Memaparkan catatan dengan label Pembacaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembacaan. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2024

Memori Permusafiran & Pembacaan di Celahannya


Antara benda yang menenangkan jiwa dalam permusafiran adalah berteman dengan buku yang sedap di baca. Dua tiga hari ini memang selalu hujan di Kuala Lumpur, satu petang, saja ambil kerusi dan duduk membaca sambil ditemani hujan turun. Tenang hati seolah-olah hujan sedang membasahi hati. Mungkin lepas ni kena buat lagi, masa hujan lebat, ambil kerusi dan membaca sambil menghirup kopi. Fuh!

Buku yang dipilih adalah catatan kembara Zakaria Ali di Mexico pada zaman 70-an. Zaman ini saya rasa zaman emas para pelajar Malaysia mengembara di dunia. Rasanya antara vibe kembara lain yang seakan buku ini adalah buku Kembara Darus Senawi 1963 yang ke Mesir menaiki kapal laut. Baca kembara orang dulu-dulu ini menarik, sebab susah payah kembara itu memang real. Zaman tersebut belum ada wassap, airbnb, booking.com, agoda, air asia dan lain-lain. Jadi memang vibe susah travel itu boleh kita baca dalam aksara-aksaranya. Travel hari ini sudah menjadi lebih kepada leisure travel. Tunggu flight sambil minum latte, cabaran paling ganas pun adalah flight delay. Teringat baca buku Kembara Darus Senawi 1963, cabaran beliau stranded di India berbulan-bulan, terpaksa tumpang rumah setinggan untuk survive.

Di Mexico ini saya lihat cabaran Zakaria Ali juga boleh tahan hebatnya, kerana faktor bahasa, dan juga gaya kerja orang Mexico yang boleh tahan menyusahkan hidup orang lain. Tapi di celah-celah kesusahan itu, pasti diselitkan juga manisnya di mana.

Bila travel berseorangan, saya selalu teringat zaman belajar dahulu, malam-malam meredah salji dari asrama ke "vokzal" (stesen kereta api). Dahulu saya biasanya menaiki tren yang dinamakan Krasnaya Strella, dari St. Petersburg ke Moskva, hampir setiap bulan untuk menyertai program-program persatuan pelajar. Antara lagu best yang saya selalu dengar semasa travel adalah lagu Talib al-Habib yang bertajuk "Travel Light". Lagu ini sangat menenangkan dan poetic, saya tak pasti kenapa ramai yang tidak tahu tentang lagu ini dan kenapa ia tidak menjadi popular di Malaysia. Lagu-lagu beliau rare, kalau dihayati lirik pun saya akan merasa tenang sahaja. Sedikit liriknya saya kongsikan untuk menyebarkan vibe lagu beliau:

"Live this life like wayfarer journeying
Like a stranger on his way back home
Traveling light
Trying to break the shackles that bind me to the things tempting me to stay
But the truly precious is as light as a feather and all else is memory that fades away
Traveling on, just like a river flowing past hearts more unmoving than a mountain stone
Why do you flow they say?
And where are you going?
Onwards ever onwards to the sea and home".

Fuh, memori.

Sabtu, 22 Jun 2024

Kecintaan Kepada Sastera & Persuratan

Minggu ini saya dipaksa oleh pensyarah untuk membaca tentang tokoh-tokoh intelektual Arab yang menyumbang kepada idea kebangkitan kebangsaan. Ia sememangnya satu bacaan yang menarik untuk menelusuri kehidupan cendiakawan seperti Nasif Yazeji, Butrus Bustani, Jamaluddin al-Afghani, Abdul Rahman al-Kawakibi, Najib 'Azuri, Rifa'a Badawi Rafi' al-Tahtawi, Khairuddin Pasha, dan Faris al-Syidyaq. 

Cuma saya tidak begitu berpuas hati kerana masa yang diberikan untuk menghabiskan bacaan sangat singkat. Saya suka membaca perlahan-lahan untuk menikmati bacaan dan berfikir tentangnya. Apa pun terpaksa juga saya ikuti atas kehendak pengajian akademik. Mungkin selepas habis, saya akan membaca semula buku-buku tulisan George Antonius dan Albert Hourani yang diberikan itu perlahan-lahan. Agar tiada mutiara-mutiara yang ketinggalan.

Sepanjang pembacaan saya, saya tertarik tentang bagaimana intelektual yang memberi kesedaran kepada bangsa ini banyaknya bermula dengan kecintaan mereka kepada bahasa dan bahan sastera. Tokoh-tokoh ilmuan kebangsaan Arab ini banyak bermula dengan kemahiran bahasa. Ada yang tinggal di kawasan yang tiada buku, oleh itu mereka telah membaca manuskrip-manuskrip silam yang tersimpan di monasteri kerana itu sahaja bahan bacaan yang ada. Penerokaan mereka membawa kepada satu dunia yang lain, dan mereka terus jatuh cinta dan mengabdi seluruh hidup mereka untuk meneroka dan mengembangkan ilmu. Mereka mengutip semula lentera ilmu yang telah malap dalam bangsa mereka dan menyalakannya semula. Dari tangan mereka lahir bangsa baru dengan keilmuan baru yang berakar dari penulisan dan sastera silam mereka.

Saya kira perkara yang sama berlaku di negara kita. Ketika membaca buku Rustam A. Sani perihal idea kebangsaan Melayu, beliau mendedikasikan banyak muka surat untuk membincangkan persatuan bahasa, budaya dan persuratan yang akhirnya membentuk semangat kebangsaan Melayu yang bermula pada tahun 1930-an.

Di sela-sela masa yang ada, saya juga sedang menelaah naskah lama tulisan Burhanuddin Al-Helmy yang telah diberi nafas baru dengan alihan aksara oleh Zaid Ahmad. Buku ini merupakan bacaan ketiga dari buku-buku yang saya dapatkan di PBAKL 2024.

Buku ini agak istimewa kerana ada kaitan peribadi dengan saya dari segi pertalian darah keluarga iaitu dari keluarga di Changkat Tualang, Perak. Dahulu arwah ayah selalu sebut bahawa kami ada "bau-bau bachang" dengan Burhanuddin Al-Helmy, "bau-bau bachang" ini bermakna ada pertalian keluarga. Ibu Burhanuddin, Zaharah merupakan anak kepada Haji Osman yang merupakan anak kepada Syed Endin. Manakala saya dari jalur Mohd Jiplus bin Kulup Mat Saman bin Mohd Zain bin Syed Endin. Ini berdasarkan dokumen salasilah keluarga yang saya warisi. Sejauh mana kebenarannya, wallahualam, dan perlu kepada kajian yang lebih tersusun. 

Apa-apa pun, buku ini saya kira sangat menarik sebagai warisan persuratan sejarah bangsa. Moga-moga, masa tidak mencemburui saya, dan dapatlah saya menganalisa makalah ini dengan teliti.

Jumaat, 29 September 2023

Membaca & Proses Berfikir


Saya kira proses pembelajaran tidaklah eksklusif pada membaca sahaja. Proses pencarian ilmu itu pelbagai, dengan mengembara, mencari pengalaman, berdialog, mendengar syarahan, menonton kandungan video, dan seribu satu cara yang lain.

Tapi saya kira membaca buku mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya adalah kelebihan berfikir. Berbeza dengan mendengar atau menonton kandungan. Proses membaca biasanya berlangsung dalam suasana yang senyap dan sunyi. Keadaan ini membenarkan kita menghadam maklumat dalam masa yang sama berfikir tentangnya.

Jika kita mendengar syarahan, tidak sempat kita berfikir tentang sesuatu perkara, pensyarah mungkin berkata perihal benda yang lain. Jadi fikiran kita segera teralih, ini menghalang kita daripada berfikir dengan lebih dalam. Tetapi proses membaca dalam diam dan kesunyian memberi kita ruang untuk berfikir dengan lebih mendalam dan panjang. Idea itu dapat digarap dengan lebih sempurna dalam kotak fikir kita. Ia boleh bermain-main lebih lama di dalam kolam pemikiran kita lantas membolehkan kita menimbang pelbagai sudut dan perspektif. Dengan membiarkan fikiran melayang, kita membenarkan idea mengalir dengan lebih lama. Hal ini akan menghasilkan takungan idea yang lebih bermutu.

Dan inilah sebab bagi saya pembacaan memberi kelebihan dalam mengayakan idea dan pemikiran, adalah lebih baik kita biarkan fikiran kita tenggelam dalam pembacaan.

Sabtu, 8 Julai 2023

Menyimpan Ikan-Ikan Dari Senaskah Buku


Banyak perkara yang saya belajar dari membaca sebuah buku. Apabila membaca, sering kali banyak idea-idea yang saya temui yang tidak saya setujui. Juga sering kali, dalam membaca, banyak perbahasan-perbahasan yang langsung saya tak faham. Hal ini mungkin kerana penulis banyak mencedok idea dan terma dari hasil tulisan orang lain, dan saya yang tidak membaca tulisan orang lain tersebut, jadi saya tidak dapat menangkap maksud lengkap perbahasannya.

Namun saya kira begitulah pembacaan. Membaca bukan bererti kita akan faham semuanya sekali baca. Bak kata Chomsky, proses membaca sebenarnya selalu perlu kepada ulangan. Kita mungkin tidak faham sesuatu hari ini, tetapi 10 tahun lagi, apabila kita meneruskan pengembaraan membaca kita, kita mungkin akan mula memahaminya. Di sini akan lahir, seperti kata Chomsky, keperluan untuk kita menziarahi semula buku-buku lama yang kita baca.

Memahami sesuatu bukan seperti menunggu mee meggi kembang, ia memerlukan iltizam kepada usaha yang panjang dan bertahan lama. Masa adalah sebahagian dari bahan bagi melengkapkan resepi kefahaman. Jadi janganlah kita berhenti membaca jika tidak faham akan sesuatu, sebaliknya cuba simpan "ketidak-fahaman" kita itu. Rekod dan kumpulkan, besar kemungkinan kita akan memahaminya di masa hadapan.

Membaca juga tidak semestinya memberikan kita keselesaan. Pasti ada benda yang tidak kita setujui apabila kita membaca. Itu normal dan sebenarnya bagus. Ia menandakan bahawa kita bukan membaca sekadar untuk menguatkan lagi apa yang sebelum ini kita anuti. Pemikiran hendaklah sentiasa diuji, baru ia menjadi pemikiran yang kental. Seperti juga iman di dada, perlu pada ujian untuk menguatkannya. Membaca makalah yang tidak kita persetujui adalah metod menguji kekuatan fikir kita. Kita memahami hujah yang berbeza dan berfikir bagaimana kefahaman kita dapat respon kepada hujah tersebut. Hal inilah yang sebenarnya mengembangkan fikir. Jika kita sekadar ulang baca benda-benda yang sekadar bersetuju dengan apa yang sedia ada kita pegang, pemikiran kita tidak akan menjadi semakin tajam.

Akhir sekali, membaca juga perlu mempunyai dapatan. Seperti yang saya sebut, banyak yang saya belajar dari membaca. Selalunya proses membaca saya akan selesai dahulu, tetapi proses mencerna dan menghadam dapatan saya akan mengambil masa yang lebih lama. Ia berlarutan selepas saya selesai membaca. Banyak muka surat yang biasanya saya dog-ear, jadi perlahan-lahan saya akan revisit poin-poin yang menarik untuk dinotakan. Proses ini pastilah memakan masa yang lebih dari sekadar membaca. Namun jika proses ini tidak dibuat, saya tidak akan merasa puas membaca. Seolah-olah saya pergi menjala ikan di tengah lautan, kemudian saya melepaskan semula semua ikan-ikan yang saya tangkap. Merekod nota, adalah cara untuk saya menyimpan "ikan-ikan" yang dapat saya tangkap dari senaskah buku.

Sabtu, 24 Jun 2023

Membaca Hingga Lewat Malam


Pada usia yang kini sudah mula memasuki pertengahan 30-an ini, saya ada cuba test kemampuan membaca berseorangan ke dalam kegelapan malam. Ternyata sudah tidak berstamina seperti semasa zaman muda. Dahulu sampai jam 2 pagi masih steady, kini jam 12 mata sudah kuyu. Bila tengok cermin, memang sudah ada rambut putih mula muncul, tandanya sudah tua. Cubaan untuk membancuh kopi pun tak berjaya membuka mata yang kuyu. Ternyata faktor usia memang kuat dalam memakan stamina membaca. Betullah kata pujangga yang mengatakan bahawa "masa menghancurkan semuanya".

Tapi membaca tak boleh berhenti, meski stamina sudah tak sama. Perlu digunakan strategi berbeza. Tak boleh duduk baca lama, kena baca sekejap-sekejap antara celah-celah masa yang ada dalam hidup. Biar lambat sedikit, tetapi tetap kita mengutip bait-bait. Hendak mengais sedikit ilmu memang seharusnya kita mencurah segunung usaha.


Sabtu, 21 Januari 2023

Merenung Pembacaan: Pecahnya Tembok Banjir


Kita tidak boleh memilih permulaan kita, takdir dan sejarah yang memilih di mana kita bermula. Tapi apabila kita sudah bermula, kita diberi pilihan untuk ke mana. Sudah lama rasanya tidak menulis refleksi membaca, bukan sebagai satu reviu buku, tapi sebagai kontemplasi dan perenungan terhadap aktiviti yang begitu mengasyikkan ini. Membaca membawa kita mengembara, membawa kita melihat dan merenungi lautan ilmu yang telah dikumpulkan oleh manusia sepanjang zaman. Masuk ke dalamnya seolah berjalan di padang luas yang tiada berpenghujung. Menggali semula pemikiran manusia lama, serta melihat bagaimana mereka hidup, berperasaan, bercerita, dan berimaginasi.

Sejak kecil saya kira saya digalakkan membaca. Kebanyakannya adalah buku-buku cerita sesuai dengan tahap anak-anak. Semasa kecil, ada juga beberapa ensiklopedia kecil di rumah, kebanyakannya berfokus kepada subjek sains. Zaman tersebut ensiklopedia masih berbentuk buku fizikal, sebelum Jimmy Wales mengasaskan ensiklopedia digital seperti Wikipedia. Namun saya kira, pembacaan saya semasa kecil masih terhad, walaupun keinginan untuk memahami dan mengetahui itu sentiasa wujud dalam kolam-kolam perasaan. 

Masuk ke sekolah menengah pembacaan saya mula bertambah hinggalah ke zaman universiti. Pada masa ini pembacaan saya banyak berfokus kepada buku-buku agama. Juga buku-buku yang ditulis oleh pemikir gerakan Islam kontemporari. Hinggalah pada satu ketika, ada satu tembok yang pecah dalam diri saya. Ia menyebabkan selera membaca saya tiba-tiba memuncak, dan saya mula membaca secara intensif dan rencam. Saya cuba merenung jauh ke belakang, di daerah di mana kehidupan sudah berlalu, dan cuba mencari titik di mana pecahnya tembok ini.

Setelah mengimbau masa silam, saya dapati tembok yang ada dalam diri saya pecah selepas zaman universiti, dengan lebih tepat, pada sebuah kelas semasa pengajian di kelas pasca-siswazah di Johor. Saya masih ingat, kelas tersebut adalah kelas research methodology yang diajar oleh Dr. Nasir Tamin. Sehingga hari ini saya masih ingat gaya mengajar Dr. Nasir, semasa berdiri memberi kuliah, satu kaki beliau biasanya diangkat dengan ditelakkan di atas kerusi. Ada satu sesi kuliah yang menangkap perhatian saya. Beliau membahaskan perubahan yang berlaku di dunia, perubahan yang semakin lama semakin cepat dan kompleks. Ketika itu beliau memetik buku Thomas Friedman yang dibacanya. 

Kuliah Dr. Nasir ini sangat mengesani saya. Saya lantas membeli buku The World is Flat tulisan Friedman itu selepas kuliah. Sejak itu saya merasakan bahawa dunia ini penuh dengan pelbagai perkara yang sangat menarik untuk diterokai. Sejak dari itu, tembok dalam diri saya pecah, saya mula membaca dengan begitu rencam dan intensif. Apa sahaja buku yang saya boleh baca akan saya baca, semakin lama kedahagaan saya untuk mengetahui bertambah besar. Saya mula membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. Walaupun pada mulanya ini merupakan satu perkara yang sukar, kerana bacaan selalu terhenti kerana saya perlu mencari kamus untuk mengetahui makna beberapa perkataan. Namun semakin lama ia semakin mudah, dan tanpa saya sedari, layarnya sudah tersergam, dan saya mula berlayar di lautan pembacaan dengan mudah. Larut dan hanyut dalam helaian muka suratnya.

Dari perenungan ini, ada dua perkara yang penting yang saya rasakan wajar saya notakan untuk sentiasa saya ulang fikir dan ambil perhatian. Pertamanya kepentingan mencadangkan bahan bacaan yang baik kepada orang lain. Ia mungkin dirasakan sesuatu yang random dan biasa, tetapi ia juga boleh berubah menjadi sesuatu yang sangat signifikan terhadap orang lain. Dengan membincangkan sesuatu idea yang kita rasakan menarik, kita boleh mencetuskan satu kesedaran penting dalam diri orang lain. Kesedaran ini mungkin akan menyebabkan orang tersebut menempuh perjalanan baharu yang mengayakan minda mereka. Apabila minda mereka kaya, ia pula akan melimpah kepada orang lain dan mencetuskan kesedaran baharu. Hasilnya merupakan penyebaran kesedaran yang berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kedua, bagi saya penting untuk kita menyebar luaskan bacaan baik yang kita baca kepada orang lain kerana hal ini mungkin mampu memecahkan tembok dalam diri mereka. Saya kira, apabila seseorang itu bertemu dengan sebuah buku yang betul-betul kena dengan jiwanya, ia mampu merobohkan tembok dalam dirinya yang menatijahkan keluarnya perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam dirinya. Dia mungkin akan menempuh satu perjalanan untuk mencari lagi, kalau-kalau wujud buku-buku yang mempu mengubat jiwanya lagi. Dan dalam perjalanan tersebut, dia akan belajar banyak perkara, dia mungkin juga akan menjumpai perasaan cintanya kepada ilmu.

Ahad, 25 Disember 2022

Kemahiran Asas Yang Dilupakan


Beberapa hari ini saya terfikir perihal membaca. Satu kemahiran yang sangat asas bagi manusia moden. Zaman dahulu ia bukanlah satu kemahiran yang penting, oleh itu ada dalam kalangan nenek dan atuk kita tidak boleh membaca. Mereka dapat juga hidup dengan normal sehingga tua. Tetapi tidak untuk generasi hari ini. Membaca diajar kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Jika anak kecil tidak dapat membaca, segera ibu bapanya membawa anak itu berjumpa doktor, risau takut-takut dia mempunyai masalah kesihatan kerana tidak dapat membaca.

Walaupun membaca merupakan kemahiran asas, saya kira ramai yang berhenti membaca apabila mereka tamat belajar secara formal. Selepas tamat pengajian formal, membaca biasanya diperkatakan sebagai sebuah hobi sahaja. Setanding hobi-hobi lain seperti berbasikal, mengumpul setem, atau membela kucing. Tidak pelik jika seseorang itu tidak membaca apa-apa buku sepanjang hidupnya selesai dia habis bersekolah atau beruniversiti.

Persoalan ini menghantui minda saya. Mengapa ramai yang berhenti membaca walaupun mereka boleh membaca. Membaca yang saya maksudkan disini lebih kepada buku, bukan mesej, hantaran facebook, atau beberapa baris perkataan di Twitter. Sedangkan ibu bapa mereka dulu bersungguh-sungguh memastikan mereka dapat membaca. Bagi saya buku merupakan satu gedung simpanan ilmu yang istimewa dan elegan. Ia bukan sekadar menyimpan ilmu, malah ia menyimpan imaginasi dan perasaan penulis. Membaca membenarkan kita menembusi pemikiran seseorang.

Saya terfikir, mungkin membaca buku dikaitkan dengan buku-buku seperti buku teks sekolah. Mungkin pengenalan ramai manusia kepada buku adalah buku-buku akademik. Oleh itu, bagi mereka buku-buku ini adalah satu aktiviti penekunan yang berat. Fikiran saya ini hanya kemungkinan sahaja, tidak disokong oleh apa-apa data. Saya fikir, mungkin seharusnya semasa di peringkat pengajian formal, pelajar perlu didedahkan dengan buku-buku yang menarik sesuai dengan minat mereka. Pengenalan mereka kepada buku-buku perlu dipelbagaikan dengan jenis dan variasi. Ini penting kerana setiap individu punyai keinginan dan perasaan ingin tahu yang berbeza. Jika mereka menjumpai buku yang mereka minati sejak awal, minda mereka akan sentiasa membuat hubungan antara membaca dan keseronokan. Jika tidak, mungkin membaca hanya dikaitkan dengan satu pengalaman monotone, kerana pengalaman membaca mereka hanya pada buku-buku teks dan buku akademik yang melelahkan.

Ya, membaca buku sememangnya satu aktiviti yang menambah ilmu. Tapi bagi saya, membaca juga sering mengundang pelbagai perasaan. Membaca membuatkan kita sedih, gembira, teruja, berharap, berfikir, dan bermacam-macam lagi. Saya merasakan ia satu aktiviti yang menyeronokkan meski kadang kala masa saya direbut oleh perkara lain. 

Selain membaca, saya kira, penting juga untuk kita menggunakan kemahiran asas kita yang kedua, iaitu menulis. Ini merupakan satu tinggalan berharga nanti buat anak-anak dan generasi akan datang. Mereka pastinya mahu mengetahui di mana kita hidup, bagaimana kita hidup, dan yang paling penting, kenapa kita hidup. Apa yang kita tulis hari ini, walaupun kita rasakan tidak signifikan, akan menjadi harta yang berharga buat mereka. Jika tidak, mereka pasti tertanya-tanya, dan pertanyaan ini akan mereka bawa hingga ke pusara kerana kita tidak pernah menulisnya.

Sabtu, 26 November 2022

Refleksi Terhadap Pembacaan


Salah satu sebab saya memilih untuk menjadi pelajar sejarah adalah kerana ia memaksa saya untuk membaca. Sejarah adalah satu bidang yang tidak dapat dipisahkan dengan membaca. Malah dalam bidang sejarah, apa yang membezakan kedudukan seseorang dalam bidang ini adalah pembacaannya. Teringat saya kepada kata-kata guru saya dalam sebuah kuliah. Beliau mengatakan sebenarnya keupayaan beliau tidak ada bezanya dengan pelajar-pelajarnya, apa yang membezakannya dengan pelajar adalah apa yang telah dibaca. Dalam kata lain, jika pelajarnya membaca lebih banyak, lebih intensif, lebih reflektif, mereka bahkan boleh mendahului gurunya.

Setakat ini, perjalanan saya sebagai pelajar sejarah memang menyeronokkan. Selain ia sesuai dengan kekuatan saya yang suka membaca, menjadi pelajar sejarah secara formal juga banyak membantu saya memperkemaskan penulisan. Banyak aspek-aspek penulisan baharu yang saya belajar. Ini bagi saya penting, kerana kita bukan sahaja mahu belajar subjek, tetapi skil-skil dalam membangun subjek tersebut. Pembelajaran secara formal memaksa saya belajar menulis dengan sistematik dan tersusun. Hal ini mungkin tampak akademik dan rigid, tetapi sebenarnya ia menjadikan kita lebih berdisiplin, lebih kemas, lebih teratur, dan yang paling penting penulisan kita semakin kuat dan dapat dipertahankan.

Ini kerana sejarah amat mementingkan sumber. Jadi setiap tulisan wajib disertakan dengan sumber yang teliti malah memenatkan. Ia menjadikan kita bertanggungjawab dalam menulis dan memaparkan sumber. Hal ini mungkin tidak kita dapati dalam pelajaran tidak formal. Kerana menulis diluar batas akademik kita lebih bebas, kita yang menetapkan sendiri batas disiplin. Tetapi dalam persekitaran formal kita dipaksa, dan paksaan ini yang menolak kita untuk belajar dan berusaha. Bagi saya itulah elemen penting yang saya pelajari. Walaupun sebenarnya perjalanan saya sebagai pelajar sejarah masih jauh.

Saya juga menyedari satu perkara. Pembacaan dalam akademik tidak sama dengan pembacaan liburan. Membaca secara liburan biasanya kita tidak mempunyai batasan masa. Jadi kita boleh membaca kulit ke kulit dalam masa kita sendiri. Membaca dalam akademik tidak boleh begitu. Kerana tugasan biasanya mempunyai tempoh masa, dan mustahil kita dapat membaca semua bahan-bahan kulit ke kulit secara kontemplatif. Sebaliknya kita hanya membaca sebahagian sahaja, bahagian yang kita perlu. Saya pada mulanya tidak selesa dengan hal ini, kerana membaca separuh-separuh ini tidak mendatangkan kepuasan. Namun akhirnya saya akur. Kerana batasan masa, pembacaan akademik memang perlu selektif dan bersasar, tidak secara keseluruhan.

Setelah saya fikir-fikirkan, hal ini tentu sahaja betul pada karya-karya akademik lain. Walaupun rujukan-rujukan bibliografinya beratus-ratus, hampir mustahil mereka membacanya kulit ke kulit dalam masa yang singkat. Jadi kesimpulan yang tidak dapat dielakkan adalah pembacaan akademik memang bersifat selektif dan tidak keseluruhan. Kita hanya baca dan ambil apa yang kita perlu dalam sesebuah karya, tidak kita baca keseluruhannya.

Sabtu, 29 Oktober 2022

Dari Membaca Kepada Kefahaman Ilmu Yang Lebih Besar


Membaca itu satu hal, memahami apa yang dibaca itu adalah hal yang lain. Memahami itu satu hal, menulis semula apa yang difahami itu adalah hal yang lain. Menulis itu satu hal, menerangkan kepada orang lain apa yang ditulis itu adalah hal yang lain. Menerangkan itu satu hal, berjaya mengaitkan apa yang diterangkan kepada kefahaman ilmu yang lebih besar adalah hal yang lain.

Begitulah seterusnya.

Ahad, 2 Oktober 2022

Mengatasi Reading Block


Dahulu, saya merupakan seorang monogamist reader. Apakah dia monogamist reader? Maksudnya adalah orang yang membaca satu buku sahaja pada satu-satu masa. Dalam kata lain, pembaca yang setia membaca satu buku sahaja, dia hanya akan membaca buku baharu selepas buku yang sedang dibaca tamat. Saya dahulu seperti itu. Saya dahulu takkan membaca buku baharu selagi saya tidak habiskan buku yang saya mulakan dari kulit ke kulit. Disiplin.

Tetapi lama kelamaan, saya menghadapi masalah dengan cara ini. Kadang kala ketika membaca, kita akan menghadapi reading block dimana kita tak boleh nak membaca. Otak kita tak mahu membaca walaupun kita cuba. Baca satu muka surat kita sudah rasa begitu penat, lemau, mengantuk dan tawar. Jika kita seorang monogamist reader, selama kita berada dalam fasa reading block ini kita takkan membaca. Kalau ia berlarutan sebulan, maka sebulanlah kita tak membaca. Jika setahun, maka, setahun kita tak akan membaca buku.

Biasanya reading block ini akan hadir ketika kita membaca buku yang susah. Subjek yang kita tidak familiar. Atau buku yang laras bahasanya terlalu tinggi dan berfalsafah. Atau buku yang ditulis berjela-jela, satu perenggan tiga muka surat atau satu ayat ditulis sehingga tiga mukasurat. Pembacaan kita terasa berat dan sukar. Maka lama kelamaan otak kita akan secara automatik tertutup dengan buku tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, saya kemudian bertukar gaya pembacaan kepada polygamist reader. Jika ada bacaan yang berat dan besar, yang saya tahu, dalam perjalanan menghabiskannya saya akan mengalami banyak episod reading block, saya akan selangi dan sulami dengan buku-buku yang kecil dan mudah. Jika sudah terlalu tepu dengan sebuah buku, menukar sekejap bahan bacaan mampu meregangkan semula minda, sebelum mula mendaki sekali lagi bacaan yang berat. Jadi tidaklah kita berlama-lamaan dalam reading block. Kita dapat segera sedar dan segar untuk kembali membaca.

Cuma kadangkala, cara bacaan sebegini menyebabkan fahaman kita tentang sesuatu bacaan itu bercampur-aduk. Tambahan jika buku yang diselang seli itu banyak bercakap perihal topik yang sama. Oleh itu, jika boleh, pastikan buku yang diselitkan di tengah bacaan yang besar itu merupakan buku yang membincangkan subjek lain. Agar minda kita mudah mengklasifikasikan idea dan menyusun informasi.

Sabtu, 11 Jun 2022

Bacalah, nescaya kau tidak akan berseorangan


Kalau saya bosan, saya biasanya akan meliar di perpustakaan digital saya iaitu Youtube. Di sana banyak syarahan-syarahan yang best dan percuma. Antara segmen kegemaran saya adalah "percakapan dengan sejarah" (conversations with history) di mana pengacaranya, Harry Kreisler akan menemuramah tokoh-tokoh sejarah. Bersembang perihal kehidupan mereka, apa yang menjadi inspirasi hidup mereka, dan juga membincangkan idea-idea mereka.

Kreisler pernah menemuramah Howard Zinn, dan antara yang mereka sembangkan adalah bagaimana pembacaan membuatkan kita tidak berasa keseorangan. Zinn membesar dalam keluarga yang susah, sejak muda dia menjadi buruh di perlabuhan dan kemudian menjadi pemandu pesawat perang. Zinn melihat bagaimana masyarakat diajar bahawa "jika kau berusaha dengan rajin, satu hari nanti kau akan berjaya". Tapi dia melihat komunitinya yang bekerja keras setiap hari langsung tak kaya-kaya. Dia melihat buruh-buruh yang bekerja kuat masih tidak berubah keadaan hidup mereka. Dia berfikir bahawa pasti ada masalah dalam sistem kehidupan ini.

Tetapi dia mengagak bahawa itu hanyalah fikirannya. Kemudian apabila lama dia menjalani hidup, dia terjumpa banyak bahan-bahan bacaan. Banyak bahan bacaan yang membahaskan masalah dalam sistem sedia ada. Kemudain baru dia berfikir, "Ah! inilah yang aku fikirkan selama ini, rupanya aku tidak berseorangan!".

Begitulah sebenarnya antara peranan membaca. Dengan membaca kita dapat berjumpa dengan pemikiran-pemikiran orang lain. Kita juga dapat bertemu dengan orang yang berfikir sama seperti kita, dan kita tidak lagi merasa sendirian dalam pemikiran kita. Ada sesetengah fikiran yang kita simpan, kita tak tahu dengan siapa kita boleh berkongsi, kerana mungkin orang itu mempunyai prejudis terhadap idea kita. Tetapi apabila kemudian kita menjumpainya dalam bacaan, ia adalah satu perasaan yang membebaskan, dan sering kali memberi kita keberanian untuk mula membincangkan pemikiran kita tersebut, kerana ada orang telah menulisnya, kita tidak keseorangan.

Perjalanan dalam dunia penulisan sendiri banyak menemukan saya akan hal ini. Sering akan ada orang datang, mengucap terima kasih dan berkata "aku pun berfikir benda yang sama, bila kau tulis aku rasa ada orang faham apa yang aku fikir". Meskipun sering kali saya tidak mengenali orang itu. Bagi saya itulah antara perkara yang menarik dalam menulis. Perkara yang manis dalam berkongsi idea melalui penulisan. Merasakan diri kita tidak keseorangan dalam dunia ini. Kita tahu bahawa bukan kita sahaja ada satu pemikiran rahsia yang tidak kita luahkan, kita tahu sebab ada orang lain munulis perihalnya. Oleh itu dengan membaca kita berasa lebih wujud.

Sabtu, 2 April 2022

Psikologi Membaca: Buku di Paras Mata


Peranan buku di rumah dibincangkan oleh banyak orang. Antaranya dalam buku Freakonomics, yang mengkaji hubungan keberadaan buku di rumah dengan anak yang berjaya dalam pelajaran. Mereka membuat kesimpulan bahawa bukan buku itu yang memberi kesan magik kepada anak untuk berjaya, tetapi rumah yang ada banyak buku ini kebanyakannya mempunyai ibu bapa yang menjaga pendidikan anak-anak. Jadi jika seorang anak itu tidak berjaya atau tidak minat belajar, memasukkan satu tan buku ke dalam rumah tidak akan mengubah apa-apa jika ibubapa tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak.

Tapi kali ini saya ingin merakamkan sudut lain dalam hal menyimpan buku di rumah. Sekadar rakaman pemerhatian dan perasaan peribadi. Bukan kajian yang emperikal, saya juga tidak ada apa-apa statistik untuk dibentangkan. 

Di rumah saya, ada dua bilik yang saya simpan buku-buku. Satu bilik tidur dan satu lagi bilik saya bekerja. Di kedua-dua bilik ini, buku diletakkan dalam rak di paras mata. Maksudnya mata terus boleh lihat buku ini ketika berdiri tanpa perlu mendongak atau menunduk. Masuk bilik sahaja terus nampak buku. Saya kira permandangan ini penting bagi saya. Setiap hari saya keluar masuk bilik saya nampak buku. Ia memberi kesan psikologi kepada saya. Pertamanya saya sering melihat sambil memerhatikan buku mana yang saya sudah baca, buku mana yang belum saya baca. Dari permandangan rak ini minda saya akan sentiasa berkira-kira, mana lagi banyak, buku yang sudah dibaca atau buku yang belum dibaca.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya sentiasa berfikir bahawa masih banyak buku yang belum saya baca. Ia seperti reminder buat saya apabila saya sudah lama tidak membaca, bahawa masih banyak buku yang saya hendak baca. Ada juga buku yang saya beli ketika saya bersemangat untuk mendalami sesebuah tajuk, namun setelah berlalu sekian lama, semangat itu pudar. Namun dengan melihatnya setiap hari, semangat yang pudar itu tidak terpadam. Sebaliknya ia hidup, umpama api lilin kecil di dalam hati yang meliuk-liuk. Menunggu masa yang sesuai untuk kembali membara.

Buku yang sentiasa tidak hilang dari pandangan saya setiap hari juga membuatkan saya sentiasa berfikir tentang kandungan buku. Buku-buku yang saya sudah baca menyebabkan saya sentiasa terkenang akan idea-ideanya apabila saya melihatnya setiap hari. Manakala buku-buku yang saya belum baca menyebabkan hati saya sentiasa tertanya-tanya, pemikiran dan idea apa yang bakal mereka sajikan buat saya. Oleh itu, walaupun ada kalanya saya menjadi malas membaca, dengan sentiasa melihat buku setiap hari, keinginan membaca buku tidak pernah hilang dari fikiran saya. Walaupun ia tidak menjadi fokus saya pada sesuatu ketika, ia sentiasa wujud dalam unconscious mind saya.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya lama kelamaan dapat menghafal dimana letak duduknya sebuah buku. Minda saya sudah dapat menghafal secara tidak sedar kedudukan sesuatu buku. Jika saya ingin merujuk buku-buku yang pernah saya baca, saya akan menjumpainya dengan mudah, kerana kedudukannya telah pun saya hafal. Ini juga bermakna, koleksi buku saya tidaklah begitu banyak, kerana ia boleh dihafal. Jika pustaka peribadi seseorang itu besar, mungkin untuk menghafal setiap letak duduk buku itu menjadi lebih sukar. Namun bukan mustahil!

Saya memang seorang pembaca yang perlahan. Bagi saya membaca ibarat mencicip sehirup kopi. Tidak boleh tergesa-gesa, nikmatnya itu perlu dirasai. Biar airnya masuk perlahan-lahan menyapa bibir, biar kehangatannya meresap di mulut, biar rasa pahitnya mekar di lidah, diikuti rasa manis dan juga rasa lemak-lemak susu. Begitu juga buku, idea yang sedap dan ranum itu perlu perlahan-lahan dicerna minda, difikir-fikirkan, ditulis dan dikembangkan. Barulah membaca itu menjadi satu kenikmatan intelektual. Bukan aktiviti yang gersang. Sebab saya membaca dengan perlahan, jadi koleksi buku dalam pustaka saya juga berkembang dengan perlahan. Tidak dilupakan orang-orang yang meminjam buku saya tapi belum dikembalikan, janganlah sekali-kali kalian ingat saya sudah lupa! Bagi saya, setiap buku yang saya beli dan baca adalah khazanah minda saya, jadi sentiasa akan saya simpan, dan ulang selak bila kerinduan intelektual sampai kepadanya.

Dengan melihat buku-buku setiap hari, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kita kesan psikologi, terutamanya dalam keadaan kita sedang malas membaca, atau pun saat kita terperangkap dalam reading slumps atau reader's block. Reading slumps ini merupakan keadaan yang menimpa orang yang suka membaca, namun ada ketika dia tidak dapat membaca, jika dipegang buku pun dia tidak dapat mengekalkan konsentrasi membaca. Ia memerlukan masa untuk pulih. Selain keluar bersiar-siar melihat alam, kembali ke rumah melihat-lihat buku pun akan mempercepatkan rasa ingin membaca itu datang semula.

Begitulah serba sedikit perkongsian saya perihal kesan menyusun buku di dalam rumah di paras mata. Letakkan buku di tempat-tempat di dalam rumah yang mana kita selalu lalui. Dengan sentiasa melihat buku-buku ini setiap hari, ia akan meninggalkan kesan di dalam minda, secara sedar atau tidak sedar, ia akan memberi kita motivasi untuk membaca, dan juga mengekalkan konsistensi kita dalam membaca seiring peningkatan usia. Selamat menyusun buku dan membaca!

Ahad, 13 Februari 2022

Memaknai Pembacaan: Tahap ketiga


Pernah sekali saya dijemput untuk memberikan satu pengisian kepada pelajar-pelajar sebuah kolej swasta. Salah seorang pendengar pada ketika itu adalah seorang professor. Beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak memaknai pembacaan. Saya kira ia soalan yang beliau sendiri sudah tahu jawapannya. Mungkin beliau sengaja mahu menguji saya. Atau paling tidak beliau mempunyai pandangan perihalnya, namun sebelum memberi pandangannya beliau mahu mendengar respon saya.

Saya memberi jawapan bahawa bagi saya untuk memaknai pembacaan, saya biasanya akan membaca dengan perlahan. Saya tidak membaca dalam keadaan memaksa atau terpaksa. Sebaliknya dalam keadaan tenang dan damai. Supaya saya dapat memikirkan perihal apa yang dibahaskan. Jika penat saya akan berehat, dan mula membaca semula ketika saya sudah sedar dan segar. Saya juga akan menandakan pada buku saya mana idea, quote, pandangan yang saya rasakan menarik.

Sambil membaca saya biasanya akan menulis perihal apa yang saya baca sebagai satu proses pencernaan tentang apa yang dibaca. Bagi saya ini juga adalah sebuah rekod akan apa yang saya fahami. Saya boleh rujuk semula nota bacaan saya ini untuk digunakan dan dinukilkan kembali dalam penulisan saya pada masa akan datang. Walaupun ini akan menjadikan pembacaan saya tidak sepantas orang lain, bagi saya ia akan lebih memberatkan dan memperdalamkan kefahaman saya. Bagi saya, begitulah sifat ilmu, ia memerlukan masa. Masa adalah sebahagian dari kandungan dalam resepi untuk mencari ilmu.

Professor itu bersetuju dan dia menambah apa yang dia rasakan dapat lebih memaknai pembacaan. Bagi dirinya, untuk lebih memaknai pembacaan, seseorang itu perlulah berkongsi bahan bacaannya dengan orang lain. Iaitu menjadi altruist reader. Atau dalam kata lain, dia boleh menerangkan kefahaman yang dia dapat kepada orang lain. Dengan menerangkan semula apa yang kita baca, kita dengan itu sebenarnya belajar menyusun informasi, belajar menguji kefahaman kita, belajar berfikir, dan belajar mengolah idea.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Bagi saya aktiviti berkongsi perihal bahan bacaan ini satu proses yang mengayakan kefahaman. Mungkin juga itu boleh dikatakan sebagai tahap ketiga dalam memaknai pembacaan, tahap pertama adalah membaca, tahap kedua adalah memahami, dan tahap ketiga adalah boleh menerangkannya semula. Sebab itu saya sebenarnya gembira jika ada teman-teman yang menjemput saya dalam diskusi buku, saya boleh mencapai ketiga-tiga tahap ini. Walaupun kadangkala masa dalam kehidupan ini terbatas, selagi ada upaya, saya cuba juga penuhi jemputan.

Bagi saya sebenarnya pembacalah yang akhirnya akan memaknai sebuah penulisan itu bukan penulis. Penulis boleh menulis sesuatu penulisan, namun selepas ia diterbitkan, proses pemaknaan penulisan itu sudah terlepas dari kawalan penulis. Sebab itu kita lihat hari ini, teks yang sama boleh melahirkan aliran fikir yang berbeza. Malahan teks yang sama boleh mencambahkan pelbagai mazhab yang berbeza dan saling bertembung antara satu sama lain. Kerana akhirnya, yang memaknai penulisan adalah pembaca bukan penulis. Satu perkataan boleh dimaknai dengan makna yang berbeza-beza.

Contohnya Madilog tulisan Tan Malaka. Bagi Hamka yang membacanya, beliau mengatakan bahawa Tan Malaka mencintai Islam. Namun apabila Madilog yang sama dibaca oleh Syed Hussein Alatas beliau mengatakan bahasa Tan Malaka telah meninggalkan Islam. Kedua-duanya membaca buku yang sama tapi sampai kepada kesimpulan yang berbeza.

Perkara ini pernah dituliskan oleh antara penulis kegemaran saya, Bart D. Ehrman yang mengkaji perubahan-perubahan yang dilakukan oleh scribes dalam evolusi Kitab Perjanjian Baharu. Pada mulanya beliau merasakan apa yang dilakukan scribes ini adalah salah kerana mereka mengubah kebenaran. Namun lama kelamaan, setelah bertahun-tahun beliau mengkaji, beliau semakin kurang judgemental terhadap scribes yang menyalin semula Kitab ini. Bagi Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari menafsirkan makna teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya sendiri, atau dalam bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Manusia jugalah yang akan menentukan melalui makna-makna yang mereka fahami itu, apa yang akan dilakukan selepas itu.

Berkaitan juga dengan memaknai pembacaan ini, saya juga sekarang terminat akan kajian perihal bahasa-bahasa kuno. Bagaimana manusia dapat mengetahui maksud-maksud yang tersimpan dalam bahasa-bahasa yang telah pupus yang ditulis dalam bentuk cuneiform dan hieroglyph. Ia memenuhi gelas kekaguman saya bagaimana manusia mampu membaca semula tulisan-tulisan ini dan menggali makna-maknanya. Ia bukan kerja mudah, memerlukan ketekunan dan kegigihan beberapa generasi. Antara tokoh yang saya minati akan hal ini adalah Irving Finkel satu sosok yang menarik untuk dibincangkan. Tapi mungkin itu akan menjadi maudhuk dalam penulisan yang lain. 

Selasa, 1 Februari 2022

Anekdot Tahun Baharu 2022


Rousseau ada menulis dalam bukunya The Social Contract, antara kata-kata beliau yang paling terkenal:

“man are born free but everywhere he is in chain”.

Saya memahami kata-kata Rousseau ini sebagai tiadanya apa yang dipanggil kebebasan mutlak. Walaupun Hegel mengatakan sejarah manusia adalah sejarah perjuangan untuk pembebasan, manusia hanya boleh berjuang untuk kebebasan dengan menghampiri kebebasan, namun tidak akan pernah dapat memeluk kebebasan yang mutlak. Di hujungnya pasti akan ada sesuatu yang akan menggari manusia.

Bak kata Kenny Ackerman “everyone is a slave of something”.

Jika pun kita tidak percayakan Tuhan, kita akan bertuhankan perkara lain. Bertuhankan manusia, benda, atau bertuhankan perasaan kita sendiri. Manusia memang dahagakan perubahan dan pembebasan. Tidak sedikit dalam sejarah, lautan darah ditumpahkan atas nama kebebasan. Tidak sedikit juga slogan kebebasan ini akhirnya ditunggang oleh pembebas yang akhirnya menjadi penindas baharu. Akhirnya manusia tetap juga digari, cuma berubah tuan sahaja.

Dalam sejarah pernah dikatakan manusia perlu dibebaskan dari cengkaman raja. Untuk dipimpin oleh kebijakan pekerja. Namun ini juga akhirnya berakhir dengan tragedi yang lebih mencengkam. Diktator raja diganti dengan diktator proletariat. Sebab itu ada pemikir seperti Bakunin, yang beranggap revolusi perubahan itu tidak boleh dipimpin, kerana ada kecenderungan pemimpin revolusi ini akan melahirkan diktator baharu. Bagi Bakunin, tugas perubah-perubah hanya untuk membantu revolusi bukan memimpin revolusi.

Namun pemikiran Bakunin ini ada juga masalahnya. Ruang dan peluang revolusi bukan tiba banyak kali, ia adalah ruang dan peluang yang sempit, jika tidak direbut, ia akan direbut oleh orang lain. Itulah yang berlaku menurut Chomsky apabila Bolshevik mengambil alih Revolusi Rusia, para perubah-perubah asal akhirnya diperangi, dan negara dipimpin oleh ideolog seperti Lenin dan Trotsky dan kemudian baton pemerintahan jatuh kepada pemerintahan kuku besi Stalin. 

Kebebasan merupakan satu punca tenaga yang sangat kuat buat manusia. Walaupun akhirnya mereka tidak akan mungkin memeluk kebebasan mutlak. Kebebasan tetap mengiurkan dan membelai jiwa naluri insan. Akan selalu manusia merinduinya. Seperti Annelis yang menyorok dari buruan tentera fasis, dia hanya mahu keluar dan merasai kehangatan cahaya matahari – cahaya matahari itu adalah simbol perasaan kebebasannya.

Saya memulakan penulisan saya dahulu dengan menerbitkan buku sendiri. Walaupun ketika itu ada teman yang mengajak untuk menerbit bersama menulis di satu rumah penerbitan, saya menolak. Kerana saya merasakan pada ketika itu syarikat yang dicadangkan tidak berapa kena dengan selera pemikiran saya. Terbit sendiri bukan satu hal yang senang, tetapi ia juga tak mustahil di zaman ini. Bagi saya terbit sendiri adalah satu yang membebaskan, kita tidak terikat dengan kehendak-kehendak syarikat penerbitan.

Penulis memang sepatutnya menulis akan perasaannya, pemikirannya, apa yang dia rasakan benar, bukan apa yang orang lain katakan benar. Robert Fisk, seorang wartawan ulung misalnya, mengatakan bahawa penulis mesti memastikan tulisannya diterbitkan, bukan tulisan yang telah diubah menjadi penulisan editor atau pemilik syarikat penerbitan. Biasanya jika ada pihak penerbitan yang tidak mahu menerbitkan penulisan saya atas faktor tidak sesuai dengan pemikiran mereka, saya akan berhenti menulis untuk mereka, kerana saya tidak rasa selesa menulis bagi orang yang ada kecenderungan tertentu, saya mahu bebas menulis dan menerbitkan pemikiran saya. Biar pun mungkin readership-nya terhad, bagi saya itu lebih memuaskan, lebih jujur dan lebih bebas.

Projek Penulisan 2022 - sejak dahulu saya cuba untuk memahami dunia. Untuk memahami dunia tak dapat lari dari perjalanan untuk membaca dan mempelajari ideologi-ideologi yang ada dalam dunia ini. Teras paling dalam yang melahirkan semua pemikiran yang ada dalam pergolakan sejarah dunia saya kira adalah perasaan manusia untuk bebas, atau juga disebut sebagai falsafah pembebasan. Pada setiap zaman manusia mahu bebas dari sesuatu, ideologi lahir sebagai rangka fikir tentang bagaimana mahu bebas. 

Oleh itu salah satu buku saya yang akan terbit tahun ini adalah buku perihal ideologi. Buku ini adalah kumpulan esei saya selama 3 tahun, yang mencakup hal-hal ideologi, falsafah, politik dan rencana umum. Dalam usaha saya untuk merasionalkan dunia. Terima kasih diucapkan kepada Cukong Press yang sudi menerima karya kecil saya untuk diterbitkan. Terima kasih juga pada Ocha Vozvyshennyy yang sudi meneliti manuskrip awal, memberi pandangan dan kritikan. 

Buku kedua yang saya rancang adalah sebuah buku yang meneroka dua aktiviti kegemaran saya, iaitu menulis dan membaca. Disamping meneroka sejarah, falsafah, dan juga objektif bagi menulis dan membaca, buku ini juga merupakan rakaman pengalaman dan pandangan saya akan dua topik ini. Buku ini sebenarnya telah siap sejak tahun lepas lagi, namun disebabkan beberapa kekangan ia tidak dapat diterbitkan pada tahun lepas. Sekarang ia berada dalam proses akhir penerbitan. Penerbit ada memaklumkan bahawa mereka jangkakan buku ini dapat diterbitkan pada bulan Februari 2022. Selain dua buku ini, saya mahu take a break from writing, saya akan lebih memfokuskan penulisan pada tahun ini sekitar hal-hal peribadi yang dekat dengan kehidupan saya. Jadi janganlah tanya saya “tak ada buku baru lagi ke?”.

Di lapangan pembacaan pula saya merasakan ada banyak buku yang saya hanya baca separuh sahaja pada tahun lepas. Oleh itu target pembacaan saya tahun ini adalah untuk menghabiskan buku-buku yang telah saya mulakan pembacaan pada tahun lepas. Antaranya biografi Svetlana Alliluyeva, anak kepada Stalin, masalah Palestin dari kaca mata orang Kristian tulisan Gary Burge, Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI Bil. 02), sebuah novel yang menelusuri sejarah silam China tulisan Susan Barker, kitab Al-Muqaddimah tulisan Ibnu Khaldun, dan akhir sekali naskah klasik falsafah tulisan Jean-Jacques Rousseau. Selepas habis buku-buku ini, barulah saya akan meneroka almari buku saya untuk bacaan baharu. Pembacaan bagi saya tidak lengkap dan memuaskan jika tidak dihabiskan kulit ke kulit buku-buku yang telah dimulakan.

Semoga semua perancangan untuk tahun ini dapat dicapai dengan jayanya. Ameen ya Rabb.

Selasa, 16 November 2021

Jenis Membaca Yang Sia-Sia


Pernah satu ketika laman Facebook menyuap saya dengan begitu banyak iklan
speedreading, bertalu-talu iklannya sehingga membuatkan saya muak dan mual. Maka benarlah kata-kata pengkritik teknologi bahawa algorithma tidak dapat memahami manusia. Sebaliknya ia bergantung kepada apa yang menjadi inputnya. Rubbish in rubbish out bak kata mat saleh. Mungkin ada carian atau klik saya yang menjadi input salah bagi algorithma ini, tapi tidak ingat pula saya bahawa saya ada mencari maklumat perihal teknik membaca dengan pantas, kerana saya tidak suka membaca dengan pantas.

Saya tidak beriman (tidak percaya) dengan mazhab speedreading. Saya tiada keinginan untuk membaca 52 buku sebulan, seperti yang diiklankan kepada saya. Bahkan saya pernah berazam untuk mengabadikan satu tahun untuk membaca, mengkaji, dan menghadam hanya satu buku walaupun azam itu belum tertunai. Pasti ada sahaja buku lain yang menarik yang memotong queue pembacaan saya. Kadang kala, pembacaan saya juga terganggu kerana jemputan-jemputan diskusi, kerana biasanya saya perlu membaca buku tertentu sebelum diskusi, saya pun bukan tahu semua benda.

Seperti falsafah Syed Hussein Alatas, bagi saya tujuan membaca bukan untuk membaca. Bagi Alatas, tujuan sesuatu perkara mesti berada di luar perkara tersebut. Contohnya, kita bukan makan untuk makan, tetapi makan untuk kenyang. Mungkin membaca 52 buku itu satu latihan bagi orang yang tiada kerja lain, jadi kerjanya membaca sahaja pagi petang siang malam. Tetapi bagi saya yang berkeluarga, berkerja, dan bermasyarakat, membaca 52 buku sebulan adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. 

Bukan mustahil secara material, ia boleh diperbuat, tapi mustahil pembacaan itu boleh dihadam, direnung, dikaji, dan diambil pelajaran. Dunia sekarang memang mengetengahkan pemikiran "semua mahu cepat". Tetapi proses pembelajaran bukan begitu, masa adalah sebahagian kandungan dalam proses pembelajaran. Sebab itu saya kurang bersetuju dengan cadangan membuang subjek di universiti supaya cepat habis belajar. Apa guna cepat habis belajar tetapi tiada apa pun yang sebenarnya yang dipelajari. Malahan, saya berpandangan, ada sesetengah ilmu yang tak dapat dicapai dalam tempoh garis masa yang ditetapkan oleh universiti. Jika kita membaca sejarah, ada sesetengah cendiakawan yang menghabiskan keseluruhan hidupnya hanya untuk mendalami satu bidang ilmu yang spesifik. Kita pula ingin belajar semua dalam masa 4 tahun, ini kerja gila.

Membaca adalah proses menuntut ilmu. Jadi tentulah ia memerlukan masa. Jika kedekut dan tak mahu memberi masa, usahlah membaca. Kerana membaca untuk membaca, tanpa ada refleksi adalah kerja sia-sia. Ya, ada jenis membaca yang sia-sia. Sebab itu Chomsky mengatakan bahawa tiada guna seorang itu membaca jika dia melupakannya selepas 10 minit. Apa guna mata kita menjeling-jeling tulisan dengan laju andai maksudnya tidak masuk ke dalam minda, perasaan penulis tidak meresap ke hati kita, dan idea yang hendak disampaikan tidak kita renungi dan perhalusi. Jadi jenis pembacaan yang begitu laju ini adalah jenis membaca yang sia-sia.

Membaca memerlukan kita merenung. Ada kalanya kita sampai kepada satu idea yang memaksa kita untuk meletakkan dahulu buku. Sebab kita memerlukan masa untuk memikirkannya. Otak kita memerlukan masa untuk memproses sesebuah idea untuk dihubungkan agar bisa menjadi satu gagasan ilmu yang berguna. Selepas difikir habis, baru layak kita membuka dan membacanya semula. Bukan tujuan membaca untuk berbangga dengan jumlah mukasurat, jumlah buku, atau saiz almari. Mempunyai banyak buku bukan bererti seseorang itu pandai, ia bererti dia mampu dari sudut ekonomi untuk membeli buku. Sebab itu pepatah Arab yang berbunyi:

"Bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya". 

Walaupun dia membawa kitab, keldai itu tidak memiliki ilmu. Begitulah juga orang-orang yang mengumpulkan buku-buku namun tidak mereka baca. Jadi janganlah kita terjerat dengan fahaman moden untuk membaca laju yang tidak berfaedah ini. Buku yang ditulis itu seeloknya dibaca dengan perlahan, dengan teliti, diambil pelajarannya, dan diamal dalam kehidupan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, membaca tanpa berfikir pula umpama ke daun keladi air dicurah.

Khamis, 16 September 2021

Perpustakaan Youtube


Saya masih ingat semasa saya masih kecil, ibu selalu membawa kami adik-beradik ke Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak. Antara perkara yang menarik bagi saya perihal perpustakaan ini adalah seni reka atapnya yang cantik, macam corak batik. Saya dahulu mendaftar menjadi ahli walaupun tidak pernah meminjam buku. Selain atap, bagi saya yang masih kecil, yang menarik bagi saya adalah ruang multimedia. Saya tidak pergi membaca buku tetapi pergi ke ruang multimedia untuk menonton filem The Lord of the Ring.

Saya juga selalu ke ruangan majalah, kerana majalah bagi saya lebih santai. Saya pada usia itu saya belum meminati buku, namun tetap apabila menyaksikan buku-buku yang tersusun di almari perpustakaan begitu mempersonakan, berjalan di lorong-lorong di dalam perpustakaan dengan almari buku di kiri dan kanan menimbulkan satu perasaan kenikmatan, kenikmatan berada ditengah-tengah keilmuan.

Dari lensa restrospek, saya merasakan ilmu itu bukan sahaja tersimpan dalam bentuk aksara dalam helaian buku. Mungkin sebab itu Perpustakaan Negara mempunyai ruangan multimedia, kerana ilmu juga boleh disimpan dalam bentuk lain yang lebih moden.

Dari lensa retrospek yang lain, saya kira perpustakaan yang sering saya lawati pada zaman universiti adalah perpustakaan Youtube dimana ilmu manusia disimpan dalam bentuk video. Seperti perpustakaan tradisional, Youtube menyimpan pelbagai khazanah. Ada dokumentari, temuramah, diskusi, debat, dan pelbagai sarana ilmu yang mudah diakses melalui Youtube. Antara channel Youtube kegemaran saya lately adalah Blogging Theology yang dikendalikan oleh Paul Williams. Beliau banyak melakukan reviu buku yang saya rasakan best. Banyak juga buku yang beliau reviu yang sangkut dan saya beli.

Youtube bagi saya merupakan antara tools penting pada zaman ini dalam proses pendemokrasian ilmu. Pendemokrasian ilmu bagi saya merupakan satu proses di mana ilmu tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, tapi lebih terbuka dan merebak mencakupi masyarakat awam dan kebanyakan. Sebagai contoh, mungkin dahulu hanya golongan yang mempunyai wang atau golongan miskin yang mendapat biasiswa mampu masuk ke universiti. Di universiti mereka mempunyai akses untuk mendengar perbahasan-perbahasan pemikir-pemikir yang hebat. Namun hari ini, sesiapa sahaja yang mempunyai akses internet boleh mendengar pelbagai jenis syarahan dari universiti terkemuka seperti Oxford, Havard, atau Yale perihal pelbagai topik seperti matematik, falsafah, dan sejarah. Malah melalui perpustakaan Youtube kita boleh mendengar perbahasan tentang kajian-kajian yang lebih spesifik, contohnya kajian perihal tulisan purba seperti Epic of Gilgamesh

Carl Sagan, astronomer kegemaran saya ada menulis perihal keajaiban buku yang membolehkan manusia berlainan zaman untuk berkomunikasi. Pernah seorang sahabat saya yang menunjukkan pada saya gambar helaian surat yang ditulis pada lembaran papyrus oleh seorang budak lelaki bernama Apion, beliau menyertai tentera Rom di Alexandria dan di hantar ke Miseno. Beliau menukilkan surat buat ayahnya Epimachos untuk menyampaikan khabarnya pada keluarganya di Fayum, Mesir. Surat ini ditulis lebih 2 ribu tahun dahulu sebelum ditemui oleh ahli arkeologi. Dua ribu tahun bukan satu tempoh masa yang singkat, tiada manusia yang mampu bertahan selama itu, dalam tempoh dua ribu tahun, yang tinggal tentang kita hanya debu, malah mungkin atom-atom yang membuatkan kita “kita” pada hari ini sudah menjadi sebahagian hidupan atau objek lain. Tetapi kebolehan kita untuk membaca cebisan fikiran dan perasaan Apion dalam bentuk tulisan setelah dua ribu tahun merupakan satu keajaiban.

Keajaiban ini saya kira disambung dengan lebih sofistikated oleh Perpustakaan Youtube. Saya masih ingat bagaimana saya begitu excited mendengar temuramah Carl Jung di Youtube. Videonya hitam putih tetapi audionya jelas. Temuramah itu dirakam pada tahun 1959, 31 tahun sebelum kelahiran saya. Saya tidak perlu ke Switzerland untuk mendalami buah fikir Jung, saya juga tidak perlu lahir lebih awal. Banyak juga idea-idea kebebasan dan kesetaraan yang masuk ke dalam pemikiran dan pembacaan saya melalui Youtube. Banyak pemikir-pemikir yang saya kenal lebih awal di Youtube sebelum saya membeli buku-buku dan karangan mereka. Pemikiran Chomsky dan Zinn contohnya, saya kenali melalui video syarahan mereka jauh lebih awal dari saya membaca naskah-naskah mereka. 

Sebagaimana buku, yang mempunyai jenis yang picisan dan tidak berkualiti. Begitu jugalah perpustakaan Youtube, ada juga kandungannya yang tidak berkualiti, jadi kita perlu bijak menggunakannya. Hakikatnya ia hanyalah alat, boleh digunakan untuk kebaikan dan kerosakan. Umpama sepatah senapang, boleh digunakan untuk perjuangan pembebasan dan keadilan, boleh juga digunakan untuk penindasan dan penguasaan. Walaupun kita katakan ia adalah medium yang banyak menyumbang kepada pendemokrasian ilmu, ia tidak terlepas dari kawalan. Seperti tiadanya demokrasi mutlak, tiada juga kebebasan mutlak. Bak kata Rousseau dalam The Social Contract, “Man is born free but everywhere he is in chains”. Youtube juga tidaklah bebas, sebebas-bebasnya. Sebelum Facebook membuang kandungan dan menyah-aktifkan akaun dan page, Youtube telah lama membuang banyak video-video. Dahulu antara lagu rap kegemaran saya adalah lagu Meen Er Habi yang bermaksud “siapakah pengganas?”, lagu ini adalah lagu rap perihal pembebasan Palestin. Sebuah lagu yang sangat catchy. Ia pernah ada, pernah dibuang, hari ini saya semak, telah ada semula. Mungkin polisi mereka telah berubah, namun banyak video-video yang lain dibuang oleh Youtube kekal tiada.

Hari ini, selain dari membaca buku-buku fizikal, saya masih lagi setia melayari perpustakaan Youtube. Antara perbahasan kegemaran saya yang terkini adalah syarahan-syarahan Bart D. Ehrman, seorang cendiakawan yang mengkaji teks Perjanjian Baru (Injil) dari perspektif sejarah. Hampir kesemua video syarahan beliau telah saya tekuni, walaupun beliau sering membuka syarahan beliau dengan pengenalan dan humour yang sama, isi perbahasan beliau tetap menarik, energetik, dan intelektual. Beliau sering menekankan bahawa tugas beliau bukan untuk menukar agama atau fahaman sesiapa, tetapi tugas beliau adalah untuk orang yang mendengarnya berfikir. Keminatan saya terhadap Ehrman sehingga menyebabkan saya membeli buku beliau Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Beliau sememangnya merupakan penulis yang prolifik dan sangat produktif dalam menghasilkan buku-buku yang provokatif. Ini buku beliau yang pertama yang saya beli, tetapi mungkin bukan yang terakhir.

Antara syarahan kegemaran saya yang lain kebelakangan ini adalah syarahan dari Rashid Khalidi yang merupakan editor Journal of Palestine Studies. Saya tertarik dengan teori beliau bahawa perang terhadap Palestin bukanlah dilancarkan oleh Israel sahaja, tetapi ia adalah perang yang dilancarkan oleh kuasa-kuasa besar bermula dengan empayar British hinggalah kepada imperial Amerika hari ini sejak 100 tahun yang lalu. Buku beliau bertajuk The Hundred Years' War on Palestine telah lama berada dalam wishlist saya. Siapa yang ada naskah mur-mur nak dijual kepada saya sangat dialu-alukan.

Begitulah sedikit sebanyak fikiran saya perihal perpustakaan multimedia digital yang kita ada hari ini. Hari ini kita sudah lama berada di zaman pasca kolonial, saya kira dengan adanya pendemokrasian ilmu ini kita perlu membuka pintu era baru, era keilmuan dan era pemikiran yang seharusnya mengisi ruang kemerdekaan yang telah kita kecapi. Zaman kita seharusnya merupakan zaman pembinaan negara, dibina dengan ilmu dan pengetahuan.


Selasa, 24 Ogos 2021

Pembaca Adalah Pelajar Sejarah


Jika anda merupakan seorang pembaca, anda adalah seorang pelajar sejarah. Jika anda seorang penulis anda adalah seorang perekod sejarah. Hakikatnya semua buku adalah buku sejarah. Meski pun buku itu ditulis perihal isu semasa, apabila ia sampai ke tangan pembaca, ia sudah menjadi peristiwa lalu, ia sudah menjadi sebahagian dari sejarah.

Sejarah adalah satu subjek yang sangat mengasyikkan. Bagaimana peristiwa yang memakan masa beribu dan beratus tahun berlalu sekelip mata didepan kita dibalik helaian-helaian buku. Namun sejarah, seperti mana tulisan-tulisan manusia lain tidaklah seratus peratus objektif. Ia terdedah dengan perspektif penulis, ideologi mereka, cara mereka memilih sumber, juga metodologi mereka dalam menentukan apa yang ingin dimasukkan dan tidak dimasukkan ke dalam sejarah.

Ada penulis yang sekadar merekod apa yang sampai kepada mereka. Metodologi mereka adalah mengumpul, mereka memasukkan semua cerita tanpa menapis sama ada cerita tersebut tepat atau tidak. Mereka tidak mempertimbangkan sama ada ia masuk akal atau tidak. Ibnu Khaldun mengkritik metodologi ini, bagi beliau sejarah perlu diasingkan dari mitos dan cerita rekaan. Bagi Ibnu Khaldun, seorang sejarawan perlu bersifat kritikal dalam pemilihan sumber, menapisnya menggunakan ilmu-ilmu yang ada secara objektif dan logikal.

"Setiap sejarawan masuk ke dalam arkib melalui pintu yang sama, tetapi mereka keluar dari pintu yang berbeza. Pintu keluar yang mereka pilih ini berkait rapat dengan orientasi politik, pemahaman moral, dan juga keinginan untuk mencabar naratif hegemonik yang mendidik mereka dari kecilsehinggalah mereka menjumpai bukti-bukti yang baru" kata Ilan Pappe. Seorang sejarawan yang berani mencabar naratif sejarah Zionis walaupun beliau sendiri merupakan seorang Yahudi. Beliau mengkritik sejarawan seangkatan dengan beliau yang tidak mahu menulis sejarah dengan bukti-bukti baru kerana terbelenggu dengan ideologi nasional. 

Bagi Bart Ehrman, seorang sejarawan yang mengkaji Perjanjian Baru dalam Kitab Injil, sejarah bukanlah apa yang berlaku pada masa lalu, tetapi apa yang kita dapat buktikan bahawa ia berlaku pada masa lalu. Metodologi Ehrman ini lebih ketat berbanding Ibnu Khaldun, menurut Ehrman untuk sesuatu itu layak diklasifikasikan sebagai sejarah, ia bukan sahaja perlu melepasi ujian logik dan rasional, ia juga perlu datang dengan bukti. Ini bermakna peristiwa yang logik tapi tidak dapat dibuktikan pernah berlaku bukanlah sejarah tetapi diklasifikasikan sebagai spekulasi atau cerita.

Pembaca awam mungkin tidak mempunyai kemahiran untuk menapis sejarah seperti Ibnu Khaldun, kerana ia memerlukan kita untuk menguasai ilmu semasa. Untuk menentukan sesuatu itu logik atau rasional kita hendaklah menggunakan neraca zaman tersebut, bukan neraca zaman moden kini. Kita juga mungkin tidak mempunyai kemahiran pembuktian seperti Ehrman, untuk mengkaji bukti sejarah kita mungkin perlu menguasai bahasa-bahasa kuno yang telah pupus untuk menganalisa sumber primer. Namun kita masih boleh menjadi pelajar dengan membaca tulisan-tulisan sejarawan yang mempunyai kemahiran ini, kemahiran membaca cukup untuk menjadikan kita seorang pelajar sejarah. 

Rabu, 18 Ogos 2021

Renungan Mengenai Satu Soalan


Tak semua soalan kita boleh jawab dan tak semua soalan kita boleh jawab secara terus dan serta merta. Hal ini kerana ilmu dan informasi kita terbatas, kita tidak mengetahui semua perkara. Walaupun begitu, saya kira walaupun sesuatu soalan atau persoalan itu tidak dapat dijawab, ia perlu juga ditanyakan. Kerana soalan adalah perkara asas yang menggerakkan pemikiran. Ada soalan yang kita tak mampu jawab, tetapi soalan itu tidak pernah meninggalkan kita. Kita selalu terfikir-fikir akannya. Dalam tidak sedar banyak tindakan dalam hidup kita adalah usaha untuk kita cuba menjawab persoalan yang tidak dapat kita jawab ini.

Saya pernah ditanya oleh seorang teman, bolehkah kita mengambil pelajaran (wisdom) atau quotes dari filem atau cerita rekaan? Soalan ini kedengaran simple, kita tentunya ada rasa urgensi untuk menjawabnya sekelip mata. Ia adalah soalan mudah. Namun pada ketika soalan itu ditanya, saya tidak pasti, saya tidak menjawab soalan tersebut sebaliknya menyimpannya di dalam minda. Namun, soalan itu tidak pernah meninggalkan saya. Sesekali ia muncul dan membuatkan saya terfikir dan termenung jauh.

Selain dari tidur, saya juga mempunyai sedikit minat membaca. Bacaan saya kebanyakannya adalah buku-buku non-fiksyen. Jika cerita, saya lebih meminati cerita yang based on true story. Kerana minda saya mempunyai bias sedikit terhadap karya fiksyen, mengapa kita perlu menangis atau beremosi perihal benda yang tidak wujud dan tidak pernah wujud? Fikir saya. Ada yang mengatakan bahawa seseorang itu pelik jika dia tidak meminati cerita, kerana manusia fitrahnya meminati cerita. Sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang adalah koleksi cerita. Manusia membuat pelbagai usaha untuk menyampaikan cerita. Bermula dengan budaya oral dan pujangga, hinggalah sekarang di mana sebuah studio membelanjakan berjuta ringgit hanya untuk menyampaikan sebuah cerita.

Walaupun dari sudut luaran dan tanggapan genre, sebuah cerita itu merupakan karya fiksyen, pada saya terdapat manusia-manusia yang real dari sudut fizikal dan biologi yang mencipta cerita itu. Dalam erti kata lain sesebuah fiksyen itu lahir dari seorang manusia yang non-fiksyen. Jadi pengajaran, quote, wisdom dari sebuah filem itu sebenarnya bukanlah seratus peratus fiksyen, ia lahir dari pemikiran seorang manusia yang non-fiksyen. Dalam kata lain, ia adalah idea yang valid, cuma disampaikan melalui kaedah penceritaan dan non-fiksyen.

Pengambilan pengajaran dari sebuah cerita tidak hanya berlaku di zaman ini ketika penonton filem menulis dapatan mereka di sosial media daripada filem yang mereka tonton. Sejak kecil lagi kita belajar pengajaran-pengajaran berkenaan nilai baik dan buruk dari kaedah penceritaan. Sejak kecil kita membaca dan dibacakan kisah-kisah Sang Kancil, Sang Buaya, Sang Monyet, dan pelbagai Sang lagi yang semuanya merupakan karya fiksyen.

Malah dalam dunia penulisan akademik sendiri, jika kita baca dan teliti banyak referens yang merujuk kepada karya-karya fiksyen. Malah banyak karya fiksyen dikaji kerana ia memberi kesan pada masyarakat, membentuk bagaimana satu masyarakat berinteraksi dan berimaginasi, bagaimana masyarakat disusun sosialnya, juga bagaimana budaya-budaya terbentuk. Banyak juga kisah-kisah yang pada asalnya adalah fiksyen dalam budaya oral lampau namun kemudiannya diangkat menjadi satu nilai agama, malah ada juga yang bercampur aduk dengan sejarah sehingga menjadikan sejarawan terkemudian pening untuk mengasingkan mitos dan sejarah.

Penulisan compang-camping ini bukanlah bertujuan untuk menjawab soalan lama sahabat saya, bolehkah kita mengambil pengajaran dari cerita rekaan? Ia sekadar conteng-conteng apabila soalan ini tiba-tiba timbul semula dalam fikiran pada pagi ini. Renungan-renungan saya merasakan bahawa sebenarnya seluruh kehidupan kita adalah pelajaran, kita boleh belajar dari sesiapa dan apa sahaja, haiwan-haiwan juga boleh mengajar kita sesuatu, begitu juga tumbuhan, malah dari batu, kayu, tanah, air, apa sahaja. Seluruh kehidupan ini adalah pelajaran, jika kita sudi merendahkan diri untuk belajar.

Jumaat, 13 Ogos 2021

Garisan Fatamorgana Itu Tidak Wujud

 

Ada ketika saya membaca buku-buku, zine yang membicarakan tentang pemikiran dan penulisan penulis silam, saya terfikir bahawa antara peranan penulis adalah memperkenalkan buku dan penulis lama kepada generasi seterusnya. Banyak pemikiran, penulisan, idea, dan penulis yang saya kira tidak akan saya kenali jika saya tidak membaca.

Jadi membaca sebenarnya bukan membawa kita mengenali penulis sedia ada, tetapi sering kali memperkenalkan kita dengan penulis yang sudah tidak ada. Saya kira penulisan itu hidup selagi ia dibaca pembaca. Jadi penulis baru sebenarnya penyambung hayat kepada penulis terdahulu, menyambung rantaian dalam khazanah keilmuan yang panjang.

Cuma mungkin proses ini hanya boleh berlaku ke belakang. Contohnya, buku yang diterbitkan pada tahun 2018 tidak akan berbicara perihal buku yang diterbitkan pada tahun 2021. Jadi kita hanya boleh mengenali penulis di belakang tidak di depan.

Saya bersetuju dengan frasa "semakin banyak kita membaca, semakin banyak kita tidak tahu". Sememangnya dengan membaca saya menemui banyak lagi buku-buku dan penulis yang saya tidak pernah kenal. Makin dibaca makin banyak nama-nama baru yang tidak dikenali muncul. Makin banyak buku yang dibeli. Semakin banyak buku-buku baru yang dijumpai. Proses pergandaan itu berterusan hingga akhirnya kita sedar bahawa garisan fatamorgana itu tidak wujud, tiada garis penamat untuk membaca. Tiada siapa boleh mendabik dada "aku telah banyak membaca buku". Mungkin garis yang ada hanyalah garis kematian, apabila tamat umur, tamatlah pengembaraan membaca kita.

Jumaat, 9 April 2021

Soalan Polemikal Berkenaan Rekomendasi Buku


Kalau orang tanya buku apa yang disarankan untuk baca, ini adalah soalan yang paling susah nak dijawab kerana ia terlalu umum. Biasanya akan dijawab dengan soalan semula.

"Awak minat baca buku apa?"

Falsafah ke agama ke ekonomi ke novel ke puisi ke memoir ke sejarah ke buku kumpulan gambar selfie artis ke? Kerana buku itu sendiri ada banyak jenis, mempunyai banyak rumpun dan genre. Pendapat peribadi saya, tidak mengapa pun jika ditakdirkan buku yang kita pilih untuk baca itu bukan buku yang baik. Dengan itu kita ada pengalaman membaca buku yang bagus dan tidak bagus. Ia akan mengkayakan pengalaman membaca kita, melatih kita untuk membezakan mana buku yang baik dan yang buruk, yang seronok dan membosankan, yang santai dan yang berat. Macam dalam hidup, bila ada kegagalan baru sedap plot cerita untuk kita dendangkan kepada generasi akan datang, sebab hidup ini bukan semua indah sahaja. 

"Adakah aku seorang bibliophile?"

Saya sering menimbang-nimbang soalan ini di dalam kepala.Setelah merenung jauh ke dalam, juga merenung ke dinding kosong, saya merasakan saya bukanlah seorang bibliophile. Sekurang-kurangnya bukan bibliophile secara relatif jika dibandingkan pembaca buku tegar diluar sana. Yang membaca 9-10 buku sebulan. Saya membaca juga, tetapi tidaklah terlalu banyak. Bacaan saya adalah bacaan selektif, saya tidak membeli semua buku yang keluar di pasaran. Sebaliknya membuat kajian, kemudian jika saya temui buku yang saya kira boleh menjawab soala-soalan yang bermain dalam minda. Baru saya beli buku tersebut.

Bibliophile saya kira merupakan orang yang membaca banyak buku, saya rasa buku yang saya baca terlalu sedikit untuk mencapai mustawa ini, saya tidak membaca banyak buku, saya membaca untuk belajar, dan untuk mengejar perkara-perkara yang menarik minda.