Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah Islam. Papar semua catatan

Jumaat, 17 September 2021

Ketika Kolonial Eropah Meruntuhkan Kesultanan Taosug

 

Kebanyakan sejarah yang ditulis dan dipelajari oleh kita sejak sekolah merupakan sejarah yang berkontekskan negara. Ianya ditulis kebanyakannya untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan negara. Namun sebenarnya konsep negara moden atau negara bangsa yang kita fahami ini merupakan konsep yang sangat baharu jika dibandingkan dengan tempoh sejarah yang direkodkan. Malah sejarah itu sebenarnya lebih jauh ke belakang, kebanyakannya tidak direkod, memorinya hilang ditelan zaman.

Oleh itu menulis sejarah dalam perspektif negara bangsa moden kadangkala merupakan perspektif yang silap, kerana dalam kebanyakan sejarah yang panjang negara bangsa moden itu tidak wujud (atau belum wujud), jadi konteks tersebut juga tidak wujud. Terdapat satu artikel yang menarik perihal hal ini yang ditulis oleh Mohammad Raduan bin Mohd Ariff dalam Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (Jati) Bilangan Ke-2 yang diterbitkan pada Disember 1996 oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Menurut Raduan, kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu merangkumi banyak pulau-pulau, ia tidak pernah didirikan secara eksklusif dalam satu pulau sahaja. Pada zaman itu, bukan manusia sahaja yang berhijrah antara pulau-pulau yang ada, malah kerajaan juga berhijrah dalam dunia kepulauan. Kerajaan Srivijaya contohnya berpindah ke Melaka dari Sumatra sebelum kemudiannya berundur ke Johor Lama. Konsep negara bangsa moden menurut beliau adalah ciptaan kuasa kolonial Eropah yang datang kemudian.

Artikel Raduan menganalisa Laut Sulu yang didiami oleh pelbagai bangsa seperti Taosug, Bajau, Samal, Magindanao, Maranao, Sangil, Yakan, Palawani, Jama Mapun, Melebuganon dan Melayu Brunei. Hasil laut dan hasil hutan dalam kepulauan ini merupakan sumber utama ekonomi bagi kerajaan Sulu yang diperintah oleh Kesultanan Taosug yang mendominasi bangsa-bangsa lain di Kepulauan Sulu. Bangsa-bangsa lain mempunyai kesultanan kecil namun mereka dikuasai oleh “Sultan of Sultans” iaitu orang Taosug yang berpengkalan di Jolo (hari ini dalam Filipina). Sultan pada ketika itu merupakan khalifah, imam, ketua angkatan perang, ketua undang-undang dan pengutip zakat. Sektor ekonomi ditadbir dari Rumah Bichara di Jolo. Mereka mempunyai kekuasaan penuh ke atas kawasan Timur Laut Borneo.

Sumber ekonomi mereka pada ketika itu merupakan mutiara, cengkerang penyu, tripang, sarang burung, sirip ikan yu, dan rotan. Sumber-sumber dikumpulkan dari pulau-pulau oleh penduduk setempat sebelum dieksport ke China. Bangsa Taosug menguasai proses pengumpulan ini. Jolo merupakan pusat pedagangan penting, pedagang Eropah yang tidak dapat menembusi pasaran China pada ketika itu akan ke Jolo untuk mendapatkan produk dari China. Dominasi Taosug ini akhirnya dipecahkan oleh gabungan kuasa kolonial Sepanyol, British dan Belanda. Ia dilakukan melalui beberapa fasa.

Fasa pertama adalah dengan membina pelabuhan-pelabuhan baru untuk mengumpul hasil laut dan bumi untuk eksport ke China. Kemudian kuasa kolonial mula menyerang pelabuhan tentera Kesultanan Taosug. Pada tahun 1848, Sepanyol menyerang tentera laut Samal di Balangingi. Fasa seterusnya adalah sekatan yang dilakukan ke atas pelabuhan Jolo pada tahun 1872. Kebanyakan tentera laut Taosug dikejar di lautan dan dikalahkan. Jolo ditawan Sepanyol pada tahun 1876. Kejatuhan Kesultanan Taosug mengakhiri penguasaan mereka ke atas Laut Sulu dan Celebes yang mana tidak dapat dicapai semula sehingga ke hari ini.

Selepas kejatuhan ini, maka tanah jajahan dibahagikan antara kuasa-kuasa kolonial. Kepulauan Filipina dikuasai Sepanyol, Kepulauan Indonesia dikuasai Belanda, manakala Brunei dan Borneo Utara dikuasai British. Kuasa-kuasa kolonial bukan sahaja merubah lanskap politik Kepulauan Sulu, mereka juga mengubah struktur ekonomi. Jika hari ini Eropah mensyarahkan kepentingan memelihara ekosistem bumi kepada semua negara di dunia, merekalah yang mengubah sistem ekonomi di Kepulauan Sulu dari pengumpulan hasil laut dan bumi kepada pembalakan dan tanaman monokultur bagi menampung keperluan industri Eropah. Hutan-hutan di kepulauan ini bukan lagi dikumpulkan hasilnya tetapi diteroka untuk pembalakan. 

Di Utara Borneo, sistem pemerintahan sultan digantikan dengan pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Hutan Borneo memberikan keuntungan yang lumayan kepada ekonomi kolonial. Pada tahun 1940 eksport balak dari Borneo Utara merupakan yang ketiga terbesar di seluruh empayar British dengan Sandakan sebagai pelabuhan utama. Kemusnahan yang dilakukan kuasa kolonial bukan sahaja pada penduduk setempat tetapi juga kepada kehidupan komuniti yang ada. Bandar-bandar baharu dibuka di kawasan pedalaman dan dibangunkan oleh imigran yang dibawa dari luar. Penduduk setempat tidak dilibatkan dalam perusahan ekonomi baharu, pada 1941 satu per tiga penduduk Borneo Utara adalah imigran.

Selasa, 31 Ogos 2021

Peranan Mujaddid dalam Sejarah Islam Menurut Hassan Ali Nadwi


Buku tulisan S. Abul Hassan Ali Nadwi ini pertama kali diterbitkan dalam bahasa Urdu pada tahun 1955 dengan tajuk Tarikh-i-Da’wat-o-‘Azeemat. Beberapa kali diterbitkan dalam Bahasa Arab dengan tajuk Rijal ul-Fikr wad-Da’wah fil-Islam sebelum diterbitkan dibawah tajuk Saviours of Islamic Spirit. Buku ini ditulis untuk mengisi kekosongan penulisan sejarah perihal gerakan pembaharuan dalam agama Islam. Kebanyakan pensejarahan memfokuskan kisah raja-raja, sultan, dan khalifah, tidak banyak biografi ditulis berkenaan dengan pemikir intelektual yang membawa gerakan pembaharuan. Kekosongan ini memberi gambaran yang salah terhadap Islam, seolah-olah Islam merupakan gerakan yang statik dan tidak mampu melahirkan golongan pemikir.

Tokoh-tokoh pemikir yang disenaraikan merupakan mereka yang berani melawan kerosakan, mempertahankan nilai-nilai Islam serta menghidupkan semula semangat pembaharuan dalam jiwa umat. Bagi Hasan Ali Nadwi, sebenarnya tiada kelompongan dalam pembaharuan pemikiran intelektual Islam, apa yang perlu adalah usaha untuk menulis dan mengetengahkannya pada umum. Beliau bukanlah ingin memberi makna kepada “pembaharuan” yang dibawa bukan juga sekadar menamakan beberapa tokoh mujaddid, tetapi beliau ingin mensejarahkan usaha-usaha pembaharuan dalam sejarah Islam sejak 1300 tahun yang lalu.

Kaedah Penulisan

Hasan Ali Nadwi menulis dengan mengutamakan sumber-sumber primer dan menapis sumber-sumber sekunder. Untuk menganalisa pembaharuan sesuatu tokoh, nilai intelektual, budaya, dan kapasiti akademik tokoh tersebut mestilah dilihat pada situasi masa dan tempatnya. Melihat sumbangan seseorang tokoh dengan situasi zaman moden akan menatijahkan ketidakadilan.

Penulisan dan pemikiran tokoh yang dibahaskan juga dimuatkan dengan selengkapnya supaya pembaca dapat merasai sendiri kekuatan penulisan mereka dalam membawa mesej pembaharuan. Petikan-petikan pendek tidak memungkinkan pembaca mendalami maksud asal mereka. Beliau juga tidak hanya mempersembahkan penulisan dan pemikiran mereka tetapi juga membahaskan peribadi dan akhlak mereka. Beliau juga memuatkan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ini semasa zamannya bagi menjadikan analisa beliau lebih kritikal.

Keperluan Reformasi dalam Sejarah Islam

Islam merupakan agama yang telah sempurna seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3. Agama ini berakar dari keimanan yang merupakan nilai yang tidak berubah, juga pada keadaan zaman dan kehidupan yang sentiasa berubah. Allah memberi pada agamanya kebolehan untuk memutikkan daun-daun baru yang segar seiring perubahan zaman lalu memberikan panduan pada manusia di setiap zaman. Iman dalam Islam merupakan benda yang hidup, bukan budaya untuk hanya satu zaman atau susunan yang khusus untuk satu tempat. Islam membawa solusi, tetapi bukan satu solusi, Islam membawa pelbagai solusi untuk pelbagai zaman.

Islam juga merupakan agama yang terakhir. Oleh itu ia perlu bersifat universal, mempunyai semangat rentas bangsa, juga dapat berubah dengan pantas sesuai dengan zamannya. Untuk mengharungi perubahan ini, Allah mengurniakan kepada ummat ini dua perkara. Pertama adalah sunnah Rasulullah. Kedua adalah akan sentiasa ada mujaddid baru yang mempunyai kekuatan akhlak dan intelektual yang akan membawa penafsiran baru agar Islam kekal praktikal pada setiap zamannya. Ini adalah kehendak Allah.

Islam diserang oleh musuh-musuhnya sejak ia lahir di muka bumi lagi, ia bukan sahaja dapat bertahan dari serangan musuh sepanjang zaman, malah berjaya mengekalkan keasliannya. Kejayaan Islam boleh dilihat bukan sahaja dari kejayaannya menghadapi serangan tentera Salib dan Mongol, malah Islam berjaya menghadapi serangan pemikiran seperti penafsiran salah teks agama, tradisi asing, penyembahan manusia dan kubur, fahaman materialisma juga ateisma. Di setiap cabaran zaman ini Allah menghantar tokoh-tokoh yang menjaga Islam dan keasliannya. Banyak cabaran pemikiran yang pernah menjalari umat, seperti Qadriyah, Jahmiyah, ‘Itizal, dan Din-i-Ilahi, walaupun ada ketikanya ia sangat berpengaruh dan disokong penguasa, namun akhirnya ia tidak menjadi sebahagian dari Islam, Islam berjaya mengekalkan kesuciannya, manakala pemikiran ini hari ini hanya menjadi sekolah pemikiran yang kecil. Kehidupan akan sentiasa melahirkan masalah baru, agama yang boleh menjawab permasalahan baru akan kekal relevan.

Hasan Ali Nadwi juga menekankan kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat awam. Bagi beliau tugas menggali semula sejarah Islam yang hilang bukanlah tugas sejarawan semata-mata, tetapi perlu digalas bersama oleh masyarakat awam. Dari pembacaan, mereka akan melihat bagaimana usaha untuk menjaga agama ini dari dipesongkan tidak pernah berhenti sepanjang zaman. Golongan mujaddid dalam Islam telah membantu umat sepanjang zaman dengan penafsiran yang segar, membawa umat memilih jalan yang sederhana, menggunakan akal dan logik untuk membuang keraguan, mereka telah melakukan tugas yang tidak dapat dilakukan oleh mana-mana sultan atau raja.

Maulana Jalal ud-Din Rumi

Antara tokoh yang disenaraikan oleh Hassan Ali Nadwi yang bagi saya merupakan sesuatu yang membuatkan saya curious adalah Rumi. Saya mengenali Rumi melalui puisi-puisinya sebelum ini, tidak sebagai mujaddid umat.

Rumi lahir pada zaman di mana ummat Islam dilanda pemikiran rasionalima. Era dimana kefahaman agama dianalisa hanya melalui lensa hujah rasional, logika dan perbahasan falsafah. Rasionaliti menjadi faundasi dan diaplikasi kepada persoalan-persoalan metafizikal seperti sifat-sifat Tuhan. Hanya pembuktian yang boleh dirasakan melalui deria manusia diangkat sebagai kebenaran. Walaupun rasionaliti menjadikan mereka kelihatan bijaksana, metodologi rasionalisma ini telah memadamkan kehangatan jiwa dan hati mereka. Disebalik kehebatan logik mereka, banyak persoalan-persoalan perihal perasaan dan rasa hati yang tidak dapat dijawab oleh mereka, mereka menjadi ahli akademik yang kering.

Di dalam kecelaruan krisis rasionalisma ini datangnya Rumi yang digelar Sultan ul-’Ulama. Rumi merupakan anak cendiakawan terkenal pada zamannya, iaitu Baha’ud-din Valed, lahir di Balkh (Afghanistan hari ini), beliau mengikuti ayahnya yang berhijrah ke Konya (Turki hari ini). Apabila ayahnya meninggal dunia Rumi menggantikan tempat ayahnya sebagai guru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Halab dan Dimashq dimana beliau bertemu banyak ilmuan termasuk Ibn Arabi. Rumi mengikuti fahaman Sufi Mistik apabila bertemu dengan Shamsh Tebrez. Kematian beliau diratapi bukan sahaja oleh Muslim pada zamannya, tetapi oleh orang Kristian dan Yahudi pada ketika itu, malah mereka turut dibenarkan untuk menyertai pengkebumian Rumi.

Rumi sangat kritikal terhadap golongan rasionalis atas sikap mereka yang terlalu mengutamakan deria manusia sebagai sumber kebenaran. Tetapi berbeza dengan ahli sufi lain, beliau tidak hanya menyeru pada cinta dan kejiwaan semata-mata, tetapi beliau cuba memberi jawapan kepada persoalan dialektik dan falsafah ketika logik tidak dapat menjawab sesuatu persoalan. Jawapan yang diberikan sangat halus sehingga pembaca boleh memahami jawapannya tanpa merasakan jawapan itu dipaksakan keatasnya. Kitabnya Mathnawi menjawab soalan-soalan teologi dan metafizikal yang tidak dapat dijawab falsafah.

Kini Islam jatuh ke tangan kita. Maka tugas kita untuk menyambung tradisi mujaddid ini dalam sungai sejarah Islam. Tugas besar ini tidak mungkin boleh kita lakukan jika kita sendiri tidak mengetahui sejarah tradisinya. Maka paling minimum tugas kita adalah membaca sejarah ummat. Dan buku Abul Hassan Ali Nadwi ini adalah petak yang baik untuk kita bermula.

Isnin, 14 Disember 2020

The Translator: Sebuah Memoir Oleh Daoud Hari


Begitu menyedihkan membaca memoir ini, yang ditulis menceritakan konflik pembersihan etnik di Darfur oleh kerajaan Sudan pimpinan diktator Omar Al-Bashir, tak mampu membacanya tanpa menangis. Tak terfikir dek akal kekejaman manusia ke atas manusia yang lain. Ia akan menyebabkan anda kemurungan memikirkan perihal kekejaman yang terjadi.

Daoud Hari merupakan seorang berbangsa Zaghawa, beliau tinggal bersama keluarganya di Darfur sehinggalah kampungnya diserang oleh militia kerajaan Sudan. Memoir ini beliau tulis untuk menceritakan kepada dunia apa yang berlaku di Darfur dengan harapan masyarakat dunia dapat membantu warga Darfur untuk kembali hidup aman di kampung halaman mereka.

Daoud tidak seperti adik-beradiknya yang lain yang tinggal di kampung, beliau bersekolah di bandar dan mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, skil ini membantu beliau dikemudian hari. Beliau keluar dari Sudan ke Mesir untuk mencari pekerjaan, kemudian cuba menyeludup masuk ke Israel namun gagal. Akhirnya beliau pulang ke kampung halaman ketika perang sedang memuncak di Darfur.

Apabila kampung diserang, suasana yang sangat menyayat hati berlaku, kerana kampung-kampung ini adalah kampung terpencil, mereka tidak mempunyai apa-apa fasiliti perubatan, bagi yang tercedera teruk, mereka hanya boleh berdoa agar kematian segera menjemput dan mengakhiri penderitaan mereka. Sedangkan yang lain hanya mendapat secawan teh untuk melawan rasa sakit akibat tangan dan kaki yang terputus akibat letupan. (44) Satu suasana yang tidak dapat dibayangkan dalam masyarakat moden hari ini.

Daoud sempat sampai ke kampungnya sebelum ia diserang, dan membantu keluarganya melarikan diri, tetapi abangnya Ahmed merupakan antara sukarelawan kampung yang menjadi barisan pertahanan, apabila serangan sudah tamat, beliau pulang semula ke kampung selepas beberapa hari untuk menyempurnakan pengebumian mayat-mayat barisan pertahanan kampung. Pada ketika itu dia menjumpai mayat abangnya yang tersayang, hampir tidak boleh dicam kerana letupan bom. Beliau mengebumikan abangnya dan mengucapkan selamat tinggal. (60)

Orang kampung yang terselamat dari serangan menjadi pelarian, mereka berjalan kaki menuju ke kem pelarian di Chad, dalam masa yang sama menandakan perjalanan mereka dengan kubur-kubur wanita dan kanak-kanak yang mati ketika dalam perjalanan. Walaupun ketika saat genting seperti ini, Daoud menulis perihal kebaikan, bagaimana mereka bantu membantu, berkongsi air dan makanan untuk kekal hidup. (63)

Mungkin antara kisah yang paling merenggut hati adalah kisah seorang wanita yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak kecil lelaki. Apabila kampungnya diserang oleh militia Janjaweed (pasukan berkuda Arab), wanita tersebut ditangkap dan diperkosa selama seminggu. Beliau kemudian ditinggalkan ditengah padang pasir jauh dari sebarang kampung tanpa makanan dan minuman. Beliau berjalan selama 5 hari sehinggalah beliau tidak lagi mampu membawa anak-anaknya, dan berehat dibawah sebatang pohon berdekatan dengan sempadan Chad. Beliau melihat dua anaknya mati disitu. Kemudian mengambil keputusan untuk menggantung dirinya di pohon itu. Anak kecil beliau mati didalam dakapan Daoud yang tiba disitu, beberapa jam lewat. Kekejaman ini membuatkan saya termenung dalam, perihal kekejaman manusia sesama mereka. (65-66)

Kisah kekejaman kedua yang dikongsikan Daoud adalah perihal seorang lelaki yang ditangkap oleh militia Janjaweed dan diseksa, anak perempuannya tidak sanggup melihat ayahnya diseksa keluar dari persembunyian sambil berlari kearahnya dan memanggilnya "Abba Abba!". Anak perempuan ini kemudian ditusuk oleh militia Janjaweed dengan bayonet. Beliau melihat anaknya mati sambil memanggil namanya sehingga anaknya terkulai, manakala militia tersebut menari-nari dengan mayat anaknya. (83)

Kekejaman ini merubah minda lelaki tersebut. Dia tidak dapat memikirkan apa dosa anaknya, kenapa anaknya harus mati begitu. Setelah membaca hal ini, ia seolah menyentak jiwa saya. Kadang kita merasakan bahawa pengebom berani mati merupakan orang yang gila dan kejam, apa yang kita tidak ambil kira adalah kekejaman yang telah dilakukan pada mereka. Mereka melihat sesuatu yang merubah minda mereka, merasakan nyawa mereka tidak ada nilainya lagi, dari mati dikala tua, mereka lebih rela memberikan nyawa mereka untuk mengalahkan musuh mereka. Lelaki ini kemudian terselamat dan bersatu semula dengan isteri dan anak lelakinya, tetapi imej yang dilihat telah mengubah mindanya. Dia meninggalkan isteri dan anaknya untuk bertarung.

Apabila tiba di kem pelarian di Chad, Daoud menjadi penterjemah untuk delegasi Amerika yang menyiasat penghapusan etnik (genocide) yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dibawah Omar Bashir. Selain penyiasatan ini, Daoud menyatakan kerajaan Amerika tidak menolong banyak, ini berbeza dengan rakyat Amerika dan juga Eropah yang menjalankan begitu banyak kerja-kerja kemanusiaan membantu warga Darfur. Bagi Daoud bukti sesuatu kerajaan itu demokrasi atau tidak adalah sama ada ia mencerminkan hati dan perasaan rakyatnya. (85)

Daoud juga menjadi penterjemah bagi wartawan yang ingin memasuki Darfur, beliau mencoretkan bahawa wartawan juga mempunyai sisi kemanusiaan yang kuat. Mereka sering menangis melihat kekejaman yang berlaku. Sering kali mereka membantu menguburkan mayat-mayat yang dijumpai, terutamanya kanak-kanak, dan mereka akan duduk dan berdoa di kubur-kubur ini. (112) Membaca akan hal ini, saya teringat akan Robert Fisk. Tentang bagaimana melihat kekejaman menjadikannya seorang wartawan yang berbeza, menulis dengan penuh amarah tanpa berselindung untuk melaporkan kepada dunia siapa penjenayah sebenarnya.

Pada bab-bab akhir, Daoud menceritakan bagaimana beliau akhirnya berjaya ditangkap oleh kerajaan Sudan. Antara topik yang mendapat perhatian saya adalah bagaimana anak-anak remaja dijadikan askar paksaan. Mereka berumur sekitar 14 tahun sahaja (tingkatan 2 jika di Malaysia). Kadangkala remaja yang bernasib baik akan melarikan diri ketika disuruh menyerang kampung-kampung. Daoud menulis tentang harapannya jika tentera kanak-kanak ini ditawan, supaya mereka tidak dibunuh sebaliknya dihantar bersekolah. Ada ketika Daoud cuba bercakap dengan anak-anak ini, menerangkan keadaan agar mereka sedar apa yang mereka lakukan adalah kesalahan, dan beliau nampak sinar-sinar harapan dimata anak-anak ini. (138)

Buku ini berakhir dengan kisah bagaimana akhirnya Daoud dilepaskan dari tahanan hasil tekanan dari rakan-rakan wartawan beliau, juga kerajaan-kerajaan Eropah (spoiler!). Dihujungnya beliau memberi perspektif tentang sebab berlakunya konflik ini. Saya tidak dapat menolak dari berfikir bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dan Omar Bashir tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Israel kepada bangsa Palestin. Mereka mahukan tanah tanpa penduduk, jadi mereka melakukan pembunuhan, menghapuskan kampung-kampung, jika Israel mahu meng-Hebrew-kan Palestin, Omar Bashir mahu meng-Arab-kan Darfur dan Sudan dengan memadam etnik-etnik Afrika yang ada. Buku ini ditulis Daoud agar cita-cita seperti ini tidak berjaya.

Selasa, 22 Oktober 2019

Sejarah Islam Yang Hilang



Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai, seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.

Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona, cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.

Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam 274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis. Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan sebagai 'sejarah'.

Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri kejayaan mereka.

Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik, bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.

Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di Kuffah.

Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi, dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.

Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman, apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq (rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).

Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil 'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya menewaskan Alfonso.

Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.

Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.

Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.


Sabtu, 28 Januari 2012

Dari Andalusia ke Kota Melaka



Anak-anak di Malaysia hari ini mula mengenali sejarah rata-ratanya bermula diumur 13 tahun. Satu subjek yang penuh dengan penulisan yang panjang dan kadang kala membosankan. Hal ini merupakan suatu yang aneh. Kerana sepatutnya sejarah menjadi satu pembelajaran yang bukan saja menarik tetapi membina anak itu menjadi orang yang berprinsip . Anak itu akan terus hidup atas prinsip itu di kemudian hari.

Kegagalan subjek sejarah hari ini di sekolah melahirkan pelajar yang tidak berprinsip. Tiada pegangan , tidak tahu apa yang patut dipertahankan dan tidak tahu apa itu perjuangan. Maka lahir satu generasi yang lemah. Generasi yang kalah sebelum berjuang. Tidak perlu lagi mempersiapkan 100 ribu tentera , tidak perlu 100 ribu armada kapal , tidak perlu senapang mahupun peluru untuk dilumpuhkan. Cukuplah dengan menjual Dunhill dan Marlboro sahaja.

Maka dimana silapnya? Adakah salah guru yang gagal mengajar atau silibus yang tidak lengkap?

Kita mulakan dengan cerita.

Jatuhnya Andalusia pada 1492 menyaksikan tentera salib memperolehi satu bandar yang begitu berharga. Penaklukan Isabella dan Ferdinand ini bukan sahaja menyaksikan perubahan politik setempat di Andalusia . Mereka bukan sahaja berjaya menakluki bandar tetapi mereka berjaya menakluk kekayaan ilmu ummat Islam disitu. Maka dunia menyaksikan kemunculan dua kuasa kolonial maritim iaitu Portugis dan Sepanyol. Mereka membahagikan dunia kepada dua bahagian untuk meneruskan agenda perang salib.

Perancangan awalnya adalah menghantar Pedro Alvares Cabral ke kepulauan Melayu. Namun berlaku beberapa pertukaran menyebabkan Pedro dihantar ke Brazil dan Afonso de Albuquerque ditugaskan menakluk kepulauan melayu.

Kuasa Allah menetapkan Islam telah dahulu sampai ke tanah melayu sebelum Afonso dilahirkan. Satu sistem hidup yang bakal menyelamatkan mereka dari penjajahan Afonso. Kegigihan dan kesungguhan para du'at ( Pendakwah Islam ) menyaksikan Islam berkembang pesat. Sehinggalah pada 1402 Sultan kerajaan Hindhu bernama Parameswara memeluk agama Islam.

Kedatangan Islam membawa perubahan baru kepada lanskap nusantara. Kerajaan-kerajaan hindhu nusantara yang sebelum ini berperang sesama sendiri ratusan tahun menjadi satu dibawah Islam. Lawan bertukar kawan. Ibarat adik dan abang bersatu di bawah Islam. Tiada Malaysia tiada Indonesia. Islam menjadi kebanggaan mereka bukan negara bangsa.

Afonso berjaya menakluk  Melaka dari Sultan Mahmud Shah pada 1511. Kerajaan Islam Acheh cuba untuk merampas semula Kota Melaka dengan bantuan Kerajaan Turki Uthmaniah tetapi gagal.

Habis cerita.

Adakah itu sejarah kita? Sejarah kegagalan? Kita menyaksikan selepas itu lenyap sultan di Melaka. Malah Istana sultan Melaka turut dibakar lenyap terus dari muka bumi. Adakah ini sejarah kita?

Tidak sama sekali. Kedatangan Islam telah menyaksikan bahawa ummat kita bukanlah ummat yang gagal. Islam menjadikan kita ummat yang kuat. Tahan berjuang . Jiwa terus bebas merdeka biarpun tanah dijajah mereka.

Pedro yang ditugaskan untuk menakluk Brazil berjaya menguasai penuh tanah , emas dan penduduknya. Tamadun Inca , Aztec dan Maya hilang lenyap bersama bahasa , budaya dan khazanahnya selepas ditakluk Sepanyol dan Portugal. Brazil hilang bahasanya dan penduduknya berjaya di kristiankan.

Tapi nenek moyang kita terus kekal berjuang mempertahankan ke Islaman mereka . Bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu terus dipertahankan. Kitab-kitab dalam bahasa melayu jawi terus disimpan untuk dibaca oleh anak generasi sesudah mereka. Mereka terus berjuang tak pernah jemu. Dari generasi ke generasi. Dari Sultan Mahmud Shah hingga Tok Janggut mereka berjuang dengan darah dan air mata agar Islam sampai ke tangan kita.

Walaupun kita telah kehilangan tulisan jawi yang merupakan kehilangan besar untuk ummat ini. Namun bahasa kita masih terpelihara dan perlu dijaga dan diperjuangkan. Biarlah bahasa ini berkembang bukan sahaja sasteranya tapi dalam bidang bidang lain seperti sains dan matematik. Jika kita masih menggunakan tulisan jawi mungkin saudara cina dan india di negara kita ramai yang mudah membaca Al-Qur'an dan sudah memeluk Islam.

Adakah mereka berjaya?

Ya mereka berjaya. Islam sampai ke tangan kita. Inilah yang perlu difahami dari sejarah. Inilah warisan yang dipertahankan oleh atuk nenek kita sejak 600 tahun yang lalu. Sejarah ini yang patut diajar dan difahami. Sejarah perjuangan ummat Islam yang menang.