Beberapa hari ini saya terfikir perihal membaca. Satu kemahiran yang sangat asas bagi manusia moden. Zaman dahulu ia bukanlah satu kemahiran yang penting, oleh itu ada dalam kalangan nenek dan atuk kita tidak boleh membaca. Mereka dapat juga hidup dengan normal sehingga tua. Tetapi tidak untuk generasi hari ini. Membaca diajar kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Jika anak kecil tidak dapat membaca, segera ibu bapanya membawa anak itu berjumpa doktor, risau takut-takut dia mempunyai masalah kesihatan kerana tidak dapat membaca.
Walaupun membaca merupakan kemahiran asas, saya kira ramai yang berhenti membaca apabila mereka tamat belajar secara formal. Selepas tamat pengajian formal, membaca biasanya diperkatakan sebagai sebuah hobi sahaja. Setanding hobi-hobi lain seperti berbasikal, mengumpul setem, atau membela kucing. Tidak pelik jika seseorang itu tidak membaca apa-apa buku sepanjang hidupnya selesai dia habis bersekolah atau beruniversiti.
Persoalan ini menghantui minda saya. Mengapa ramai yang berhenti membaca walaupun mereka boleh membaca. Membaca yang saya maksudkan disini lebih kepada buku, bukan mesej, hantaran facebook, atau beberapa baris perkataan di Twitter. Sedangkan ibu bapa mereka dulu bersungguh-sungguh memastikan mereka dapat membaca. Bagi saya buku merupakan satu gedung simpanan ilmu yang istimewa dan elegan. Ia bukan sekadar menyimpan ilmu, malah ia menyimpan imaginasi dan perasaan penulis. Membaca membenarkan kita menembusi pemikiran seseorang.
Saya terfikir, mungkin membaca buku dikaitkan dengan buku-buku seperti buku teks sekolah. Mungkin pengenalan ramai manusia kepada buku adalah buku-buku akademik. Oleh itu, bagi mereka buku-buku ini adalah satu aktiviti penekunan yang berat. Fikiran saya ini hanya kemungkinan sahaja, tidak disokong oleh apa-apa data. Saya fikir, mungkin seharusnya semasa di peringkat pengajian formal, pelajar perlu didedahkan dengan buku-buku yang menarik sesuai dengan minat mereka. Pengenalan mereka kepada buku-buku perlu dipelbagaikan dengan jenis dan variasi. Ini penting kerana setiap individu punyai keinginan dan perasaan ingin tahu yang berbeza. Jika mereka menjumpai buku yang mereka minati sejak awal, minda mereka akan sentiasa membuat hubungan antara membaca dan keseronokan. Jika tidak, mungkin membaca hanya dikaitkan dengan satu pengalaman monotone, kerana pengalaman membaca mereka hanya pada buku-buku teks dan buku akademik yang melelahkan.
Ya, membaca buku sememangnya satu aktiviti yang menambah ilmu. Tapi bagi saya, membaca juga sering mengundang pelbagai perasaan. Membaca membuatkan kita sedih, gembira, teruja, berharap, berfikir, dan bermacam-macam lagi. Saya merasakan ia satu aktiviti yang menyeronokkan meski kadang kala masa saya direbut oleh perkara lain.
Selain membaca, saya kira, penting juga untuk kita menggunakan kemahiran asas kita yang kedua, iaitu menulis. Ini merupakan satu tinggalan berharga nanti buat anak-anak dan generasi akan datang. Mereka pastinya mahu mengetahui di mana kita hidup, bagaimana kita hidup, dan yang paling penting, kenapa kita hidup. Apa yang kita tulis hari ini, walaupun kita rasakan tidak signifikan, akan menjadi harta yang berharga buat mereka. Jika tidak, mereka pasti tertanya-tanya, dan pertanyaan ini akan mereka bawa hingga ke pusara kerana kita tidak pernah menulisnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan