Ahad, 3 September 2023

Mengabdi Diri Pada Keilmuan di Hela Kehidupan


Di pertengahan umur, kadang kita merasakan hidup ini terlalu mendatar, kita mungkin masih struggle dengan masalah kewangan tetapi ia bukan lagi perkara nombor satu dalam hidup. Anak-anak juga sudah mula bersekolah dan perlahan-lahan kehidupan kita kembali stabil, tidak lagi dipenuhi keributan. 

Ada yang menyebut fasa ini sebagai mid-life crisis, di mana manusia mula mempersoalkan apa yang telah mereka capai dalam hidup, mereka menilai semula arah tuju kehidupan mereka, kembali bertanya soalan fundamental, "apa yang sebenarnya aku mahu dalam hidup ini?". Bagi saya, fasa ini bukanlah sebuah krisis, tetapi perenungan untuk menilai semula arah tuju kehidupan, ini bagi saya perkara yang penting, perkara yang menyegarkan. Dalam kata lain, kita diberi peluang kedua untuk hidup dan mula semula.

Dalam fasa perenungan saya, tatkala saya merenung semula hela-hela halaman hidup, saya merasakan bahawa fasa yang paling membahagiakan dan menggembirakan saya adalah fasa belajar. Sememangnya belajar, masuk kelas, salin nota, dan menduduki peperiksaan merupakan proses-proses yang sangat saya nikmati dan hargai. Jika boleh, saya mahu menjadi pelajar seumur hidup, dan saya memang berhajat untuk belajar sepanjang hayat.

Belajar membawa saya ke pelbagai negara dan benua. Sebab itu, saya merasakan, kebelakangan ini, walaupun banyak faktor-faktor yang menghimpit hidup, dapat menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM merupakan antara perkara yang menggembirakan saya. Kembali menjadi pelajar merupakan satu pengalaman yang menyegarkan hidup.

Pada mulanya pihak universiti tidak menerima saya, kerana saya mempunyai latar pengajian dalam bidang yang berbeza, namun selepas melepasi kursus pra-syarat, saya diterima masuk. Bagi saya pengajian sejarah merupakan satu pengajian yang menyeronokkan. Ahli sejarah merupakan jambatan yang menghubungkan zaman, tanpa mereka generasi baharu tidak dapat menyelak jendela masa lampau dan memahami susur galur mereka. Sesi pengajian juga saya dapati sangat mengayakan pemikiran. Kita diajar untuk berfikir dan menganalisa, bukan lagi menelan fakta bulat-bulat.

Jadi saya ingin menyarankan, andai ada teman-teman yang sedang mencari sesuatu dalam hidup, marilah bersama saya menyambung pengajian. Paling kurang, jika pun tidak berapa faham subjek yang dipelajari, dapat jadi rakan sekelas dengan saya pun kira sudah beruntung.

Tiada ulasan: