Buku ini merupakan buku PBAKL 2024 pertama yang berjaya saya habiskan. Buku Dunia Dalam Perenggan: Tinta Seorang Bibliofil tulisan Emmy Hermina Nathasia ini saya kira merupakan buku yang ditulis oleh seorang bibliofil heavyweight, beliau berjaya menghabiskan pembacaan sebanyak 137 buah buku pada tahun 2017. Saya sendiri, paling banyak, hanya pernah menghabiskan 23 buah judul buku setahun.
Pada pandangan saya, buku Emmy ini merupakan karya persuratan bibliofil yang berbentuk self-help. Ini dapat dilihat dalam bentuk penulisannya yang cuba mengajar sesuatu dan memberikan tips dan cadangan. Selain itu, beliau juga memperincikan kaedah-kaedah membaca yang boleh digunakan. Saya secara peribadi meminati gaya bacaan aktif. Di mana pembaca menilai secara kritis perihal apa yang dibaca, bertanyakan soalan along the way, dan mengaitkan apa yang dibaca dengan pengetahuan sendiri. Pembaca yang aktif juga akan menotakan bacaan mereka.
Emmy menekankan bahawa aktiviti pembacaan perlulah dikekalkan sebagai aktiviti yang menyeronokkan. Jika tidak, pembaca akan berhenti ditengah jalan. Membaca buku Dunia Dalam Perenggan juga membuatkan saya merenung tentang evolusi pembacaan saya sendiri.
Antara isu bibliofil lain yang menarik yang disentuh oleh Emmy adalah isu tsundoku, perkataan ini berasal dari Jepun di mana seseorang itu mengumpul banyak buku namun tidak dibaca. Saya sendiri sedang bergelut dengan isu ini, terlalu banyak buku dan terlalu sedikit masa untuk membaca. Namun, walaupun tidak sempat baca semuanya, bagi saya, lebih baik jika kita menyimpan koleksi buku yang kita mahu. Jika pun tidak dapat dibaca keseluruhan, kita masih boleh membuat rujukan dan membaca beberapa bahagian yang kita perlukan.
Banyak lagi isu-isu seputar bibliofil yang dibahaskan di dalam buku ini. Sememangnya buku tulisan Emmy Hermina Nathasia ini merupakan satu naskhah istimewa bagi pencinta buku, saya pasti bibliofil yang membacanya boleh merasakan keterikatan dengan isu-isu yang dibawanya. Ia boleh dikatakan sebuah naskhah dari pembaca untuk pembaca yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan