Catatan ini ditulis sebahagiannya untuk meraikan seorang teman baik yang bakal berkahwin, iaitu Muhammad Syafwan bin Che Mustapha yang saya panggil sebagai Che Wan. Selain teman karib yang berkongsi pelbagai kenangan bersama di sekolah dan kehidupan selepas sekolah, saya dan Che Wan juga berkongsi tarikh lahir yang sama. Kami lahir pada hari, bulan, dan tahun yang sama. Sebahagian yang lain pula, sebab mengapa catatan kali ini ditulis, adalah untuk merenung bait-bait makna yang terkandung dalam puisi Khalil Gibran yang indah. Renungan-renungan bait puisi ini saya kira elok dijadikan pesan buat teman saya yang bakal mendirikan rumahtangga. Juga pesan buat diri dan juga pesan buat masyarakat dunia seterusnya.
Puisi-puisi Khalil Gibran ini saya ketahui bukan melalui pembacaan saya sendiri terhadap naskah The Prophet tulisan Gibran. Tetapi puisi ini sampai ke pengetahuan saya dari seorang gadis Portugis bernama Ana Juma. Puisi-puisi Gibran yang saya tuliskan dalam catatan ini merupakan terjemahan saya sendiri ke atas puisi Gibran yang ditulis pada asalnya dalam bahasa Inggeris.
Gibran berpuisi.
Cintailah sesamamu, tetapi jangan dibuat ikatan cinta,
biarlah ia menjadi lautan yang bergerak antara dua hamparan jiwa.
Penuhilah cawan-cawan kalian namun jangan diminum dari cawan yang sama.
Berilah pasanganmu roti namun jangan dimakan roti yang sama.
Menyanyi dan menarilah bersama dalam kegembiraan, namun biarkan pasanganmu sendirian.
Berikan hatimu, tetapi bukan untuk dikunci dan disimpan sesamamu,
kerana hanya tangan kehidupan yang boleh menyimpan hatimu.
Berdirilah bersama namun jangan terlalu berdekatan,
kerana tiang bangunan yang kukuh dibina berjarakan.
Sebuah pohon tak bisa tumbuh dibalik bayangan pohon lainnya.
Puisi Gibran ini memperingatkan kita akan keperluan untuk sentiasa memberikan ruang dalam perkahwinan. Perkahwinan bukanlah satu usaha untuk melenyapkan dua identiti yang berbeza untuk mencipta campuran baharu dengan identiti baharu, sebaliknya perkahwinan adalah perkongsian hidup dua identiti berbeza, yang mempunyai perasaan dan watak yang berbeza. Oleh itu untuk satu perkahwinan itu berkekalan, perlu ada ruang untuk diberikan pada perbezaan.
Bagi Gibran, dalam sesuatu hubungan yang sihat, dalam kebersamaan perlu ada ruang kebebasan. Berkahwin bukan bermakna kita memiliki pasangan. Oleh itu saya berasa sangat janggal apabila ada yang menulis bahawa pasangannya merupakan "my property" apabila mereka berkahwin. Ini bersalahan dengan fitrah manusia. Ya kita mencintai pasangan hidup kita seluruh jiwa kita, namun hakikatnya kita hidup dengan hati kita sendiri. Pasangan kita tidak mampu membaca gerak hati kita melainkan apa yang kita zahirkan sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Hal ini adalah hakikat, tidak kira seindah mana puisi ditulis untuk menggambarkan "penyatuan hati", kita tetap akhirnya akan hidup dan mati dengan hati kita sendirian. Bagi saya ini bukanlah mengurangkan rasa cinta, tetapi kita menerima hakikat sebenarnya cinta itu.
Oleh sebab perkahwinan adalah penyatuan dua insan berbeza, masing-masing mempunyai potensi yang berlainan dan perlu diberi ruang untuk menumbuhkan dan membuahkan potensi masing-masing. Pasangan kita bukanlah cerminan kita. Contohnya jika sang isteri minat akan muzik, tidak salah untuk suami tidak meminati muzik, atau tidak mahu menjadi pemuzik, kerana dia berkahwin dengan isterinya, dia bukan berkahwin dengan muzik. Saya menjumpai banyak sekali perkahwinan manusia, yang mana potensi suami dan isteri sangat berbeza, namun mereka mampu hidup bersama, berkasih-sayang dengan nyaman.
Kadangkala filem, media dan hiburan memberi kita gambar yang salah tentang perkahwinan dan percintaan. Cinta itu seperti boleh terbentuk hanya dengan pandangan pertama. Walhal sebenarnya cinta itu memerlukan usaha bersama, usaha keras dua individu untuk hidup bersama. Kadang-kadang cinta perlu dibajai dengan air mata. Kita dikatakan kita perlu mencari insan sempurna, yang cocok dengan kita, yang mempunyai kimia (chemistry) yang sama, akhirnya kita mencari selama-lamanya. Menyelam ke dalam lautan yang tiada dasarnya. Puisi Gibran ini bagi saya membangunkan manusia dari mimpi-mimpi yang dicipta ini. Kita hidup di alam realiti, bukan alam Disney.
Gibran berpuisi lagi.
Anak-anakmu bukanlah anakmu,
tetapi mereka adalah anak-anak kehidupan yang mencari dirinya.
Mereka datang melalui kamu tetapi bukan dari kamu,
walaupun mereka bersamamu mereka bukan milikmu.
Puisi ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa kita bukanlah pemilik. Puisi Gibran ini walaupun mungkin tidak kedengaran bernuansakan agama tetapi maknanya tidak berbeza dengan apa yang dianjurkan Islam. Dalam Islam, anak-anak adalah pinjaman Allah kepada manusia. Mereka bukan milik kita. Memang kita selalu punya keinginan untuk membentuk anak kita sesuai dengan acuan yang kita sediakan. Kita berusaha sedaya upaya membentuknya dengan apa yang kita rasakan baik. Perkara itu tidaklah salah, malah ia adalah fitrah.
Namun harus kita sedar, anak itu walaupun adalah anak kita, dia adalah insan yang berbeza. Punya identiti dan individualiti yang tersendiri. Kita mungkin mampu mengawalnya ketika mereka masih kecil. Namun akhirnya mereka akan lepas dari kita, itu juga adalah fitrah. Sama ada kita mahu atau tidak mahu, sama ada kita suka atau tidak, sama ada kita melepaskan anak kita atau mereka terlepas dari kita. Itu adalah hilirnya, mereka akan lepas menjadi individu tersendiri. Proses membesar anak-anak adalah proses individuasi, mereka mula sedar akan keasingan dirinya dari ibu bapa, bahawa mereka adalah individu yang berbeza.
Oleh itu, walaupun kita cuba sehabis baik membesarkan anak-anak dengan acuan kita, kita akan kecewa jika mereka tidak menjadi seperti yang kita kehendaki. Untuk mengelakkan rasa kecewa, kita harus menerima hakikat bahawa mereka bukan kita. Semakin mereka besar, tugas kita adalah melepaskan mereka perlahan-lahan, hingga akhirnya tugas kita bukan lagi mengawal, tapi sekadar membimbing, menasihati, dan menyayangi. Anak-anak tidak perlu berjaya seperti kita, dia perlu berjaya seperti dia. Kerana dia bukan kita, dan kita bukan dia. Begitulah aturan alam, fitrah yang diciptakan tuhan pemilik alam.
Begitulah sedikit sebanyak tafsiran saya keatas puisi Gibran yang saya kira relevan dibuat pesan buat kita untuk menempuhi alam keluarga dan alam sebagai ibubapa. Pesan-pesan ini saya kira merupakan ibarat mutiara yang seharusnya kita kutip, bukan untuk disimpan tetapi untuk difahami, agar hidup kita lebih dalam maknanya, agar hidup ini bermakna, dan yang paling penting, supaya hidup ini.
Bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan