Khamis, 8 September 2022

Catatan Baitul Muslim 57: Paling Bahaya Adalah Prasangka


Yang paling bahaya dalam rumahtangga adalah prasangka. Manusia itu diciptakan berpasangan, tetapi setiap pasangan diciptakan secara tersendiri. Masing-masing punyai pemikiran, perasaan, emosi yang berlainan, terpisah dan tersendiri. Di seminar-seminar, ceramah, kelas dan sebagainya kadang kita sering didendangkan bahawa jika kita sudah berkahwin lama, kita boleh membaca fikiran pasangan kita. Bak kata pepatah, "sekilas ikan di air, sudah tahu haruan atau ikan puyu". Apabila sudah hidup lama bersama, melihat riak wajah sahaja kita sudah tahu apa yang difikirkan pasangan.

Walaupun perkara ini sudah menjadi common wisdom, namun, ia bukanlah perkara yang benar. Ramai yang mempercayainya, hingga mereka merasakan pasangan mereka mestilah faham perasaan mereka. "Kita dah 10 tahun kahwin, takkan tak faham lagi?" kata mereka. Oleh kerana itu, ramai yang kecewa apabila pasangan tidak memahami mereka, mereka beranggapan pasangan pasti sudah boleh faham minda dan fikiran mereka tanpa mereka ceritakan apa yang mereka fikirkan kerana mereka telah lama bersama.

Hal ini sebenarnya adalah fantasi, ia adalah fantasi yang berbahaya. Kehidupan kita bukan seperti cerita cinta Bollywood atau Hollywood. Bukan juga seperti yang dilakonkan dalam kisah-kisah drama romantis. Hakikatnya minda dan fikiran manusia itu sentiasa terpisah. Ia adalah ruang peribadi yang tak dapat disingkapi oleh insan lain, meski pun insan itu adalah kawan karib, ibu bapa mahu pun pasangan. Apa yang mereka boleh buat hanya meneka fikiran berdasarkan pengalaman bersama di waktu yang lalu, namun meneka tidak sama dengan mengetahui secara benar apa sebenarnya yang difikirkan. Manusia berubah, pengalaman baru berlaku, fikiran dan perasaan juga akan berubah seiring dengan berubahnya perkara-perkara lain dalam kehidupan.

Tuhan menciptakan ruang fikiran sebagai ruang peribadi manusia. Tidak dapat dibaca melainkan jika pemilik pemikiran memilih untuk menzahirkannya melalui percakapan, tulisan atau tindakan. Jangan terpedaya dengan common wisdom bahawa kita boleh membaca fikiran pasangan, tidak kira berapa lama kita sudah berkahwin, hatta jika kita sudah bersama 1000 tahun pun, kita tetap perlu bertanya apa yang difikirkannya. Agak-agak dan tekaan sering kali silap dan membahayakan. Kita akan memberikan solusi pada masalah yang tidak ada, atau lebih buruk, membuat sesuatu yang memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Jika kita mahu pasangan kita memahami fikiran kita, ini perlu dinyatakan dengan jelas tanpa menggunakan kiasan dengan harapan mereka dapat meneka dengan tepat. Menyatakan tidak semestinya melalui percakapan, ada tikanya kita tak mampu mengungkapkan sesuatu. Gunakan medium lain yang ada seperti tulisan (surat) atau mesej (digital). 

Jika sedang marah, kita perlu nyatakan "saya sedang marah dengan awak".

Jika perlukan masa, perlu diberi tahu "saya mahu keluar ambil angin sendirian".

Jika lapar beritahu makanan apa yang perlu dibelikan "saya mahu makan pisang goreng cheese".

Ingat, tiada siapa yang dapat membaca fikiran kita, dan kita juga tak mampu membaca fikiran orang lain. Oleh itu, untuk selamat, dalam rumah tangga perlu sentiasa berbincang dan bersembang, bukan meneka dan berprasangka. Jika kita tak dapat membaca fikiran pasangan kita, bukan bermakna kita tidak mencintainya, atau cinta kita tidak cukup dalam geloranya, tetapi bermaksud kita adalah insan biasa yang hidup dalam realiti penuh keterbatasan. Dalam keterbatasan yang Tuhan tetapkan. Keterbatasan ini bukan suatu kecacatan atau kekurangan. Jika kita memahaminya, kita mampu bahagia dalam keterbatasan ini.

Tiada ulasan: