Sabtu, 28 September 2019

Ikan Paus Berbillion Dollar


Langit pada hari Khamis 19 September 2019 masih kabur diselubungi jerebu. Dari terminal Raja Tun Uda tanah besar semenanjung hilang dalam samar penglihatan yang terbatas, ternyata jerebu kali ini sehebat jerebu tahun 90-an. Kerana keadaan atmosfera yang tidak sihat, aku mengambil keputusan untuk tidak bermain futsal pada hari tersebut, namun hatiku tidak begitu tenang hari itu kerana ia mungkin merupakan hari terakhir futsal bersama Mickey, beliau bakal berpindah ke Carolina Utara, sebuah negeri selatan dari Washington, dan disebelah timurnya terbentang Lautan Atlantik.

Aku pun menghantar mesej pada beliau mengucap selamat jalan, dan bertanya bila pesawatnya bakal berlepas, ternyata dia mempunyai beberapa lagi hari berbaki. Aku hadiahkan kepada beliau naskah buku Tuesday with Morrie, buku yang bagi aku secara personal sangat mendalam nasihat dan renungannya berkenaan dengan persoalan kehidupan. Seingat aku, kali pertama aku membacanya adalah selepas dipengaruhi Seetal, yang bercerita dengan penuh semangat bertapa berharganya buku tersebut dan memberi aku naskah untuk dipinjam dan dibaca.

Mickey memberiku buku Billion Dollar Whale tulisan Tom Wright & Bradley Hope, katanya elok kita bertukar buku. Buku ini bukanlah buku yang asing bagiku, apatah lagi di Malaysia. Kali terakhir aku ke kedai buku, harganya sekitar RM80 seingat aku. Secara purata ia adalah buku yang mahal, kebiasaannya aku hanya membeli buku sekitar harga RM30-RM40 senaskah. Lebih dari RM40 bagiku agak mahal. Tetapi bukan sebab harga aku tidak membeli buku ini, seingat aku terdapat beberapa buku mahal yang aku beli seperti tulisan Noam Chomsky dan Howard Zinn. 

Mungkin aku tidak membelinya atas faktor ideologi politik. Aku masih ingat perbualanku bersama seorang teman rapat yang bekerja di sebuah akhbar, akhbar yang melaporkan secara extensive berkenaan dengan 1MDB. Temanku tersebut merupakan penyokong pembangkang satu ketika dahulu, blog peribadinya antara lain pernah menulis perihal buku Tony Pua, The Tiger That Lost Its Roar. Namun seperti banyak anak muda yang lain, euphoria reformasi telah hilang apabila pembangkang mengambil alih kerajaan, ceramah-ceramah indah terbukti tidak mudah untuk ditukar menjadi polisi. Katanya baginya buku tersebut 'populis', mengambil keuntungan dari skandal ini. Kami meneroka kedai buku Kinokuniya bersama hari itu, beliau melabel buku-buku populis lain, antaranya buku I am Malala.

Mungkin juga aku tidak membelinya kerana aku boleh membaca berita sahaja. Selepas skandal 1MDB meletup, ia dilapor dan diulas secara meluas, baik oleh media antarabangsa, akhbar tempatan, blog, hatta propaganda-propaganda di Facebook. Ia boleh dibaca dari pelbagai sudut, pembangkang atau kerajaan, jadi mengapa perlu beli buku? Atau mungkin disebabkan diet buku aku yang lebih berat kepada teori dan falsafah dalam politik dan ekonomi, aku melihat buku ini lebih kepada berunsur sensasi.

"We will discuss it in a week" kata Mickey menyerahkan kepadaku naskah buku yang dikeluarkan dari almari pejabat. Aku suka membaca perlahan-lahan jadi aku non-committal.

Tetapi ketika aku mula menyelak naskah ini di dalam bas Rapid Penang ternyata ia sangat mengasyikkan, mataku seolah digam pada helaian-helaiannya. Hari pertama sahaja aku menghabiskan lebih dari 50 mukasurat. Ia ditulis ala-ala novel, dengan cliff-hanger di setiap penghujung bab. Buku ini fokusnya bukan Najib atau 1MDB, tetapi Jho Low (JL).

Ia dimulakan dengan kisah bagaimana JL dibesarkan, bagaimana bapanya, Larry mempunyai harapan besar untuk anaknya lalu menghantarnya ke sekolah elit di Wharton, di mana beliau mula memasuki orbit golongan elit dan bangsawan, bersosial dan berkenalan dengan golongan kaya dan raja. Bermula dengan kenalan ini JL memulakan skimnya untuk menjadi kaya tanpa perlu bekerja keras. Dari seorang nobody dari Pulau Pinang beliau menjadi billionaire yang sibuk ber-party mewah bersama bintang-bintang Hollywood. 

Namun ada sesuatu isu besar yang boleh dilihat dari kejayaan JL menipu dan meng-kayakan dirinya, iaitu kegagalan institusi keewangan antarabangsa, terutamanya bank dalam membolehkan ia semua berlaku, menutup mata bagi mengalihkan wang berjumlah berbillion dollar. Membaca buku ini mengingatkan aku kepada buku The Big Short yang memaparkan ketamakan golongan banker yang rakus mengaut keuntungan di atas angin menjual sub-prime mortgage yang akhirnya menarik runtuh sistem keewangan, cuma kali ini ia mempunyai mastermind

Dalam siri konspirasinya JL berjaya menggunakan, menipu, dan memanipulasi pelbagai pihak termasuk kerajaan, bank-bank seperti BSI, Falcon, Goldman Sachs, juga pemain korporat seperti 1MDB, IPIC, Aabar, juga pelbagai industri hiburan termasuklah artis-artis Hollywood. Namun seperti mana skim-skim penipuan sepanjang sejarah, ia memerlukan terlalu ramai konspirator, akhirnya JL sendiri tidak dapat mengawal apa yang dia mulakan. Kejatuhan skim JL menarik bersamanya konspirator-konspiratornya, dan Malaysia juga mencatat sejarah apabila kerajaan bertukar buat kali pertama. 

Hari ini prosiding mahkamah telah dimulakan, dan banyak perkara yang parallel dengan apa yang ditulis oleh Wright & Hope dengan keterangan-keterangan saksi di mahkamah. Setiap rakyat yang ikhlas berharap ia akan membawa keadilan, dan pesalah di beri hukuman setimpal. Ia adalah penting agar pemimpin masa akan datang sentiasa berwaspada dengan tingkah laku mereka, berhati-hati dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan, dan yang paling penting sentiasa berlaku amanah dengan tanggungjawab mereka mengurus harta negara. Ia adalah pengajaran kepada ahli politik bahawa mereka tidak duduk diatas undang-undang.

Buku ini sememangnya ditulis dengan komposisi yang menarik, seperti sebuah novel. Kerana ia membabitkan isu politik tempatan, ia harus cuba dibaca dengan meletakkan ideologi politik di luar, dan disudut lain, agar ia boleh di hadam secara objektif. Keabsahan perincian laporan ini diharap akan kita ketahui dengan berlangsungnya prosiding di mahkamah. Suka atau tidak suka, skandal ini akan kekal dalam sejarah negara.


Berjalan-jalan di Laman Filosofi



Kegelapan malam, tatkala jam menghampiri jam dua pagi adalah masa yang baik untuk merenung, berjalan-jalan di laman filosofi, memikir apa yang salah pada hari ini supaya tidak diulangi esok, dan apa yang kita terlepas pandang dan perlu hargai. Melihat semula hari ini, begitu banyak kekurangan yang berlaku. Abaikan lapan jam masa kehidupan yang dibuang menjadi robot untuk memproses data.

“Kenapa abi angry?” soal si kecil cilik kepada umminya. Soalan itu pantas meruntuhkan ego seorang bapa, menyentak jiwa paling dalam, begitu rupanya pandangan seorang anak yang belum pandai menipu. Amarahku terpadam disimbah pertanyaan keanak-anakan. Rupanya aku terlupa sebentar menjadi seorang yang penyayang, aku berubah menjadi pemarah.

Bukan marah itu tidak perlu, tetapi ia tidak boleh diguna selalu. Ia tidak boleh menggantikan sayang, meski ia mudah digunakan. Aku masih belum sempat membaca Glowacki, tetapi aku sempat membelek helaian-helaian awal makalahnya. Anak-anakku kini dalam proses ‘pengindividuan’ – mereka sedang memisahkan diri untuk menjadi individu yang berbeza, mereka mula sedar bahawa mereka bukan ibubapa mereka, dan mereka mula belajar membuat pilihan, menolak pilihan yang diberi. Situasi ini acap kali menimbulkan konflik, jika ia tidak difahami dan diurus. Esok aku akan bermula semula.

Malam ini kisah Will begitu filosofikal, bagaimana seorang pemuda genius mencari diri dan arah kehidupan. Falsafahnya sangat dalam berkisar tentang keberanian untuk berterus terang pada diri sendiri, membuka peluang untuk membenarkan orang lain masuk ke dalam hidup kita, perbezaan antara mengetahui dan merasai, juga pengorbanan dan bantuan orang di sekeliling kita.

Will bernasib baik kerana dia ‘ditemui’ oleh seorang guru bernama Sean yang mencabarnya dengan soalan yang paling mudah “Apa yang engkau mahukan?”. Sean tahu anak muda ini masih belum mengetahui apa yang berharga dalam hidup, dan dia mengambil keputusan untuk bersabar dalam mendidik. Akhirnya pemuda itu sedar, bahawa sekadar pandai tidak cukup, sekadar tahu belum benar. Hidup adalah perasaan yang perlu dirasai, dan ia tidak mungkin kita rasai jika kita tidak mengambil risiko sebagai peluang.

Kita boleh menghafal novel dari kulit ke kulit, tetapi ia tidak mungkin sama dengan pengalaman sendiri mengendong anak yang masih merah dan bertali pusat, bangun ditengah malam memberinya susu, melihat dia belajar berdiri dan berlari, mendengar dia menyebut perkataan pertama. Itulah kehidupan, ia perlu dirasai, hidup bukan novel.

Ah, Idlan menangis lagi, lampinnya perlu ditukar, dia perlu disusukan.


Ahad, 15 September 2019

Memaknai Rumi: Siri 7



Ignorance is God’s prison.
Knowing is God’s palace.
When you are with everyone but me,
you’re with no one.
When you are with no one but me,
you’re with everyone. (28)

Kita suka tinggal di kampung kita, makan makanan kita, minum minuman kita, bercakap dengan masyarakat kita, dalam bahasa kita, di negara kita. Kita selesa dengan ke-kita-an, tak mampu keluar dari kampung halaman. Biar kita dilontar di cerok dunia manapun, baik di teluk Finland, atau di seberang Atlantik, kita kembali mencari ke-kita-an.

“Ah! Adakah kau benci dirimu sendiri?”

Bukan teman, ilmu adalah keluasan. Alam adalah buku kurniaan tuhan, buatmu kembara dalam mukasuratnya. Lalu kau akan temui teluk-teluk baru, rasa-rasa baru, warna-warna baru, suara-suara baru, mereka bukan bermaksud membunuhmu teman, mereka adalah kitab yang terbuka bagi kita belajar dan kenal-kenalan.

Kita takut akan kegelapan, namun bagaimana mahu berjumpa emas yang tertanam di pelusuk dunia? Bukankah kita perlu menggalinya? Menyusur lombong-lombong gelap agar beroleh butir emas dan permata yang tersimpan. Jangan cemuh mereka yang berani menempuh kegelapan, engkau sendiri harus belajar menjadi berani. Tidakkah engkau bosan hai teman dengan keterangan, walaupun idea-ideanya telah basi dengan beredarnya gerabak zaman.

Tatkala menyusur gelap peganglah tali Tuhanmu, biarkan air mata itu tumpah di helaian sejadah, dukamu luruskan dengan keheningan subuh, dalam sujud dan ibadah. Jika Tuhan bersamamu apakah lagi yang perlu kau takutkan teman? Bisa ular? Gigitan harimau? Semuanya dibawah telapak kakinya. Maka merebahlah sujud, peganglah tali itu, kau akan banyak dikala sedikit, kuat dikala lemah, teguh dikala runtuh.

Jangan sengketa lagi, jangan ragui hati. Tebarlah mencari ilmu, kemanapun teluknya, sedalam manapun gelapnya. Asalkan kau berpegang akan tali Nya, masakan kau kan binasa.

Memaknai Rumi: Siri 6



This is not a day for asking questions,
not a day on any calendar.
This day is conscious of itself.
This day is a lover, bread, and gentleness,
more manifest than saying can say.  (41)

Ada satu perkara menarik pada ‘minda’ manusia. Ia sering bertanya soalan, berfikir, sehingga manusia itu penat dengan berfikir sahaja! Hari ini bukan lagi hari berfikir, kita harus tutup minda, berhenti berfikir. Hari ini kita perlu merasa hidup dan bertemu dengan jiwa. Tinggalkan minda dan soalan-soalannya yang tidak kunjung putus. Hiduplah dengan jiwa!

Hiduplah sekarang, jangan biar mindamu melayang tetapi hayatilah angin yang bertiup. Sedarkan jiwa dan nikmatilah makanan dengan sebenar-benar nikmat, setiap kunyahan, setiap rasa di lidah, setiap gumpalan yang melepasi kerongkong, jangan berfikir sekarang, sekarang masa makan.

Hari ini hari untuk kita mencintai, rasailah kebahagiaan mencintai manusia lain, baik yang besar mahupun kecil, yang kita gelar kawan, atau yang kita bisikkan sayang. Bercintalah tanpa berfikiran, kerana berfikiran akan membuatkan kau lelah lagi, hingga percintaan itu tidak dapat dinikmati. Jadikan mindamu seperti mesin, ia alat buat kau berfikir, namun setelah kau berfikir berkenaan dengan kerja atau pelajaran atau apa pun, tutuplah ia, tekan butang kuasa, biarkan ia rehat. Tidak perlu berfikir sepanjang masa, hanya ketika perlu sahaja.

Dengan ini, kau bisa nikmati bahagia.

Memaknai Rumi: Siri 5



But don’t be satisfied with stories, how things
have gone with others. Unfold
your own myth, without complicated explanation,
so everyone will understand the passage,
We have opened you. (41)

Kita sering hidup dalam angan-angan, kita membaca kisah-kisah manusia lain yang ‘berjaya’, mengagumi mereka, mengulang-ulang kisah, bahkan kita menghafal kisah-kisah mereka. Tetapi sekadar kenangan untuk motivasi itu tidak cukup.

Kita perlu menyentuh mentari dengan jari sendiri untuk merasai kesejukan. Kita harus tidur di dalam ribut salji sendiri bagi mengetahui maksud kepanasan. Kisah-kisah itu tidak cukup, kita perlu mengorak langkah sendiri, melukis sendiri lukisan kisah hidup, merasa sakit, merasa kalah, merasa pedih, untuk memahami makna hidup, makna bahagia, dan makna berjaya.

Jika kita hanya termenung dengan kisah orang lain, sehingga lupa menulis kisah sendiri, kita menjadi seperti ayam dan lembu sahaja, sepanjang sejarah peradaban tidak pernah dikenang, sekadar hidup dan mati sahaja dalam sejarah yang panjang. Sepatutnya ada kisah yang kita tulis bagi mencubit jiwa-jiwa generasi mendatang, agar mereka mempunyai kisah-kisah baru, jika tidak mereka hanya mengulang hafal kisah yang sama yang kita hafal, keilmuan tidak berkembang, kemanusiaan tidak bertambah kemajuan budayanya.

Namun tika kita menulis itu tidak perlulah kita hebahkan pada manusia, cukup kejayaan kita menjadi penyampai berita. Mereka bertanya “mengapa usahamu begini tidak begitu?”, maka janganlah kau sibuk menjawab dan memberi penerangan, kelak kau lelah, sementara tulisan kisahmu tak sudah! Biar kisah itu siap dahulu, dan mereka tidak akan bertanya lagi selepas itu. Kerana soalan itu enggak lagi pantas, apabila engkau sudah berjaya diatas pentas!

Jumaat, 13 September 2019

Bagi semua, tidak aku tembak!


Pagi itu seperti pagi-pagi biasa, tiada apa yang mencurigakan jiwa. Aku bangun jam 5.30 pagi seperti biasa dan bersiap-siap. Setelah siap, aku pun berjalan kaki ke masjid yang jaraknya lebih kurang 200 meter sahaja dari rumah. Subuh pada pagi itu jam 5.53 pagi, selepas azan sahaja aku terus menunaikan solat Subuh. Selesai solat ada pakcik kampung menegur.

"Anak sapa tak tau?" soalnya. Saya beritahu nama mak dan arwah bapa mertua padanya.

"Ooo, duk rumah mana satu tak tau?" soalnya lagi. Saya beritahu rumah yang sebelah rumah Pakwan.

"Ooo, Pakwan sakit noh la nih, sakit cam tu payoh nak elok" tambah pakcik tersebut. Saya mengiyakan, kemudian pakcik tersebut beredar masuk ke dewan solat utama. Aku pun keluar mendapatkan kasut untuk pergi menunggu bas.

Kelihatan makcik pakcik kampung mula tiba ke masjid. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta, dan banyak juga yang menaiki basikal. "Mereka ini pemburu Subuh" gumam hati ku. Di awal pagi mereka telah bangun mencari tuhan, menceritakan masalah mereka di dunia pada Sang Pencipta. Melihat mereka asyik dengan ibadah dan solat mereka, hati ku sedikit sebanyak diruntun tenang.

Aku pun menyeberang jalan, menunggu bas sambil membelek telefon bimbit. Ada berita seorang wanita mati dibunuh dan dibalut di dalam selimut di Damansara pagi itu, aku menekan link tersebut namun berita itu tidak dapat dibaca kerana data Celcom aku telah habis. Mungkin disebabkan hanya satu cahaya telefon bimbit yang bersinar di dalam gelap pagi di depan hentian bas tersebut, menarik perhatian sebuah motor yang ditunggangi dua lelaki Melayu. Mereka berhenti di depanku.

Pembonceng motor itu turun dan mula menjerit kepadaku "Bagi handphone tidak aku tembak!". Belum sempat aku ingin mengatur strategi dia telah mara dan merampas telefon bimbit di tanganku. Aku tersentak dan baru sedar sekarang aku sedang dirompak. "Bagi dompet tidak aku tembak!" jeritnya sekali lagi sambil tangan kanannya dimasukkan ke dalam sebuah beg seolah-olah ada senjata di dalamnya.

Aku terfikir banyak urusan yang aku perlu lakukan jika aku serahkan dompet. Kena ke JPN, JPJ, dan telefon setiap bank-bank yang aku punyai kad debit dan kredit. Itu belum kira IC anak-anak yang ada di dalam dompet. "Kalau bagi duit je boleh?" soal ku pada perompak. Bila difikirkan balik, rasa kelakar pula mahu cuba nego dengan perompak. "Bagi semua tidak aku tembak!" jeritnya berulang kali sambil menggagau beg seperti ada pistol atau senjata di dalam. Oleh kerana dia masih tidak keluarkan apa-apa senjata, aku nekad, dan terus lari. Melihat aku lari, pembonceng tadi bergegas semula mendapatkan motor dan mereka memecut laju. Aku pun kembali ke hentian bas, menunggu.

Kali ini sebuah kereta Kelisa pula berhenti, seorang lelaki keluar dan cuba menghampiriku dalam keadaan yang mencurigakan. "Masih belum habis rupanya" gumam hatiku. Ketika itu juga bas tiba, aku terus pantas menaiki bas. Melihat aku sudah menaiki bas lelaki tersebut bergegas masuk semula ke dalam kereta. 

"Sapa tu, diorang nak apa" tanya abang bas kepadaku, dia juga curiga. Entah, jawabku sambil terus masuk dan mencari tempat duduk.

Petang itu, selepas kerja, baru aku sempat ke IPD Kuala Muda untuk membuat laporan polis. Lama juga aku disoal siasat oleh inspektor bertugas. Sekitar jam 9.30 malam baru selesai semuanya.

Ahad, 8 September 2019

Memaknai Rumi: Siri 4


I've said before that every craftman
searches for what's not there
to practice his craft.

A builder looks for the rotten hole
where the roof cave in. A water carrier
picks the empty pot. A carpenter
stops at the house with no door. (24)

Manusia sentiasa mencari kekosongan, ia datang kepadanya dan mengisinya. Begitulah canda Rumi, seorang tukang kayu mencari lautan kosong, dia menjumpainya dan mengisinya dengan perahu. Kita kata kita bencikan kekosongan tetapi kita menjumpai tenang di dalam hening subuh. Kita kata kita bencikan kesepian tetapi kita menjumpai jiwa dalam perpustakaan yang sunyi jauh dari hiruk pikuk manusia.

Kita kata kita bencikan miskin, tapi kita selalu menghabiskan ratusan ringgit untuk meninggalkan kota dengan segala kekayaannya, lalu termenung di pondok usang miskin yang sederhana menghayati tenggelamnya cahaya suria.

Rumi terus bercanda tentang bencinya manusia pada mati, lalu dia bercerita tentang si Attar. Buat apakah si Attar itu? Ah mungkin itu akan kita candakan lain kali.

Tetapi jiwamu yang hilang, carilah dia dalam kosong dan kesunyian.

Selasa, 3 September 2019

The Meaning of Marxism - Paul D'Amato




Akhirnya setelah lebih dari dua bulan akhirnya berjaya menghabiskan pembacaan buku The Meaning of Marxism tulisan Paul D'Amato. Saya membaca buku ini agak perlahan, mungkin kerana kandungannya yang berat (atau mungkin saya malas), ia banyak membuatkan saya berhenti dan berfikir.

Pada asalnya saya membaca buku ini bagi memahami aspek ekonomi yang diketengahkan oleh pemikiran kiri sebagai alternatif sistem ekonomi kapitalis dan neo-liberal. Namun buku ini tidak ditulis bagi tujuan itu, perbahasan ekonomi hanya dibincangkan dalam satu bab kecil yang berkisar tentang Labour Theory of Value (LTV) yang mengetengahkan idea bahawa yang memberi nilai kepada sesuatu produk adalah tenaga kerja manusia. Konsep keuntungan dalam LTV adalah jumlah gaji yang dibayar kepada pekerja adalah kurang dari nilai sebenar produk yang pekerja hasilkan, perbezaan ini (surplus value) adalah keuntungan. Ia adalah asas kepada ketidakadilan dalam perjuangan proletariat atau pekerja. Berbeza dengan mainstream economics, yang mana mengetengahkan idea nilai ditentukan pasaran melalui supply and demand.

Bagi saya D'Amato memberi sumbangan berharga dalam memudahkan pemahaman tentang konsep-konsep pemikiran kiri. Bermula dengan Hegelian Dialectic, Dialectical Materialism, apa yang dimaksudkan dengan Sosialisma, strategi perubahan sosial - reformasi atau revolusi? dan banyak lagi.

Antara topik yang berharga bagi saya secara personal adalah berkenaan dengan Revolusi Russia. Bagaimana ia berjaya, dan bagaimana ia kemudiannya gagal. Walaupun tidaklah diceritakan dengan panjang lebar, bagi saya ia cukup untuk memberi gambaran asas (untuk sejarah Revolusi Russia secara detail perlu baca buku Trotsky - saya sudah beli tapi belum berani buka kerana terlalu tebal, mungkin kena devoted one whole year untuk satu buku itu sahaja).

Saya berazam nak membaca buku-buku ekonomi tahun ini, tetapi buku ini saya kira sangat dense oleh itu saya perlu sedikit distraction. Jadi rasanya akan baca buku pasal sains politik balik.