![]() |
| Petikan buku Andaya perihal kemajmukan masyarakat Melayu di Melaka. |
Saya tengok kumpulan joget dan NGO fulus yang sibuk kacau orang Rohingya kini sudah mula ditentang oleh orang Melayu sendiri. Report-report polis mula dihantar dan ada juga tindakan mahkamah sudah dimulakan. Sebenarnya perjuangan ini memang akan gagal, kerana dari awal mereka sebenarnya tidak memahami sejarah bagaimana masyarakat Melayu itu terbentuk dan bagaimana ekonomi mereka berfungsi.
Orang Melayu ini memang sejak ribuan tahun merupakan bangsa yang kosmopolitan. Mereka memulakan industri dan berdagang dan sekian lama aktiviti ini memerlukan mereka bercampur dengan bangsa asing. Jika kita membaca tulisan sejarah, orang asing di Tanah Melayu ini memang sudah wujud lama, bahkan kemudian menjadi sebahagian dari orang Melayu. Sebab itu muka orang Melayu ini pelbagai jenis, ada cerah, gelap, mata bulat, mata sepet, semua ada, dah beribu tahun bercampur. Pengkaji sejarah seperti Abdul Rahman Haji Ismail, mantan Prof. Madya bahagian sejarah USM menyatakan Melayu itu sebagai satu proses kebudayaan yang menerima semua bangsa.
Orang tak cerdik sahaja rasa berkahwin dengan warga asing itu satu isu yang perlu dijogetkan. Jika mereka baca sejarah, orang Melayu bersepah kahwin dengan orang dari India, Cina, Eropah, Arab dan lain-lain. Malah ada perdana menteri Malaysia sendiri yang berketurunan dari Kerala, India. Penerimaan orang asing menjadi sebahagian dari orang Melayu bukan sekadar melalui perkahwinan. Ada yang bahkan diterima sebagai pembesar dan orang istana sendiri. Malah ada kesultanan di Tanah Melayu yang diasaskan oleh bangsa Bugis sebagai contoh. Mereka juga akhirnya mengalami proses kemelayuan dan jadi sebahagian dari orang Melayu. Begitu juga imigran yang datang sebagai buruh dan saudagar di Tanah Melayu, sebahagiannya kemudian diserap masuk menjadi orang Melayu. Tinggalan mereka masih wujud hingga ke hari ini. Misalnya Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, satu tinggalan sejarah yang masih kekal hingga ke hari ini.
Dalam aspek ekonomi, orang Melayu memang sudah lama bekerjasama dengan warga asing. Menggaji warga asing ini bukan fenomena baharu, sudah diamalkan oleh orang Melayu beratus tahun. Jika menggaji pekerja asing bermaksud kita menjadi barua, sudah beratus tahun orang Melayu menjadi barua.
Ambil misal industri bijih timah Tanah Melayu yang pernah menjadi industri penting Tanah Melayu. Industri timah bukan dimulakan British atau orang Cina, sudah beribu tahun orang Melayu melombong. Perkara ini sudah saya kaji, boleh baca kajian saya bertajuk Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874-1941 (Preliminary Survey on the Involvement of the Malay in the Tin Mining Industry in Perak, 1874-1941).
Sebelum British campur tangan di Tanah Melayu, orang Melayu sudah memulakan industri perlombongan. Misalnya di Larut, industri ini dibuka oleh Long Jaafar, pembesar Melayu, ayah kepada Ngah Ibrahim. Adakah Long Jaafar kerah orang Melayu di kampung untuk kerja di lombong? Tak, Long Jaafar import dan guna buruh-buruh Cina. Sekarang macam mana? Kau nak kata Long Jaafar barua warga asing?
Orang Melayu faham, untuk majukan industri mereka, mereka perlukan bantuan orang asing. Begitulah dulu, begitulah sekarang. Sebab populasi kita tak cukup untuk gerakkan industri yang bersifat labour intensive. Nak gerakkan kilang, ladang, perlu pekerja asing. Takkan kau nak biar negara kita mundur tak ada industri?
Ramai yang menggaji warga asing ini orang Melayu. Orang yang beri sewa rumah pada warga asing juga orang Melayu. Mereka barua? Tak. Mereka hendak memajukan ekonomi orang Melayu lah. Perlu pekerja, perlu penyewa. Bila industri maju, kerajaan boleh kutip cukai dan bagi kau bantuan macam-macam.
Di Malaysia, jika kau semak statistik, pekerja asing berdaftar ada 2 juta orang. Kalau kira semua campur keluarga dan lain-lain, total bukan warganegara berjumlah 3 juta orang. Rohingya seratus ribu itu sangat kecil jumlahnya. Kau nak halau semua 3 juta ini? Sejam lepas kau halau diorang semua, industri negara akan collapse, dan kau akan komplen isi minyak tak dapat bantuan Budi Madani.
Sebab itu saya tengok perjuangan joget dan NGO fulus ini akan gagal juga. Dia hanya propaganda sementara untuk collect duit. Semua ada kepentingan di belakang itu, orang tak cerdik je percaya. Apabila mereka mula kacau bisnes orang Melayu, orang Melayu sendiri akan tentang mereka, lama-lama, mereka akan lemau dan hilang. Tapi benda ini cyclic, lepas mereka ini gagal, akan muncul orang baru yang tak faham sejarah dan ekonomi, akan ulang benda sama.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan