Ahad, 11 Disember 2022

Catatan Baitul Muslim 60: Tentang Kehilangan


Aku teringat beberapa bulan lalu, aku ada bersembang bersama seorang teman di surau di tempat aku bekerja. Temanku itu baru kehilangan isteri. Isterinya masih muda dalam lingkungan 20-an. Perbualan kami pada hari itu disulami air mata. Bukan senang mahu melihat lelaki dewasa menangis, aku yang hanya mendengar juga diresapi sebak. Terutamanya mendengar pengalaman temanku tersebut memaklumkan pemergian ibu kepada anak-anaknya. Bagaimana beliau memujuk anak-anaknya ketika mereka merindui ibu mereka yang telah tiada. Juga bagaimana dia menahan perasaan apabila anak-anak bertanya pelbagai jenis soalan perihal ibu mereka. Maklumlah, anak-anak kecil, mereka belum ada apa-apa batas dalam bertanya, mereka jujur, apa yang mereka rasa hendak ditanyakan akan ditanya.

Selain perasaan sedih yang meresap masuk, dalam masa yang sama aku juga bersyukur kerana aku masih punya rezeki untuk hidup bersama isteri dan anak-anak. Bagi aku itu adalah satu bentuk kekayaan, kekayaan bukanlah sekadar kertas-kertas yang ada di dalam dompet, atau angka-angka di dalam akaun bank. Tetapi kesihatan yang baik, kehidupan bersama pasangan dan anak-anak, sebenarnya adalah kekayaan yang jauh lebih besar nilainya.

Kemudian aku juga ada berbual dengan Jeni perihal keluarga. Jeni merupakan orang besar dalam syarikat, datang dari Amerika Syarikat, tetapi beliau merupakan anak kampung, membesar di sebuah ladang. Rumah dia dibesarkan dipenuhi buku-buku sejarah kerana ayahnya minat membaca. Jadi Jeni sejak kecil lagi sudah terpengaruh, sehingga dewasa dia gemar membaca buku-buku sejarah. Aku berkongsi dengan Jeni bahawa aku bakal menimang seorang lagi cahaya mata, anak ketiga, aku bertanya perihal bagaimana beliau bekerja dalam masa yang sama menjadi ibu kepada 5 orang anak.

Bagi Jeni menjadi ibu sambil bekerja memang sesuatu yang sangat mencabar dan perlu kepada sistem sokongan. Beliau berpandangan perubahan zaman dan penggalakan skim bekerja dari rumah sangat membantunya. Namun antara nasihat yang paling aku ingati adalah perihal bagaimana dia melatih anak-anak, terutamanya anak-anak yang lebih besar untuk membantunya mengurus keluarga. Tetapi dia berpesan "they can help but they should not be a parent". Dalam bahasa lain, anak-anak boleh membantu, namun mereka tidak boleh dibebankan dengan tugas menjadi ibu bapa kepada adik-adik mereka.

Aku sendiri sebenarnya agak gementar untuk menyambut anak baharu. Kerana cabarannya bukan sedikit, terutamanya tahun-tahun pertama. Ia sangat menguji mental dan kesabaran. Apatah lagi jika cabaran ini ditambah dengan beban kerja dan pengajian, cabarannya menjadi semakin berganda. Walaubagaimanapun aku kekal positif, bagiku hidup memang tidak selalunya senang, kesusahan adalah sesuatu yang mendewasakan. Ia mencipta kenangan yang manis, walaupun ketika ia harus dilalui, ia memerlukan darah dan air mata. Namun.

"Tangan kecil manusia tak akan bisa menahan besarnya takdir Tuhan".

Begitulah hidup, tidak semuanya indah, tidak semuanya manis. Pandangan manusia sentiasa terbatas, dia tidak mampu melihat lebih dari apa yang Tuhan takdirkan. Allah izin, anak yang kami tunggu berhenti bernafas setelah 6 bulan dalam kandungan. Hati ibu bapa mana yang tidak retak dan remuk. Setiap kali mendapat perkhabaran sedih, biasanya emosiku lambat terbit. Pada peringkat awal aku akan menerimanya dan menguruskannya. Lama kelamaan baru perasaan itu datang, ia datang umpama ombak besar yang memecahkan empangan emosiku.

Dalam kesedihan aku teringat akan sebuah kisah. tentang bagaimana seorang ibu yang mendapati anaknya telah mati. Ibunya itu sibuk mencari keadilan buat anaknya. Setiap hari dia naik turun pejabat polis, melakukan demonstrasi dan cuba menarik perhatian pihak media agar kematian anaknya disiasat. Obsesinya untuk membela anaknya yang telah pergi menjadikan hidupnya begitu tidak teratur. Fokusnya hanya kepada anaknya yang telah pergi. Sehinggalah satu hari anaknya yang lain melihat mata ibunya dan berkata "Ibu, kakak sudah pergi, aku juga adalah anakmu, dan aku masih hidup disini".

Ya benar. kehilangan ini telah merobek hatiku. Namun sesedih manapun hidup aku harus menerimanya dan bangun berjalan. Kesedihan tidak harus membuatkan kita lupa bahawa kita masih punya anak-anak yang lain untuk dijaga dan diberi perhatian. Kehilangan ini membuatkan aku melihat anak-anakku yang masih hidup dengan perasaan kasih sayang yang baharu. Membuatkan aku lebih tebal kesabaran dalam melayani karenah mereka. Membuat aku lebih bersemangat untuk mendidik mereka. Mungkin itulah hikmahnya, kehilangan ini merupakan nasihat dari Tuhan, agar aku melihat dan menghargai hadiah dan kurnia yang telah Dia berikan padaku selama ini.

Tiada ulasan: