Memasuki fasa-fasa akhir pengajian, kadang kala saya tertanya juga, termenung, akhirnya sebenarnya apa yang aku belajar selepas empat tahun ini?
Bagi saya apa yang paling signifikan bukan konsep, bukan teori, bukan metodologi, yang menjadi pelajaran penting adalah untuk belajar kita perlu merendahkan hati. Perlu sentiasa letak posisi kita di bawah. Perlu bersedia untuk dibetulkan. Perlu anggap pembetulan adalah sebahagian dari proses belajar. Sebijak mana pun kita rasa, kita perlu bersedia mendengar pandangan balas.
Jika tiada kerendahan hati ini kita tidak akan belajar apa-apa. Kita akan merasakan pembetulan sebagai satu kesusahan, bukan satu proses pembelajaran. Kita tidak bersedia menerima cabaran baharu, meneroka kemungkinan bahawa mungkin idea kita salah, mungkin ada penjelasan yang lebih dalam, mungkin ada sumber yang lebih tepat, kita akan hilang pandangan terhadap seribu satu kemungkinan lain. Kita tidak akan belajar apa-apa.
Tetapi sekiranya kita bersedia memecahkan pemikiran lama, kita mempunyai potensi membina bangunan kefahaman yang lebih baharu dan lebih sistematik. Kita sentiasa bersedia membuat pembetulan dan penambahbaikan. Kita tidak merasakan tambah baik itu sebagai perosak idea, tetapi sebagai satu batu yang akan mengasah dan menajamkan lagi dapatan pengajian kita. Semakin banyak pembetulan kita sudi lakukan, semakin terperinci dan teliti kajian kita.
Kita mesti sentiasa bersedia untuk mengubah arah dan corak kajian kita sesuai dengan pembangunan dan ketinggian ilmu. Jika tidak bersedia, tidak ada kerendahan hati untuk menerima, kita hanya akan menjadi sebuah batu yang tidak boleh bergerak. Tidak dapat dipecahkan dan disusun menjadi satu struktur yang lebih baharu dan mampu tersergam indah.
Oleh itu, selepas empat tahun, saya belajar bahawa untuk belajar, perlu bersedia merendahkan diri.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan