Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.

Tiada ulasan: