| Para pelajar sarjana sejarah dalam sesi viva voce 2025/2026 bersama para pensyarah pada 28 Januari 2026. |
Pada 28 Januari 2026, akhirnya saya selamat membentangkan tajuk kajian saya dalam sesi viva voce di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia bagi program Master Mod Campuran, Sejarah Asia Tenggara. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof Madya Dr. Jasni Sulong selaku dekan PPIK, dengan Prof Madya Dr. Hasrul Zakariah sebagai pembantu. Penilai dalaman saya adalah Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali @ Abang dan penyelia saya adalah Prof Madya Dr. Azmi Arifin. Tajuk kajian saya adalah ‘Nasionalis Melayu Kiri’: Satu Penilaian Semula Terhadap Pembentukan Imej Radikalnya Dalam Persejarahan Malaysia.
Saya agak gemuruh juga membentangkan hasil kajian. Mujur semua soalan yang ditanyakan tidak begitu 'membunuh' dan saya dapat menjawabnya. Selesai menjawab semua soalan saya diberi masa dua minggu untuk melakukan sedikit pembaikan dengan perbincangan lanjut bersama penyelia.
![]() |
| Disertasi sarjana yang siap dijilidkan. |
Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah. Setelah entah berapa kali tukar tajuk, rombak bab, baiki ayat, baiki hujah, baca laporan berjela-jela, termenung dan murung di depan skrin, akhirnya saya selesai melakukan pembaikan dan sampai kepada fasa penjilidan. Disertasi saya siap dijilid pada 09 Febuari 2026. Dua naskah saya serahkan pada PPIK, satu naskah saya berikan kepada penyelia, dan satu naskah saya bawa pulang untuk simpanan peribadi.
Saya fikir, mungkin sudah beratus cawan kopi dihabiskan untuk menulis, juga beratus malam yang dihabiskan untuk membaca dan menulis, sampai otak pun kadangkala jem kerana tidak cukup tidur. Tapi, menyiapkan kajian ini bukan usaha kita sebenarnya, ia adalah nikmat yang Allah bagi, nikmat diberi peluang menimba ilmu. Juga banyak saham orang lain di dalamnya.
Ibu yang mendoakan.
Adik beradik yang mendoakan.
Guru penyelia yang setia menyemak penulisan berkali-kali.
Guru penilai yang gigih membaca dan memberi komen dan ulasan penting.
Isteri yang beri masa bagi suami menyendiri.
Juga anak-anak yang faham ‘abi tengah siapkan homework’.
Alhamdulillah. Maka persaksikanlah ya Allah, akan masa-masa hidupku yang sudah aku wakafkan untuk mencari ilmu. Kau terimalah ia ya Allah sebagai amal soleh. Engkau alirkanlah tulisanku ini dalam sungai khazanah ilmu umat sebagai kajian yang bermanfaat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan