Memaparkan catatan dengan label Belajar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belajar. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Disember 2023

Mon Monologue


Lama sudah rasanya tidak mencoret sedikit monolog. Jadi di ruang sempit ini, saya sekadar mahu melepaskan perasaan-perasaan yang ada.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu graduasi. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan dan saudara mara yang bergraduasi. Meriah sekejap aliran media sosial dengan gambar konvo. Ada yang berjaya menghabiskan sarjana muda, ijazah, dan doktor falsafah. Melihat semuanya sangat menginspirasikan.

Saya kira belajar dan menyambung pengajian adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan. Belajar bagi saya merupakan proses umum. Ia dilalui oleh semua orang, kadang-kadang mereka sedar, kadang mereka tidak sedar. Belajar tidak semestinya melalui pengajian formal, tidak semestinya memerlukan kita membaca buku, setiap sisi kehidupan kita dapat menjadi satu proses pembelajaran. Dialog kita, pekerjaan, pengurusan anak-anak, masalah-masalah hidup. Semua mengajar kita sesuatu sama ada kita sedar atau tidak.

Beberapa ketika, saya memang minat membaca buku. Bagi saya meneroka helaian buku adalah sesuatu yang membahagiakan. Meskipun kadang kesibukan hanya membenarkan saya menyelak beberapa halaman sahaja sehari. Lama kelamaan ia menjadi ruji harian. Walaupun membaca buku itu mengasyikkan. Saya kira ia juga mempunyai limitasinya yang tersendiri dalam proses pencarian ilmu.

Ia bersifat mandiri dan tidak berstruktur. Maksudnya, kita baca apa yang kita mahu baca, kita yang menentukan apa yang kita mahu pelajari. Kita juga boleh membacanya mengikut kelajuan kita sendiri tanpa apa-apa tekanan atau paksaan. Tetapi saya merasakan, untuk kita mahir dan belajar sesuatu perkara, kita memerlukan sedikit tekanan. Tidaklah tekanan yang membuatkan kita gila. Tetapi tekanan yang mampu mengeluarkan kita dari bilik kita yang selesa, dan belajar sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedar kita perlu belajar. Ini bagi saya memerlukan pengajian yang tersusun dan formal.

Seperti apa-apa objek logam yang cantik, ia memerlukan tekanan haba agar ia boleh dibentuk dan dibina. Saya kira proses mencari ilmu dalam dunia formal juga begitu. Ia memberi kita tekanan untuk kita berusaha. Kita perlu belajar walaupun kita malas. Kita tidak boleh bersenang lenang kerana kita mempunyai had masa. Maka ia memaksa kita berusaha. 

Berbanding dengan mencari bacaan sendiri. Memilih subjek formal untuk dipelajari memerlukan kita membaca bahan-bahan tertentu, kuliah pengajian akan membuka fikiran kita kepada bahan-bahan yang sangat menarik yang jika kita bergerak sendirian mungkin tidak kita temui. Kerana manusia secara bersendirian itu amat terhad upayanya. Dengan diskusi dan dialog, dia akan mendapat sesuatu perkara yang sudah diusahakan orang lain, jadi ini akan membantunya dalam usaha pencarian ilmu kerana sebahagiannya boleh didapati melalui usaha orang lain. Jika semua mahu dilakukan bersendirian, usahanya sangat terhad, malah penerokaannya mungkin tidak akan sampai ke garis hujung fatamorgana ilmu.

Menyambung pengajian sememangnya mengasyikkan. Duduk mendengar kuliah membuatkan kita terasa seperti pelajar muda. Walaupun mungkin rambut-rambut putih sudah mula muncul di sebalik selitan ikal rambut, namun jiwa kita akan sentiasa merasa muda dengan duduk belajar. Proses pembelajaran membuatkan jiwa kita segar, sentiasa mahu mencari dan memahami.

Keasyikan mendengar kuliah juga membuatkan kita sedar. Kita hanya titik nol kecil dalam lautan infiniti ilmu. Saya sangat gembira terutamanya jika menjumpai sesuatu perkara yang sebelum ini saya tidak ketahui. Memahami sesuatu yang sebelum ini saya sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Belajar sentiasa mengerdilkan kita. Semakin kita tahu, semakin kita sedar bahawa kita hanya zarah kecil dari bima sakti ilmu yang tiada penghujung. 

Menyambung pengajian juga memberikan kita peluang untuk mendampingi para sarjana dan pemikir. Memetik buah-buah ilmu mereka dari jarak yang lebih dekat. Memberi kita peluang merasakan sentuhan inspirasi. Melihat jalan ilmu yang telah mereka telusuri. membuatkan hati kita berbunga untuk menempuh jalan yang sama juga. Jalan-jalan ilmu yang membawa kita pada bahagia.

Maka jika ada satu perkara yang saya mahu lakukan sepanjang umur usia yang singkat ini. Saya mahu selamanya menjadi penuntut ilmu. Menjadi pelajar yang meneroka sempadan-sempadan pengetahuan. Menjadi rahib yang asyik bersendirian di perpustakaan. 

Hinggalah tiba satu hari di mana saya dipanggil semula oleh Tuhan.

Ahad, 3 September 2023

Mengabdi Diri Pada Keilmuan di Hela Kehidupan


Di pertengahan umur, kadang kita merasakan hidup ini terlalu mendatar, kita mungkin masih struggle dengan masalah kewangan tetapi ia bukan lagi perkara nombor satu dalam hidup. Anak-anak juga sudah mula bersekolah dan perlahan-lahan kehidupan kita kembali stabil, tidak lagi dipenuhi keributan. 

Ada yang menyebut fasa ini sebagai mid-life crisis, di mana manusia mula mempersoalkan apa yang telah mereka capai dalam hidup, mereka menilai semula arah tuju kehidupan mereka, kembali bertanya soalan fundamental, "apa yang sebenarnya aku mahu dalam hidup ini?". Bagi saya, fasa ini bukanlah sebuah krisis, tetapi perenungan untuk menilai semula arah tuju kehidupan, ini bagi saya perkara yang penting, perkara yang menyegarkan. Dalam kata lain, kita diberi peluang kedua untuk hidup dan mula semula.

Dalam fasa perenungan saya, tatkala saya merenung semula hela-hela halaman hidup, saya merasakan bahawa fasa yang paling membahagiakan dan menggembirakan saya adalah fasa belajar. Sememangnya belajar, masuk kelas, salin nota, dan menduduki peperiksaan merupakan proses-proses yang sangat saya nikmati dan hargai. Jika boleh, saya mahu menjadi pelajar seumur hidup, dan saya memang berhajat untuk belajar sepanjang hayat.

Belajar membawa saya ke pelbagai negara dan benua. Sebab itu, saya merasakan, kebelakangan ini, walaupun banyak faktor-faktor yang menghimpit hidup, dapat menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM merupakan antara perkara yang menggembirakan saya. Kembali menjadi pelajar merupakan satu pengalaman yang menyegarkan hidup.

Pada mulanya pihak universiti tidak menerima saya, kerana saya mempunyai latar pengajian dalam bidang yang berbeza, namun selepas melepasi kursus pra-syarat, saya diterima masuk. Bagi saya pengajian sejarah merupakan satu pengajian yang menyeronokkan. Ahli sejarah merupakan jambatan yang menghubungkan zaman, tanpa mereka generasi baharu tidak dapat menyelak jendela masa lampau dan memahami susur galur mereka. Sesi pengajian juga saya dapati sangat mengayakan pemikiran. Kita diajar untuk berfikir dan menganalisa, bukan lagi menelan fakta bulat-bulat.

Jadi saya ingin menyarankan, andai ada teman-teman yang sedang mencari sesuatu dalam hidup, marilah bersama saya menyambung pengajian. Paling kurang, jika pun tidak berapa faham subjek yang dipelajari, dapat jadi rakan sekelas dengan saya pun kira sudah beruntung.

Selasa, 14 Julai 2020

Belajar Sepanjang Hayat


Dalam buku tulisan Iltizam Iman yang bertajuk 'Menolak Perintah' ada diperbahaskan soal-soal pendidikan. Saya sangat gemar perbahasan tersebut. Terutamanya persoalan-persoalan falsafah pendidikan, seperti mengapa kita belajar? Adakah belajar sekadar menghafal? Adakah ijazah sekadar tiket untuk masuk ke alam pekerjaan?

Ya, betul. Banyak yang kita boleh kritik tentang sistem pendidikan, malah kritik itu boleh pergi ke dasar, fundamental pendidikan, bukan sekadar cabang atau teknik mendidik. Dan kita juga boleh buat kesimpulan yang berbeza. Ada yang menyimpulkan bahawa pendidikan formal itu memandulkan potensi berfikir secara kritis, lalu meninggalkannya dan mencuba pendidikan alternatif sendiri seperti homeschooling. Ada juga yang menyimpulkan bahawa, ya, memang bermasalah, oleh itu pendidikan perlu diteruskan dirumah sesudah sekolah dan universiti, sekolah tidak boleh di harap penuh, ia perlu disambung oleh ibubapa di rumah.

Terserah kepada kita untuk membuat kesimpulan berdasarkan kefahaman dan gaya fikir kita. Ya teknologi hari ini telah merevolusikan tentang cara kita memandang pendidikan. Jimmy Wales pengasas Wikipedia dalam wawancara oleh Aljazeera, dalam hujahnya mempertahankan kegunaan Wikipedia yang dituduh tidak akademik, membawakan kisah Jack Andraka yang mencipta idea diagnosis test untuk pancreatic cancer hanya dengan menggunakan Google dan Wikipedia. 

Teknologi membolehkan kita belajar apa sahaja yang kita mahu dalam beberapa saat sahaja. Ingin tahu apa itu Kalam Cosmological Argument yang dipelopori semula oleh William Lane Craig? Kita boleh tonton sahaja di Youtube. Ingin belajar tentang konsep fundamental breach dalam undang-undang yang sekarang dianggap telah outdated, kita boleh baca kes mahkamah Photo Production v Securicor dengan mencari di Google.

Dalam erti kata lain, teknologi memberikan kita cara untuk belajar apa yang kita mahu belajar. Bukan kita belajar apa yang kita disuruh untuk tahu, apa yang disuruh kita untuk belajar. Namun saya secara peribadi beranggapan, institusi formal masih ada nilainya, dan masih ada pentingnya. Terutamanya dalam mengabsahkan pengetahuan seseorang dalam sesuatu bidang. Walaupun tidak bererti takpa pengabsahan itu bermaksud seseorang itu tidak tahu.

Selepas habis sarjana muda dahulu, saya menyambung pengajian pasca-siswazah. Ternyata ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Kita bukan sahaja belajar tentang metodologi untuk belajar, metodologi untuk bertanya, saya juga dapat fahami bahawa belajar itu satu proses masa yang panjang. Walaupun dalam institusi formal kita diberi masa untuk melengkapkan pengajian, ada bidang-bidang yang memerlukan masa untuk ditekuni. Dan saya tidak berjaya menghabiskan pengajian.

Memasuki alam pekerjaan, belajar secara formal merupakan satu cabaran besar. Kita bukan sahaja perlu mencari titik keseimbangan untuk masa bersama keluarga, isteri dan anak-anak. Kita juga perlu mencari keseimbangan terhadap masa kita untuk pekerjaan, masyarakat, diri sendiri, hobi, dan seribu satu perkara yang lain. Namun walaupun kini telah tua, saya harap perasaan untuk menuntut ilmu itu kekal muda.

Antara sebab saya bekerja di syarikat saya adalah falsafahnya yang mendorong pekerja melanjutkan pengajian. Pada mulanya dahulu, pekerja yang menyambung pengajian di bayar yuran mereka, ini bagi saya merupakan satu insentif yang baik. Walaupun sudah jauh dari institusi akademik, kita boleh meneroka ilmu di institusi-institusi professional. Walaupun sijilnya tidaklah setaraf dengan sijil akademik, tetapi ilmunya tetap dihargai di dalam bidang industri. Ilmu itu bukan milik institusi akademik sahaja. Namun jauh disudut hati saya, jika berjaya menyelesaikan pengajian professional, saya ingin menyambung pengajian yang tertangguh, menjadi murid semula walaupun telah tua.

Biarlah mati ketika sedang menuntut ilmu, barulah perpatah "tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad" itu terlaksana.