Jumaat, 26 November 2021

Pertarungan Paling Sengit Dalam Jiwa


Aku memanjatkan tangan. Melihat ke atas. Cuba menggapai cahaya. Teraba-raba, namun gelap. Gelap gelita. Tiada cahaya yang datang menyapa. Hanya duka. Duka yang dalamnya seperti tiada penghujung. Menghisap seluruh raga dan jiwaku. Hingga jiwaku tidak lagi berwarna, mengeras seperti batu, kaku tak bernyawa. Kita mempunyai perasaan yang sangat dalam, yang jarang-jarang dapat kita rasai. Perasaan yang terkambus dalam lapisan rutin. Namun kadang dari kedalaman, perasaan itu keluar, dan perasaan itu meruntun diri. Kita tidak dapat bezakan, adakah ia bahagia? sepi? atau rindu? atau kemurungan yang akan menghambat jiwa selama-lamanya.

Selepas kehilangan dua orang teman, aku merasakan jiwaku begitu genting, begitu rapuh, mudah sahaja ia lemas dan sesak ditelan suasana yang ada. Aku pun tidak tahu sama ada aku over-sensitive. Atau perasaan yang datang ini sebenarnya tidak original? Sengaja aku sendiri cipta, tetapi kenapa aku perlu mencipta kesedihan yang panjang untuk menyiksa diriku sendiri? Kalau betul perasaan ini dibuat-buat kenapa aku tidak dapat memadamkannya. Ia seolah-olah telah menjangkiti jiwaku, memelukku erat, tidak dapat lagi aku melepaskannya. Mungkin silapku juga, suka melayan perasaan. Kononnya membelai memori itu satu kenikmatan, namun lama kelamaan ia menelanku perlahan-lahan. Masa lampau selalu terasa indah, terasa gamat, terasa bahagia, tidak seperti hari ini yang dibungkam kesedihan.

Aku tak mahu bercakap soal pemikiran. Walaupun aku tahu, bahawa minda manusia itu sering sahaja ditipu masa, sering merasakan kenangan dan harapan masa depan sentiasa membahagiakan, sehingga lupa untuk hidup sekarang. Tapi manusia mempunyai sisi lain selain dari pemikiran dan pengetahuan. Kadang pengetahuan tak dapat mengubati perasaan. Perasaan adalah dimensi yang berbeza, tidak bersilang dengan garis intelektual. Perasaan adalah ilmu yang jauh lebih dalam, ilmu yang dapat dirasai tetapi tidak dapat dibuktikan.

Aku senang jika dapat berbual dengan teman-teman rapat dan isteri, perbualan berdua-duaan selalu aku dambakan. Meski pun sukar untuk didapatkan. Entah apa yang ada pada perbualan. Bagiku perbualan dengan orang yang rapat adalah ubat, walaupun kadang kala aku merasakan ubat itu bersifat sementara. Kemurungan kembali memeluk selepas hilangnya bait perkataan yang terakhir. Perbualan panjang sampai ke pagi adalah ibarat secawan kopi panas, yang menghangatkan semula hati yang keras. Tapi ada juga keadaan aku rasa mahu menyendiri. Walaupun aku sendiri tak pasti sama ada menyendiri itu bagus atau tidak. 

Kadang kala aku berjaya melupakan kesedihan dengan membaca, atau membuat perkara-perkara yang aku suka. Aku juga merasakan beban perasaan kadang kala menghilangkan minatku perihal banyak perkara. Aku tak pasti sama ada itu disebabkan perasaan, atau mungkin api mudaku telah padam. Mungkin aku di fasa umur yang baru, dan aku perlu biasakan diri dengan pertarungan sengit di dalam jiwa ini, bertarung dengan kesedihan dan perasaan. Mungkin jika aku berjaya mengalahkannya aku dapat menjadi insan yang baru, aku boleh bermula semula dengan hati yang baru.

Kadang kala aku rasa, aku berjaya lupakan semua kenangan ini, dan untuk seketika dapat merasai kebahagiaan hidup di masa sekarang. Namun aku asyik mengumpul memorabilia dalam hidup. Mudah sahaja aku terjumpa sesuatu. Gambar lama. Surat lama. Lagu lama. Perasaan lama. Semua ini merupakan pintu, yang membawa aku masuk semula ke daerah sedih. Kadang aku tak dapat bezakan antara sedih dan kebahagiaan, kadang aku merasakan dengan mengimbau kenangan, walaupun sedih, ia membahagiakan. Aku berasa bersalah untuk melupakan mereka yang telah pergi. Bukankah gambar-gambar aku dengan mereka itu untuk ingatan? Adilkah untuk mereka jika ia dilupakan?

Atau mungkin aku terlalu lama tidak berehat di tepi pantai. Tanpa perlu risau bahawa esok aku perlu bangun membanting tulang lagi. Proses pengurungan selama dua tahun ini sebenarnya tiga tahun bagiku. Kerana setahun sebelum ia berlaku aku telah lama menahan diri dari bercuti, apabila tiba masa bercuti sahaja perintah berkurung bermula. Mungkin juga perintah berkurung itu tepat mengenai masa selepas ayah pergi meninggalkanku. Aku tidak boleh ke mana-mana melainkan termenung dan berfikir. Cuba merasionalkan hidup yang sudah tidak lagi rasional.

Tapi sebenarnya ada sebab manusia mati. Manusia perlu mati untuk memberikan ruang pada manusia baru. Bayangkan jika manusia hidup selama-lamanya. Bukankah bumi ini akan menjadi semakin sempit. Jika manusia hendak hidup selama-lamanya mereka perlu mengorbankan kebolehan mereka untuk mendapat anak. Jika tidak populasi hanya akan bertambah dan bumi ini akan tenggelam dengan manusia. Tetapi mampukah manusia hidup tanpa punya anak-anak? Apakah makna hidup jika mereka tidak boleh bahagia? Bahagiakah manusia kalau dia hanya hidup dengan orang-orang yang sama selama-lamanya, tiada anak-anak baru yang mewarnai kehidupan? Walaupun mindaku tahu ini semua, tetapi ia hanya pengetahuan yang tak dapat mengubat perasaan. Apabila yang pergi adalah orang-orang yang dikenali dan dikasihi, pengetahuan ini tidak dapat dijadikan hujah untuk melawan emosi.

Aku pernah bersembang dengan seorang rakan. Katanya kita semua ada masalah mental, kita semua ada depresi, cuma bezanya adalah intensiti dan kebolehan kita mengawalnya. Jika ia masih ditahap yang boleh dikawal oleh diri, ia adalah depresi yang normal. Tetapi jika ia merupakan perasaan yang tidak dapat lagi dikawal, sehingga mengurangkan aspek kesihatan kita yang lain, sehingga ia menggagalkan kita dari berfungsi sebagai manusia, maka ketika itu ia adalah depresi yang sudah tidak normal. Namun apa yang dimaksudkan dengan mengawal? Adakah dengan memendam itu satu proses kawalan? Atau memendam itu proses pengumpulan? Yang akan menyebabkan letupan apabila buah depresi yang dikumpul sudah penuh dalam bakul perasaan. Kita mungkin dapat berfungsi seperti biasa jika kita memendam perasaan. Ia ibarat memakai topeng, manusia lain melihat kita sebagai normal. 

Ah, jauh juga aku mengarut dalam penulisan ini. Maaflah. Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyumbang apa-apa idea. Ia hanya kertas kosong yang aku contengkan dengan perasaan. Aku conteng semuanya di sini. Dengan harapan selepas itu dapat aku konyokkan. Kemudian membalingnya ke dalam lautan. Biar ia dibawa ombak dan arus, ke dasar lautan yang paling dalam. Agar aku tak perlu lagi melaluinya. Perasaan sedih ini ibarat kisah cinta yang berakhir dengan duka, yang lebih baik jika aku ditakdirkan tidak berjumpa dengannya buat kali pertama.

Baiklah, masa untuk membaling kertas yang sudah aku konyokkan. Selamat malam.

Tiada ulasan: