Rabu, 28 Disember 2022

Syarahan yang Mengayakan Minda


Hari ini, ketika memandu untuk pergi ke kelas pengajian di Universiti Sains Malaysia, saya mendengar sebuah syarahan yang disampaikan oleh Neil Turok di Perimeter Institute. Jika saya ada masa lapang, terutamanya ketika memandu berseorangan, saya suka mendengar syarahan. Syarahan dalam pelbagai topik, sama ada sejarah, kesihatan, sains, politik, semuanya saya dengar. Neil merupakan ahli fizik, syarahannya berkisar matematik dan juga fizik. Walaupun ada bahagian yang tidak saya fahami, namun banyak juga penerangannya yang saya fahami. Bagi saya syarahan beliau sangat bagus dalam menerangkan subjek yang kompleks dengan bahasa yang begitu mudah.

Mendengar syarahan bagi saya merupakan satu kaedah pencarian ilmu yang baik. Mencari ilmu tidak harus terbatas kepada membaca buku sahaja. Banyak bahan-bahan yang sangat menarik untuk kita terokai melalui mendengar syarahan. Jika kita membataskan diri kita hanya pada bacaan, saya kira kita akan terlepas begitu banyak idea yang menarik. Ada perkara yang dapat disampaikan dengan baik melalui tulisan, namun ada juga idea yang tidak dapat disampaikan melalui tulisan, dan lebih mudah diterangkan melalui syarahan. Ia adalah satu dimensi kepada idea.

Apabila mendengar syarahan seperti ini, satu perasaan muncul. Saya merasa bodoh. Saya merasakan terdapat banyak orang yang bijak pandai diluar sana dan saya bukanlah salah satu darinya. Perasaan ini mempersonakan sebenarnya. Ia adalah satu perasaan yang sangat baik.

Kenapa?

Kerana dengan merasa bodoh, ia akan menerbitkan perasaan baru. Perasaan ingin belajar dan ingin mengetahui. Ia menimbulkan curiosity dan yearning to learn. Belajar menjadi sesuatu yang di idamkan, sesuatu yang mengasyikkan. Lebih banyak kita belajar, lebih kita merasa bodoh dan ingin belajar lebih dalam lagi. Dengan merasa bodoh kita akan terbuka untuk menerima ilmu. Jika kita merasakan bahawa diri kita sudah pandai, kita sebenarnya menutup minda kita untuk belajar dan mengetahui tentang sesuatu perkara dengan lebih dalam. Mendengar syarahan dari para ilmuan sangat berbeza dari kita mendengar benda-benda yang membuatkan kita telah mengetahui semuanya. Seperti ucapan para ideolog, mereka-mereka yang meyakini bahawa dia sudah mengetahui semuanya.

Dalam dimensi keilmuan, tidak ada yang statik. Sesuatu ilmu itu mesti mempunyai kemampuan untuk berubah. Dalam sejarah misalnya, tidak ada yang pasti, sesuatu tafsiran sejarah akan berubah apabila sesuatu fakta baharu ditemui. Sebab itu dalam sejarah ada aliran revisionis, malah tafsiran revisionis juga mungkin akan ditafsir pula oleh sarjana di masa hadapan yang boleh kita gelar sebagai neo-revisionis. Begitu juga dalam subjek alami seperti sains, ia tidak statik dan dogmatik. Paradigma berubah apabila bukti baharu muncul. Paradigma Newton misalnya, dipegang begitu lama, sehingga timbul masalah baharu yang mana paradigma ini tidak dapat berfungsi, ia memerlukan paradigma baru, paradigma relatif yang dibawakan oleh Einstein. Antara teori baharu yang Niel Turok bawakan adalah idea bahawa alam semesta ini bukan berkembang selepas big bang dari satu titik singularity, tetapi alam semesta ini berkembang dan mengecut seperti sebuah gelombang.

Mendengar syarahan Niel Turok ini juga membuatkan saya merasakan alangkah bagusnya kalau dahulu dia menjadi cikgu matematik saya, semuanya seperti begitu mudah dan ringkas. Saya kira begitulah seorang sarjana, seorang yang boleh menerangkan perkara kompleks dalam bahasa yang boleh difahami. Syarahan ini juga menimbulkan semula minat saya untuk membaca buku-buku berkenaan fizik dan juga berkenaan dengan teori alam semesta. Antara yang saya minati adalah tulisan Stephen Hawking, walaupun saya tidaklah memahami kesemua hujahannya, bagi saya ia tetap menarik. Saya juga ada membaca karya yang lebih filosofikal dalam bab ini seperti buku tulisan Jim Holt, namun saya merasakan dalam bab fizik dan alam semesta ini, perbahasan ahli fizik lebih menarik perhatian saya dari perbahasan abstrak filosofikal.

Ahad, 25 Disember 2022

Kemahiran Asas Yang Dilupakan


Beberapa hari ini saya terfikir perihal membaca. Satu kemahiran yang sangat asas bagi manusia moden. Zaman dahulu ia bukanlah satu kemahiran yang penting, oleh itu ada dalam kalangan nenek dan atuk kita tidak boleh membaca. Mereka dapat juga hidup dengan normal sehingga tua. Tetapi tidak untuk generasi hari ini. Membaca diajar kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Jika anak kecil tidak dapat membaca, segera ibu bapanya membawa anak itu berjumpa doktor, risau takut-takut dia mempunyai masalah kesihatan kerana tidak dapat membaca.

Walaupun membaca merupakan kemahiran asas, saya kira ramai yang berhenti membaca apabila mereka tamat belajar secara formal. Selepas tamat pengajian formal, membaca biasanya diperkatakan sebagai sebuah hobi sahaja. Setanding hobi-hobi lain seperti berbasikal, mengumpul setem, atau membela kucing. Tidak pelik jika seseorang itu tidak membaca apa-apa buku sepanjang hidupnya selesai dia habis bersekolah atau beruniversiti.

Persoalan ini menghantui minda saya. Mengapa ramai yang berhenti membaca walaupun mereka boleh membaca. Membaca yang saya maksudkan disini lebih kepada buku, bukan mesej, hantaran facebook, atau beberapa baris perkataan di Twitter. Sedangkan ibu bapa mereka dulu bersungguh-sungguh memastikan mereka dapat membaca. Bagi saya buku merupakan satu gedung simpanan ilmu yang istimewa dan elegan. Ia bukan sekadar menyimpan ilmu, malah ia menyimpan imaginasi dan perasaan penulis. Membaca membenarkan kita menembusi pemikiran seseorang.

Saya terfikir, mungkin membaca buku dikaitkan dengan buku-buku seperti buku teks sekolah. Mungkin pengenalan ramai manusia kepada buku adalah buku-buku akademik. Oleh itu, bagi mereka buku-buku ini adalah satu aktiviti penekunan yang berat. Fikiran saya ini hanya kemungkinan sahaja, tidak disokong oleh apa-apa data. Saya fikir, mungkin seharusnya semasa di peringkat pengajian formal, pelajar perlu didedahkan dengan buku-buku yang menarik sesuai dengan minat mereka. Pengenalan mereka kepada buku-buku perlu dipelbagaikan dengan jenis dan variasi. Ini penting kerana setiap individu punyai keinginan dan perasaan ingin tahu yang berbeza. Jika mereka menjumpai buku yang mereka minati sejak awal, minda mereka akan sentiasa membuat hubungan antara membaca dan keseronokan. Jika tidak, mungkin membaca hanya dikaitkan dengan satu pengalaman monotone, kerana pengalaman membaca mereka hanya pada buku-buku teks dan buku akademik yang melelahkan.

Ya, membaca buku sememangnya satu aktiviti yang menambah ilmu. Tapi bagi saya, membaca juga sering mengundang pelbagai perasaan. Membaca membuatkan kita sedih, gembira, teruja, berharap, berfikir, dan bermacam-macam lagi. Saya merasakan ia satu aktiviti yang menyeronokkan meski kadang kala masa saya direbut oleh perkara lain. 

Selain membaca, saya kira, penting juga untuk kita menggunakan kemahiran asas kita yang kedua, iaitu menulis. Ini merupakan satu tinggalan berharga nanti buat anak-anak dan generasi akan datang. Mereka pastinya mahu mengetahui di mana kita hidup, bagaimana kita hidup, dan yang paling penting, kenapa kita hidup. Apa yang kita tulis hari ini, walaupun kita rasakan tidak signifikan, akan menjadi harta yang berharga buat mereka. Jika tidak, mereka pasti tertanya-tanya, dan pertanyaan ini akan mereka bawa hingga ke pusara kerana kita tidak pernah menulisnya.

Ahad, 11 Disember 2022

Biar Hari Ini Berlalu Sebagai Mimpi

 

Di tepi dinding aku sandarkan,
kepala yang mula kehilangan,
segala kesegaran dan ketenangan.

Bagai hujan lebat,
yang mengocak,
aku tutup erat,
mata yang kian memucat.

Takdir ini,
keremukan ini,
perasaan ini,
hari ini,
biarlah semua ini,
berlalu sebagai mimpi,
apabila ku buka mata nanti.

Tangan Kecil Manusia

 

Sepasang mata,
yang tak sempat melihat dunia.

Sekeping hati,
yang tak sempat menguntum rasa.

Sekuntum senyum,
yang tak sempat berbunga.

Sebunga jiwa,
yang belum sempat bernyawa.

Sejalin hubungan,
yang belum sempat terbina.

Seuntai nyawa,
dipanggil sang pencipta,
terus ke syurga.

Kecilnya tangan manusia,
tidak bisa ia,
menahan takdir,
yang tiba-tiba hadir,
dengan kebesarannya.

Ketika Dunia Berubah Gila

 

Dunia sentiasa berubah,
dari gila kepada resah,
buat jiwa layu dan rebah.

Kecamukan jiwa akan mencari,
satu ruang sepi,
untuk diri menyendiri.

Dalam lembaran-lembaran,
dalam kertas dan suratan,
pada dakwat yang sudah kering,
bersama kitab yang setia disamping.
Menjadi ubat buat jiwa,
dilautan aksara,
tidak lagi ia merasa asing.

Catatan Baitul Muslim 60: Tentang Kehilangan


Aku teringat beberapa bulan lalu, aku ada bersembang bersama seorang teman di surau di tempat aku bekerja. Temanku itu baru kehilangan isteri. Isterinya masih muda dalam lingkungan 20-an. Perbualan kami pada hari itu disulami air mata. Bukan senang mahu melihat lelaki dewasa menangis, aku yang hanya mendengar juga diresapi sebak. Terutamanya mendengar pengalaman temanku tersebut memaklumkan pemergian ibu kepada anak-anaknya. Bagaimana beliau memujuk anak-anaknya ketika mereka merindui ibu mereka yang telah tiada. Juga bagaimana dia menahan perasaan apabila anak-anak bertanya pelbagai jenis soalan perihal ibu mereka. Maklumlah, anak-anak kecil, mereka belum ada apa-apa batas dalam bertanya, mereka jujur, apa yang mereka rasa hendak ditanyakan akan ditanya.

Selain perasaan sedih yang meresap masuk, dalam masa yang sama aku juga bersyukur kerana aku masih punya rezeki untuk hidup bersama isteri dan anak-anak. Bagi aku itu adalah satu bentuk kekayaan, kekayaan bukanlah sekadar kertas-kertas yang ada di dalam dompet, atau angka-angka di dalam akaun bank. Tetapi kesihatan yang baik, kehidupan bersama pasangan dan anak-anak, sebenarnya adalah kekayaan yang jauh lebih besar nilainya.

Kemudian aku juga ada berbual dengan Jeni perihal keluarga. Jeni merupakan orang besar dalam syarikat, datang dari Amerika Syarikat, tetapi beliau merupakan anak kampung, membesar di sebuah ladang. Rumah dia dibesarkan dipenuhi buku-buku sejarah kerana ayahnya minat membaca. Jadi Jeni sejak kecil lagi sudah terpengaruh, sehingga dewasa dia gemar membaca buku-buku sejarah. Aku berkongsi dengan Jeni bahawa aku bakal menimang seorang lagi cahaya mata, anak ketiga, aku bertanya perihal bagaimana beliau bekerja dalam masa yang sama menjadi ibu kepada 5 orang anak.

Bagi Jeni menjadi ibu sambil bekerja memang sesuatu yang sangat mencabar dan perlu kepada sistem sokongan. Beliau berpandangan perubahan zaman dan penggalakan skim bekerja dari rumah sangat membantunya. Namun antara nasihat yang paling aku ingati adalah perihal bagaimana dia melatih anak-anak, terutamanya anak-anak yang lebih besar untuk membantunya mengurus keluarga. Tetapi dia berpesan "they can help but they should not be a parent". Dalam bahasa lain, anak-anak boleh membantu, namun mereka tidak boleh dibebankan dengan tugas menjadi ibu bapa kepada adik-adik mereka.

Aku sendiri sebenarnya agak gementar untuk menyambut anak baharu. Kerana cabarannya bukan sedikit, terutamanya tahun-tahun pertama. Ia sangat menguji mental dan kesabaran. Apatah lagi jika cabaran ini ditambah dengan beban kerja dan pengajian, cabarannya menjadi semakin berganda. Walaubagaimanapun aku kekal positif, bagiku hidup memang tidak selalunya senang, kesusahan adalah sesuatu yang mendewasakan. Ia mencipta kenangan yang manis, walaupun ketika ia harus dilalui, ia memerlukan darah dan air mata. Namun.

"Tangan kecil manusia tak akan bisa menahan besarnya takdir Tuhan".

Begitulah hidup, tidak semuanya indah, tidak semuanya manis. Pandangan manusia sentiasa terbatas, dia tidak mampu melihat lebih dari apa yang Tuhan takdirkan. Allah izin, anak yang kami tunggu berhenti bernafas setelah 6 bulan dalam kandungan. Hati ibu bapa mana yang tidak retak dan remuk. Setiap kali mendapat perkhabaran sedih, biasanya emosiku lambat terbit. Pada peringkat awal aku akan menerimanya dan menguruskannya. Lama kelamaan baru perasaan itu datang, ia datang umpama ombak besar yang memecahkan empangan emosiku.

Dalam kesedihan aku teringat akan sebuah kisah. tentang bagaimana seorang ibu yang mendapati anaknya telah mati. Ibunya itu sibuk mencari keadilan buat anaknya. Setiap hari dia naik turun pejabat polis, melakukan demonstrasi dan cuba menarik perhatian pihak media agar kematian anaknya disiasat. Obsesinya untuk membela anaknya yang telah pergi menjadikan hidupnya begitu tidak teratur. Fokusnya hanya kepada anaknya yang telah pergi. Sehinggalah satu hari anaknya yang lain melihat mata ibunya dan berkata "Ibu, kakak sudah pergi, aku juga adalah anakmu, dan aku masih hidup disini".

Ya benar. kehilangan ini telah merobek hatiku. Namun sesedih manapun hidup aku harus menerimanya dan bangun berjalan. Kesedihan tidak harus membuatkan kita lupa bahawa kita masih punya anak-anak yang lain untuk dijaga dan diberi perhatian. Kehilangan ini membuatkan aku melihat anak-anakku yang masih hidup dengan perasaan kasih sayang yang baharu. Membuatkan aku lebih tebal kesabaran dalam melayani karenah mereka. Membuat aku lebih bersemangat untuk mendidik mereka. Mungkin itulah hikmahnya, kehilangan ini merupakan nasihat dari Tuhan, agar aku melihat dan menghargai hadiah dan kurnia yang telah Dia berikan padaku selama ini.