea adalah evolusi perkataan dari "hujan" kepada "jan" kepada "shan" dan akhirnya menjadi "shaea". Ini adalah berkataan awal Idlan yang boleh disebut selepas "shark", "bear", "kakak" dan "nak" ketika ini dimana dia masih berumur setahun setengah. Apabila keluar, selain merenung, saya biasanya akan memegang tangannya supaya dia dapat merasai rintik-rintik hujan, selepas beberapa ketika dia sendiri yang mengeluarkan tangannya untuk memegang hujan dan kadang kala menghulurkan kepalanya kepada air hujan. Sudah tentu saya tidak memberi tahu pada umminya kerana beliau akan jatuh risau Idlan akan jatuh demam.

Dalam bahasa Inggeris seseorang yang suka kepada hujan disebut sebagai "Pluviophile". Namun sebenarnya setiap kejadian Tuhan itu menenangkan. Manusia mencipta pelbagai jenis peralatan canggih, namun dia akan juga masuk ke hutan, pergi ke tepi pantai, mandi di sungai untuk mencari ketenangan. Di musim tidak boleh mengembara ini, Tuhan turunkan hujan untuk membawa ketenangan.

Jumaat, 13 Januari 2017

Catatan Baitul Muslim 13



"Kadang-kadang seorang suami bukan lah seorang yang kaya. Namun apabila ada keperluan dan keinginan isteri dan anak-anak dia akan cuba tunaikan. Walaupun mungkin di pejabat dia terpaksa menolak pelawaan rakan-rakan untuk makan di restoran luar. Kerana dia sedar itu tanggungjawabnya."

"Sering kali orang tidak nampak pengorbanan seorang ayah. Apa yang orang nampak adalah seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah beberapa hari. Pengorbanan seorang ibu mungkin lebih mudah dilihat, mudah ditafsir tanpa perlu berfikir panjang."

Begitu monolog ku beberapa hari di pejabat akhir-akhir ini. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan ku berfikiran sedemikian. Jika hendak dibandingkan dengan ramai orang lain rasanya aku masih bertuah. Mempunyai badan yang sihat, dapat berkerja, punyai isteri dan anak yang sihat. Cukup makan dan pakai, tidur masih beratap. Cuma mungkin kebelakangan ini aku kerap memerhati buruh-buruh yang bekerja dibawah terik mentari di sekitar pejabat, berapa banyak peluh yang mereka titiskan untuk memastikan ada nasi untuk disuap kedalam mulut anak-anak mereka.

Anak ku kini sudah berumur hampir 14 bulan. Dahulu hanya minum susu kini sudah boleh mengunyah goreng pisang. Dahulu hanya boleh bergolek kini sudah boleh berlari memanjat tangga. Sedikit sebanyak sudah boleh memahami arahan-arahan mudah. Mulut juga sudah mengeluarkan bunyi seolah-olah menyebut sesuatu perkataan.

Aku sedang membaca sebuah buku, bertajuk 'Tuesdays With Morrie' yang mengisahkan pengalaman seorang professor, Morrie yang menghayati saat-saat akhir dalam kehidupannya dengan berbicara bersama bekas pelajarnya berkenaan dengan apa yang penting dalam kehidupan. Apabila berbicara berkenaan dengan keluarga, Morrie mengungkapkan bahawa pengalaman membesarkan anak-anak merupakan antara pengalaman yang paling berharga dalam hidupnya.

Kehidupan moden sering menolak kita untuk mengejar perkara material. Gaji yang lebih besar, rumah yang lebih tingkat, kereta yang lebih laju, untuk itu kita melihat ramai yang tidak berkahwin dan menumpukan hidup mereka pada kerja. Masyarakat moden mempunyai keluarga yang kecil. Anak-anak dilihat sebagai penghalang kerjaya kepada ibu bapa. Bagi Morrie, ini adalah kehidupan yang salah, diakhirnya mereka akan sedar segala material yang dikejar tidak dapat mengisi kekosongan hidup mereka. Mereka akan menghabiskan sisa-sia hari tua mereka bersendirian, dan dalam kesedihan.

Ya, membesarkan anak merupakan satu kerja yang sukar. Sering kali ketika tiba giliranku menjaga anak sendirian, akan ku pastikan dia dimandikan, disuap sarapan diteman bermain dan menonton siri video belajar bahasa inggeris. Apabila dia tidur ditengah hari, barulah tiba giliranku untuk mandi dan makan. Suatu hari segala kesusahan ini akan berlalu, apa yang tinggal adalah anak-anak yang telah dewasa. Setiap perkara yang baik memerlukan kesabaran. "Good things come to those who wait."

Sering kali apabila melihat anak kecil tersenyum, atau apabila mereka mendepakan tangan untuk didukung, segala penat lelah hilang dari ingatan. Apabila anak kecil meletakkan pipinya di tangan kita kemudian terlelap, kita merasa bahagia. Melihat wajah anak kecil tidur, kita merasa aman.