Rabu, 1 Julai 2020

Catatan Baitul Muslim 31: "Kakak suka dua orang"



Sejak Amni pandai bercakap, banyak kata-katanya yang sangat mendalam, walaupun mungkin pada seorang anak kecil apa yang diungkap itu sekadar perasaannya yang spontan, tapi buat ibubapa, bait kata itu masuk lebih jauh dan tenggelam lebih dalam. Contohnya ketika dia bertanya "Abi dah solat ke belum?" pada anak kecil mungkin itu sekadar pertanyaan berdasarkan pemerhatiannya dengan kebiasaan. Tapi bagi orang dewasa ia adalah soalan yang mendalam, perihal bagaimana kita menjaga komitmen ibadah, hubungan kita dengan Pencipta, serta keadaan dan kesihatan iman.

Selepas tamat tempoh pengurungan ini, ketika di hujung bulan Jun 2020, Malaysia masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan, cuma ia sudah dilonggarkan kepada kawalan "bersyarat" dan kini dalam kawalan "pemulihan", rasminya disebut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dahulu sebelum "dikurung" saya selalu membawa Amni dan Idlan menaiki feri atau ke kolam renang di hujung minggu. Tetapi apabila dunia diserang virus corona baharu yang disebut sebagai COVID-19 ini, perkara tersebut sudah tidak dapat dilakukan atas sebab berjaga-jaga. Jadi yang boleh dilakukan adalah menaiki motor ketika petang, juga berlari-lari di padang yang kosong ketika petang.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang berderu ketika diatas motor, sering kali menyebabkan Idlan yang berumur dua tahun tidur di atas motor. Agak sukar dan berbahaya mengendali motor dengan satu tangan, kerana satu tangan lagi perlu memegang Idlan agar dia tidak jatuh terlentok.

Ketika sedang naik motor, Amni yang berumur lima tahun mengajak saya pergi ke padang. Saya katakan boleh, nanti kita singgah di padang. 

"Nanti Abi patah balik ambil Ummi dulu" katanya lagi.

Saya menjelaskan bahawa Ummi-nya hari ini pulang kerja lambat, jadi kita boleh ke padang tetapi bertiga sahaja bersama adik.

"Tak nak, kakak suka ada dua orang dewasa, kakak nak pergi padang dengan Kakak, Adik, Abi, Ummi" terangnya lagi.

Lalu akhirnya kami pusing-pusing sahaja menaiki motor tidak ke padang, Idlan seperti biasa tidur dipertengahan jalan. Kata-kata anak kecil ini buat saya terfikir akan fitrah manusia yang merasakan keluarganya lengkap jika ada ibu dan ayah. Saya sendiri ketika itu sudah kehilangan ayah, kata-kata Amni sedikit mengusik perasaan saya bertapa saya merasakan keluarga saya sendiri sudah tidak lengkap. Namun itu realiti kehidupan yang saya harus terima.

Dahulu sebelum Amni pandai bercakap, saya teringin bersembang dengannya, selepas dia sudah pandai bercakap, kadang-kadang terasa penat menjawab soalan-soalannya. Semuanya kenapa. Kenapa burung terbang? Kenapa awan biru? Kenapa Abi kerja? Jika dijawab pun akan disambung lagi dengan kenapa yang lain. Kenapa kena cari duit? Kenapa kena makan? Jika lama sangat biasanya akhirnya saya akan jawab "entah". Saya sedar jawapan itu bukan jawapan yang terbaik untuk menggalakkan anak berfikir, itu adalah jawapan untuk mematikan pertanyaan. Tetapi kadang-kala, kita sebagai manusia biasa juga tewas pada teori yang kita pegang, tewas pada prinsip yang kita jaga, ketika realiti kepenatan menjalari hidup seharian. 

Cuma mungkin kita kena selalu memperingatkan diri agar terus kuat untuk bersembang dan berbual dengan anak-anak, perkara kecil dimata kita tetapi sebenarnya besar di dalam hati anak-anak. Kita jika tidak bercakap dengan anak, kita masih boleh bersembang dengan rakan-rakan di Whatsapp, Facebook, dan media sosial yang lain. Tetapi anak kecil, jika ibubapanya tidak mahu bersembang dengan mereka di rumah, dengan siapa mereka boleh bersembang? Dengan dinding? Dengan teddy bear?

Dialog-dialog dengan anak ini sekejap sahaja Tuhan pinjamkan kepada kita, ia adalah nikmat yang sementara. Apabila mereka mula berkawan di sekolah nanti, jika kita tidak selalu bersembang dengan mereka, mereka pun tidak ingin lagi bersembang dengan kita. Kerana mereka sudah punya kawan-kawan lain yang sudi mendengar keluh-kesah mereka. Yang sama tahap pemikiran dengan mereka. Disini kita perlu sedar, media sosial itu tidak kemana pun sebenarnya, apabila kita sudah tua nanti bukan media sosial yang akan kita rindui, tetapi hiruk pikuk anak-anak yang pulang beraya bersama cucu-cucu kita. Jadi, sepenting manapun komen dan like yang kita tagih itu, berpada-padalah.



Tiada ulasan: