Salah satu sebab saya memilih untuk menjadi pelajar sejarah adalah kerana ia memaksa saya untuk membaca. Sejarah adalah satu bidang yang tidak dapat dipisahkan dengan membaca. Malah dalam bidang sejarah, apa yang membezakan kedudukan seseorang dalam bidang ini adalah pembacaannya. Teringat saya kepada kata-kata guru saya dalam sebuah kuliah. Beliau mengatakan sebenarnya keupayaan beliau tidak ada bezanya dengan pelajar-pelajarnya, apa yang membezakannya dengan pelajar adalah apa yang telah dibaca. Dalam kata lain, jika pelajarnya membaca lebih banyak, lebih intensif, lebih reflektif, mereka bahkan boleh mendahului gurunya.
Setakat ini, perjalanan saya sebagai pelajar sejarah memang menyeronokkan. Selain ia sesuai dengan kekuatan saya yang suka membaca, menjadi pelajar sejarah secara formal juga banyak membantu saya memperkemaskan penulisan. Banyak aspek-aspek penulisan baharu yang saya belajar. Ini bagi saya penting, kerana kita bukan sahaja mahu belajar subjek, tetapi skil-skil dalam membangun subjek tersebut. Pembelajaran secara formal memaksa saya belajar menulis dengan sistematik dan tersusun. Hal ini mungkin tampak akademik dan rigid, tetapi sebenarnya ia menjadikan kita lebih berdisiplin, lebih kemas, lebih teratur, dan yang paling penting penulisan kita semakin kuat dan dapat dipertahankan.
Ini kerana sejarah amat mementingkan sumber. Jadi setiap tulisan wajib disertakan dengan sumber yang teliti malah memenatkan. Ia menjadikan kita bertanggungjawab dalam menulis dan memaparkan sumber. Hal ini mungkin tidak kita dapati dalam pelajaran tidak formal. Kerana menulis diluar batas akademik kita lebih bebas, kita yang menetapkan sendiri batas disiplin. Tetapi dalam persekitaran formal kita dipaksa, dan paksaan ini yang menolak kita untuk belajar dan berusaha. Bagi saya itulah elemen penting yang saya pelajari. Walaupun sebenarnya perjalanan saya sebagai pelajar sejarah masih jauh.
Saya juga menyedari satu perkara. Pembacaan dalam akademik tidak sama dengan pembacaan liburan. Membaca secara liburan biasanya kita tidak mempunyai batasan masa. Jadi kita boleh membaca kulit ke kulit dalam masa kita sendiri. Membaca dalam akademik tidak boleh begitu. Kerana tugasan biasanya mempunyai tempoh masa, dan mustahil kita dapat membaca semua bahan-bahan kulit ke kulit secara kontemplatif. Sebaliknya kita hanya membaca sebahagian sahaja, bahagian yang kita perlu. Saya pada mulanya tidak selesa dengan hal ini, kerana membaca separuh-separuh ini tidak mendatangkan kepuasan. Namun akhirnya saya akur. Kerana batasan masa, pembacaan akademik memang perlu selektif dan bersasar, tidak secara keseluruhan.
Setelah saya fikir-fikirkan, hal ini tentu sahaja betul pada karya-karya akademik lain. Walaupun rujukan-rujukan bibliografinya beratus-ratus, hampir mustahil mereka membacanya kulit ke kulit dalam masa yang singkat. Jadi kesimpulan yang tidak dapat dielakkan adalah pembacaan akademik memang bersifat selektif dan tidak keseluruhan. Kita hanya baca dan ambil apa yang kita perlu dalam sesebuah karya, tidak kita baca keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan