Gambar bersama Umar Muhajir di puncak Gunung Tahan pada bulan Oktober 2014. |
Setelah sekian lama, akhirnya kerajaan membuka sempadan negeri dan aku dapat pulang menziarahi ibu di Kuala Lumpur. Aku dan isteri tidaklah terus pulang selepas pengumuman dari perdana menteri, sebaliknya kami menguruskan dahulu jadual kerja, dan akhirnya memohon cuti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 29 Oktober 2021. Rancangan asal adalah untuk balik ke Kuala Lumpur selama seminggu.
Pada hari Jumaat, 5 November 2021 aku sedang sibuk menyunting sebuah manuskrip di komputer, anak-anak masih tidur. Tiba-tiba Cikgu Norizan Yong menalefon ibuku, ditanya akan keberadaanku di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu ibuku berita duka bahawa teman sekolahku, saudara Umar Muhajir bin Ghazali telah meninggal dunia. Ibuku terkejut dan memberi tahu ku. Segera aku cari talifon bimbit dan membuka grup WhatsApp Batch-13 MATRI. Terlalu leka menyunting, pagi itu aku tidak memeriksa talifon bimbit.
Ada mesej dari Muhammad Radhi Abdul Rahman pada jam 7.19 pagi.
"Sahabat kita, Umar Muhajir telah meninggal dunia, mungkin dalam lepas isyak malam tadi" tulis beliau.
Kemudian, ada mesej pada jam 7.23 pagi yang dipanjangkan oleh Izzat Ibrahim.
"Assalamu’alaikum wbt. Kpd Adik2 Abang yg dikasihi. Pada pagi Jumaat yg mulia ini, Abang menerima panggilan telefon (jam 5:38pg) drpd Rohana menyampaikan berita yg amat menyedihkan. Ingin diberitau bhw. Muhajir Ghazali telah meninggal dunia semalam (mungkin selepas Isyak) di rumah rakannya di Jitra, Kedah. Arwah kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar utk melalui proses post mortem kematian. Menurut Rohana, Muhajir jatuh di dalam bilik air. "
Hati saya mula diresapi sedih, benarlah kini, bahawa sahabat saya Umar Muhajir telah tiada. Walaupun emosi tidak mahu menerima, akal rasional memujuk untuk menerima kenyataan. Kenangan bersama Umar terimbau jauh, bermula dari perkenalan di asrama Huffaz di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Asrama yang tersergam di depan ladang getah, wujudnya sayup, apabila angin bertiup gersikan daun-daun pokok getah akan membelai jiwa-jiwa kami, aman.
Dahulu ketika zaman persekolahan, aku selalu juga bertandang di rumah Umar di Arau, Perlis. Rumahnya terletak dalam kawasan sawah padi, ketika sawah padi menghijau, permandangan di rumah beliau sangat menakjubkan. Ketika di tingkatan 4 dan 5, Umar duduk di depan mejaku di dalam kelas, kami duduk dibelah belakang, dari meja kami boleh dilihat Bukit tunjung yang rimbun. Umar merupakan benteng penting bagiku untuk tidur. Biasanya aku akan tidur menyorok di belakang Umar supaya tidak dilihat cikgu di dalam kelas.
Umar antara pelajar yang cemerlang bersamaku ketika SPM. Namun berbeza dengan rakan-rakan lain, beliau tidak memilih untuk memasuki universiti awam. Beliau memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang seni di One Academy meski pun kami bersama-sama berada di kelas aliran sains, beliau memilih aliran seni selepas sekolah. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi dan videografi. Beliau memilih untuk menggunakan nama Umar Mita sebagai nama penanya di medan seni, nama ini diambil sempena nama Ryoichi Mita (Umar Mita nama Islamnya) yang merupakan orang Jepun pertama yang menterjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Jepun.
Apabila saya menyambung pengajian ke Rusia, Umar adalah salah seorang sahabat yang sanggup turun dan menghantar saya hingga ke lapangan terbang. Malah beliau menulis di laman blognya Mitaumaru posting yang bertajuk Syed Ahmad Fathi, Dosvidanya! Beliau menulis:
"you've finally made it !
i'm happy for you !
Goodbye my dear friend..
Study well there..
we're gonna miss you here..
Selamat Belajar di Russia !
Dosvidanya !!"
Hari ini, aku pula yang harus mengucapkan selamat tinggal pada beliau. Namun bukan dosvidanya, kerana dosvidanya maksudnya adalah "hingga ketemu lagi" dalam Bahasa Rusia. Perginya Umar hari ini tidak ada lagi kembalinya. Kami tidak dapat bertemu lagi.
Pada bulan Oktober 2014, aku bersama Umar dan sahabat-sahabat lain sempat bersama-sama mendaki Gunung Tahan. Aku masih ingat apabila sampai ke puncak, melihatkan pemandangan yang menakjubkan, Umar berkata:
"MashaAllah, cantiknya macam di syurga!"
Pengalaman ini ada aku catitkan di dalam buku Gunung Tahan Hiking Log. Moga-moga kini Allah menerima sahabatku Umar untuk masuk ke dalam syurga yang sebenar, syurga yang jauh lebih cantik dan indah dari permandangan di puncak Gunung Tahan.
Sahabat kami Amirul Marzuki (lebih dikenali sebagai Aon) menulis kenangannya bersama Umar di Facebook. Umar dahulu sangat pandai berbahasa Inggeris dan menjadi rujukan rakan-rakan. Beliau malah terpilih sebagai pendebat bahasa Inggeris sekolah dan menang pertandingan debat antara sekolah. Aon juga menulis bagaimana dahulu mereka bersama-sama melintas jalan kereta api di Kampung Stesen, Arau, Perlis untuk ke pasar malam sebagai antara kenangan bersama melakukan perkara berbahaya. Selain terkenal dengan videografi dan fotografi, Umar juga meminati sukan lasak seperti rock climbing. Passion Umar terhadap fotografi dan rock climbing ini ada didokumentarikan dan diterbitkan oleh Mirrah Syafiqah dan Khairul Ariffin dalam sebuah video yang bertajuk Umar Mita - Making The Move.
Kehilangan Umar Muhajir Ghazali sememangnya meninggalkan kesedihan yang dalam di hati. Seorang sahabat yang baik, kreatif dan sentiasa memberikan inspirasi. Damailah kau Umar di negeri abadi. Umar Muhajir "Sang Penghijrah" telah berhijrah ke alam abadi. Kita juga akan menyusul dan berhijrah ke sana satu hari nanti. Moga Allah mengampunkan dosa-dosa Umar, menerima semua amal soleh Umar, dan dimasukkan ke dalam syurga.
Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.
Dalam kenangan,
Umar Muhajir bin Ghazali (Umar Mita)
01 May 1990 - 04 November 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan