Selasa, 16 November 2021

Jenis Membaca Yang Sia-Sia


Pernah satu ketika laman Facebook menyuap saya dengan begitu banyak iklan
speedreading, bertalu-talu iklannya sehingga membuatkan saya muak dan mual. Maka benarlah kata-kata pengkritik teknologi bahawa algorithma tidak dapat memahami manusia. Sebaliknya ia bergantung kepada apa yang menjadi inputnya. Rubbish in rubbish out bak kata mat saleh. Mungkin ada carian atau klik saya yang menjadi input salah bagi algorithma ini, tapi tidak ingat pula saya bahawa saya ada mencari maklumat perihal teknik membaca dengan pantas, kerana saya tidak suka membaca dengan pantas.

Saya tidak beriman (tidak percaya) dengan mazhab speedreading. Saya tiada keinginan untuk membaca 52 buku sebulan, seperti yang diiklankan kepada saya. Bahkan saya pernah berazam untuk mengabadikan satu tahun untuk membaca, mengkaji, dan menghadam hanya satu buku walaupun azam itu belum tertunai. Pasti ada sahaja buku lain yang menarik yang memotong queue pembacaan saya. Kadang kala, pembacaan saya juga terganggu kerana jemputan-jemputan diskusi, kerana biasanya saya perlu membaca buku tertentu sebelum diskusi, saya pun bukan tahu semua benda.

Seperti falsafah Syed Hussein Alatas, bagi saya tujuan membaca bukan untuk membaca. Bagi Alatas, tujuan sesuatu perkara mesti berada di luar perkara tersebut. Contohnya, kita bukan makan untuk makan, tetapi makan untuk kenyang. Mungkin membaca 52 buku itu satu latihan bagi orang yang tiada kerja lain, jadi kerjanya membaca sahaja pagi petang siang malam. Tetapi bagi saya yang berkeluarga, berkerja, dan bermasyarakat, membaca 52 buku sebulan adalah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. 

Bukan mustahil secara material, ia boleh diperbuat, tapi mustahil pembacaan itu boleh dihadam, direnung, dikaji, dan diambil pelajaran. Dunia sekarang memang mengetengahkan pemikiran "semua mahu cepat". Tetapi proses pembelajaran bukan begitu, masa adalah sebahagian kandungan dalam proses pembelajaran. Sebab itu saya kurang bersetuju dengan cadangan membuang subjek di universiti supaya cepat habis belajar. Apa guna cepat habis belajar tetapi tiada apa pun yang sebenarnya yang dipelajari. Malahan, saya berpandangan, ada sesetengah ilmu yang tak dapat dicapai dalam tempoh garis masa yang ditetapkan oleh universiti. Jika kita membaca sejarah, ada sesetengah cendiakawan yang menghabiskan keseluruhan hidupnya hanya untuk mendalami satu bidang ilmu yang spesifik. Kita pula ingin belajar semua dalam masa 4 tahun, ini kerja gila.

Membaca adalah proses menuntut ilmu. Jadi tentulah ia memerlukan masa. Jika kedekut dan tak mahu memberi masa, usahlah membaca. Kerana membaca untuk membaca, tanpa ada refleksi adalah kerja sia-sia. Ya, ada jenis membaca yang sia-sia. Sebab itu Chomsky mengatakan bahawa tiada guna seorang itu membaca jika dia melupakannya selepas 10 minit. Apa guna mata kita menjeling-jeling tulisan dengan laju andai maksudnya tidak masuk ke dalam minda, perasaan penulis tidak meresap ke hati kita, dan idea yang hendak disampaikan tidak kita renungi dan perhalusi. Jadi jenis pembacaan yang begitu laju ini adalah jenis membaca yang sia-sia.

Membaca memerlukan kita merenung. Ada kalanya kita sampai kepada satu idea yang memaksa kita untuk meletakkan dahulu buku. Sebab kita memerlukan masa untuk memikirkannya. Otak kita memerlukan masa untuk memproses sesebuah idea untuk dihubungkan agar bisa menjadi satu gagasan ilmu yang berguna. Selepas difikir habis, baru layak kita membuka dan membacanya semula. Bukan tujuan membaca untuk berbangga dengan jumlah mukasurat, jumlah buku, atau saiz almari. Mempunyai banyak buku bukan bererti seseorang itu pandai, ia bererti dia mampu dari sudut ekonomi untuk membeli buku. Sebab itu pepatah Arab yang berbunyi:

"Bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya". 

Walaupun dia membawa kitab, keldai itu tidak memiliki ilmu. Begitulah juga orang-orang yang mengumpulkan buku-buku namun tidak mereka baca. Jadi janganlah kita terjerat dengan fahaman moden untuk membaca laju yang tidak berfaedah ini. Buku yang ditulis itu seeloknya dibaca dengan perlahan, dengan teliti, diambil pelajarannya, dan diamal dalam kehidupan. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, membaca tanpa berfikir pula umpama ke daun keladi air dicurah.

Tiada ulasan: