Jumaat, 17 Disember 2021

Catatan Baitul Muslim 49: Membesarkan Anak Memerlukan Seluruh Kampung


"Kejayaan yang dicapai pada usia 40-an lazimnya dimulakan pada usia 20-an. Kalau anda bermula pada usia 40-an, pada usia berapakah anda akan berjaya?"
- T. Alias Taib, Baris Pertama. Pusaka Alias, 2020.

Ada satu peribahasa Afrika yang pernah saya jumpa dalam sebuah buku, yang saya sudah tidak ingat lagi apakah bukunya, diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris disebut sebagai "It takes a village to raise a child". Tafsiran dan huraian kepada peribahasa ini adalah pelbagai. Namun saya lebih cenderung memahaminya sebagai bukan ibu bapa sahaja yang mencorakkan kehidupan anak-anak malah mustahil dua ibu bapa sahaja yang membesarkan dan mendidik anak.

“Village” dalam erti kata masyarakat dahulu adalah kampung. Mungkin anak-anak kampung zaman dahulu membesar dengan anak-anak sedara mara dan jiran. Mereka bersama main parit, main gasing, tangkap ikan haruan dan puyu, kejar ayam, dan pelbagai aktiviti permainan kampung lain. Dan ibu bapa kepada sedara mara dan jiran ini merupakan penjaga anak-anak juga, sama seperti ibu bapa mereka sendiri. Dahulu di kampung semua orang saling kenal mengenali. Jadi anak-anak itu dibesarkan bersama kawan-kawan, makcik pakcik kampung, imam bilal masjid dan surau juga guru-guru sekolah. Jadi satu kampung sebenarnya yang membesarkan anak tersebut.

Kita mungkin merasakan dunia moden ini, peribahasa ini tidak terpakai buat kita. Namun sehebat manapun teknologi berputar, ibu bapa masih tidak mampu membesarkan anak-anak mereka sendirian. Kita hidup di dalam kampung moden. Dari kecil anak-anak kita dihantar ke pengasuh, kemudian tadika, kemudian sekolah, bila bercuti mereka berjumpa anak-anak adik beradik kita. Itulah kampung mereka, kampung yang membesarkan mereka. Mungkin boleh ditambah juga dalam kampung moden adalah kampung siber, video dan media sosial. Anak-anak kita juga kebanyakannya dibesarkan dengan Didi & Friend, Omar Hana, Paw Patrol atau mungkin My Little Pony. Seperti kita dahulu dibesarkan dengan Dragon Ball, Digimon, Tomatoman dan Usop Sontorian semasa zaman televisyen.

Disebabkan kita hidup dalam dunia, anak-anak kita akan membesar dipengaruhi juga oleh dunia. Tak kiralah ibubapa itu over-protective atau sentiasa mengawal anak-anaknya, dia tidak akan mampu mengawal anaknya dari disentuh pengaruh luar kerana ibubapa bukanlah Tuhan, ibu bapa juga bukan makhluk halus, mereka hanya manusia biasa yang terbatas masa dan tenaganya. Ibu bapa tak akan mampu duduk bersama anak-anak 24 jam dari mereka bayi sehingga mereka tamat universiti. Jadi masa tidak bersama ini, anak-anak akan terdedah kepada pengaruh lain, disentuh dunia sekeliling mereka.

Saya terdetik akan hal ini bukanlah untuk memberitahu bahawa usaha untuk mengawal anak-anak adalah usaha yang hopeless. Tetapi sebenarnya saya terdetik akan hal ini ketika membaca buku GRIT yang ditulis oleh Angela Duckworth versi terjemahan Bahasa Melayu oleh PTS. Angela mengkaji tentang apakah yang menyebabkan manusia mempunyai pendirian, sentiasa cekal, dan tidak putus asa sehingga berjaya? Kenapa ada manusia yang berjaya dan ada yang gagal? Beliau membuat kesimpulan dari kajian psikologinya bahawa yang menyebabkan sesorang itu berjaya bukanlah bakat semulajadi tetapi keyakinan yang kental, usaha keras dan kerja tanpa putus asa – yang beliau termakan sebagai Grit.

Angela turut mengkaji bagaimana untuk membina anak-anak yang mempunyai Grit. Selain sokongan ibubapa, beliau juga mendapati bahawa insan-insan yang berjaya ini mempunyai sokongan luaran dari individu-individu disekeliling mereka. Malah orang yang tidak punya ibubapa juga boleh berjaya jika dia mempunyai masyarakat sekeliling yang menyokong dan mendokongnya. Angela juga menekankan pentingnya anak-anak terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum seperti sukan atau kelas latihan muzik. Ini penting supaya anak-anak mempunyai pengalaman berlatih secara berstruktur dan mempunyai orang dewasa yang membantunya (instruktor, guru, jurulatih). Pengalaman latihan berstruktur dan dorongan jurulatih dewasa ini penting dalam membina karakter anak. Pandangan beliau ini mungkin berbeza dengan segolongan ahli politik yang merasakan kawad kaki tiada gunanya untuk pelajar. Bagi Angela, pembentukan karakter dari aktiviti ini akan dibawa ke dalam masalah-masalah hadapan anak-anak dalam menghadapi hidup mereka.

Jadi untuk membentuk anak-anak yang akan berjaya, yang mempunyai karakter, yang cekal, tekal, dan mampu kekal berusaha, ia tidak cukup dengan didikan ibu bapa sahaja. Ia perlukan sokongan luar. Oleh itu penting juga buat kita untuk memerhatikan sekeliling tempat anak kita dibesar, bagaimana keadaan "kampung" yang membesarkan mereka. Jika kita punya pilihan, kita mestilah memilih "kampung" atau masyarakat yang mampu memberikan bimbingan dan dorongan agar anak-anak kita cekal berusaha. Anak yang mempunyai karakter cekal dan pantang menyerah kalah inilah yang akan menjadi anak-anak yang berjaya. Jangan risau jika anak anda tidak genius, tetapi risaulah jika anak anda tiada karakter dan mudah berputus asa.

Hal ini saya kira sangat penting kerana kejayaan bukan diukir dalam masa sehari dua, tetapi bertahun-tahun. Seperti yang diungkapkan oleh T. Alias Taib, kejayaan lazimnya mengambil masa hingga 20 tahun. Oleh itu jika anak-anak kita tidak mempunyai karakter, dan mudah berputus asa selepas sekali dua berusaha, sukar untuk mereka menjadi insan yang berjaya. Jika mereka sedar lewat akan hal ini, lewat jugalah mereka akan menjadi insan yang berjaya. Sebaliknya jika ibu bapa bersama "kampung" sekelilingnya memberi dorongan dan sokongan awal, dan anak-anak mula membangun potensi sejak kecil, maka dia punya peluang yang lebih cerah untuk mencapai kejayaan pada usia puncak mereka.

Tiada ulasan: