Memaparkan catatan dengan label Monolog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Monolog. Papar semua catatan

Khamis, 26 September 2024

Malam Dalam Aksara Yang Panjang: Masa-Masa Yang Dicuri Kehidupan


Sudah begitu lama rasanya blog ini sunyi dalam coretan, kesibukan kehidupan telah mencuri masa untuk aku mencatatkan monolog-monolog dan fikiran panjang. Setiap hari masa dihabiskan dengan kerja-kerja yang memenatkan yang tidak memungkinkan malam hari diisi dengan sesi menungan dan tulisan panjang. Masa yang ada hanya diperuntukkan untuk kerja dan tidur. Kerja ini bukanlah kesemuanya kerja-kerja cari makan, tetapi termasuk juga kerja-kerja akademik, pengajian, kesukarelawanan, dan juga organisasi. Semuanya merebut masa celik harian. Namun malam ini aku gagahkan diri, melawan perasaan mengantuk untuk berdua-duaan dengan aksara. Mungkin terlalu rindu pada monolog dan renungan, hari ini aku gagahkan juga diri. Kerana bagiku menulis refleksi itu dapat membaiki jiwa, mengisi tenaga untuk kembali segar bekerja.

Walaupun kini kehidupanku aku rasakan begitu sibuk, sampai tiada masa untuk diri sendiri, tetapi bagiku itulah harga yang perlu kita bayar untuk mencapai sesuatu. Sesuatu yang berharga yang hendak kita capai perlu dibayar dengan masa dan tenaga. Seperti buah yang manis dan ranum itu, ia bukan muncul sekelip mata, tetapi dibelakangnya dipenuhi proses siraman dan pembajaan yang mengambil masa yang lama.

Di peringkat akademik, aku merasakan tahun ini aku agak produktif. Sebanyak tiga arikel jurnal sudah aku hantar. Satu sudah diterbitkan. Artikel kedua sudah selesai proses perwasitan dan suntingan, dan bakal keluar pada bulan Disember. Artikel ketiga masih dalam proses penambahbaikan selepas melalui proses perwasitan. Jika ada rezeki, akan diterbitkan pada bulan November. Tahun ini merupakan tahun pertama aku menghantar dan menerbitkan artikel di jurnal-jurnal akademik, selama ini aku hanya menerbitkan buku, artikel zine, artikel di web, dan juga penerbitan nota. Proses menyunting artikel selepas mendapat komen pewasit ini bagi aku satu pengalaman yang menarik dan mengajar banyak perkara. Ia memaksa aku untuk lebih kritikal, lebih bersedia mempertahankan hujah, dan juga lebih berhati-hati dalam penulisan.

Cuma aku juga merasakan kadang garis panduan yang diberikan ini mengongkong. Aku tidak bebas menulis dengan gaya yang aku mahu, jadi penerbitan jurnal akademik ini aku rasakan seperti sesuatu yang membosankan juga. Tidak pasti di masa hadapan adakah aku akan meneruskan proses ini. Bagi aku menulis dengan bebas itu lebih membahagiakan. Tetapi menulis dengan bebas pun punyai sisi-sisi kontranya. Jika sudah terbiasa menulis dengan bebas tanpa kongkongan, kita boleh jadi syok sendiri. Menerbitkan sahaja buah pandangan kita tanpa ada panduan editorial dan kawalan kualiti. 

Sesetengah teman menasihatkan aku untuk menulis dalam kedua-dua aliran ini. Katanya tidak perlu memilih. Boleh menulis dalam kedua-dua rangka tersebut. Namun pilihan ketiga ini juga ada sisi kontranya, yang paling utama dan jelas adalah keletihan jiwa dan raga. Kerana penulisan yang perlu dihasilkan berganda-ganda. 

Oleh kerana malam ini aku memutuskan untuk menulis bebas, jadi aku mahu tulis sahaja apa yang aku mahu, tanpa ada halangan atau rangka konsep. Konsepnya hanya 'suka hati'. Dengan konsep ini aku bebas meluahkan apa sahaja. Mengisi balang karangan ini dengan apa sahaja yang aku mahu. Aku ingin sentuh sedikit perihal peristiwa dan kelelahan hari ini.

Hari ini dimulakan dengan benkel sejarah lisan yang bersambung dari hari semalam. Sambil mendengar dan melakukan mock interview, aku menyiapkan kerja-kerja hakikiku. Pagi ini cawan kesayanganku jatuh pecah, seolah satu petanda bahawa hari ini adalah hari yang tidak indah. Di sebelah tengah hari, aku ke Pulau Pinang untuk berdiskusi dengan teman sepejabat perihal hal-hal penganjuran aktiviti sukan. Kami bersembang sambil makan makanan tradisi Pakistan. Pulang dari Pulau Pinang, aku menghadapi satu peristiwa yang sedikit sebanyak menganggu emosiku ketika kereta aku mahu keluar dari tol Sungai Petani. Aku kemudian merasakan begitu lelah sekali. Sampai rumah sahaja, aku mandi, solat dan terus tidur. Selepas maghrib, aku luagkan sedikit masa bersembang, bercerita, dan bergelak ketawa bersama anak-anak di atas katil. Ini sedikit sebanyak mengubati emosi aku yang terluka sejak insiden di jalan raya pada hari petang.

Pada sebelah malam, aku meluangkan masa untuk bersembang bersama dengan Nazreen dari Bukuku Press dalam podcastnya iaitu Diaspora Podcast. Lama sudah aku tidak bersembang hal-hal buku kerana Kultura Podcast kini sudah mengalami zaman kegelapan selepas pengusahanya berpindah ke Sarawak. Podcast bersama Nazreen adalah perihal buku yang sedang dibaca, tetapi kami melalut juga ke isu-isu semasa terutamanya perang Israel ke atas Palestin dan Lubnan. Sebanarnya banyak buku yang aku mahu kongsikan dalam podcast tersebut, namun sempat kongsikan dua buah buku sahaja.

Melihat jadual mingguan aku, aku dapati tiada tanda-tanda aku bakal menjadi lebih banyak masa pada minggu ini dan minggu seterusnya. Semuanya sibuk diisi program dari pagi hingga ke malam, dari hari bekerja hingga ke hari minggu. Walaupun produktif dan memuaskan, ia tetap menyedut segala tenaga dan sangat melelahkan. Baiklah, sampai di sini sahaja monolog malam ini dalam satu himpunan aksara yang panjang. Sekadar mahu mencuri masa, dan mencatat sedikit renungan. Sekarang masa untuk kembali ke alam mimpi.

Rabu, 22 Mei 2024

Mon Monologue: Dva

 

Hari ini diberi kesempatan untuk berenang-renang di dalam kolam disamping membawa anak-anak bercuti dan mandi. Menyelam dan berenang di dalam kolam merupakan satu aktiviti yang sangat menyegarkan bagiku. Seolah-olah ikatan kuat yang mengikat fikiran sehingga stress perlahan-lahan melonggar. Fikiran mula beransur tenang sambil badan diapungkan oleh air biru yang jernih.

Melihat silauan cahaya matahari yang terbias di dasar air juga melonggarkan lagi ikatan yang membelenggu fikiran. Sambil merasakan diri hanyut terapung di dalam air biru yang jernih. Fikiran dibiar kosong dan melayang. Segala kerja yang menyesakkan dilupakan. Yang ada hanyalah apungan dalam satu ruang kosong yang tidak mempunyai dasar. Kosong, kosong, longgar, dan menyegarkan. Biar pun apungan itu hanya sementara sahaja, sedikit sebanyak minda kusut yang ketat menjadi terbuka semula. Kerja-kerja yang bertimbun dilihat dengan objektif semula. Bukan lagi dari perspektif stress, tapi perspektif produktif, untuk disusun dan dibereskan satu per satu.

Kerja memang banyak dan tidak akan habis. Jika habis pun, kita akan mencari dan mencipta kerja baharu bagi mengisi kekosongan hidup. Merenung sepasang tangan di dalam air biru aku terfikir. Semua manusia diberikan sepasang tangan yang sama. Kanan dan kiri. Tetapi mereka menghasilkan hasil yang berbeza-beza. Apa yang membezakan mereka bukan sepasang tangan mereka, tetapi banyak mana usaha yang sanggup dilaburkan.

Dalam apungan hidup yang sebentar ini, aku harap, dua tangan aku ini mampu aku gunakan untuk meninggalkan sesuatu yang bermakna buat dunia.

Jumaat, 6 Oktober 2023

Erti Hidup Pada Melepaskan


Hidup ini merupakan perjalanan yang panjang, oleh itu kita tidak dapat membawa semua yang kita rasai dan hadapi dalam perjalanan hidup. Kerana jika kita mahu membawa semuanya, hidup akan menjadi terlalu berat, kita akan tersangkut dan tidak dapat bergerak. Oleh itu, salah satu perkara yang penting dalam hidup adalah untuk kita belajar melepaskan. Belajar melepaskan memori dan nostalgia yang melukakan. Belajar melupakan kesilapan dan kesalahan. Belajar untuk melepaskan orang-orang yang menghambat kehidupan kita.

Saya dulu merasakan kita perlu mendengar dan terima semua pandangan orang lain. Walaupun pandangan itu menyakitkan, melukakan, dan juga melemahkan diri saya sendiri. Mungkin pengalaman masih belum banyak, jadi saya memang idealis, naif, dan hanya menerima apa yang datang. Namun semakin dewasa saya menyedari tak semua orang itu berguna untuk saya, ada orang-orang yang sebenarnya saya tidak perlukan. Malah jika saya simpan mereka dalam hidup saya, ia hanya akan membuatkan hidup saya statik dan terpendam. 

Maka penting untuk kita melepaskan mereka dari hidup kita. Kita tak perlu dengar semua pendapat dan pandangan. Kerana ada pandangan yang sebenarnya bukan pandangan, tetapi hanyalah iri hati yang dibalut dengan keindahan. Ada komen yang sekadar mahu melemah dan mematahkan kita. Ada senyuman yang palsu. Maka, kebolehan untuk kita mengabaikan orang-orang seperti ini sangat penting. Ia membolehkan kita terbang lebih tinggi, berlari lebih jauh, dan mendaki puncak-puncak baharu.

Tidak perlu untuk kita selama-lamanya terperangkap dalam bayang-bayang orang lain. Tiba masa kita kena belajar keluar, berdikari, dan mandiri. Perlu berani untuk tidak menoleh ke belakang. Pasti, tiba satu hari nanti, kita akan menghargai keberanian diri kita sendiri pada masa lalu. Kerana jika kita masih membelenggu diri kita dengan orang-orang yang tidak penting dan merosakkan, hidup kita hanya akan statik, malah mungkin lebih teruk, sentiasa terkebelakang. Kita tak mampu untuk maju ke depan.

Maka ingatlah, tidak semua orang itu penting. Sebahagiannya memang ditakdirkan untuk kita tinggalkan. Agar kita mampu membesar dan mendewasa dengan lebih bahagia.

Ahad, 24 September 2023

Tidak Lebih Dari Daun Kering Yang Hanyut Tanpa Sedar


Kadang-kala kita akan mempersoalkan keputusan yang kita buat dalam hidup. Di lautan infiniti kemungkinan, kita hanya dapat memilih satu pilihan. Meninggalkan infiniti pilihan lain yang telah ditolak satu. Selepas itu, alur kehidupan baharu akan terbentuk, suka atau tidak, kita tidak dapat berpatah semula selepas kita melakukannya.

Bagi saya, itu biasa. Itulah kehidupan. Kehidupan adalah satu dari pelbagai pilihan. Sebagai makhluk rasional, kita selalu akan berfikir ke belakang, menimbang betulkah keputusan yang kita lakukan ini. Namun, tiada siapa yang dapat menjawabnya melainkan diri kita sendiri.

Saya sering juga menilai keputusan dalam hidup. Sering kali banyak perkara yang mudah boleh dipilih. Tetapi entah kenapa, yang lebih susah itu lebih memikat hati untuk dipilih. Saya merasakan, hidup yang sekali ini, pastilah lebih bermakna jika kita mencuba sesuatu yang sukar. Sesuatu yang tidak dicuba oleh orang lain.

Teringat zaman di universiti. Masa tahun akhir, para pelajar disuruh memilih penyelia. Ada seorang penyelia yang digeruni pelajar, namanya Cistyakov. Mungkin kerana dia sedikit tegas dan garang. Semua pelajar tidak berani menjadikan beliau sebagai penyelia mereka. Saya pula tidak berapa gemar ikut orang lain. Jadi saya memilih beliau, kemudian ada beberapa teman lain yang memberanikan diri untuk memilih beliau. Orang kata, the rest is history.

Mengikut arus dan pilihan majoriti memang mudah dari menjadi dissenter, contrarian atau non-conformist. Tapi dimanakah keseronokan dalam hanya mengikut dengan senang lenang? Melawan arus tidak menjanjikan kejayaan, tapi kita dapat belajar lebih banyak daripadanya. Sama ada keputusannya jaya atau gagal. Ia memberi kita lebih kekuatan dan daya tahan.

Teringat puisi Inggeris yang dipelajari dulu-dulu masa di sekolah "the road not taken". Memilih jalan yang orang lain tidak mahu lalui kadang memang sukar dan mencabar. Ia melatih tahan dan sabar. Namun bagi saya, ia lebih memuaskan, dari sekadar mengikut sahaja arus dan apa yang ditetapkan. Seolah hidup tidak lebih dari daun kering yang hanyut tanpa sedar.

Sabtu, 29 Oktober 2022

Monolog di Dalam Hujan Yang Tidak Mahu Berhenti


Tiada siapa pun yang berhak mencela orang lain, kerana dia tidak memahami apa yang dihadapai oleh orang lain. Meski pun pada wajaran akalnya tampak apa yang dilakukan adalah satu kesalahan. Manusia adalah produk sejarah, dan tiap-tiap produk itu menjalani sejarahnya yang berbeza. Keadaan yang berbeza. Suasana yang berbeza. Situasi yang berbeza. Walau sebesar manapun dosa, sejauh mana pun telah berantakan sebuah keluarga, kadang kala aku mengharap alam ini akan meminjamkan tenaganya agar segala hubungan manusia dapat diperbaiki, agar segala luka lekas sembuh, agar segala amarah segera padam, dan agar kasih sayang kembali berputik. Alangkah bagusnya ika manusia itu menyedari bahawa masa ditangannya hanya sedikit, sangat malang jika dihabiskan untuk dendam dan benci.

Dalam perjalanan hidup yang serba singkat ini, kita bertuah jika dijodohkan dengan teman yang memahami jiwa kita. Yang mana kita boleh membelah isi hati kita dan berikan padanya. Meski pun isi itu buruk dan busuk, dia tetap menerima kita apa adanya. Bahkan dia mengambilnya dan membasuh isi hati kita itu, lalu dipulangkan isi yang sudah bersih dan damai. Teman seperti ini lebih berharga dari seguni emas. Apabila mereka telah tiada, kita sebenarnya sudah jatuh miskin. Tiada lagi tempat untuk kita membuka hati seperti itu, pada seorang teman yang kita tahu, melihat kita dengan penuh sayang. Dia hanya mahu melihat kita gembira dan bahagia dengan jalan apa pun yang kita pilih.

Tulisan ini sebenarnya tiada hala tuju, sekadar mencoret monolog yang hadir bersama hujan yang tidak berhenti di luar sana.

Jumaat, 16 September 2022

Di situ terhenti batas usaha


Dalam hidup ini, kita hanya mampu membuat keputusan. Untuk menentukan keputusan kita itu betul atau salah, itu adalah di luar batasan usaha. Itu sudah masuk ke dalam ruangan lain, ruang rasa, yang tidak mampu lagi kita bendung dengan usaha.

Sebaik mana pun niat dan usaha kita, ada kalanya natijahnya tidak berpihak kepada kita. Bukan tugas kita untuk menangisinya, tugas kita adalah menerima bahawa kuasa manusia itu terbatas. Terlalu banyak faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh upaya tangan manusia. Cubaan untuk mengawal semuanya akan membuatkan kita penat, kecewa dan berputus asa.

Betul atau tidak keputusan yang kita lakukan sukar untuk dipastikan. Kadang ia bergantung pada perasaan orang lain. Jika sesuatu keputusan itu mengamankan semua orang disekeliling kita, kita mungkin merasakan ia keputusan yang betul. Meski hati kita sendiri tidak merasa aman. Hati sendiri pun ada ketikanya tidak dapat kita kawal, apatah lagi hati orang lain.

Kita mampu berhati-hati tapi kita tak akan mampu mengawal hati. Dalam jalan yang panjang dan berselerakan ini pasti sahaja keputusan kita akan menyebabkan hati orang lain terkesan. Itu adalah di luar kawalan kita. Pilihan yang ada adalah kita berhenti bergerak, jika kita tidak bergerak tiada siapa pun yang akan tersentuh.

Tetapi adakah kita boleh katakan sesuatu yang tidak bergerak itu hidup?

Maka resamnya begitu. Setiap hari akan ada pilihan dan keputusan yang perlu kita lakukan. Kecil dan besar. Yang akan mengesani orang lain. Kita tidak pasti yang mana yang betul. Kita hanya mampu berbekal niat yang baik dan usaha yang berhati-hati. Selepas itu kita hanya mampu memejam mata dan menerima, kerana apabila panah sudah keluar dari busurnya, disitu terhenti batasan usaha.

Jumaat, 9 September 2022

Mencari Makna di Hujung Kehidupan


Seperti orang lain, aku juga hidup. Akiu belajar, merantau, berkahwin, berkerja, sama, seperti orang-orang lain. Aku fikir, ada sesuatu yang lain pada manusia. Manusia bukan sekadar makhluk yang puas dengan keperluan asas. Dia sentiasa mencari makna. Aku rasa kemahuan untuk mencari makna inilah yang menyebabkan orang dahulu cuba menafsir alam. Apabila terlihat kucing hitam contohnya, ditafsirkan malang bakal berlaku, kerana manusia cuba mencari makna dari apa yang dilaluinya. Dari apa yang dilihat dan dirasai.

Seperti kisah Hayy Ibnu Yaqzan yang ditulis oleh cendiakawan Andalusia, Ibnu Tufail. Apabila ibu rusa yang membesarkan Hayy mati, dia berasa sangat sedih. Dia cuba mencari apa makna yang menyebabkan makhluk hidup. Apa maknanya mati? Dan apa maknanya hidup? Dengan harapan jika dia dapat menyingkap maknanya, dia dapat membantu ibu rusanya untuk hidup kembali. Memperbaiki mati agar syarat-syarat hidup dapat kembali dipenuhi.

Aku merasakan mati itu yang memberi makna pada hidup. kerana jika kita hidup selama-lamanya, kita tidak akan tahu apa maknanya mati, dan tanpa pengetahuan perihal makna kematian, kita tak dapat mengetahui apa itu hidup. Dua benda yang saling bertentangan itu saling memberi definisi. Ibarat siang, didefinisikan sebagai cerah tidak gelap seperti malam. Sejuk didefinisikan dengan ketiadaan kepanasan. Begitu juga hidup, dimaknakan dengan tiadanya kematian. Dengan merenungi kematian kita menjumpai makna kehidupan.

Begitu jugalah aku, yang berbaki 28 tahun untuk hidup di dunia ini (jika bernasib baik). Aku juga makhluk yang mencari makna. Dan aku merasakan bahawa aku tidak boleh berhenti dalam pencarianku. Jika tidak, kekosongan akan menyusup. Mencari makna itu menghidupkan, dicari melalui pemerhatian, pengamatan, berfikir, dan mencari ilmu.

Kita melakukan perkara dalam hidup yang kita rasakan punya makna. Cuma kadangkala apabila ia menjadi rutin, kadang makna itu pudar dari nurani kita. Ia menjadi aktiviti tawar, dan kita menjadi seperti robot bio-mekanikal, yang bergerak melakukan perkara itu dan ini tetapi didalamnya kosong. Tawar dari sebarang makna dan rasa.

Maka beruntunglah manusia yang sudah menjumpai makna hidup atau merasakan mereka telah menjumpai makna hidup. Kerana selepas itu segala bunyi dan bising dunia tidak lagi menganggunya. Dia dapat fokus pada makna kehidupannya dan melakukan perkara-perkara yang bermakna.

Cuma kadang kita sudah menjumpai makna hidup kita dan berusaha sehabis baik untuk makna itu. Kita berusaha setiap hari dan setiap ketika. Hingga makna itu menjadi biasa dan hilang bisanya pada jiwa. Ketika sendiri kita merasakan makna hidup adalah dengan berkawan dan berkasih. Tetapi apabila ketika bersama, kita merasakan makna hidup adalah apabila dapat bersendiri dan merenung jiwa. Maka adakalanya kita perlu mengambil masa, untuk berpisah seketika dengan makna itu, agar kesegarannya sentiasa terjaga.

Oleh itu, kemaskanlah segala mimpi, masukkan segala impian ke dalam beg galas dan berjalanlah melihat dunia. Melihat makhluk-makhluk berserta ragamnya. Renungan sendiri biasanya menyegarkan kembali jiwa, Menghadirkan semula makna. Dengan menjauh kita dapat melihat sesuatu dengan lebih sempurna. Ibarat jika kita berada di dalam rumah, kita merasakan rumah itu adalah empat dinding di sekeliling kita. Tetapi jika kita keluar, melihat rumah dari jauh. Kita dapat lihat tingkap pintunya, bumbung dan bunga-bunga di  lamannya, pandangan kita lebih sempurna. Itulah makna menjauh, bukan untuk berpisah tapi untuk melihat hidup dengan lebih sempurna dan memahami makna. 

Bagiku hidup ini adalah permusafiran sementara untuk mencari makna.

Selasa, 16 Mac 2021

Kehidupan Adalah Tarik Tali


Apabila kita lahir, dunia kita sangat kecil, apa yang kita kenal mungkin hanya ibu bapa kita juga adik beradik. Kemudian apabila kita bersekolah dunia kita membesar sedikit. Selepas kita belajar dari satu peringkat ke peringkat seterusnya kita semakin faham bahawa dunia sebenarnya lebih besar. Semakin kita selidiki, kita ketahui bahawa masih banyak lagi sempadan yang tidak pernah kita seberangi. Dunia semakin membesar. Dan mungkin sampai satu ketika, kita akan merasakan bahawa dunia ini terlalu besar untuk kita yang kerdil ini. Atau dalam bahasa Inggeris - overwhelming.

Kadangkala, apabila kehidupan kita kosong dari aktiviti. Kita mula mencari, mana organisasi yang boleh kita sertai, apa aktiviti yang boleh kita anjurkan, aktiviti yang boleh kita sertai, kita malah sudi menerima tanggungjawab dan memegang jawatan dalam organisasi. Namun, semakin lama kita beraktiviti, semakin kita aktif, orang akan melihat kita dan memberi lebih banyak lagi bebanan pada kita, hingga akhirnya kita lelah.

Apabila kita lelah, kita mula merasa sesak, merasakan lemas, seolah tiada masa untuk diri sendiri, tiada masa untuk bernafas. Kita mula sedikit demi sedikit melangkah ke belakang. Melepaskan tangungjawab-tanggungjawab, mencari masa untuk menyendiri, beruzlah mencari diri. Atau mungkin jika bebanan itu terlalu berat, jiwa kita akan patah, kita terus meninggalkan semua projek dan aktiviti yang sedang kita buat, lalui, sertai, dan jalani. Semakin lama kita tinggalkan, dunia kita akan rasa banyak isi kosong semula, kita mula mencari semula apa yang boleh kita isi, seperti kitaran ia berulang. Seperti tarik tali, kita tidak mahu ia kosong, dalam masa tidak mahu ia terlalu penuh sehingga kita sesak. Untuk jumpa garis wasatiyyah itu memang sukar, kehidupan adalah proses tarik tali untuk mencari middle ground.

Dahulu saya merasakan kegelapan pemikiran itu satu perkara yang dibuat-buat, namun apabila tiba masa saya merasakannya sendiri, ternyata ia benar, disedut masuk dalam pemikiran yang gelap dan sedih itu ternyata benar. Perasaan depresi itu membenarkannya. Ketika itu kita melihat dunia pudar dari semua warnanya, lagu dan irama indah yang menghiasi ruang udara juga menghilang, senyap dari kicipan merdu mergastua dipagi hari. Mungkin yang paling kritikal adalah lenyapnya kegembiraan dari lubuk hati yang dijalari lara. Dalam proses duka lara ini saya merasakan bahawa lagu-lagu lama itu persis seperti mesin masa. Ia memerangkap perasaan-perasaan kita di dahulu kala, dan apabila ia diputar semula, perasaan lama juga mula menjalari hati kita. Rasa sayunya berganda-ganda, rasa rindu, rasa kehilangan, semunya menghentam dan meremukkan hati.

Isnin, 15 Februari 2021

Kehidupan yang berlalu seperti angin


Di mana aku harus bermula? Aku pun tidak tahu.

Sejak 8.30 pagi aku sudah beratur di pejabat pos. Manusia beratur, panjang, lebih dari dua blok bangunan jarak manusia berbaris. Ada urusan, atau ingin menghantar barang. Sebenarnya aku sudah habis berbaris, dapat nombor, dan mengisi borang. Namun ketika sudah separuh borang aku isi, tiba-tiba proses biologi mendesak aku keluar. Ah biologi, sesuatu yang kita tidak boleh kawal, kenapa perlu sekarang? Aku keluar, ke masjid berdekatan, masuk ke bilik kecil yang disediakan untuk manusia menyelesaikan proses biologi mereka bersendirian. Masih ada dua parcel yang tidak sempat aku isi. Aku perlu beratur semula, dari awal. Ah menyiksakan.

Jam kini hampir jam 11 pagi, nampaknya separuh hari aku akan hilang beratur hari ini. Sedangkan aku mahu pulang, dan menulis satu artikel panjang. Perihal penulisan. Ya, menulis perihal penulisan. Mungkin aku patut jadikan itu sebagai tajuk buku aku seterusnya, selepas berfikir tentang pemikiran.

Aku cuba menghabiskan masa berbaris dengan melihat filem yang ada di Netflix, namun satu pun tidak menarik hati. Kebanyakannya aku lihat separuh sebelum hilang minat. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah hilang minat, dalam semua perkara. Seolah-olah dunia ini tawar, dan tidak mampu menawarkan apa-apa lagi pada jiwaku. Atau mungkin jiwaku yang sudah mati dibunuh kehidupan sehingga tidak mampu merasakan apa-apa. Aku menyesal tidak membawa buku 'Kembara Darus Senawi 1963', buku yang aku mula membaca semalam. Buku yang berjaya menghidupkan sedikit perasaanku yang sudah tawar ini.

Entah, hidup ini memang pelik, kadang kita rasa asing, kadang aku merasa alangkah baiknya jika aku tidak pernah tercipta, tidak perlu mengharungi ketawaran ini. Namun kadang aku merasakan hidup ini satu anugerah, merasai kehangatan sinaran udara pagi. Begitulah kehidupan, yang menggaulkan semua rasa dalam jiwa kita.

Atau mungkin aku sudah tua dan merasakan aku sudah melihat dunia, usia umpama angin, kita merasai bayunya sebentar sebelum ia hilang.

Atau mungkin perasaan ini hinggap disebabkan situasi dunia. Suasana yang mengurung, menafikan kita secawan ketawa bersama teman di rumah makan. Menafikan kita untuk naik ke puncak hijau melihat awan berarak di bawah. Manusia memang fitrahnya pengembara, jika dahulu mereka merentas sahara, menggali tanah, membelah samudera, meroket angkasa, kini mereka disuruh duduk bekerja di rumah, membuatkan mereka separa gila.

Namun sebanyak mana pun perenggan yang aku tulis, akhirnya ia kembali kepada satu perkataan, yang aku sebutkan tadi, "entah", aku tak punya jawapan untuk perasaan ini, atau mungkin tidak-berperasaan ini. 

Rumi ada menulis dalam puisinya bahawa manusia mencari dirinya pada benda yang tidak ada. Tukang kayu akan pergi kepada rumah yang tiada pintu, supaya dia boleh bertukang, kata Rumi. Tapi disaat ini ketidak-adaan membuatkan aku merasakan diri aku hilang, tidak aku jumpa. Malah aku ingin menjadi "tidak ada". Walau aku sendiri tak pasti apa yang menanti disana. Namun jika disana tiada perasaan ini, mungkin aku boleh membayar harganya. Aku juga sering mengatakan bahawa menulis adalah terapi diri, namun hari ini ia memakan diri, aku silap, tidak untuk hari ini, hari ini menulis tidak dapat memberi warna pada perasaan tawar ini.

Mungkin aku juga makhluk sosial, yang akan layu dan mati perlahan-lahan tanpa adanya teman. Ada perkara yang tak mampu diberi oleh keluarga, yang ada pada mereka yang kita gelarkan sebagai teman, kawan, sahabat, komrad, atau seorang asing yang meneman kita bicara. Namun aku akhirnya kembali ke daerah yang sama, daerah "mungkin" dan daerah "entah". Kerana apa pun pikiranku, ketawaran ini aku tidak dapat agak apa misinya, apa objektif diciptakan perasaan tawar, apakah raison d'etre ketidak-rasaan aku ini.

Atau mungkin, bukan dunia ini yang pelik, mungkin aku yang pelik.

Merasa asing ketika bersama.
Merasa gelisah ketika tenang.
Merasa kenyang ketika di depan makanan.
Merasa segar ketika harus mengantuk.
Namun, apabila mengantuk, tidak dapat tidur.

Atau mungkin aku terlalu dahaga, sekali lagi aku berpusing di daerah yang sama, mungkin penawar tawar ini adalah secawan air sejuk. Apabila tiba dibawah bumbung aku teguk, namun ia tidak juga menghilang pergi.

Atau mungkin perasaan ini akan hilang nanti petang, seperti kehidupan, ia juga akan berlalu seperti angin.

Isnin, 18 Januari 2021

Melempar Minda Kembali ke Dalam Laut


Hari ini kita tahu terlalu banyak, bukan terlalu sedikit. Menjadikan pundak kita sesak, minda kita tenat, fikiran kita penat. Dunia dipenuhi dengan pelbagai jenis masalah, menjadikan kita 24 jam resah. Ketenangan merupakan rahsia manusia yang hilang, kita perlu berlumba dengan semua orang, kita perlu berjaya seperti semua orang, kita berlari, namun akhirnya kita tewas. Termenung merenung dinding kosong.

Kita mahu kewujudan kita ini bererti sesuatu. Sekurang-kurangnya dunia menjadi lebih baik selepas kita mati meninggalkannya. Namun kita buntu untuk bermula di mana. Kita terlalu banyak informasi. Ada kapal terbang terhempas di negara seberang, adakah kita perlu pergi ke sana membantu, jika tidak, mengapa berita itu kita diberi tahu. Atau adakah kita perlu menjadi saintis, bekerja melawan masa untuk mencipta vaksin yang menyelamatkan dunia. Atau kita perlu menyediakan kapal, membuat ekpedisi ke kutub bagi menyelamatkan beruang yang hilang habitat kerana kecairan glacier. Atau ke Afrika, menghantar makanan? Apa yang kita perlu lakukan dengan berita-berita masalah dunia yang meributi kaunter informasi minda kita.

Keributan informasi ini satu perkara yang tidak dikenali oleh nenek moyang kita. Kita mungkin boleh mengejek mereka kerana mereka tidak pandai membuka akaun Facebook, atau me-re-tweet cerita gossip panas, atau menonton kejadian viral di Youtube. Tetapi mereka hidup dengan tenang. Pagi ke sawah atau ladang. Petang memberi makan lembu dan ayam, anak-anak dibiar mandi parit. Malam-malam mengaji Al-Qur’an sebelum tidur. Mereka tidak perlu fikir rusuhan yang berlaku di Washington atau siapa di tangga pertama manusia paling kaya dalam dunia. Mereka sudah kaya dengan ketenangan, itu sudah cukup.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk berdakwah supaya manusia menjadi pasifis atau menjadi penganut defeatism. Sekiranya anda mampu mengubah dunia, berbuat baik meskipun hanya menghilangkan secebis duri di jalanan, itu adalah baik. Setiap kebaikan itu adalah baik, meskipun sekecil mikroskopik. Seperti kisah yang terkenal, perihal seorang lelaki, yang berjalan di tepi pantai. Dia melihat seorang budak sedang membaling tapak sulaiman kembali ke laut dengan berhati-hati.

“Hai budak, apa yang kau perbuat?” soalnya hairan.

“Tapak sulaiman ini harus segera dikembalikan ke dalam air, ia akan mati kering jika dibiar terdampar” jawab budak itu gigih.

“Tapi ada berjuta-juta lagi tapak sulaiman berkilometer di sepanjang pantai, ia tidak mengubah apa-apa” soalnya lagi bertambah bingung.

Budak itu mengambil tapak sulaiman baru, dan dibaling ke dalam laut. 

“Tidak bagi tapak sulaiman yang berjaya saya selamatkan ini, mereka dapat merasai perubahan” jawabnya puas.

Tentu sahaja kita tidak dapat mengubah dunia yang luas ini dengan tangan kecil kita, ia terlalu besar untuk diubah oleh hanya satu tangan kudrat manusia. Namun, itu juga tidak bermaksud kita tidak harus berbuat apa-apa. Mungkin lambakan informasi ini membingungkan kita, kita lemas di dalamnya. Jika boleh berbuat kebaikan, berbuatlah meski sekecil apa pun, jika tidak, jika lemas dan rimas, tiada masalah juga untuk menutup berita. Menutup kaca-kaca peranti elektronik untuk berjalan-jalan di taman.

Mencari ketenangan dengan melihat awan yang bergerak perlahan, tinggalkanlah dunia yang penuh dengan ribut beritanya. Tutup sepasang mata dan nikmati secawan kopi panas, rasai bagaimana kopi itu menyerap masuk ke dalam mulut. Bak kata Eckhart Tolle, nikmati saat sekarang, berhenti sebentar dari hiruk pikuk untuk merasa hidup.

Jika masalah dunia terlalu besar untuk diselesaikan, tidak mengapa, jangan salahkan diri anda. Lihatlah persekitaran sekeliling. Mungkin ada kucing kurap yang boleh dibantu dan diberikan makanan. Mungkin ada buku yang sudah lama dibeli tidak dibaca. Mungkin ada roti yang sudah lama terbiar dan boleh diberi kepada burung merpati. Mungkin tiada siapa yang kisah jika anda tidak berkongsi apa-apa di laman sosial? Atau mungkin sudah tiba masanya anda berbuat baik kepada diri sendiri? Melemparkan minda kusut ke dalam laut agar boleh tidur nyenyak dalam mimpi yang indah. Mungkin anda perlu berehat sebentar, bertenang, masalah dunia tetap akan ada apabila anda bangun nanti, sekurang-kurangnya jika tidur ia boleh dihadapi bila anda bertenaga semula.

Khamis, 3 Disember 2020

Usah Tewas Pada Sayap Dan Pucuk Itu


Malam itu aku bercakap,

Kemudian nota ku tulis perihal rangkap,

Anak-anak kecil dari tawa sudah hanyut,

Diulit mimpi di malam larut.

 

Pagi itu berat mataku,

Mungkin semalam sudah menyedut daku,

Dengan segala tenaga yang mampu.

 

Saat pulang mengantar kecil permata,

Ke asuhan mengumpul ilmu dan tinta,

Ku terpandang semangat burung kuning,

Yang terapung diatas kening.

 

Begitu tangkas dengan semangat tegap,

Keluar mengayuh sayap,

Mungkin itu hantaran Tuhan,

Untuk mengubat mata kuyu keletihan.

 

Tiba di rumah aku melihat tersergam,

Timbunan tanah hitam semalam,

Pagi itu tumbuh pucuk baru dicelah,

Dikambus tetap tidak mahu mengalah,

Tiada timbunan yang mampu memenjarai,

Pucuk hijau mencium mentari.

 

Ku bisik pada hati,

Ayuh, kini giliran mu,

Usah tewas pada sayap dan pucuk itu!

Ahad, 1 November 2020

Muhasabah Sebuah Kelahiran


Sambutan hari lahir tahun ini dirumah sahaja, biasanya isteri akan belanja makan diluar, tetapi kerana mengenangkan suasana pandemik yang masih belum surut beliau hanya membawa balik ayam goreng 4Fingers dan sekeping pizza untuk dimakan dirumah bersama anak-anak. Sederhana tetapi syukur, masih diberi secebis nafas untuk merasai sebuah kehidupan. Masih dikurnia orang-orang yang menyayangi diri ini.

Sambutan hari lahir bukanlah sebuah tradisi dalam keluarga saya. Kami tidak pernah menyambutnya semasa kecil seingat saya. Malah saya sendiri tiada kesedaran akan bila sebenarnya tarikh kelahiran saya. Ketika di sekolah menengah baru saya mula sedar dan tahu bila tarikh kelahiran saya kerana menyambutnya bersama rakan-rakan sekolah.

Namun kebelakangan ini saya lebih banyak memikirkan soal kematian berbanding soal kelahiran. Mengenang pemergian ayah sekitar 7 bulan lalu, jika dibanding usia pemergian ayah, saya hanya mempunyai baki 30 tahun lagi untuk terus hidup. Bakinya telah saya gunakan, telah saya hidupi, sama ada ia kehidupan yang baik, saya tidak pasti, namun saya kira itulah kehidupan paling baik yang saya boleh hidupi, dengan keadaan hidup yang saya ada. Sekarang saya mempunyai baki 30 tahun sahaja lagi, itupun jika ajal bukan lebih awal, jadi 30 tahun terakhir ini perlu difikirkan mahu diisi dengan apa, sebelum tiba masanya untuk pergi selama-lamanya.

Dahulu semasa kecil saya mempunyai banyak cita-cita, dan cita-cita ini sering berubah dari masa ke semasa, bergantung kepada apa yang saya alami dalam setiap fasa hidup. Saya ingin menjadi mujahideen berjuang membebaskan Afghanistan dari penjajahan Soviet, ingin menjadi saintis, ingin menjadi penternak ayam di kampung, ingin membuka rumah anak yatim dan miskin, dan seribu satu cita-cita lagi. Kini mungkin saya sedar, tidak semua cita-cita itu saya boleh capai, dahulu saya ingin mengubah dunia, di umur 30-an ini saya ingin mengubah diri saya.

Antara target baharu saya ialah untuk menghabiskan pengajian sarjana saya sebelum melangkah ke umur 40-an, alhamdulillah baru-baru ini saya telah berjaya menghabiskan peperiksaan untuk menjadi ahli profesional dalam bidang perkapalan jadi bolehlah saya kembali semula ke sekolah pascasiswazah. Cumanya keadaan semasa kelihatan tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19, penangguhan pengajian di universiti, jadi saya mungkin perlu menunggu dahulu sebelum keadaan menjadi normal semula. 

Ahad, 27 September 2020

Menulis Mengikut Falsafah Marcus Aurelius


Kadang-kadang saya tiada tujuan untuk menulis, tetapi tetap juga tangan akan berlari-lari diatas papan kekunci, menaip apa sahaja yang hinggap di minda. Kadang kala ia sekadar coretan yang compang-camping, tetapi apabila ia sudah dicoret, ia memberi ketenangan pada hati, seolah-olah saya perlu melepaskan sesuatu, mengurangkan sedikit bebanan sebelum boleh melangkah lagi dalam perjalanan kehidupan.

Seolah-olah hati saya sudah berpaut pada blog usang ini, menulis merupakan sebahagian dari diri, tidak kira jika ada atau tidak orang yang membaca, itu tidak penting, yang penting saya telah menyelesaikan sedikit kesesakan di jiwa dengan menulis. Melepaskan perasaan yang telah sekian lama bertakung, apabila sungai emosi berjalan dengan lancar kembali, kehidupan seperti segar semula, seperti ada makna. Tidak lagi nihilis.

Saya teringat beberapa hari sudah, saya terhanyut ke dalam sebuah video di channel Ryan Holiday iaitu Daily Stoic, perihal Marcus Aurelius dan junalnya. Ini bukan kali pertama saya bertemu dengan Ryan Holiday, saya pernah membaca buku beliau Trust Me, I'm lying 5 tahun sudah. Bagi saya video itu sangat menarik, terutamanya dalam membahaskan kenapa kita perlu menulis jurnal, mengutip kata-kata hikmah sepanjang perjalanan kehidupan.

Dalam sejarah Empayar Rom, banyak kisah-kisah peperangan epik yang direkodkan. Namun, disebalik kisah keberanian tentera, atau kehebatan seorang jeneral, satu buku dari empayar tersebut menjadi rujukan dan bacaan hingga ke hari ini. Bukan perihal perang atau keberanian, tetapi perihal renungan kendiri dan muhasabah diri seorang raja. Marcus merupakan raja terakhir yang memerintah di zaman Pax Romana, zaman dimana Empayar Rom mengecapi zaman yang stabil dan aman. Bukan sahaja seorang raja, Marcus merupakan seorang ahli falsafah yang kuat berpegang dengan falsafah Stoic.

Mengapa nota peribadi perihal renungan yang digelar "Meditation" itu lebih memberi kesan dan bertahan lama dimata pembaca? Berbanding dengan kisah-kisah epik ketenteraan?

Kerana renungan diri ini merupakan mutiara pemikiran yang berharga. Marcus tidak menulis untuk menerbitkan buku, dia tidak menulis untuk mempengaruhi sesiapa, beliau tidak menulis untuk memuaskan hati audiens, dia tidak menulis untuk menjadi terkenal, tetapi Marcus menulis untuk dirinya sendiri. Bermuhasabah sambil memberi nasihat pada diri sendiri. Itu yang membuatkan tulisannya berharga, menjadikan ia satu mutiara untuk manusia yang hidup beribu tahun selepas Marcus. Kerana itu juga, penulisannya dalam Meditation berulang-ulang, kerana dia bukan menulis untuk orang lain, tetapi untuk dirinya, dan dia sedar sesuatu nasihat itu perlu diulang-ulang agar ia diingati dan diamalkan.

Sebab itu kadangkala saya tidak kisah menulis jika tiada like, comment, atau share, sekiranya tiada royalti pun saya akan menulis. Kerana menulis ini merupakan ruang untuk kita berfikir terhadap dunia, peluang untuk kita cuba memberi makna tentang apa yang berlaku dalam kehidupan seharian, ia ditulis untuk diri kita. Sekiranya ia dibaca oleh orang lain, itu bonus sahaja. Yang lebih penting adalah ia merupakan renungan ikhlas diri sendiri, catatan pengalaman, kutipan apa yang berharga yang kita temui sepanjang hidup, juga tempat untuk kita melepaskan emosi dan perasaan.

Ahad, 3 Mei 2020

Impian Sebagai Enjin Manusia



Apa yang membuatkan seorang ibu yang penat berkerja sepanjang hari, kemudian balik kerumah menjaga anak-anak, memasak dan membasuh baju, kemudian setelah anak-anaknya tidur, dia menyalakan lilin untuk menulis novel? Apa yang membuatkan seorang pemuda yang bekerja tiga kerja sehari, dari pagi hingga ke malam, kemudian memberikan hampir semua hasil titik peluhnya kepada orang lain? Apa yang membuatkan seorang anak kecil, yang hidup miskin dan terhina, keluar dari rumah persembunyiannya dan membaling batu-batu kecil kearah kereta kebal yang memasuki kampungnya? Apa yang membuatkan seorang lelaki yang baru pulang membeli belah dikedai, dengan plastik penuh barang keperluan, berdiri dihadapan kereta kebal yang ingin masuk kedalam bandarnya?

Mereka semua melakukan semua ini kerana mereka mempunyai sebuah impian.

Impian merupakan enjin yang sangat berkuasa dalam menggerakkan manusia untuk berusaha untuk mencapai sesuatu yang belum wujud. Sesuatu yang dia belum rasa, sesuatu yang bagi dirinya akan membuatkan dirinya bahagia, membuatkan dirinya terasa lengkap.

Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.