Ahad, 16 Ogos 2026

Berbekallah, Nescaya Hatimu Akan Terbentang Luas

"Ana nak bagi dekat anta satu buku"

Kata murabbi saya pada satu petang. Petang itu saya berziarah ke rumahnya untuk menunaikan beberapa amanah. Selepas beberapa ketika beliau datang semula sambil memberikan kepada saya sebuah kitab.

"Buku yang ini ana nak bagi terus pada anta, bukan bagi anta pinjam baca" beliau menerangkan.

Antara kebahagiaan dalam hidup saya dalam mengikuti usrah dan tarbiyah adalah dapat hadiah buku dari murabbi. Buku-buku tersebut biasanya akan saya simpan menjadi harta karun saya. Itulah yang saya pelajari dari murabbi saya, hidup ini adalah satu kehidupan membaca, itulah bekal kita dalam kita berjuang. Butir-butir nasihat yang ditinggalkan kepada generasi kita. Dengannya, jika kita menjadi pembaca yang setia, kita mampu bertahan lama di jalan perjuangan yang sukar. Mampu mengenggam bara hingga menjadi abu.

Pagi yang hening hari ini saya membuka dan membaca buku yang dihadiahkan oleh murabbi saya, tajuknya cukup menusuk Zadul Ma'ad, diterjemahkan kepada "bekal perjalanan akhirat" tulisan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Jilid tiga ini membahaskan perjalanan Ibnu Qayyim menunaikan haji, persoalan sekitar aqiqah, zikir, dan dihujungnya adalah perbahasan sekitar sirah dan jihad.

Dalam membahaskan persoalan persaudaraan Muslim, Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa apabila kaum Muhajirin dan Ansar itu disaudarakan, mereka bersaudara hingga harta mereka pun mereka wariskan kepada saudara seIslam mereka walaupun bukan kerabat. Perkara ini berterusan hingga perang Badar, apabila Allah menurunkan ayat agar warisan itu perlu dikembalikan kepada kaum kerabat. Begitulah keseriusan para sahabat untuk mengikat persaudaraan sesama Islam. Ukhuwah Islam itu bukan hanya menjadi bualan kuliah mereka, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan harian.

Dalam persoalan jihad, perkara pertama yang dibahaskan oleh Ibnu Qayyim adalah jihad menyampaikan hujah yang berlaku pada masa awal Islam. Menurut Ibnu Qayyim, kekuatan hujah itu bukanlah terletak kepada ramainya penyokongnya. Tetapi mesejnya yang benar. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ibnu Qayyim menulis:

"Meskipun jumlah mereka sangat sedikit, namun mereka lebih mulia kedudukannya di sisi Allah".

Malah Ibnu Qayyim menyatakan bahawa kebenaran itu harus terus ditegakkan meskipun ditentang keras. Beliau menulis:

"Adapun jihad yang paling utama adalah mengucapkan perkataan yang haq tatkala begitu keras ditentang, seperti engkau mengucapkan kebenaran di sisi orang yang engkau takuti akan kekuatan dan gangguannya, maka bagian para Rasul Sallallahualaihiwasalam dari hal itu sangatlah banyak, bagi Nabi kita Sallallahualaihiwasalam dari hal itu merupakan jihad paling sempurna dan lengkap".

Membaca bekalan-bekalan yang ditinggalkan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauzi ini sangat mendamaikan jiwa. Meluaskan hati, seluas hamparan padang hijau yang terbentang. Membuatkan kita merasakan usaha kita hanya kecil, tapi rahmat dan pertolongan Allah itu Maha luas. Dalam perjalanan kita yang panjang menuju akhirat ini, ambillah sebanyak-banyaknya bekalan. Engkau akan fahami bahawa masalah hidupmu itu hanya kecil sekecilnya, sedang rahmat dan pertolongan Allah itu luas-seluasnya.

Maka berbekallah.

(Rujukan: Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Zadul Ma'ad (Bekal Perjalanan Akhirat) Terjemahan oleh Amiruddin Djalil ditahqiq oleh Syu'aib Al-Arna'uth dan Abdul Qadir Al-Arna'uth. (Jakarta: Griya Ilmu, 2008)., hlm. 245-246, 310-311) 

Tiada ulasan: