Jumaat, 9 September 2022

Mencari Makna di Hujung Kehidupan


Seperti orang lain, aku juga hidup. Akiu belajar, merantau, berkahwin, berkerja, sama, seperti orang-orang lain. Aku fikir, ada sesuatu yang lain pada manusia. Manusia bukan sekadar makhluk yang puas dengan keperluan asas. Dia sentiasa mencari makna. Aku rasa kemahuan untuk mencari makna inilah yang menyebabkan orang dahulu cuba menafsir alam. Apabila terlihat kucing hitam contohnya, ditafsirkan malang bakal berlaku, kerana manusia cuba mencari makna dari apa yang dilaluinya. Dari apa yang dilihat dan dirasai.

Seperti kisah Hayy Ibnu Yaqzan yang ditulis oleh cendiakawan Andalusia, Ibnu Tufail. Apabila ibu rusa yang membesarkan Hayy mati, dia berasa sangat sedih. Dia cuba mencari apa makna yang menyebabkan makhluk hidup. Apa maknanya mati? Dan apa maknanya hidup? Dengan harapan jika dia dapat menyingkap maknanya, dia dapat membantu ibu rusanya untuk hidup kembali. Memperbaiki mati agar syarat-syarat hidup dapat kembali dipenuhi.

Aku merasakan mati itu yang memberi makna pada hidup. kerana jika kita hidup selama-lamanya, kita tidak akan tahu apa maknanya mati, dan tanpa pengetahuan perihal makna kematian, kita tak dapat mengetahui apa itu hidup. Dua benda yang saling bertentangan itu saling memberi definisi. Ibarat siang, didefinisikan sebagai cerah tidak gelap seperti malam. Sejuk didefinisikan dengan ketiadaan kepanasan. Begitu juga hidup, dimaknakan dengan tiadanya kematian. Dengan merenungi kematian kita menjumpai makna kehidupan.

Begitu jugalah aku, yang berbaki 28 tahun untuk hidup di dunia ini (jika bernasib baik). Aku juga makhluk yang mencari makna. Dan aku merasakan bahawa aku tidak boleh berhenti dalam pencarianku. Jika tidak, kekosongan akan menyusup. Mencari makna itu menghidupkan, dicari melalui pemerhatian, pengamatan, berfikir, dan mencari ilmu.

Kita melakukan perkara dalam hidup yang kita rasakan punya makna. Cuma kadangkala apabila ia menjadi rutin, kadang makna itu pudar dari nurani kita. Ia menjadi aktiviti tawar, dan kita menjadi seperti robot bio-mekanikal, yang bergerak melakukan perkara itu dan ini tetapi didalamnya kosong. Tawar dari sebarang makna dan rasa.

Maka beruntunglah manusia yang sudah menjumpai makna hidup atau merasakan mereka telah menjumpai makna hidup. Kerana selepas itu segala bunyi dan bising dunia tidak lagi menganggunya. Dia dapat fokus pada makna kehidupannya dan melakukan perkara-perkara yang bermakna.

Cuma kadang kita sudah menjumpai makna hidup kita dan berusaha sehabis baik untuk makna itu. Kita berusaha setiap hari dan setiap ketika. Hingga makna itu menjadi biasa dan hilang bisanya pada jiwa. Ketika sendiri kita merasakan makna hidup adalah dengan berkawan dan berkasih. Tetapi apabila ketika bersama, kita merasakan makna hidup adalah apabila dapat bersendiri dan merenung jiwa. Maka adakalanya kita perlu mengambil masa, untuk berpisah seketika dengan makna itu, agar kesegarannya sentiasa terjaga.

Oleh itu, kemaskanlah segala mimpi, masukkan segala impian ke dalam beg galas dan berjalanlah melihat dunia. Melihat makhluk-makhluk berserta ragamnya. Renungan sendiri biasanya menyegarkan kembali jiwa, Menghadirkan semula makna. Dengan menjauh kita dapat melihat sesuatu dengan lebih sempurna. Ibarat jika kita berada di dalam rumah, kita merasakan rumah itu adalah empat dinding di sekeliling kita. Tetapi jika kita keluar, melihat rumah dari jauh. Kita dapat lihat tingkap pintunya, bumbung dan bunga-bunga di  lamannya, pandangan kita lebih sempurna. Itulah makna menjauh, bukan untuk berpisah tapi untuk melihat hidup dengan lebih sempurna dan memahami makna. 

Bagiku hidup ini adalah permusafiran sementara untuk mencari makna.

Tiada ulasan: