Selasa, 25 Ogos 2026

Sepetang Bersama Murabbi

Ziarah Pakcik Rosdi Baharom bersama akhi Ashiq Akif pada hari Jumaat, 21 Ogos 2026.
Sebagai seorang manusia yang hina dan penuh kesilapan, saya sering berharap kepada nasihat dan tazkirah. Inilah zadul ma'ad, bekalan sepanjang perjalanan singkat kita di dunia menuju akhirat negeri abadi. Dapat duduk bersama murabbi merupakan momen-momen berharga untuk diri saya, yang saya mahu rakam dan simpan.

Semalam, saya sempat bersama murabbi yang saya kasihi, Pakcik Rosdi. Guru pendidikan jiwa saya sejak alam persekolahan. Banyak mutiara-mutiara nasihat yang saya terima, inshallah akan dijadikan pedoman bagi meneruskan saki baki kehidupan yang tinggal.

Antara pesanan murabbi saya adalah perlunya diri kita memahami fiqhun nas dan fiqh al-waqie. Dalam melatari kehidupan ini, kita sentiasa memerlukan panduan nas melalui dalil-dalil yang tsabit. Ada prinsip yang tidak boleh kita gadai. Termasuklah iman, ukhuwah dan akhlak Islam. Dalam masa yang sama, kita juga perlu mempunyai kefahaman kepada keadaan semasa (waqi'e). Islam bukan sebuah falsafah awang-awangan, yang hanya berhikmah tanpa diaplikasikan dalam kehidupan. Untuk itu, perlu kita memahami keadaan masyarakat untuk membaikinya.

Dalam perjuangan yang panjang, yang akan menetapkan istiqamah kita adalah hati kita. Inilah yang perlu dijaga. Perlu sentiasa dibersihkan. Perlu sentiasa dibersihkan. Dari lapisan hati yang paling luar tsudur hingga ke hati yang dalam fuad. Kebersihan hati ini memerlukan usaha berterusan dengan penuh sedar. Hingga masuk ke dalam lubuk hati yang lebih dalam qulub sampailah kepada hati kita yang paling intim lub. Dengan hati yang bersih, kita dapat melihat perjalanan hidup sebagai sebuah medan khidmat bukan tempat kita mengumpul pujian, populariti, atau harta. Hati kita sentiasa berpaut kepada rabb, yang menemani kita sepanjang perjuangan di jalan yang panjang. Rabb yang Maha Berkuasa, yang membuatkan kita melihat manusia-manusia lain sekadar makhluk yang tidak berkuasa. Itulah yang akan menambat kita dalam istiqamah, yang akan membuatkan kita setia dalam duri, dan tersenyum mengenggam bara. Kita sedar, kita hanya perlukan Allah dan cinta-Nya.

Khamis, 20 Ogos 2026

Kembali Menjadi Cikgu

Semalam (19/08/26) akhirnya saya sempat menziarahi Ustaz Ismail di sekolahnya. Beliau memaklumkan bahawa sekolah memang ada kekurangan cikgu. Saya sememangnya sekian lama mengintai peluang untuk mengajar. Dahulu saya pernah mengajar di SMA Ibrah (2015-2016). Jadi cikgu merupakan satu kebahagiaan di hati saya. Ustaz Ismail memaklumkan saya boleh jadi cikgu ganti, mengajar Bahasa Melayu dengan jadual yang fleksibel. Makin berbungalah hati saya. Semoga Allah kuatkan diri saya untuk menjadi cikgu yang baik dan sabar.

Ahad, 16 Ogos 2026

Berbekallah, Nescaya Hatimu Akan Terbentang Luas

"Ana nak bagi dekat anta satu buku"

Kata murabbi saya pada satu petang. Petang itu saya berziarah ke rumahnya untuk menunaikan beberapa amanah. Selepas beberapa ketika beliau datang semula sambil memberikan kepada saya sebuah kitab.

"Buku yang ini ana nak bagi terus pada anta, bukan bagi anta pinjam baca" beliau menerangkan.

Antara kebahagiaan dalam hidup saya dalam mengikuti usrah dan tarbiyah adalah dapat hadiah buku dari murabbi. Buku-buku tersebut biasanya akan saya simpan menjadi harta karun saya. Itulah yang saya pelajari dari murabbi saya, hidup ini adalah satu kehidupan membaca, itulah bekal kita dalam kita berjuang. Butir-butir nasihat yang ditinggalkan kepada generasi kita. Dengannya, jika kita menjadi pembaca yang setia, kita mampu bertahan lama di jalan perjuangan yang sukar. Mampu mengenggam bara hingga menjadi abu.

Pagi yang hening hari ini saya membuka dan membaca buku yang dihadiahkan oleh murabbi saya, tajuknya cukup menusuk Zadul Ma'ad, diterjemahkan kepada "bekal perjalanan akhirat" tulisan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Jilid tiga ini membahaskan perjalanan Ibnu Qayyim menunaikan haji, persoalan sekitar aqiqah, zikir, dan dihujungnya adalah perbahasan sekitar sirah dan jihad.

Dalam membahaskan persoalan persaudaraan Muslim, Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa apabila kaum Muhajirin dan Ansar itu disaudarakan, mereka bersaudara hingga harta mereka pun mereka wariskan kepada saudara seIslam mereka walaupun bukan kerabat. Perkara ini berterusan hingga perang Badar, apabila Allah menurunkan ayat agar warisan itu perlu dikembalikan kepada kaum kerabat. Begitulah keseriusan para sahabat untuk mengikat persaudaraan sesama Islam. Ukhuwah Islam itu bukan hanya menjadi bualan kuliah mereka, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan harian.

Dalam persoalan jihad, perkara pertama yang dibahaskan oleh Ibnu Qayyim adalah jihad menyampaikan hujah yang berlaku pada masa awal Islam. Menurut Ibnu Qayyim, kekuatan hujah itu bukanlah terletak kepada ramainya penyokongnya. Tetapi mesejnya yang benar. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ibnu Qayyim menulis:

"Meskipun jumlah mereka sangat sedikit, namun mereka lebih mulia kedudukannya di sisi Allah".

Malah Ibnu Qayyim menyatakan bahawa kebenaran itu harus terus ditegakkan meskipun ditentang keras. Beliau menulis:

"Adapun jihad yang paling utama adalah mengucapkan perkataan yang haq tatkala begitu keras ditentang, seperti engkau mengucapkan kebenaran di sisi orang yang engkau takuti akan kekuatan dan gangguannya, maka bagian para Rasul Sallallahualaihiwasalam dari hal itu sangatlah banyak, bagi Nabi kita Sallallahualaihiwasalam dari hal itu merupakan jihad paling sempurna dan lengkap".

Membaca bekalan-bekalan yang ditinggalkan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauzi ini sangat mendamaikan jiwa. Meluaskan hati, seluas hamparan padang hijau yang terbentang. Membuatkan kita merasakan usaha kita hanya kecil, tapi rahmat dan pertolongan Allah itu Maha luas. Dalam perjalanan kita yang panjang menuju akhirat ini, ambillah sebanyak-banyaknya bekalan. Engkau akan fahami bahawa masalah hidupmu itu hanya kecil sekecilnya, sedang rahmat dan pertolongan Allah itu luas-seluasnya.

Maka berbekallah.

(Rujukan: Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Zadul Ma'ad (Bekal Perjalanan Akhirat) Terjemahan oleh Amiruddin Djalil ditahqiq oleh Syu'aib Al-Arna'uth dan Abdul Qadir Al-Arna'uth. (Jakarta: Griya Ilmu, 2008)., hlm. 245-246, 310-311) 

Sabtu, 8 Ogos 2026

Bersatu Dengan Alam

La ilaha illallah,
zikir memenuhi madah.

Tubuh kaku diterima tanah,
seorang anak kehilangan ayah.

Panahan matahari memercik peluh,
sambil bertalqin tidak mengeluh.

Sesekali awan bersalin,
ku rasa tiupan dingin.

Berdoa sambil mata terpejam,
buat yang kembali bersatu dengan alam.

Syed Ahmad Fathi,
Tanah Perkuburan Kampung Tradisi, Changlun, Kedah
8 Ogos 2026.

Gambar Kenang-kenangan Bersama Prof. Ishak Saat

Gambar kenang-kenangan dengan Prof. Ishak Saat, karya beliau Radikalisme Melayu Perak 1945-1970 merupakan antara rujukan penting dalam kajian disertasi sarjana saya. Alhamdulillah, dapat otograf beliau dalam pertemuan singkat. Prof. Ishak nasihat supaya sambung PhD cepat-cepat kerana sijil sarjana tidak cukup. Beliau maklumkan, bahagian sejarah memang memerlukan pelapis baharu. Di UPSI misalnya, ada tiga kekosongan. Walaupun masih belum berani mendaftar, inshallah nasihat Prof akan sentiasa saya fikirkan.

Manuskrip-Manuskrip Yang Tergendala

Saya mempunyai satu tabiat buruk, suka memulakan projek baharu walaupun projek lama belum siap. Kadang kala, ada terlalu banyak projek berjalan dalam satu-satu masa. Ada yang berjaya, ada juga yang terbengkalai. Orang biasa nampak yang berjaya siap, terbit, dan keluar. Tetapi di setiap karya yang terbit tu, biasanya ada dua-tiga projek yang gagal di belakangnya. Itulah asam garam dalam penulisan.

Mungkin tahun depan saya ingin menyusun semula projek-projek penulisan. Supaya dapat dikurangkan projek yang tergendala, dan berpotensi besar untuk tergendala, walaupun biasanya azam ini akan tetap dimungkiri, kita tetap kena cuba susun kerja, berstrategi, dan berfokus. Tidak caca merba jadinya.

Sekarang sudah bulan Ogos, kita memasuki Q3 bagi tahun 2026. Tahun ini walaupun tidaklah seproduktif yang saya harapkan, tetapi ada juga beberapa projek yang berjaya disiapkan dan diterbitkan. Antaranya:

1. Buku Risalah Buat Kaum Yang Berfikir terbitan The Biblio Press pada Januari 2026. ISBN: 9786297733845.

2. Buku murabbi saya, Tuan Haji Rosdi Baharom bertajuk Membentuk Anak Sebagai Hamba Rabbani Bermula di Rumah Kita terbitan Bahagian Penerbitan HALUAN dan Daerah Tarbiyah pada Jun 2026. ISBN: 9789671958971. 

3. Ulasan Buku "Azmi Arifin, Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dan Nurulhasanah Abdul Rahman (2026), Islam Dalam Arus Sejarah: Perjuangan Politik dan Dakwah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. 290 pages. [ISBN: 9786294600355]" dalam MINDEN Journal of History and Archaeology Vol. 3 No. 1, Mei 2026.

4. Artikel di Dewan Sastera bertajuk "Menyingkap Sepasang Sayap Hitam", 24 April 2026. Artikel ini merupakan ulasan kumcer guru saya, Ibnu Din Assingkiri. 

5. Artikel di Dewan Budaya bertajuk “Perihal Kritikan Naratif dalam Historiografi Malaysia”, 15 Julai 2026.

Selain penulisan, sebenarnya banyak masa dan tenaga dihabiskan pada tahun ini dalam forum, wacana, acara, diskusi, audiosiar dan wawancara. Ada juga jurnal-jurnal akademik yang sudah siap dihantar namun masih dalam proses reviu dan proses editorial yang entah bila akan diterbitkan. Pada bulan ini alhamdulillah, satu dari manuskrip yang tergendala berjaya diselamatkan dan diserahkan pada penerbit. Moga-moga berbaki beberapa bulan tahun ini, beberapa projek lain berjaya juga disiapkan.

Jumaat, 7 Ogos 2026

Memahami Akar Masalah

Sebelum bermulanya kempen kebencian terhadap pelarian Muslim Rohingya di Malaysia, saya sebenarnya tidaklah memahami semua nuansa permasalahan yang ada. Saya hanya orang biasa sahaja, ordinary man on the street. Saya hanya ada pengalaman surface level, kerana pernah menjadi guru dan mengajar anak pelarian. Saya mempertahankan mereka atas dasar ukhuwah sesama Muslim, bagi saya itulah minimum ukhuwah Islam. Mereka adalah saudara saya, tidak lebih, tidak kurang.

Tapi makin lama, semakin banyak nuansa yang saya faham dan belajar. Semakin banyak sahabat-sahabat baharu yang saya temui. Bagi saya kita perlu jumpa dan berkawan sendiri dengan saudara Rohingya Muslim kita. Bukan membenci mereka atas perkataan dan fitnah dari orang lain. Apabila mendengar sendiri pengalaman dan suara komuniti mereka, saya faham banyak perkara.

Mereka menceritakan pada saya bagaimana ada seorang “ustaz” yang buat NGO sendiri. Di luar nampak mereka kononnya pejuang kedaulatan, berkobar-kobar buat konten, dibelakang rupa-rupanya mereka dan konco-konconya kerja “pow” duit pelarian. Mereka ugut pelarian untuk bagi mereka duit, jika tidak rumah mereka diviralkan. Begitu juga influencer berjoget hina pelarian, bila disiasat rupa-rupanya ada kes kutip duit dari follower. Apa yang kita nampak di media sosial, apa yang kita disuruh benci, sebenarnya sesuatu yang palsu. Yang diada-adakan.

Saya juga hairan, kenapa hanya pelarian Muslim yang diserang habis-habisan. Sekolah agama mereka ditutup, dihalau dari rumah, diburu apabila bekerja, diperlakukan dengan zalim. Tapi pelarian bangsa-agama lain boleh bekerja, bersekolah, hidup tanpa ada gangguan. Malah ada sekolah besar, persatuan besar dan mewah. Kenapa pelarian Muslim sahaja menjadi target dan dianiaya? Mengapa mereka sahaja disekat dan dibiarkan miskin melarat?

Saya juga mendapat tahu, ada pelarian bangsa-agama lain ini diseludup oleh tentera genosida Myanmar. Mereka bekerja di Malaysia dan menyalurkan dana balik kepada tentera genosida. Rupa-rupanya, mereka bekerja di Tanah Melayu Muslim ini, kemudian salur dana untuk membantai Muslim di negara mereka. Namun kenapa semua nuansa ini tidak disebut? Kenapa pelarian Muslim sahaja di serang?

Malangnya, yang terpedaya dengan kempen membenci pelarian Muslim ini adalah Muslim sendiri. Mereka yang menjadi tangan untuk menzalimi saudara mereka. Mereka yang menjadi mulut untuk mencerca saudara mereka. Itulah sebabnya kita tidak boleh hanyut dengan kempen kebencian yang ditiupkan sesama Muslim ini. Kita kena kembali semula pada Islam. Pada ajarannya yang wadih. Pada ukhuwwahnya yang benar. Jangan kita mudah dipermainkan oleh propaganda musuh, dalam tidak sedar, kita sedang menikam badan umat kita sendiri.

Wallahualam.

Aku Bertanya Kepada Aku

Kadang aku bertanya juga pada diri
buat apa kau sertai semua ini
mereka bukan kau kenali
yang kau akan terima hanya caci maki.

Tidak bolehkah kau toleh sahaja
biarkan sahaja mereka lemas dalam duka
pandai-pandailah mereka hidup merana
kau terlalu kecil untuk memikul dunia.

Jika kau tinggalkan mereka
kau dapat hidup selesa
tanpa gangguan 
tanpa makian.

Kau hiduplah dengan tenang
Kau hiruplah kopi hangat terhidang
Kau nikmatilah surut matahari di ufuk jingga
Kau nikmatilah hidup sederhana.

Aku mengaku.

Itu adalah pilihan yang lebih mudah
namun pilihan itu telah menjadi begitu susah
kerana Tuhan telah 
memberikan aku sesuatu yang indah.

Keindahan yang menggari
aku tidak dapat lari
kerana Tuhan telah memberi
kepadaku, sebuah hati nurani.

Mengenang Murabbiku: Ustaz Fauzi Na'im bin Mohamad Zaki

Ustaz Fauzi Na'im memberi ucapan di Sekolah Rendah Ibnu Kathir pada 30 Jun 2000, duduk di sebelah beliau adalah Ustaz Abdul Fatah.
Sudah berlalu beberapa hari pemergian yang disayangi Ustaz Fauzi Na'im, seorang guru yang banyak berjasa pada diri saya. Saya mengenali Ustaz Fauzi apabila saya memulakan pengajian di Sekolah Rendah Ibnu Kathir, Gombak (SRIKG) dari tahun 1997 hingga 2002. 

Ustaz Fauzi merupakan lepasan Khassah MATRI yang kemudian menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh (kemudian menjadi Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Aceh) dalam bidang Sarjana Muda Usuluddin. Tamat pengajian beliau memulakan perkhidmatan di SRIKG pada tahun 2000 di mana beliau mengabdikan diri berkhidmat mendidik generasi umat Islam selama 24 tahun. Bermula dengan guru al-Qur'an hinggalah beliau menjadi guru besar di SRIKG.
Ustaz Fauzi Na'im (kanan) dan Ustaz Mudrikah (kiri).
Saya sendiri menjadi anak didik beliau di SRIKG. Ustaz Fauzi mengajar kami hafazan al-Qur'an dan juga tajwid. Besar jasa beliau termasuk kepada diri saya sendiri. Semoga setiap kali saya membaca al-Qur'an ada pahala yang pulang kepada guru saya Ustaz Fauzi. Semasa di SRIKG, saya teringat saya pernah mengikuti sebuah permusafiran bersama Ustaz Mudrikah, saya tidak ingat sebab permusafiran tersebut, tetapi seingat saya kami pernah sampai ke kampung Ustaz Fauzi di Parit Buntar, Perak.

Selepas tamat persekolahan, saya pernah juga beberapa kali kembali ke SRIKG, membantu sekolah, dan pernah juga menjadi guru ganti seketika. Saya masih ingat saya menyertai sebuah bengkel bersama Ustaz Fauzi tentang penggunaan blog pada tahun 2008. Pada bengkel tersebut Ustaz Fauzi memberitahu saya untuk belajar menggunakan blog untuk mengumpulkan semula alumni SRIKG.
Ustaz Fauzi bersama para pelajar pada 27 April 2000.
Atas perbincangan inilah saya membuka blog peribadi saya ini. Jika dilihat semula pada ini, hantaran saya yang pertama pada 23 Jun 2008 adalah perihal usaha mengumpulkan alumni SRIKG. Di dalam hantaran tersebut saya menulis:

"Kini pihak SRIKG ditadbir oleh Ust. Fauzi Naim selaku guru besar Sekolah Rendah Ibnu Kathir berhasrat untuk mengumpulkan semula lepasan SRIKG. Kepada lepasan SRIKG bolehlah menghubungi Ust. Fauzi untuk makluman lebih lanjut lagi mengenai alumni ini."

Saya pada ketika itu masih tidak faham apakah itu blog dan bagaimana ia berfungsi, tetapi atas saranan Ustaz, saya buka juga dan tulis. Blog inilah yang menjadi tempat latihan saya menulis, blog ini masih aktif hingga ke hari ini. Malah, sebahagian besar tulisan saya di blog ini telah dibukukan. Semoga jika ada sedikit kebaikan dari tulisan-tulisan saya, ada saham pahala yang dikirmkan kepada Ustaz Fauzi. 

Dalam soal penulisan, Ustaz Fauzi memang selalu membeli dan menggalakkan penulisan terutamanya buku-buku perihal tarbiyah. Sering apabila ada buku perihal tarbiyah yang saya bantu usahakan beliau akan berpesan "simpan satu untuk ustaz". Beliau biasanya akan menjadi orang paling awal membeli.

Ustaz Fauzi berpindah dari SRIKG pada tahun 2024 dan menjadi mudir di Sekolah Rendah Pratahfiz Integrasi Ibrah, Pulau Pinang di mana beliau menyambung khidmat bakti selama dua tahun sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Dari 54 tahun umurnya, hampir separuh beliau laburkan bagi mendidik generasi umat Islam.
Ustaz Fauzi (kiri bertopi) semasa perkhemahan di Pahang pada bulan Mei 2026.
Kali terakhir saya bertemu Ustaz Fauzi adalah ketika kami menyertai perkhemahan di Pahang pada bulan Mei 2026. Saya bergurau dengan ustaz dan bertanya "Ustaz merajuk dengan siapa sampai pindah ke Pulau Pinang?". Beliau ketawa dan menyatakan bahawa beliau tidak merajuk dengan sesiapa. Beliau menyatakan selepas lebih 24 tahun berkhidmat di SRIKG, beliau ingin menghirup suasana baharu. Allah memberikan beliau dua tahun di tempat baharu sebelum memanggilnya pulang.

Ustaz Fauzi dipanggil pulang oleh Allah pada pagi Ahad, 02 Ogos 2026 pada umur 54 tahun. Hari yang sangat suram kerana saya sendiri tidak dapat menziarahi ustaz buat kali yang terakhir. Jenazah Ustaz Fauzi di solatkan di Masjid Al-Syakirin, Gombak sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas solat Zohor. Semoga Allah merahmati murabbi saya Ustaz Fauzi Na'im, melapangkan kuburnya, mengampunkan dosa-dosanya, menerima segala amal solehnya. Kami anak-anak didiknya menjadi saksi akan amal kebaikannya di dunia.
Suasana perkebumian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu pada 02 Ogos 2026.

Memahami Sejarah Pembentukan Masyarakat Melayu dan Struktur Ekonominya

Petikan buku Andaya perihal kemajmukan masyarakat Melayu di Melaka.
Saya tengok kumpulan joget dan NGO fulus yang sibuk kacau orang Rohingya kini sudah mula ditentang oleh orang Melayu sendiri. Report-report polis mula dihantar dan ada juga tindakan mahkamah sudah dimulakan. Sebenarnya perjuangan ini memang akan gagal, kerana dari awal mereka sebenarnya tidak memahami sejarah bagaimana masyarakat Melayu itu terbentuk dan bagaimana ekonomi mereka berfungsi.

Orang Melayu ini memang sejak ribuan tahun merupakan bangsa yang kosmopolitan. Mereka memulakan industri dan berdagang dan sekian lama aktiviti ini memerlukan mereka bercampur dengan bangsa asing. Jika kita membaca tulisan sejarah, orang asing di Tanah Melayu ini memang sudah wujud lama, bahkan kemudian menjadi sebahagian dari orang Melayu. Sebab itu muka orang Melayu ini pelbagai jenis, ada cerah, gelap, mata bulat, mata sepet, semua ada, dah beribu tahun bercampur. Pengkaji sejarah seperti Abdul Rahman Haji Ismail, mantan Prof. Madya bahagian sejarah USM menyatakan Melayu itu sebagai satu proses kebudayaan yang menerima semua bangsa.

Orang tak cerdik sahaja rasa berkahwin dengan warga asing itu satu isu yang perlu dijogetkan. Jika mereka baca sejarah, orang Melayu bersepah kahwin dengan orang dari India, Cina, Eropah, Arab dan lain-lain. Malah ada perdana menteri Malaysia sendiri yang berketurunan dari Kerala, India. Penerimaan orang asing menjadi sebahagian dari orang Melayu bukan sekadar melalui perkahwinan. Ada yang bahkan diterima sebagai pembesar dan orang istana sendiri. Malah ada kesultanan di Tanah Melayu yang diasaskan oleh bangsa Bugis sebagai contoh. Mereka juga akhirnya mengalami proses kemelayuan dan jadi sebahagian dari orang Melayu. Begitu juga imigran yang datang sebagai buruh dan saudagar di Tanah Melayu, sebahagiannya kemudian diserap masuk menjadi orang Melayu. Tinggalan mereka masih wujud hingga ke hari ini. Misalnya Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, satu tinggalan sejarah yang masih kekal hingga ke hari ini.

Dalam aspek ekonomi, orang Melayu memang sudah lama bekerjasama dengan warga asing. Menggaji warga asing ini bukan fenomena baharu, sudah diamalkan oleh orang Melayu beratus tahun. Jika menggaji pekerja asing bermaksud kita menjadi barua, sudah beratus tahun orang Melayu menjadi barua.

Ambil misal industri bijih timah Tanah Melayu yang pernah menjadi industri penting Tanah Melayu. Industri timah bukan dimulakan British atau orang Cina, sudah beribu tahun orang Melayu melombong. Perkara ini sudah saya kaji, boleh baca kajian saya bertajuk Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874-1941 (Preliminary Survey on the Involvement of the Malay in the Tin Mining Industry in Perak, 1874-1941).

Sebelum British campur tangan di Tanah Melayu, orang Melayu sudah memulakan industri perlombongan. Misalnya di Larut, industri ini dibuka oleh Long Jaafar, pembesar Melayu, ayah kepada Ngah Ibrahim. Adakah Long Jaafar kerah orang Melayu di kampung untuk kerja di lombong? Tak, Long Jaafar import dan guna buruh-buruh Cina. Sekarang macam mana? Kau nak kata Long Jaafar barua warga asing?

Orang Melayu faham, untuk majukan industri mereka, mereka perlukan bantuan orang asing. Begitulah dulu, begitulah sekarang. Sebab populasi kita tak cukup untuk gerakkan industri yang bersifat labour intensive. Nak gerakkan kilang, ladang, perlu pekerja asing. Takkan kau nak biar negara kita mundur tak ada industri?

Ramai yang menggaji warga asing ini orang Melayu. Orang yang beri sewa rumah pada warga asing juga orang Melayu. Mereka barua? Tak. Mereka hendak memajukan ekonomi orang Melayu lah. Perlu pekerja, perlu penyewa. Bila industri maju, kerajaan boleh kutip cukai dan bagi kau bantuan macam-macam.

Di Malaysia, jika kau semak statistik, pekerja asing berdaftar ada 2 juta orang. Kalau kira semua campur keluarga dan lain-lain, total bukan warganegara berjumlah 3 juta orang. Rohingya seratus ribu itu sangat kecil jumlahnya. Kau nak halau semua 3 juta ini? Sejam lepas kau halau diorang semua, industri negara akan collapse, dan kau akan komplen isi minyak tak dapat bantuan Budi Madani.

Sebab itu saya tengok perjuangan joget dan NGO fulus ini akan gagal juga. Dia hanya propaganda sementara untuk collect duit. Semua ada kepentingan di belakang itu, orang tak cerdik je percaya. Apabila mereka mula kacau bisnes orang Melayu, orang Melayu sendiri akan tentang mereka, lama-lama, mereka akan lemau dan hilang. Tapi benda ini cyclic, lepas mereka ini gagal, akan muncul orang baru yang tak faham sejarah dan ekonomi, akan ulang benda sama.

Gambar Kenangan Bersama Prof. Abdullah Zakaria Ghazali

Gambar kenang-kenangan bersama Prof. Abdullah Zakaria Ghazali semasa sesi wacana Perang Perak, 1875-1876 anjuran Muzium Perak, Taiping pada 06 Ogos 2026. Prof. Abdullah merupakan ahli sejarah yang banyak menghasilkan kajian sejarah penting. Prof. Abdullah juga merupakan penulis prakata bagi buku saya, Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Semoga Prof, terus sihat dalam memberi ilmu sejarah kepada watan kita.

Rabu, 5 Ogos 2026

Batu Tanda Penulisan

Sudah agak lama juga saya tidak aktif menulis di blog ini, kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. Tulisan ini sahaja saya terbitkan sebagai batu tanda bahawa saya telah menyerahkan sebuah manuskrip kepada penerbit beberapa hari yang lalu. Dalam manuskrip tersebut, saya muatkan nota dan marginalia yang telah saya kumpul sepanjang dua tahun yang lalu. Maka saya perlu meletakkan sebuah batu tanda, supaya saya tidak keliru, mana penulisan yang sudah dibukukan, mana yang belum dibukukan.

Dengan adanya batu tanda ini, saya akan mengetahui bahawa tulisan sebelum ini sudah saya bukukan. Manusia ini memang makhluk yang pelupa, itulah sebabnya kita memerlukan tulisan, sebagai sebuah peringatan dan batu tanda. Manusia tak mampu mengingati semua benda. Mungkin saya akan kembali aktif semula menulis di halaman ini, kerana di halaman inilah banyak saya menyimpan perasaan, memori dan bahagia saya selama ini.