Peranan buku di rumah dibincangkan oleh banyak orang. Antaranya dalam buku Freakonomics, yang mengkaji hubungan keberadaan buku di rumah dengan anak yang berjaya dalam pelajaran. Mereka membuat kesimpulan bahawa bukan buku itu yang memberi kesan magik kepada anak untuk berjaya, tetapi rumah yang ada banyak buku ini kebanyakannya mempunyai ibu bapa yang menjaga pendidikan anak-anak. Jadi jika seorang anak itu tidak berjaya atau tidak minat belajar, memasukkan satu tan buku ke dalam rumah tidak akan mengubah apa-apa jika ibubapa tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak.
Tapi kali ini saya ingin merakamkan sudut lain dalam hal menyimpan buku di rumah. Sekadar rakaman pemerhatian dan perasaan peribadi. Bukan kajian yang emperikal, saya juga tidak ada apa-apa statistik untuk dibentangkan.
Di rumah saya, ada dua bilik yang saya simpan buku-buku. Satu bilik tidur dan satu lagi bilik saya bekerja. Di kedua-dua bilik ini, buku diletakkan dalam rak di paras mata. Maksudnya mata terus boleh lihat buku ini ketika berdiri tanpa perlu mendongak atau menunduk. Masuk bilik sahaja terus nampak buku. Saya kira permandangan ini penting bagi saya. Setiap hari saya keluar masuk bilik saya nampak buku. Ia memberi kesan psikologi kepada saya. Pertamanya saya sering melihat sambil memerhatikan buku mana yang saya sudah baca, buku mana yang belum saya baca. Dari permandangan rak ini minda saya akan sentiasa berkira-kira, mana lagi banyak, buku yang sudah dibaca atau buku yang belum dibaca.
Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya sentiasa berfikir bahawa masih banyak buku yang belum saya baca. Ia seperti reminder buat saya apabila saya sudah lama tidak membaca, bahawa masih banyak buku yang saya hendak baca. Ada juga buku yang saya beli ketika saya bersemangat untuk mendalami sesebuah tajuk, namun setelah berlalu sekian lama, semangat itu pudar. Namun dengan melihatnya setiap hari, semangat yang pudar itu tidak terpadam. Sebaliknya ia hidup, umpama api lilin kecil di dalam hati yang meliuk-liuk. Menunggu masa yang sesuai untuk kembali membara.
Buku yang sentiasa tidak hilang dari pandangan saya setiap hari juga membuatkan saya sentiasa berfikir tentang kandungan buku. Buku-buku yang saya sudah baca menyebabkan saya sentiasa terkenang akan idea-ideanya apabila saya melihatnya setiap hari. Manakala buku-buku yang saya belum baca menyebabkan hati saya sentiasa tertanya-tanya, pemikiran dan idea apa yang bakal mereka sajikan buat saya. Oleh itu, walaupun ada kalanya saya menjadi malas membaca, dengan sentiasa melihat buku setiap hari, keinginan membaca buku tidak pernah hilang dari fikiran saya. Walaupun ia tidak menjadi fokus saya pada sesuatu ketika, ia sentiasa wujud dalam unconscious mind saya.
Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya lama kelamaan dapat menghafal dimana letak duduknya sebuah buku. Minda saya sudah dapat menghafal secara tidak sedar kedudukan sesuatu buku. Jika saya ingin merujuk buku-buku yang pernah saya baca, saya akan menjumpainya dengan mudah, kerana kedudukannya telah pun saya hafal. Ini juga bermakna, koleksi buku saya tidaklah begitu banyak, kerana ia boleh dihafal. Jika pustaka peribadi seseorang itu besar, mungkin untuk menghafal setiap letak duduk buku itu menjadi lebih sukar. Namun bukan mustahil!
Saya memang seorang pembaca yang perlahan. Bagi saya membaca ibarat mencicip sehirup kopi. Tidak boleh tergesa-gesa, nikmatnya itu perlu dirasai. Biar airnya masuk perlahan-lahan menyapa bibir, biar kehangatannya meresap di mulut, biar rasa pahitnya mekar di lidah, diikuti rasa manis dan juga rasa lemak-lemak susu. Begitu juga buku, idea yang sedap dan ranum itu perlu perlahan-lahan dicerna minda, difikir-fikirkan, ditulis dan dikembangkan. Barulah membaca itu menjadi satu kenikmatan intelektual. Bukan aktiviti yang gersang. Sebab saya membaca dengan perlahan, jadi koleksi buku dalam pustaka saya juga berkembang dengan perlahan. Tidak dilupakan orang-orang yang meminjam buku saya tapi belum dikembalikan, janganlah sekali-kali kalian ingat saya sudah lupa! Bagi saya, setiap buku yang saya beli dan baca adalah khazanah minda saya, jadi sentiasa akan saya simpan, dan ulang selak bila kerinduan intelektual sampai kepadanya.
Dengan melihat buku-buku setiap hari, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kita kesan psikologi, terutamanya dalam keadaan kita sedang malas membaca, atau pun saat kita terperangkap dalam reading slumps atau reader's block. Reading slumps ini merupakan keadaan yang menimpa orang yang suka membaca, namun ada ketika dia tidak dapat membaca, jika dipegang buku pun dia tidak dapat mengekalkan konsentrasi membaca. Ia memerlukan masa untuk pulih. Selain keluar bersiar-siar melihat alam, kembali ke rumah melihat-lihat buku pun akan mempercepatkan rasa ingin membaca itu datang semula.
Begitulah serba sedikit perkongsian saya perihal kesan menyusun buku di dalam rumah di paras mata. Letakkan buku di tempat-tempat di dalam rumah yang mana kita selalu lalui. Dengan sentiasa melihat buku-buku ini setiap hari, ia akan meninggalkan kesan di dalam minda, secara sedar atau tidak sedar, ia akan memberi kita motivasi untuk membaca, dan juga mengekalkan konsistensi kita dalam membaca seiring peningkatan usia. Selamat menyusun buku dan membaca!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan