Sabtu, 21 Januari 2023

Merenung Pembacaan: Pecahnya Tembok Banjir


Kita tidak boleh memilih permulaan kita, takdir dan sejarah yang memilih di mana kita bermula. Tapi apabila kita sudah bermula, kita diberi pilihan untuk ke mana. Sudah lama rasanya tidak menulis refleksi membaca, bukan sebagai satu reviu buku, tapi sebagai kontemplasi dan perenungan terhadap aktiviti yang begitu mengasyikkan ini. Membaca membawa kita mengembara, membawa kita melihat dan merenungi lautan ilmu yang telah dikumpulkan oleh manusia sepanjang zaman. Masuk ke dalamnya seolah berjalan di padang luas yang tiada berpenghujung. Menggali semula pemikiran manusia lama, serta melihat bagaimana mereka hidup, berperasaan, bercerita, dan berimaginasi.

Sejak kecil saya kira saya digalakkan membaca. Kebanyakannya adalah buku-buku cerita sesuai dengan tahap anak-anak. Semasa kecil, ada juga beberapa ensiklopedia kecil di rumah, kebanyakannya berfokus kepada subjek sains. Zaman tersebut ensiklopedia masih berbentuk buku fizikal, sebelum Jimmy Wales mengasaskan ensiklopedia digital seperti Wikipedia. Namun saya kira, pembacaan saya semasa kecil masih terhad, walaupun keinginan untuk memahami dan mengetahui itu sentiasa wujud dalam kolam-kolam perasaan. 

Masuk ke sekolah menengah pembacaan saya mula bertambah hinggalah ke zaman universiti. Pada masa ini pembacaan saya banyak berfokus kepada buku-buku agama. Juga buku-buku yang ditulis oleh pemikir gerakan Islam kontemporari. Hinggalah pada satu ketika, ada satu tembok yang pecah dalam diri saya. Ia menyebabkan selera membaca saya tiba-tiba memuncak, dan saya mula membaca secara intensif dan rencam. Saya cuba merenung jauh ke belakang, di daerah di mana kehidupan sudah berlalu, dan cuba mencari titik di mana pecahnya tembok ini.

Setelah mengimbau masa silam, saya dapati tembok yang ada dalam diri saya pecah selepas zaman universiti, dengan lebih tepat, pada sebuah kelas semasa pengajian di kelas pasca-siswazah di Johor. Saya masih ingat, kelas tersebut adalah kelas research methodology yang diajar oleh Dr. Nasir Tamin. Sehingga hari ini saya masih ingat gaya mengajar Dr. Nasir, semasa berdiri memberi kuliah, satu kaki beliau biasanya diangkat dengan ditelakkan di atas kerusi. Ada satu sesi kuliah yang menangkap perhatian saya. Beliau membahaskan perubahan yang berlaku di dunia, perubahan yang semakin lama semakin cepat dan kompleks. Ketika itu beliau memetik buku Thomas Friedman yang dibacanya. 

Kuliah Dr. Nasir ini sangat mengesani saya. Saya lantas membeli buku The World is Flat tulisan Friedman itu selepas kuliah. Sejak itu saya merasakan bahawa dunia ini penuh dengan pelbagai perkara yang sangat menarik untuk diterokai. Sejak dari itu, tembok dalam diri saya pecah, saya mula membaca dengan begitu rencam dan intensif. Apa sahaja buku yang saya boleh baca akan saya baca, semakin lama kedahagaan saya untuk mengetahui bertambah besar. Saya mula membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. Walaupun pada mulanya ini merupakan satu perkara yang sukar, kerana bacaan selalu terhenti kerana saya perlu mencari kamus untuk mengetahui makna beberapa perkataan. Namun semakin lama ia semakin mudah, dan tanpa saya sedari, layarnya sudah tersergam, dan saya mula berlayar di lautan pembacaan dengan mudah. Larut dan hanyut dalam helaian muka suratnya.

Dari perenungan ini, ada dua perkara yang penting yang saya rasakan wajar saya notakan untuk sentiasa saya ulang fikir dan ambil perhatian. Pertamanya kepentingan mencadangkan bahan bacaan yang baik kepada orang lain. Ia mungkin dirasakan sesuatu yang random dan biasa, tetapi ia juga boleh berubah menjadi sesuatu yang sangat signifikan terhadap orang lain. Dengan membincangkan sesuatu idea yang kita rasakan menarik, kita boleh mencetuskan satu kesedaran penting dalam diri orang lain. Kesedaran ini mungkin akan menyebabkan orang tersebut menempuh perjalanan baharu yang mengayakan minda mereka. Apabila minda mereka kaya, ia pula akan melimpah kepada orang lain dan mencetuskan kesedaran baharu. Hasilnya merupakan penyebaran kesedaran yang berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kedua, bagi saya penting untuk kita menyebar luaskan bacaan baik yang kita baca kepada orang lain kerana hal ini mungkin mampu memecahkan tembok dalam diri mereka. Saya kira, apabila seseorang itu bertemu dengan sebuah buku yang betul-betul kena dengan jiwanya, ia mampu merobohkan tembok dalam dirinya yang menatijahkan keluarnya perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam dirinya. Dia mungkin akan menempuh satu perjalanan untuk mencari lagi, kalau-kalau wujud buku-buku yang mempu mengubat jiwanya lagi. Dan dalam perjalanan tersebut, dia akan belajar banyak perkara, dia mungkin juga akan menjumpai perasaan cintanya kepada ilmu.

Tiada ulasan: