Jumaat, 7 Ogos 2026

Mengenang Murabbiku: Ustaz Fauzi Na'im bin Mohamad Zaki

Ustaz Fauzi Na'im memberi ucapan di Sekolah Rendah Ibnu Kathir pada 30 Jun 2000, duduk di sebelah beliau adalah Ustaz Abdul Fatah.
Sudah berlalu beberapa hari pemergian yang disayangi Ustaz Fauzi Na'im, seorang guru yang banyak berjasa pada diri saya. Saya mengenali Ustaz Fauzi apabila saya memulakan pengajian di Sekolah Rendah Ibnu Kathir, Gombak (SRIKG) dari tahun 1997 hingga 2002. 

Ustaz Fauzi merupakan lepasan Khassah MATRI yang kemudian menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Aceh (kemudian menjadi Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Aceh) dalam bidang Sarjana Muda Usuluddin. Tamat pengajian beliau memulakan perkhidmatan di SRIKG pada tahun 2000 di mana beliau mengabdikan diri berkhidmat mendidik generasi umat Islam selama 24 tahun. Bermula dengan guru al-Qur'an hinggalah beliau menjadi guru besar di SRIKG.
Ustaz Fauzi Na'im (kanan) dan Ustaz Mudrikah (kiri).
Saya sendiri menjadi anak didik beliau di SRIKG. Ustaz Fauzi mengajar kami hafazan al-Qur'an dan juga tajwid. Besar jasa beliau termasuk kepada diri saya sendiri. Semoga setiap kali saya membaca al-Qur'an ada pahala yang pulang kepada guru saya Ustaz Fauzi. Semasa di SRIKG, saya teringat saya pernah mengikuti sebuah permusafiran bersama Ustaz Mudrikah, saya tidak ingat sebab permusafiran tersebut, tetapi seingat saya kami pernah sampai ke kampung Ustaz Fauzi di Parit Buntar, Perak.

Selepas tamat persekolahan, saya pernah juga beberapa kali kembali ke SRIKG, membantu sekolah, dan pernah juga menjadi guru ganti seketika. Saya masih ingat saya menyertai sebuah bengkel bersama Ustaz Fauzi tentang penggunaan blog pada tahun 2008. Pada bengkel tersebut Ustaz Fauzi memberitahu saya untuk belajar menggunakan blog untuk mengumpulkan semula alumni SRIKG.
Ustaz Fauzi bersama para pelajar pada 27 April 2000.
Atas perbincangan inilah saya membuka blog peribadi saya ini. Jika dilihat semula pada ini, hantaran saya yang pertama pada 23 Jun 2008 adalah perihal usaha mengumpulkan alumni SRIKG. Di dalam hantaran tersebut saya menulis:

"Kini pihak SRIKG ditadbir oleh Ust. Fauzi Naim selaku guru besar Sekolah Rendah Ibnu Kathir berhasrat untuk mengumpulkan semula lepasan SRIKG. Kepada lepasan SRIKG bolehlah menghubungi Ust. Fauzi untuk makluman lebih lanjut lagi mengenai alumni ini."

Saya pada ketika itu masih tidak faham apakah itu blog dan bagaimana ia berfungsi, tetapi atas saranan Ustaz, saya buka juga dan tulis. Blog inilah yang menjadi tempat latihan saya menulis, blog ini masih aktif hingga ke hari ini. Malah, sebahagian besar tulisan saya di blog ini telah dibukukan. Semoga jika ada sedikit kebaikan dari tulisan-tulisan saya, ada saham pahala yang dikirmkan kepada Ustaz Fauzi. 

Dalam soal penulisan, Ustaz Fauzi memang selalu membeli dan menggalakkan penulisan terutamanya buku-buku perihal tarbiyah. Sering apabila ada buku perihal tarbiyah yang saya bantu usahakan beliau akan berpesan "simpan satu untuk ustaz". Beliau biasanya akan menjadi orang paling awal membeli.

Ustaz Fauzi berpindah dari SRIKG pada tahun 2024 dan menjadi mudir di Sekolah Rendah Pratahfiz Integrasi Ibrah, Pulau Pinang di mana beliau menyambung khidmat bakti selama dua tahun sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Dari 54 tahun umurnya, hampir separuh beliau laburkan bagi mendidik generasi umat Islam.
Ustaz Fauzi (kiri bertopi) semasa perkhemahan di Pahang pada bulan Mei 2026.
Kali terakhir saya bertemu Ustaz Fauzi adalah ketika kami menyertai perkhemahan di Pahang pada bulan Mei 2026. Saya bergurau dengan ustaz dan bertanya "Ustaz merajuk dengan siapa sampai pindah ke Pulau Pinang?". Beliau ketawa dan menyatakan bahawa beliau tidak merajuk dengan sesiapa. Beliau menyatakan selepas lebih 24 tahun berkhidmat di SRIKG, beliau ingin menghirup suasana baharu. Allah memberikan beliau dua tahun di tempat baharu sebelum memanggilnya pulang.

Ustaz Fauzi dipanggil pulang oleh Allah pada pagi Ahad, 02 Ogos 2026 pada umur 54 tahun. Hari yang sangat suram kerana saya sendiri tidak dapat menziarahi ustaz buat kali yang terakhir. Jenazah Ustaz Fauzi di solatkan di Masjid Al-Syakirin, Gombak sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas solat Zohor. Semoga Allah merahmati murabbi saya Ustaz Fauzi Na'im, melapangkan kuburnya, mengampunkan dosa-dosanya, menerima segala amal solehnya. Kami anak-anak didiknya menjadi saksi akan amal kebaikannya di dunia.
Suasana perkebumian di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu pada 02 Ogos 2026.

Tiada ulasan: