Sabtu, 4 Julai 2020

Reviu: Menolak Perintah oleh Iltizam Iman


Judul Buku: Menolak Perintah: Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan
Penulis: Iltizam Iman
Penerbit: Penerbitan Ikan Kekek, 2020.

Pertama sekali, kerana saya juga terlibat dalam aktiviti pembukuan dan penerbitan, saya ingin komen sedikit perihal teknikal-teknikal format buku. Yang pertama adalah pernomboran, saya kira buku ini akan lebih kemas jika nombornya dimulakan pada mukasurat prakata, memulakan pernomboran dari halaman kandungan kelihatan agak janggal. Seharusnya halaman kandungan tidak bernombor. Yang kedua, bagi saya sangat penting, adalah tidak adanya nombor ISBN, dalam kata lain sayang sekali karya yang sangat menarik ini tidak termasuk dalam simpanan perbendaharaan buku negara. Saya kira elok ia didaftarkan agar dapat di-indeks dan dikatalog oleh perpustakaan negara untuk rujukan generasi akan datang. Yang ketiga adalah perihal pandangan saya secara peribadi, buku ini tidak di dapati dalam database Goodreads. Bagi saya, membaca bukan sekadar rutin, malah ada ritual peribadi, antaranya menandakannya di Goodreads, tapi untuk yang ketiga ini kecil sahaja, saya telah masukkan buku ini di Goodreads bagi memudahkan ritual pembacaan saya. Yang keempat, setelah beberapa ketika saya membaca, saya dapati Iman ada mengulas naskah-naskah yang beliau baca seperti tulisan Ali Syari'ati, Asghar Ali Engineer dan novel Benz Ali, namun tiada bibliografi di belakang, saya kira elok ditambah bibliografi agar memudahkan pembaca untuk merujuk dan dapat diketahui naskah yang mana yang dibincangkan. Yang kelima, ada pengulangan isi yang sama pada bab-bab akhir berkenaan dengan pandangan SH Al-Attas terhadap "Revolusi Mental", pengulangan ini harap dapat dibuang untuk edisi kemaskini. Semua isu ini adalah isu teknikal pembukuan, isu-isu teknikal ini kecil sahaja, boleh diperbaiki untuk cetakan akan datang.

Baik, mari kita bincangkan isi kandungan, ini yang lebih utama.

Buku ini bagi saya sangat baik sebagai perenungan, ternyata Iman menintakan fikiran-fikirannya, jadi ia adalah buku yang membantu kita berfikir, berfikir tidak semestinya setuju, tetapi pertimbangan kita dalam menilai sesuatu idea. Iman memulakan kitabnya dengan membahaskan falsafah kerosakan, yang baginya berasal dari hati manusia, sesuatu yang abstrak kemudian memberi kesan kepada dunia material luaran, kerosakan yang dilakukan oleh penguasa juga asalnya adalah dari hati mereka, kata Iman baik "Marxist atau Islamis" jika hati mereka bermasalah, kerosakan akan tetap berlaku. Falsafah inilah yang diambil untuk menamakan judul kitabnya "Menolak Perintah" iaitu menolak tirani didalam dan luar diri. 

Antara rangkap yang saya minati dalam naskah ini adalah "Ironinya, kita takut mati tapi malas bangun tidur". Rangkap ini bagi saya begitu mengesankan, memotivasikan kita untuk hidup dengan lebih "hidup" dan melawan kemalasan. Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan artificial intelligence, saya kira beliau lebih membawa banyak persoalan dari jawapan. Contohnya, beliau bertanya "Adakah manusia boleh mencipta sesuatu yang dia sendiri tidak faham? Contohnya mimpi? Apa kegunaan mimpi?" Walaupun kecanggihan sains menolak sempadan limitasi semakin laju, saya tidak fikir manusia mampu mencipta "kesedaran" yang setara dengan kesedaran manusia, apatah lebih lagi dari kesedaran manusia. Saya mungkin salah, tapi setakat hari ini, kita masih belum mampu.

Buku ini mengajak manusia berfikir, Iman menulis bahawa kita harus "memperbanyakkan dialog-dialog dengan diri", yang saya kira merupakan satu ajakan yang penting. Sering kali kita melakukan perkara dalam hidup ini kerana kebiasaan, kerana adat dan agama, kerana mengikut orang, kita lakukan banyak perkara tanpa sedar, tanpa bertanya mengapa kita melakukannya. Mengapa perkara ini penting? Kerana bagi saya, jika kita tidak berfikir, kita akan melakukan perkara yang mungkin kita tidak perlukan, dan masa yang kita ada adalah sedikit, kehidupan yang singkat ini memerlukan kita fokus pada apa yang kita benar-benar "perlu". Persoalan dan dilema perubahan juga menarik diperbahaskan, Iman membawakan bagaimana orang miskin tidak sempat melakukan perubahan kerana mereka sibuk dengan urusan "kelangsungan hidup", manakala orang kaya tidak melakukan perubahan kerana mereka telah selesa, Iman bertanya "di mana jalan penyelesaiannya?". Saya kira jawapan kepada persoalan ini ada di dalam sejarah, kerana jika tidak, masakan kita lihat perubahan-perubahan berlaku dalam sejarah, jika semua manusia tersepit dalam dilema ini kita tidak akan punya revolusi atau pemberontakan. Jawapanya adalah pada kewujudan insan-insan radikal, mereka yang merasakan prinsip itu lebih penting dari "kelangsungan hidup" dan "keselesaan", mereka adalah ejen perubah sepanjang zaman. Howard Zinn, sang sejarawan agung pernah membawa konsep "civil disobedience", dimana mereka yang radikal yang melawan undang-undang adalah mereka yang membawa perubahan.

Iman juga ada membincangkan perihal-perihal agama, contohnya beliau menghuraikan Surah Al-Maa'uun yang membawakan keperluan untuk Muslim menterjemahkan agama ke dalam aktiviti membangun masyarakat. Agama bukanlah sekadar amalan-amalan ritual untuk individu mengejar pahala untuk dirinya, tetapi perlu ada usaha dalam membaiki masyarakat seperti memperkasa anak-anak yatim serta mengangkat kesusahan golongan miskin. Orang agama yang mementingkan diri, sibuk dengan ritual tetapi meninggalkan masyarakat, adalah pendusta agama. Dalam pen-definisi-an perkataan "kafir" beliau membawakan maksud yang dinukilkan oleh Asghar Ali, iaitu kafir itu bukan bermaksud penolakan tauhid tetapi penolakan terhadap keadilan, kafir didefinisikan sebagai penindasan terhadap golongan yang lemah. Bagi mereka yang tidak pernah membaca Asghar Ali, definisi ini mungkin kedengaran agak janggal dari tafsiran agamawan tradisional. Sememangnya Asghar banyak menafsir semula konsep-konsep agama ke dalam bahasa yang lebih umum, mencakupi seluruh manusia, dan menekankan nilai-nilai revolusioner dalam agama. 

Saya kurang bersetuju dengan penulis dalam perbahasan beliau berkenaan dengan "Alam dan Manusia" yang menyuruh kita belajar dari haiwan. Saya bersetuju bahawa kerosakan yang dibawa oleh manusia lebih teruk dari haiwan, haiwan yang "memburu sekadar untuk makan sehingga kenyang", tapi penyelesaiannya saya kira bukanlah mengamalkan undang-undang rimba. Walaupun Iman tidak menulis secara explicit berkenaan dengan Darwinisma, beliau ada mengungkapkan perihal proses evolusi. Evolusi tidak boleh memberi kita moral dan etika. Buku Yuval sebagai contoh, mengatakan semua perkara yang boleh dilakukan secara biologi adalah natural, dalam konteks ini apa yang Hitler lakukan adalah natural kerana ia "boleh dilakukan secara biologi". Sains tidak dapat memberi kita moral, ia boleh menjawab persoalan-persoalan emperikal bukan moral. Jadi saya tidak setuju dengan belajar dari haiwan kita boleh melahirkan masyarakat yang tidak diskriminatif. Nazi menghapuskan bangsa Yahudi juga adalah kerana mereka beriman dengan biologi dan evolusi, kerana pada keyakinan mereka bangsa German adalah bangsa yang lebih develop dalam hiraki evolusi berbanding bangsa lain (social darwinism). Malah Darwin sendiri tidak setuju kita membantu manusia yang lemah, kerana menurut natural selection dan survival of the fittest, yang kuat perlu menang dan membiak manakala yang lemah perlu dibiarkan mati. Mencari moral dari evolusi hanya akan melahirkan moral nihilism

Banyak lagi persoalan-persoalan yang dibangkitkan di dalam buku ini yang mengayakan minda dan mencabar pemikiran seperti apa yang dimaksudkan dengan kebenaran. Antara perkara yang dibincangkan yang sangat menarik perhatian saya adalah perbahasan-perbahasan berkenaan dengan alam. Perbahasan ini saya kira jarang diangkat oleh penulis lain (atau mungkin saya yang ignorant dalam subjek ini). Perlawanan orang kampung untuk menghentikan projek pelupusan sisa di Bukit Payong yang dibincangkan dengan mendalam pada saya merupakan sejarah rakyat yang penting. Oleh itu saya merasa sangat sayang sekali jika naskah ini tidak dikatalog dan diindeks oleh Perpustakaan Negara, kerana sejarah rakyat ini mungkin tidak boleh dirujuk oleh pengkaji akan datang.

Kritik beliau buat alam persekolahan adalah satu perenungan yang sangat baik, bagaimana sistem pendidikan kita membunuh sifat "kecurigaan" dalam diri anak-anak, sebaliknya membentuk mereka menjadi mesin untuk menghafal informasi untuk dimuntahkan ke kertas peperiksaan. Walaupun saya bersetuju dengan kritik pendidikan ini namun saya mempunyai kesimpulan yang berbeza, kesimpulan saya bukanlah home-schooling walaupun saya hormati ibubapa yang memilih option tersebut. Bagi saya sistem yang lemah itu perlu diperbaiki bukan ditinggalkan. Bagi saya institusi sekolah, pengajarannya bukan sahaja perkara-perkara formal, banyak perkara yang tidak formal kita belajar di sekolah seperti belajar berkawan. Juga tak semua orang mampu untuk melaksanakan home-schooling, mungkin bagi ibubapa yang kedua-duanya buruh mereka tidak punya masa dan tenaga untuk melakukannya kerana tuntutan hidup. Juga bagi saya, kelemahan sekolah itu perlu ditampung oleh ibubapa di rumah, pendidikan seharusnya dilihat secara keseluruhan, tidak adil jika kita menolak semua tanggungjawab pendidikan kepada sekolah. 

Iman menulis perihal pendidikan tinggi, berkenaan dengan kajian "thesis-thesis tak guna budak-budak degree sampai PhD. Tunggu masa dibuang atau dikitar semula". Di sini saya secara umumnya bersetuju, kebanyakan thesis-thesis ini dilambakkan di perpustakaan akademik yang tak dibaca oleh manusia. Seharusnya, thesis-thesis ini dibukukan, diolah semula ke dalam bahasa masyarakat agar ia menjadi ilmu yang berguna. Kebanyakan kita menggunakan pengajian tinggi hanya sebagai tiket untuk mendapat pekerjaan, membaca kritikan ini membuatkan saya tersedar. Ada benarnya, seharusnya kita belajar kerana ingin tahu dan meningkatkan ilmu.

Dalam perbahasan beliau berkenaan dengan "Masyarakat dan Negara", saya tertarik dengan kawalan media, pemerintah yang mengawal media dapat memastikan isu apa yang dimainkan dalam masyarakat, jika sesuatu isu yang merugikan pemerintah dibahas masyarakat, mereka perlu segera mencipta isu-isu remeh-temeh yang tidak bermanfaat untuk diputarkan bagi mengalih perhatian. Sedikit sebanyak mengingatkan saya berkenaan dengan buku Manufacturing Consent tulisan Herman dan Chomsky.

Akhir sekali, isi yang saya ingin ulas perihal naskah ini adalah keperluan kepada kekuatan spiritual dalam menjamin perubahan yang bertahan lama. Beliau mengulas dapatan SH Al-Attas bahawa yang menjadikan revolusi agama bertahan lama berbanding revolusi ideologi kiri seperti Komunisme adalah kekuatan spiritual mereka. Kita melihat bagaimana eksperimen sosial untuk mengunapakai sistem Komunis di Soviet yang tidak menekankan keperluan spiritual, atau menafikan tempatnya dalam hidup manusia, namun apabila Soviet runtuh, manusia kembali mencari kekuatan spiritual mereka, agama-agama yang disangkakan mati hidup semula.

Tahniah diucapkan buat saudara Iltizam Iman atas penerbitan buku sulung beliau ini. Naskah ini saya kira sangat baik dalam mengangkat persoalan-persoalan pemikiran, perspektif hidup, kelestarian alam, juga sikap-sikap kita mendepani politik dan pemerintahan. Semoga kita dapat menggeluti fikiran-fikiran beliau dalam naskah-naskah yang akan datang.

Tiada ulasan: