Minggu ini saya dipaksa oleh pensyarah untuk membaca tentang tokoh-tokoh intelektual Arab yang menyumbang kepada idea kebangkitan kebangsaan. Ia sememangnya satu bacaan yang menarik untuk menelusuri kehidupan cendiakawan seperti Nasif Yazeji, Butrus Bustani, Jamaluddin al-Afghani, Abdul Rahman al-Kawakibi, Najib 'Azuri, Rifa'a Badawi Rafi' al-Tahtawi, Khairuddin Pasha, dan Faris al-Syidyaq.
Cuma saya tidak begitu berpuas hati kerana masa yang diberikan untuk menghabiskan bacaan sangat singkat. Saya suka membaca perlahan-lahan untuk menikmati bacaan dan berfikir tentangnya. Apa pun terpaksa juga saya ikuti atas kehendak pengajian akademik. Mungkin selepas habis, saya akan membaca semula buku-buku tulisan George Antonius dan Albert Hourani yang diberikan itu perlahan-lahan. Agar tiada mutiara-mutiara yang ketinggalan.
Sepanjang pembacaan saya, saya tertarik tentang bagaimana intelektual yang memberi kesedaran kepada bangsa ini banyaknya bermula dengan kecintaan mereka kepada bahasa dan bahan sastera. Tokoh-tokoh ilmuan kebangsaan Arab ini banyak bermula dengan kemahiran bahasa. Ada yang tinggal di kawasan yang tiada buku, oleh itu mereka telah membaca manuskrip-manuskrip silam yang tersimpan di monasteri kerana itu sahaja bahan bacaan yang ada. Penerokaan mereka membawa kepada satu dunia yang lain, dan mereka terus jatuh cinta dan mengabdi seluruh hidup mereka untuk meneroka dan mengembangkan ilmu. Mereka mengutip semula lentera ilmu yang telah malap dalam bangsa mereka dan menyalakannya semula. Dari tangan mereka lahir bangsa baru dengan keilmuan baru yang berakar dari penulisan dan sastera silam mereka.
Saya kira perkara yang sama berlaku di negara kita. Ketika membaca buku Rustam A. Sani perihal idea kebangsaan Melayu, beliau mendedikasikan banyak muka surat untuk membincangkan persatuan bahasa, budaya dan persuratan yang akhirnya membentuk semangat kebangsaan Melayu yang bermula pada tahun 1930-an.
Di sela-sela masa yang ada, saya juga sedang menelaah naskah lama tulisan Burhanuddin Al-Helmy yang telah diberi nafas baru dengan alihan aksara oleh Zaid Ahmad. Buku ini merupakan bacaan ketiga dari buku-buku yang saya dapatkan di PBAKL 2024.
Buku ini agak istimewa kerana ada kaitan peribadi dengan saya dari segi pertalian darah keluarga iaitu dari keluarga di Changkat Tualang, Perak. Dahulu arwah ayah selalu sebut bahawa kami ada "bau-bau bachang" dengan Burhanuddin Al-Helmy, "bau-bau bachang" ini bermakna ada pertalian keluarga. Ibu Burhanuddin, Zaharah merupakan anak kepada Haji Osman yang merupakan anak kepada Syed Endin. Manakala saya dari jalur Mohd Jiplus bin Kulup Mat Saman bin Mohd Zain bin Syed Endin. Ini berdasarkan dokumen salasilah keluarga yang saya warisi. Sejauh mana kebenarannya, wallahualam, dan perlu kepada kajian yang lebih tersusun.
Apa-apa pun, buku ini saya kira sangat menarik sebagai warisan persuratan sejarah bangsa. Moga-moga, masa tidak mencemburui saya, dan dapatlah saya menganalisa makalah ini dengan teliti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan